Bikesrepublic

Berita Terkini

Walaupun tanpa kehadiran penonton ekoran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, pusingan kedua Vios Challenge Musim Ke-4 berlangsung meriah dengan dua juta tontonan secara atas talian berjaya dicatat.

Aksi kedua pada Ahad berlangsung lebih sengit dan mencabar berbanding hari pertama ekoran hujan lebat melanda Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun, senario itu memberikan peluang keada pelumba M7 Japan Project Team, Syafiq Ali untuk melakar kemenangan diikuti Mitchell Cheah (23 Motors) kedua sementara tempat ketiga jadi milik Faidzil Alang.

Saingan kelas Sporting pula menyaksikan Adam Khalid (Crestmax Motorsport) melintasi garisan penamat di tempat pertama meskipun memulakan aksi di petak ke-15.

Mirza Syahmi Mahzan (Aylezo Motorsport) menemami Adam di tempat kedua diikuti Eric Yong, ketiga.

Sementara itu, kategori Rookie disandang pelumba berusia 17 tahun, Amer Harris diikuti Mika Hakimi kedua dan Putera Adam, ketiga.

Pada masa sama, selebriti tanah air, Shukri Yahaya meneruskan rentak cemerlang selepas memperoleh kemenangan kedua dengan kelebihan 7.1 saat di hadapan Nabil Ahmad (kedua) dan Zizan Razak (ketiga).

Vios Challenge akan kembali bersambung dengan pusingan ketiga di ‘venue’ sama pada 20 hingga 21 November ini namun akan mengambil tempat di sebelah malam.

Honda tekad kembali memperkuatkan legasi CBR dengan memperkenalkan jentera ‘superbike’ serba baharu berdasarkan paten baharu yang didedahkan, baru-baru ini.

Honda CBR sememanngya jentera ikonik dalam segmen ‘superbike’ sejak kali pertama diperkenalkan menerusi CBR900RR Fireblade, 31 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, dengan kemunculan beberapa jentera baharu dari pesaing lain antaranya Ducati Panigale V4, Aprilia RSV4, Kawasaki ZX-10R dan Yamaha R1M di samping kegagalan memberi saingan di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) sejak kali terakhir memenanginya pada 2007, pengeluar motosikal Jepun itu tekad mengambil langkah lebih drastik.

Paten terbaru yang difailkan di Jepun itu mendedahkan beberapa ciri unik dan luar biasa terutamanya bahagian chasis.

Berbanding menggunakan chasis alumimium sebagai asas utama, enjin empat-silinder melintang telah dijadikan sebagai struktur utama kerangka dengan beberapa bahagian chasis disambung kepada enjin secara terus.

Bahagian depan chasis pula menempatkan kotak udara serta beberapa ruang bagi memuatkan komponen elektronik.

Sementara itu, aspek paling mencuri tumpuan adalah bahagian tangki dan tempat duduk yang digabung menjadi satu unit.

Menurut paten tersebut, bahagian tangki dan tempat duduk mengguna pakai bahan jenis gentian karbon dan disambung kepada bahagian enjin.

Ketiadaan ‘subframe’ merupakan inisiatif Honda bagi mengurangkan berat keseluruhan jentera.

Bukan itu sahaja, paten itu turut mendedahkan paparan meter yang menggabungkan skrin analog dengan 14,000rpm dan LCD digital serta penggunaan klac jenis hidraulik.

Mengambil kira tahap perincian paten tersebut berbanding paten lains ebelum ini jelas memberi bayangan model ini bukanlah sekadar rekaan prototaip malah bakal dibawa ke peringkat pengeluaran tidak lama lagi.

Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo muncul juara dunia Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2021 setelah menamatkan pusingan di Misano pada kedudukan keempat.

Quartararo sah dinobat juara setelah pencabar terdekat, Francesco Bagnaia kemalangan sewaktu mendahului perlumbaan di Misano meskipun hanya berbaki empat lap.

Ini merupakan kejayaan sulung Quartararo dan yang pertama bagi Yamaha setelah kali akhir melakukannya pada 2015 menerusi Jorge Lorenzo.

Sementara itu, aksi di Misano menyaksikan juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez muncul pemenang diikuti rakan sepasukan, Pol Espargaro kedua dan Enea Bastianini ketiga.

Bastianini berjaya memintas Quartararo di saat akhir lantas melengkapkan podium di tempat ketiga.

Bagnaia pada awalnya dilihat mampu membawa cabaran kepada Quartararo sehingga ke pusingan terakhir namun kegagalan mengawal jentera di Turn 15 membawa padah sekaligus menghadiahkan kemenangan kepada pelumba Perancis itu.

Kejayaan Quartararo turut diraikan Datuk Razlan Razali yang kelihatan bersama-sama kem pasukan factory Yamaha di Misano.

Pada masa sama, pusingan di Misano juga membawa seribu makna buat pelumba veteran, Valentino Rossi, yang membuat penampilan terakhir di laman sendiri sebelum bersara hujung musim ini.

Penampilan terakhir Rossi turut diraikan Luca Marini, yang menyarung warna ikonik milik Rossi sebagai pengiktirafan terakhir pelumba berusia 42 tahun itu.

Pengeluar motosikal elektrik pertama Singapura, Scorpio Electric telah pun melancarkan X1 secara rasmi, hari ini.

Motosikal elektrik itu juga kini telah dibuka untuk para tempahan menerusi laman sesawang www.scorpioelectric.com.

Menurut Timbalan CEO Scorpio Elctric, Joshua Goh, pelancaran Scorpio X1 ini menandakan langkah baharu negara itu ke arena mobiliti elektrik.

“Scorpio X1 bakal menjadi peneraju utama dalam kelasnya.

“Sebagai jenama kenderaan elektrik sulung Singapura, kami akan terus memacu ke arah yang lebih tinggi dalam aspek rekaan, prestasi dan teknologi.

“Kami juga selangkah dalam berkongsi visi kami bersama penunggang motosikal,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Scorpio Electric, X1 mampu mencapai kelajuan maksima 105km/j dan boleh pergi sejauh 200 kilometer ketika bateri penuh sekaligus menjadikan model itu sesuai untuk kegunaan dalam kawasan bandar.

Antara ciri menarik lain:

  • keyless
  • remote bike lock
  • info motosikal masa sebenar
  • sistem navigasi
  • pengesan kedudukan motosikal
  • anti-theft alert

Benelli TRK 502 merupakan motosikal segmen ‘adventure-touring’ yang cukup popular masa kini.

Buktinya penjualan TRK 502 di Itali merupakan yang tertinggi di negara itu, mengatasi beberapa jenama terkemuka lain antaranya Ducati.

Dalam perkembangan terbaru, Benelli disahkan bakal melancarkan TRK versi 700cc dengan mengguna pakai enjin 693cc parallel-twin selepas rupa jelas model sebenar itu didedahkan baru-baru ini dengan pilihan warna merah dan putih.

Senario ini sekaligus menepis laporan awal yang mendakwa Benelli akan menggunakan enjin 800cc dari Leoncino pada model TRK.

Meskipun bernadikan enjin lebih besar namun rekaan keseluruhan TRK 702 ini jelas mengekalkan ilham sama dari TRK 502.

Difahamkan, keputusan menggunakan enjin 700cc ini adalah disebabkan syarikat induk, Qianjiang Motorcycles, bercadang menyuntik enjin 1000cc pada varian TRK pada masa akan datang.

Sementara itu, Benelli TRK 702 ini dijangka menawarkan sekitar 75hp dan datang dengan rim 19-inci dan seberat 220 kilogram.

Pengeluar motosikal Itali, Ducati telah dilantik sebagai pembekal jentera elektrik bagi Piala Dunia MotoE bermula 2023.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali yang turut ditemani CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta ketika sidang media khas yang berlangsung di Misano World Circuit Marco Simoncelli, semalam.

Ini merupakan langkah bersejarah buat kilang Borgo Panigale itu yang bakal mengorak langkah sulung dalam menghasilkan jentera elektrik.

MotoE juga dilihat sebagai platform ujian terbaik bagi Ducati membangunkan teknologi dan inovasi motosikal elektrik yang kemudian harinya membolehkan konsep sama dipindahkan ke peringkat pengeluaran.

Menurut Domenicali, perjanjian ini membuka lembaran baharu bagi Ducati.

“Kami amat berbangga dengan kerjasama ini apatah lagi cukup bersejarah buat syarikat kami.

“Ducati sentiasa pandang ke hadapan dan setiap kali kami memasuki era baharu, fokus kami adalah menghasilkan produk berprestasi tinggi yang terbaik.

“Kami akan berkerja keras bagi memastikan setiap pelumba yang bertanding di MotoE menerima jentera yang berprestasi tinggi dan ringan,” jelasnya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube