Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini, Kawasaki Heavy Industries (KHI) telah pun mengumumkan Kawasaki Motors Limited sebagai entiti berasingan yang dipertanggungjawabkan mengendali segala perihal motosikal syarikat Jepun itu.

Keputusan itu dibuat setelah jualan motosikal global (lebih 400cc) telah pun meningkat lebih 80 peratus sejak 2017.

Menurut Kawasaki, demografik pelanggan juga semakin muda, dengan lebih 60 peratus peningkatan membabitkan mereka berusia sekitar 20 tahun.

Bulan lalu, presiden baharu Kawasaki Motors Limited, Hiroshi Ito, mendedahkan perancangan untuk memperkembangan kilang di Amerika Syarikat di samping membina kilang baharu di Mexico serta menyuntik lebih USD265 juta dalam usaha menambah kapasiti pengeluaran di pasaran Amerika Utara serta beberapa benua lain.

Pembawakan nama baharu juga memerlukan logo serta imej berlainan dan hasilnya pengeluar motosikal Jepun itu memilih Kawasaki River Mark sebagai lencana baharu bermula 1 Oktober 2021.

Logo River Mark tersebut merupakan lencana yang diguna pakai pada model H2 dan H2R sebelum ini dan merupakan huruf kanji Jepun yang bermaksud ‘kawa’ atau ‘river’.

Nama baharu dan logo baharu ini sekaligus menandakan permulaan era baharu bagi jenama Jepun itu.

Setelah melancarkan YZF-R7 untuk pasaran global, Yamaha akhirnya mengumumkan harga motosikal baharu tersebut di Eropah.

Menurut laporan media antarabangsa, Yamaha R7 ditawarkan pada harga GBP8,200 (RM46 ribu) sementara edisi Ulangtahun Ke-60 diletakkan pada GBP8,500 (RM48 ribu).

Ini sekaligus meletakkan R7 seangkatan dengan Honda CBR650R namun lebih murah berbanding Aprilia RS660.

R7 merupakan motosikal segmen sportsbike yang dikuasakan enjin CP2 689cc yang sama terdapat pada MT-07 dan menawarkan 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm.

Meskipun belum lagi dilancarkan di Malaysia namun (sekiranya dibawa masuk) kami jangkakan R7 ini akan tampil dengan harga lebih tinggi berbanding MT-07 dan mampu mencecah sekitar RM40 ribu.

Sementara itu, Hong Leong Yamaha Motor selaku pengedar rasmi jenama Yamaha di Malaysia turut dicanang akan memperkenalkan MT-07 dan MT-09 2021 tidak lama lagi.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin seakan memberi bayangan bahawa kariernya di kejuaraan dunia telah pun berakhir.

Perkara itu dibangkitkan menerusi perkongsian di Instagram story miliknya, hari ini.

Dalam gambar tersebut, Hafizh menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan terhadapnya selama lapan tahun di Kejuaraan Dunia.

Musim 2021 bakal melabuhkan tirai dengan baki tiga pusingan lagi namun status Hafizh bersama NTS RW Racing masih menjadi tanda tanya tatkala tiada pengesahan sama ada kontraknya akan disambung.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru Hafizh ini seakan mengesahkan senario tersebut meskipun telah berkhidmat dengan baik dalam membangunkan chasis dan jentera NTS.

Sekiranya Hafizh meninggalkan Kejuaraan Dunia maka ini bermakna negara akan ketiadaan pelumba tempatan di kejohanan itu musim depan.

Pada masa sama, ketiadaan pasukan Petronas Sprinta Racing di Moto2 dan Moto3 musim depan turut menyukarkan pelumba tempatan, Syarifuddin Azman dan Adam Norrodin untuk ‘naik pangkat’ dari FIM CEV.

Apa sekalipun, kita nantikan pengumuman rasmi dan perkembangan terkini dari pihak Hafizh.

Marc Marquez merekodkan kemenangan kedua musim 2021 selepas memenangi perlumbaan di Circuit of the Americas (COTA).

Kemenangan tersebut turut mengesahkan status Marquez selaku ‘King of COTA’ dengan tujuh kemenangan, tujuh podium dan tujuh petak pertama di Litar Austin, Texas itu.

Sementara itu, pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo, selangkah menghampiri kejuaraan dunia MotoGP setelah menamatkan aksi di tempat kedua dihadapan pencabar terdekat, wakil Ducati, Francesco Bagnaia, ketiga.

Keputusan ini juga bermakna pelumba Yamaha itu mampu disahkan selaku juara dunia musim 2021 sekiranya berjaya mengutip mata maksimum pada pusingan seterusnya di Misano.

Bagaimanapun, aksi di COTA ternyata membuktikan kehebatan Marquez apabila mendahului perlumbaan sebaik dilepaskan meskipun bermula di petak ketiga.

Pelumba Repsol Honda itu kemudiannya melintasi garisan penamat dengan jarak selesa 4 saat dihadapan Quartararao.

Keputusan tersebut juga membantu Repsol Honda merekodkan podium ke-450 di kelas premier setakat ini.

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Baru-baru ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun disahkan mengambil alih tugas KMSB selaku pengedar baharu jenama Kawasaki di Malaysia.

Perkembangan terbaru ini telah pun dijangka berlaku sebelum ini tatkala Kawasaki Heavy Industries (KHI) telah pun membeli 14.3 juta unit saham Modenas setelah pemeteraian perjanjian bersama syarikat induk DRB-Hicom Berhad.

Perjanjian ini menyaksikan KHI – yang sebelum ini memegang ekuiti 19 peratus – meningkatkan pegangan kepada 30 peratus sekaligus membolehkan KHI terlibat dalam operasi MODENAS lantas membawa kepada peralihan daripada KMSB ke EMOS.

Ini bermakna Modenas akan mengendalikan semua aspek pengedaran membabitkan Kawasaki bermula 1 Oktober 2021 termasuklah motosikal, alat ganti, servis selepas jualan serta khidmat pelanggan.

Pada masa sama, kami juga dimaklumkan sebelum ini bahawa perjanjian tersebut turut akan menyaksikan Modenas melakukan penjenamaan semula terhadap beberapa model Kawasaki dari 250 hingga 650cc yang turut akan dipasang di kilang Modenas terletak di Gurun, Kedah.

Berikut lima model yang kami jangka akan membawa lencana MODENAS di Malaysia:

1. Kawasaki Ninja 250 SE ABS

Ini bukanlah satu kejutan ekoran MODENAS telah pun menayangkan model ini sewaktu pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 , tahun lalu.

Tampil dengan pilihan warna serba hitam, Ninja 250 SE ABS ini dikuasakan enjin parallel twin 249cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 38.4hp pada 12,500rpm dan 23.5Nm pada 10,000rpm.

Seperti model lain yang dijenamakan semula oleh MODENAS antaranya Dominar dan Pulsar, Ninja 250 ini juga mengekalkan kesemua spesifikasi yang sama ditawarkan Kawasaki.

2. Kawasaki Versys-X 250

Sebuah lagi model dicanang akan dijenamakan semula oleh Modenas.

Versys-X 250 merupakan motosikal segmen adventure yang digerakan enjin 249cc parallel-twin dengan suntikan bahan api ‘dual throttle valves’ yang menjana 33.5hp pada 11,500rpm dan 21.7Nm pada 10,000rpm.

Model ini dijangka bakal menjadi antara yang terlaris ekoran mempunyai ciri yang praktikal sebagai tunggangan harian mahupun jarak jauh di hujung minggu dengan bantuan tangki 17L.

3. Kawasaki Z650 ABS

Motosikal segmen naked ini merupakan antara model yang popular di Malaysia.

Berkonsepkan ‘Sugomi’, Z650 menggabungkan rekaan yang agresif dengan ciri yang praktikal serta enjin parallel-twin 649cc yang cukup berkuasa.

Dengan nisbah mampatan 10.8:1, Z650 ini menawarkan 67hp dan 65.7Nm pada 6,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Selain daripada sistem membrek dengan bantuan ABS, model ini juga didatangkan dengan cakera brek 300mm depan dengan kaliper 2-piston dan 220mm belakang.

Penggunaan kerangka jenis trellis dengan kekuatan tegangan tinggi menjadikan Z650 antara model yang mudah dikendalikan di jalan raya.

4. Kawasaki Ninja 650 ABS

Ninja 650 merupakan antara model yang turut mencuri perhatian setelah diperkenalkan Kawasaki bagi menggantikan ER6-F sebelum ini.

Menariknya, model baharu ini mendapat sentuhan inspirasi daripada ZX-6R sekaligus tampil sporty.

Meskipun berimej agresif, namun Ninja 650 meneruskan kesinambungan ER6-f sebagai model yang selesa ekoran menawarkan ergonomik lebih menegak dan kedudukan ‘handlebar’ yang lebih tinggi.

Ninja 650 dihidupkan dengan enjin sama ditawarkan Z650 dengan 67hp pada 8,000rpm dan 63.72Nm pada 6,700rpm.

Bagi menjamin keselesaan menunggang, Ninja 650 didatangkan dengan fork teleskopik hidraulik 41mm depan dan spring boleh laras (horizontal back-link) di belakang.

5. Kawasaki Versys 650

Versys 650 sememangnya antara model ‘touring’ popular di Malaysia ekoran menawarkan harga dan sokongan servis selepas jualan yang berpatutan.

Sekiranya dijenamakan semula oleh MODENAS, pastinya akan terdapat pertambahan Versys 650 disini.

Bercirikan model touring, Versys 650 tampil dengan penghadang angin tinggi, tempat duduk yang selesa dan menegak untuk penunggang dan pembonceng selain daripada kapasiti tangki 21L.

Model ini dilengkapi enjin parallel-twin 649cc DOHC yang menawarkan 68.05hp dan 61Nm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Versys 650 ini juga didatangkan dengan ciri Dual Throttle Valve, Economical Riding Indicator dan ABS.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • kerangka jenis double-pie diamond
  • tayar 120/70-17 depan
  • tayar 160/60-17 belakang
  • cakera brek 300mm depan
  • cakera brek 250mm belakang

Meskipun info ini dikongsikan pihak Modenas sendiri namun perlu diingatkan segalanya hanya boleh dianggap sebagai satu spekulasi sehinggalah syarikat tempatan itu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

Terdapat beberapa lagi model yang wajar disebut antaranya ZX-25R, KLR650 dan terbaru Z650RS namun setakat ini tiada sebarang info sama ada ketiga-tiga ini akan terlibat dalam barisan model yang akan dijenamakan semula MODENAS.

Apa yang pasti, kita nantikan pengumuman seterusnya daripada pihak Modenas.

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) diumumkan sebagai pengedar baharu jenama Kawasaki di Malaysia, kurang 24 jam selepas Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) menghentikan operasi jenama Jepun itu, semalam.

Pelantikan baharu ini menyaksikan EMOS mengambil alih aspek pengedaran semua produk Kawasaki termasuk motosikal, alat ganti, servis selepas jualan serta khidmat pelanggan bermula 1 Oktober 2021.

Sementara itu, EMOS memaklumkan bahawa proses pengambilalihan ini akan memakan masa 6 bulan namun akan turut dibantu pihak KMSB.

Sementara itu, pemilik motosikal Kawasaki masih boleh ke wakil Kawasaki sedia ada bagi urusan alat ganti dan perkhidmatan teknikal.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube