Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak mengenakan tindakan saman terhadap pemilik motosikal ekzos bising.
Sebaliknya, pemilik akan diberi tindakan advokasi menerusi Notis 114 yang memerlukan pemilik motosikal untuk tampil memberi keterangan di sebarang cawangan JPJ terdekat bagi membantu siasatan.
Wee mendedahkan bahawa keputusan itu dicapai setelah meneliti ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, difahamkan telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, bagi mencapai persefahaman tindakan advokasi memandangkan langkah baharu ini membabitkan polis trafik.
Sebelum ini, pelaku berdepan tindakan saman sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atas kesalahan mengubah suai ekzos.
Polis juga berkuasa untuk menyita motosikal pemilik sehingga pemilik menukar semula ke ekzos standard.
Menurut laporan media tempatan, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan telah pun dikeluarkan sepanjang Ops Khas Ubah Suai Ekzos yang dijalankan seluruh negara bermula 1 Mac lalu. – BERNAMA