Bikesrepublic

Berita Terkini

Khabar angin yang tular sebelum ini menjadi realiti apabila Honda mengesahkan Rebel 1100 akan sertai barisan model yang akan dipasarkan pada 2021.

Pendedahan yang dibuat media Jepun, Young Machine, sebelum ini dengan berkongsi paten Rebel dengan enjin 1100cc ternyata benar.

Rebel 1100 ini merupakan model serba baharu dari Honda yang bakal mengisi segmen crusier meskipun jenama itu seolah-olah menjauhkan diri dengan segmen tersebut sebelum ini.

Bagaimanapun, kejayaan Rebel 500 dianggap sebagai faktor yang mengubah pendirian pengeluar motosikal Jepun itu untuk menghasilkan Rebel versi 1100cc.

Meskipun, bernadikan enjin parallel-twin 1,084cc sama yang terdapat pada CRF1100L Africa Twin namun Honda telah menala unit terbabit bagi menyesuaikan kuasa dan prestasi dengan sebuah motosikal cruiser.

Hasilnya, Rebel 1100 Jentera menawarkan 87hp pada 7,000rpm dan 97.6Nm pada 4, 750rpm.

Motosikal ini turut didatangkan dengan crank baharu yang membawa jisim flywheel 32 peratus lebih tinggi bagi membantu meningkatkan respon ‘throttle’ semasa RPM rendah di samping sistem ekzos dan valve timing serba baharu.

Sistem throttle ‘ride-by-wire’ juga menawarkan kawalan yang lebih efisien di jalan raya.

Honda Rebel 1100 ini turut dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control dan Wheelie Control dan empat mod tunggangan yang merangkumi; Standard, Rain, Sport dan mod User yang boleh diakses dengan mudah di handle kiri.

Bagaimanapun, antara ciri unik yang membezakan Rebel 1100 dengan cruiser lain adalah transmisi DCT (dual-clutch transmission) untuk pertukaran gear automatik atau separa automatik.

Sistem DCT ini juga menawarkan tetapan yang berbeza mengikut mod tunggangan yang dipilih.

Sementara itu, Rebel 1100 mengguna pakai kerangka jenis tubular steel dengan rekaan menyamai Rebel 500 bagaimanapun, tiub kerangka ini adalah lebih besar dengan 35mm.

Antara ciri menarik lain:

  • berat 223kg (standard) dan 233kg (DCT).
  • fork depan 43mm dengan spring pre-load boleh laras
  • kaliper brek empat piston dengan cakera brek 330mm depan
  • kaliper satu piston dan cakera brek 256mm belakang
  • ABS dua-channel

Pengeluar sistem brek terkenal, Brembo, mengumumkan pengambilalihan SBS Friction selepas membeli 100 peratus saham syarikat Denmark itu.

SBS Friction merupakan pengeluar pad brek jenis sintered dan organik untuk motosikal.

Pengambilalihan ini menyaksikan komponen itu akan memperluas tawaran produk dari Brembo sekaligus mengukuhkan status syarikat itu dalam sektor motosikal.

Pengerusi Brembo, Alberto Bombassei, turut berkongsi keterujaan tersebut.

“Kami mengucapkan selamat datang kepada SBS Friction dalam keluarga Brembo.

“Meskipun pasaran ini agak kompleks namun Brembo sentiasa mencari peluang pelaburan demi inovasi baharu. Pengambilalihan ini langkah penting kerana membenarkan kami untuk memperkuat rangkaian Brembo demi pelanggan kami,” jelasnya.

Menurut kenyataan rasmi, Brembo membelanjakan lebih EUR30 juta (RM145 juta) bagi pembelian SBS Friction.

Kawasaki akhirnya melancarkan ZX-10R dan ZX-10RR secara rasmi dengan pelbagai kemas kini dan pembaharuan bagi tahun 2021.

Paling mencuri tumpuan adalah rekaan depan yang nyata berbeza dengan model sebelumnya.

Model sebelum ini tampak lebih kemas dan kompak namun bagi 2021, Kawasaki melaksanakan rombakan besar-besaran dengan menghadirkan rekaan luar biasa.

Meskipun ada yang akan mempersoal rekaan baharu ini tapi hakikatnya fokus utama pembangunan ZX-10R dan ZX-10RR ini adalah memastikan kejuaraan dunia di WSBK kekal jadi milik Kawasaki Racing Team (KRT) musim depan.

Sebelum ini, ramai yang menyangka Kawasaki akan mengikut langkah pengeluar lain antaranya Ducati dengan memperkenalkan ciri winglet.

Bagaimanapun, jurutera Kawasaki enggan ‘meniru’ lawannya di WSBK itu sebaliknya melaksanakan rekaan luar biasa di bahagian depan yang menempatkan lampu LED serta corong udara.

Pada masa sama, fairing jentera baharu ini turut menghasilkan 17 peratus lebih ‘downforce’ berbanding model sedia ada.

Kawasaki turut meninggikan penghadang angin sehingga 40mm dan tempat letak kaki (foot peg) 5mm lebih tinggi.

Menariknya, ‘handlebar’ pada model 2021 ini turut mengikut acuan sama seperti yang terdapat pada mesin lumba milik Jonathan Rea!

Kawasaki turut menunaikan permintaan ‘fanboy’ Ninja dengan memperkenalkan paparan TFT dengan keterhubungan Bluetooth, butang mod tunggangan mudah akses serta ‘electronic cruise control’.

Bahagian chasis turut dikemas kini dengan bahagian pivot point swingarm kini 1mm lebih rendah dan 8mm lebih panjang sekaligus meningkatkan kestabilan dan cengkaman tayar.

Enjin 998cc 4-inline juga kini berstatus Euro 5 dengan pelepasan emisi yang lebih rendah sekaligus menyaksikan pembakaran enjin lebih efisien di samping menawarkan kuasa sekitar 200hp pada 13,200rpm (300rpm lebih awal berbanding model 2019).

Pada masa sama, Kawasaki masih mengekalkan sistem injap jenis ‘finger-follower valve actuation’ dari model 2019 yang menawarkan peningkatan kuasa di samping mengurangkan berat ‘valvetrain’.

Ninja ZX-10R ini turut dilengkapi dengan sproket belakang 41t berbanding 39t manakala nisbah gear 1, 2 dan 3 juga lebih pendek bagi memperbaiki tahap pecutan.

Sementara itu, Ninja ZX-10RR 2021 (edisi homologation) dengan terhad kepada 500 unit sahaja seluruh dunia turut menerima kemas kini ketara antaranya had RPM kini berada pada 14,700 berbanding 14,200 sebelum ini.

Peningkatan RPM itu hasil sumbangan penggunaan ‘camshaft’ dan’valve spring’ baharu, piston Pankl (20g lebih ringan) dan piston pin bersalut DLC (diamond like carbon).

Kawasaki Ninja ZX-10R didatangkan dengan pilihan warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Carbon Gray dan KRT Edition (Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White manakala ZX-10RR hanya ditawarkan dengan warna ikonik Lime Green.

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar rasmi Ford di Malaysia melancarkan Promosi Servis istimewa hujung tahun bermula 23 November ini hingga 15 Februari.

Sepanjang kempen ini, pelanggan boleh menikmati penjimatan sehingga 20 peratus bagi alat ganti terpilih serta minyak enjin ketika servis kenderaan.

SDAC turut menawarkan penjimatan 10 peratus bagi kos upah yang merangkumi pakej timing belt, brek dan minyak pelincir.

Pelanggan juga akan menikmati pemeriksaan kenderaan secara menyeluruh oleh juruteknik Ford bagi memastikan kenderaan berada dalam tahap terbaik tanpa sebarang caj.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang membelanjakan lebih RM350 dalam satu resit akan menerima bag pelbagai guna secara eksklusif!

Sementara itu, orang ramai yang mahu menikmati promosi ini diminta membuat janji temu terlebih dahulu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

MotoGP musim 2020 akhirnya menutup tirai dengan pusingan di Litar Portimao, Portugal, menyaksikan Miguel Oliveira muncul pemenang.

Namun, pusingan akhir itu merupakan mimpi ngeri buat pelumba Yamaha apabila Maverick Vinales, Valentino Rossi dan Fabio Quartararo (Petronas SRT) sekadar menduduki tempat ke 11, 12 dan 14 dengan jentera YZR-M1 2020.

*Morbidelli raih tempat ketiga di GP Portugal

Franco Morbidelli merupakan satu-satunya pelumba Yamaha (Petronas SRT) yang cemerlang apabila menaiki podium di tempat ketiga meskipun dengan jentera ‘spec A 2019’.

Vinales yang beberapa kali berdepan masalah jentera termasuk terpaksa bermula di lorong pit di Valencia tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya terhadap jentera 2020 itu.

“Jentera M1 itu seakan tidak berfungsi. Tanya Yamaha apa masalah sebenar.

“Secara jujur, saya dah letih nak bercakap tentang perkara yang sama berulang kali.

“Saya tidak suka memberi alasan tetapi kadang kala bercakap saja tidak berguna kerana kami masih tiada penyelesaian terhadap masalah ini.

“Situasi ini bukan mudah buat saya, meskipun saya cuba kekal tenang dan positif,” jelasnya.

Walaupun kenyataan Vinales ini dibuat selepas selesai sesi kelayakan pada Sabtu apabila dia sekadar mendapat petak ke-8, rasa kecewa terhadap jentera M1 itu nyata berasas apabila sekadar menghuni tempat ke-12 di hari perlumbaan.

*Vinales raih tempat ke-11 di GP Portugal

Vinales turut mempersoal mengapa beberapa individu penting tiba-tiba hilang antaranya seorang juruteknik Ohlins termasuk seorang jurutera Jepun.

Musim 2020 juga menghampakan bagi Quartararo yang pada awalnya mendahului kejuaraan dunia sebelum masalah jentera menghimpit kariernya dalam musim terakhir bersama Petronas SRT.

Sekiranya Yamaha gagal mencari jalan penyelesaian apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga penhujung tahun depan, mimpi ngeri akan terus menghantui para pelumba Yamaha musim 2021.

MotoGP kembali membuka tirai Februari depan dengan sesi ujian Sepang Shakedown. – GPOne

Miguel Oliveira berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi aksi penutup tirai 2020 di laman sendiri.

Pelumba Tech3 KTM itu berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu sehingga ke lap terakhir selepas mencatat masa terpantas sewaktu sesi kelayakan, semalam.

Tempat kedua jadi milik pelumba Pramac Racing, Jack Miller selepas berjaya memintas Franco Morbidelli di sektor terakhir.

Kejayaan Miller turut membantu Ducati memenangi Kejuaraan Dunia Pengeluar 2020 buat kali pertama sejak 2007.

Sementara itu, Joan Mir, yang telah pun mengesahkan status selaku juara dunia minggu lalu gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami masalah teknikal.

*Joan Mir mengesahkan kejuaraan dunia di Valencia minggu lalu.

Manakala rakan sepasukan di Suzuki Ecstar, Alex Rins menamatkan musim 2020 di kedudukan ketiga kejuaraan dunia.

Dalam perkembangan lain, Enea Bastianini merangkul kejuaraan dunia Moto2 selepas mengutip 205 mata meskipun menamatkan aksi di tempat kelima.

Pelumba Onexox TKKR SAG Team, Remy Gardner berjaya merekodkan kemenangan sulung di Moto2 selepas mengetepikan cabaran Luca Marini manakala Sam Lowes ketiga.

Bastianini akan melangkah ke kelas premier musim depan bergandingan dengan Marini di Avintia Ducati manakala Gardner akan ke Ajo KTM di Moto2.

Manakala Moto3 menyaksikan Albert Arenas dinobat juara dunia dengan 174 mata dalam aksi penuh sengit di Portugal.

Pelumba Aspar Team itu hanya empat mata dihadapan Tony Arbalino dan Ai Ogura.

Kejayaan Arenas turut menyaksikan pelumba itu akan beraksi di Moto2 musim depan.

Dalam perkembangan berbeza, wakil Ducati, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas lapan tahun bersama.

Cal Crutchlow turut meninggalkan LCR Honda selepas tempatnya diisi Alex Marquez musim depan namun akan bertkhidmat selaku pelumba uji Yamaha selepas ini.

Valentino Rossi turut meninggalkan pasukan factory Yamaha selepas 15 tahun bersama pasukan itu. Rossi akan mewakili Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2021.

MotoGP akan kembali membuka tirai dengan Sepang Shakedown (Winter Test) pada Februari 2021.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube