Bikesrepublic

Berita Terkini

Segmen motosikal kapcai sememangnya mendominasi pasaran di Malaysia susulan menawarkan harga mampu milik, mudah dikendalikan dan tidak banyak karenah apatah lagi hadir dengan kos penyelenggaraan yang rendah.

Namun, ada di antara kita yang turut memasang niat untuk naik taraf ke jentera lebih berkuasa bagi menikmati prestasi dan kelajuan yang lebih baik namun tidak memiliki bajet besar.

Hakikatnya, tak semua mampu memiliki motosikal berkuasa tinggi, apatah lagi kebanyakan jenama motosikal meskipun bersesaran 200cc ditawarkan pada harga belasan ribu.

*Modenas Pulsar NS200 ABS

Bagaimanapun, terdapat sebuah motosikal 200cc yang bukan sahaja menawarkan ciri ‘big bike’ malah didatangkan dengan harga bawah RM10,000.

Ini lima (5) sebab kenapa Modenas Pulsar NS200 ABS motosikal ‘beginner’ terbaik untuk rakyat marhaen.

  1. Reka bentuk moden
*Reka bentuk bercirikan motosikal jenis naked

Motosikal jenis ‘naked’ sememangnya menjadi idaman bagi setiap motosikal kerana menampilkan imej garang dan moden.

Ketiadaan ‘fairing’ turut menyebabkan motosikal ini lebih ringan lantas mudah dikendalikan terutamanya sewaktu tunggangan di kawasan bandar.

Modenas Pulsar NS200 ABS ini hanya seberat 154 kilogram.

  1. Tangki besar
*Tangki berkapasiti 12L

Pulsar NS200 ABS ini didatangkan dengan tangki berkapasiti 12L, terbesar bagi segmen motosikal 200cc dengan KTM 200 Duke pesaing terdekat, 11L.

Motosikal ini turut menawarkan penjimatan terbaik bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah untuk tunggangan jarak jauh.

  1. Anti-lock Braking System (ABS)
*Sistem ABS dan kaliper ByBre

Modenas Pulsar NS200 ini dilengkapi dengan ABS (satu saluran) bagi tahun 2020 berbanding model awal yang dilancarkan di Malaysia.

Ini bermakna, ciri keselamatan telah dipertingkat dengan sistem paling penting masa kini.

Sistem ABS memastikan tayar tidak akan terkunci sewaktu mengenakan brek terutamanya ketika menunggang di atas permukaan jalan yang basah lantas mengelakkan dari berlakunya gelincir.

Sistem membrek juga dikendalikan dengan kaliper jenama ByBre (By Brembo).

  1. Enjin berkuasa dan tahan lasak
*enjin satu silinder 199.5cc

Motosikal ini didatangkan dengan enjin satu silinder 199.5cc SOCH dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 24hp pada 9,750rpmd dan 18.6Nm pada 8,000rpm.

Lebih menarik, ini merupakan enjin sama yang terdapat pada KTM 200 Duke susulan Bajaj (sebelum dijenamakan sebagai Modenas di Malaysia) merupakan pemilik KTM lantas kedua-dua jenama ini berkongsi platform sama.

Enjin ini juga tahan lasak dan menawarkan kelajuan maksima (atas kertas) sekitar 136km/j.

  1. Harga Mampu Milik

Modenas Pulsar NS200 ABS ini ditawarkan pada hanya RM9,600 OTR! (hanya di Modenas Power Store Kota Damansara, dengan unit terhad).

Jika menilai aspek enjin, ABS dan ciri lain ditawarkan, tiada siapa menyangka motosikal ini ditawarkan pada harga bawah RM10,000.

Apatah lagi didatangkan sekali dengan waranti 2 tahun atau 20,000 km perbatuan (mana yang sampai dulu).

Harga tersebut turut meletakkan Pulsar NS200 ABS sebagai pembelian lebih berbaloi berbanding motosikal lain dengan lingkungan harga sama seperti Yamaha Y15ZR, Brixton Cafe Racer 150, GPX Gentleman dan Honda RS150R yang tidak dilengkapi dengan ciri ABS.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan Modenas Pulsar NS200 ABS ini boleh kunjungi Modenas Power Store di Kota Damansara atau hubungi +60128003470 untuk maklumat lanjut malah boleh bertemu dengan pemilik NS200 ABS lain yang menghantar jentera mereka untuk diservis bagi mendengar maklum balas secara terus.

Triumph Motorcycles akhirnya melancarkan Trident, motosikal ikonik dari kilang Hinckley itu kembali bagi tahun 2021.

Kemunculan semula Trident serba baharu ini menandakan langkah terbaru Triumph dalam mencabar segmen motosikal pertengahan yang sebelum ini didominasi motosikal Jepun, Kawasaki Z650 dan Yamaha MT-07.

Bagaimanapun, Triumph mengharapkan DNA enjin tiga silinder 660cc itu mampu meletakkan diri mereka sebagai pilihan utama segmen itu bagi 2021 apatah lagi diberi jolokan sebagai jentera ‘entry-level’ dengan harga berpatutan.

Trident 2021 didatangkan dengan enjin 3 silinder 660cc dengan penyejukkan cecair yang menghasilakn 80hp pada 10,250rpm dan 64Nm pada 6,250rpm.

Enjin tersebut merupakan unit yang diguna pakai pada Street Triple S namun telah dikemas kini secara besar-besaran lantas menyaksikan 90 peratus daripada tork dihasilkan dari 3,600rpm hingga 9,750rpm.

Kuasa enjin kemudiannya disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dibantu dengan klac assist/slipper.

Triumph turut menawarkan opsyen quickshifter (aftermarket) bagi pelanggan yang berminat.

Selain daripada penggunaan kerangka (frame) jenis tubular steel, Trident turut dilengkapi dengan fork depan (upside down) Showa 41mm serta mono-shock RSU dengan preload boleh laras.

Sistem brek dikendalikan oleh kaliper dua piston Nissin (depan) dengan cakera brek berkembar 310mm manakala kaliper brek satu piston (belakang) dengan cakera brek 255mm di samping Anti-lock Braking System (ABS) dua saluran.

Menurut Triumph, kerangka Trident ini adalah serba baharu dengan rekaan tersebut tidak pernah diterapkan pada mana-mana model syarikat itu sebelum ini.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • dua mod tunggangan – Rain/Road
  • lampu LED penuh (depan dan belakang)
  • modul Bluetooth
  • paparan TFT dengan rev-counter LCD
  • traction control

Triumph Trident ini ditawarkan pada harga GBP7,195 (RM38,763). *tukaran langsung

Menariknya pihak Fast Bikes Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia mendedahkan Trident 2021 ini akan turut mendarat di Malaysia pada suku pertama tahun depan!

Pengeluar aksesori motosikal, GIVI Asia melancarkan helmet M10.1 Acqua dan M30.3 D-Visor Demi Jet untuk pasaran Malaysia, hari ini.

Helmet M10.1 Acqua menawarkan rekaan klasik moden dengan elemen vintaj bagi penunggang yang berminat menggayakan dengan motosikal jenis cruiser dan cafe racer.

Helmet ini didatangkan dengan empat warna pilihan; Graphic Lava Black, Graphic Lava Cream White, Soda Metallic Black dan Soda Metallica Fuchsia serta saiz S hingga XL.

*M30.3 D-Visor Demi Jet

Sementara itu, GIVI turut memperkenalkan tiga lagi warna pilihan bagi helmet popular, M30.3 D-Visor Jet Helmet yang kini tampil dengan warna Graphic Echo Neon Yellow, Graphic Echo Red dan Solid Black.

Helmet ini dilengkapi dengan corong udara yang cukup bagi mengurangkan berlakunya kekaburan di bahagian visor.

Kedua-dua helmet ini turut didatangkan dengan sun visor.

Orang ramai boleh mendapatkan M10.1 Acqua dan M30.3 D-Visor pada November ini dengan harga berikut:

  • M10.1 Acqua: dari RM230
  • M30.3 D-Visor Demi Jet: dari RM312

Pusat pameran dan servis 3S terkemuka, Naza Kia Motor Petaling Jaya Red Cube yang menghiasai Lebuhraya Persekutan Petaling Jaya sejak 2011 kini telah pun ditutup.

Menurut laporan rakan media di DSF, pusat itu ditutup dan akan diambil alih jenama automotif dari China.

Laporan tersebut dianggap sebagai satu kejutan tatakala baru-baru ini Naza Kia baru sahaja melancarkan Kia Seltos Crossover pada 11 September lalu dengan orang ramai boleh membuat tempahan di pusat Naza Kia Motor Petaling Jaya RED CUBE tersebut.

Kia RED CUBE merupakan inisiatif Kia Motors Korea dalam meneruskan kesinambungan identiti jenama itu di serata dunia lantas menyediakan pengalaman terbaik kepada setiap pelanggan yang hadir ke pusat pameran dan servis Kia.

Menariknya, Malaysia merupakan negara kedua selepas Korea Selatan untuk mengikut identiti pusat pameran RED CUBE ini yang seterusnya turut diperkenalkan di China, Mexico, England, Kanada dan terbaru di India.

Apa yang pasti, kita nantikan pengesahan dari pihak Naza Kia sendiri mengenai perkara ini. – DSF

Hafizh Syahrin akan terus kekal beraksi di saingan Moto2 bagi musim 2021.

Perkara itu disahkan sendiri pengurus Hafizh, Razmin Masli yang mendedahkan pihaknya telah pun selesai perbincangan dengan sebuah pasukan berpangkalan di Eropah.

Menurut Razmin, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kami akan umumkan dalam masa terdekat. Saya berharap dengan ini, Hafizh akan terus bersemangat untuk menamatkan baki tiga pusingan musim ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Razmin tidak mendedahkan sama ada perbincangan dengan pasukan Eropah tersebut turut menyaksikan pelumba berusia 26 tahun itu akan dibayar gaji.

Pastinya segalanya akan didedahkan dalam masa terdekat.

Pelumba negara itu kehilangan tempatnya di Aspar Team musim depan tatkala pasukan itu menaik taraf Albert Arenas dari Moto3.

Arenas yang ketika ini mendahului kejuaraan kelas ketiga itu akan digandingkan dengan Aron Canet bagi 2021.

Hafizh mempunyai baki tiga pusingan – dua di Valencia dan satu aksi terakhir Litar Ricardo Tormo – sebelum musim 2020 bersama Aspar Team berakhir. – Bernama

Baru-baru ini, Yamaha telah pun melancarkan MT-09 2021 di Eropah yang menyaksikan jentera bertemakan ‘Darkside of Japan’ itu mendapat pelbagai kemas kini baharu.

Kini tular beberapa gambar intipan oleh Gazzeta Motori yang memaparkan sebuah jentera Tracer 900 – atau Tracer 9 seperti yang terpampang di bahagian sisi jentera – sedang menjalani ujian di Eropah.

Rupa bentuk keseluruhan model 2021 jelas tampak berbeza dengan penggunaan lampu hadapan yang lebih tirus di samping rekaan fairing yang lebih panjang berbanding sebelum ini.

Meskipun tiada info lain yang didedahkan namun apa yang pasti model ini didatangkan dengan enjin CP3 890cc (kini Euro5) yang menghasilkan 117hp dan 93Nm dan lebih ringan berbanding model sebelumnya.

Melihat kepada Yamaha menjalani ujian terhadap jentera terbabit tanpa perlu berselindung di sebalik corak camo, dijangka model ini semakin hampir untuk dilancarkan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube