Seorang pemandu wanita tercedera setelah kereta yang dipandunya terjunam dari parkir.
Dalam kejadian semalam (Jumaat), kereta Honda Accord yang dipandunya terjunam dari tingkat satu fasiliti parkir Menara TA One, Jalan P. Ramlee.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) mengerahkan dua jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Pudu ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 1.00 tengah hari.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta terbalik dan bahagian bumbung kereta remuk. Kereta berkenaan melanggar tembok penghalang parkir lalu terjatuh dari tingkat satu tempat parkir kenderaan di bangunan itu.
Menurutnya, mangsa seorang wanita tempatan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lutut. Katanya, mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan bagi menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Siasatan punca kejadian dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak polis.