Setelah hampir setahun penantian, Honda akhirnya mendedahkan Honda Hornet 750 serba baharu di pameran motosikal Intermot yang berlangsung di Cologne, Jerman.
Setelah beberapa lakaran konsep yang disiarkan sebelum ini termasuk imej ‘render’ yang dikongsikan penerbitan di Jepun, akhirnya Honda Hornet 750 dipersembahkan secara rasmi.
Menampilkan rekaan serba baharu daripada Honda R&D Eropah yang berpangkalan di Itali, Hornet 750 menawarkan elemen motosikal ‘streetfighter’ dengan reka bentuk agresif.
Enjin
Honda Hornet 750 dihidupkan enjin parallel-twin 755cc 8-valve dengan penyejukan cecair dan menampilkan sistem Unicam serta ‘270-degree crank’.
Menariknya, bahagian silinder enjin telah disalut dengan bahan jenis ‘nickel-silicon carbide’ yang sebelum ini diguna pakai pada CBR1000RR-R Fireblade dan CRF450R.
Honda mendakwa enjin tersebut berupaya menghasilkan 92hp pada 9,500rpm dan 75Nm pada 7,250rpm. Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada transmisi 6-kelajuan dan dibantu klac ‘assist/slipper’.
Menurut Honda, Hornet 750 ini mampu mencapai kelajuan maksima 205km/j.
Enjin tersebut ditampung chasis jenis ‘steel-diamond’ yang dibangunkan serba baharu oleh Honda. Menariknya, kerangka tersebut hanya seberat 16.6kg, lebih ringan berbanding kerangka CB650R (18.5kg).
Spesifikasi
Sementara itu, bahagian suspensi dikendalikan fork depan Showa SFF-BP 41mm yang menawarkan jarak pergerakan 130mm.
Bahagian belakang pula tampil dengan ‘monoshock’ dengan swingarm Pro-Link yang menawarkan jarak pergerakan 150mm.
Brek pula dikawal kaliper berkembar 4-pot Nissin di depan dengan cakera brek 296mm manakala kaliper brek satu piston dengan cakera 240mm mengawal brek belakang. Honda juga memuatkan sistem ABS dwi-saluran sebagai langkah keselamatan ekstra.
Elektronik
Honda Hornet 750 dilengkapi sistem ride-by-wire yang secara tidak langsung menawarkan empat mod menunggang; Standard, Sport, Rain dan User.
Selain itu motosikal tersebut juga didatangkan dengan fungsi Honda Selectable Torque Control dan Wheelie Control.
Sistem tersebut boleh diakses menerusi skrin TFT 5-inci yang juga boleh disambung kepada peranti Android dan iOS.
Hornet 750 ini juga didatangkan dengan lampu LED penuh di depan dan belakang.
Untuk rekod, Honda Hornet 750 2023 ini datang dengan empat warna pilihan untuk pasaran Eropah yang merangkum Pearl Glare White, Graphite Black dengan Metallic Red Flame, Matte Iridium Gray Metallic dan Mat Goldfinch Yellow.