Bikesrepublic

Berita Terkini

Bagi yang mengikuti rapat perkembangan Honda kebelakanga ini, pastinya anda mengetahui bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan menghidupkan semula model Transalp.

Honda juga telah memfailkan nama Transalp di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Kedatangan Transalp sudah pun dijangka dengan Honda ketandusan motosikal ‘adventure touring’ dengan kapasiti enjin pertengahan berbanding pengeluar lain dalam segmennya.

Dalam perkembangan terbaru, Honda Motor Corporation telah pun memfailkan permohonan tanda nama (trademark application) bertarikh 12 Ogos lalu.

Dalam dokumen tersebut telah mendedahkan kod nama penuh bagi model tersebut yang merujuk pada XL750 Transalp.

Meskipun info terperinci mengenai XL750 Transalp itu tidak dinyatakan namun berbanding CRF1100L Afric Twin, motosikal ADV 750cc itu dijangka lebih kearah kegunaan jalan raya berbanding ‘off-road’. 

Penggunaan kod nama XL berbanding CRF juga beri bayangan Transalp serba baharu itu berada dalam kategori ‘dual-sport’ berbanding ‘ADV’ yang ditawarkan Africa Twin. 

Namun, tidak mengejutkan jika XL750 Translap akan datang itu juga berkeupayaan menangani tunggangan ‘off-road’ ringan dengan penggunaan rim spoke (lidi) dan suspensi yang lebih tinggi.

Apa yang pasti, Honda XL750 Transalp itu akan digerakkan enjin parallel-twin 750cc yang sama terdapat pada Honda Hornet yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ketibaan XL750 Transalp dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat sebaliknya Honda akan beri fokus pada pelancaran Hornet terlebih dahulu di EICMA. 

Motorcycle Action Group (MAG) UK telah meminta kerajaan membuktikan bahawa kenderaan pandu sendiri tidak akan membahayakan penunggang motosikal di jalan raya negara.

MAG percaya bahawa kenderaan pandu sendiri akan memberi risiko kepada penunggang motosikal apabila mereka dibenarkan di jalan raya UK.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kenderaan Belanda (RDW) pada 2016 mendapati bahawa dalam kes di mana motosikal menunggang berhampiran dengan tepi lorong mereka, teknologi autonomi dalam kereta (seperti kawalan pelayaran adaptif) bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan dan tindakan itu menyebabkan pemandu terpaksa mengambil tindakan untuk mengelak dari terlanggar motosikal.

Memandangkan kerajaan akhirnya berhasrat untuk menggunakan kenderaan pandu sendiri untuk mengangkut kanak-kanak ke sekolah, ini adalah sesuatu yang perlu dihapuskan daripada teknologi.

Mulai 2023, ujian baharu akan diperkenalkan untuk kenderaan pandu sendiri yang akan menguji dengan lebih ketat keupayaan teknologi autonomi untuk mengesan motosikal.

Pada masa yang sama, kerajaan UK merancang untuk membenarkan beberapa kenderaan – termasuk lori, kereta dan koc – dengan ciri pandu sendiri digunakan di jalan raya UK.

Ini diumumkan minggu lalu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk pelancaran penuh kenderaan pandu sendiri di UK menjelang 2025.

“Ia adalah sumber kebimbangan besar bahawa – sekali lagi – kepentingan penunggang motosikal tidak difikirkan dengan terperinci,” kata Pengerusi MAG, Neil Liversidge.

“Bertahun-tahun pembangunan sistem ini tidak cukup menjaga kepentingan penunggang motosikal. Walaupun penghapusan ralat pemandu mungkin merupakan matlamat yang patut dipuji, tidak ada faedahnya jika ralat itu digantikan dengan ketidakcekapan automatik.

“Kami akan meminta Kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengambil kira dan menuntut untuk melihat bukti tulen bahawa kenderaan ini tidak akan meletakkan penunggang pada risiko yang lebih tinggi daripada pemandu manusia. Memandangkan ujian bebas masih belum dimulakan, saya merasa sukar untuk memahami bagaimana [Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps] boleh begitu yakin bahawa pelancaran itu wajar pada masa ini.”

Kebelakangan ini terdapat khabar angin bahawa jenama MV Agusta akan kembali ke Malaysia menerusi pengedar baharu.

Meskipun pada waktu itu siapakah pengedar dilantik masih kekal menjadi tanda tanya namun perkembangan terbaru beri bayangan bahawa AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI) merupakan pihak yang bertanggungjawab membawa jenama itu semula ke Malaysia.

Ini kerana baru-baru ini AMI telah memeterai kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membangunkan projek AM-2, iaitu projek pembangunan motosikal tempatan yang akan dilancarkan pada suku ketiga 2023.

Sewaktu perasmian kerjasama tersebut, tetamu kehormat yang hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama-sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI Ahmad Faez Yahaya telah bergambar dengan dua jentera MV Agusta, MV Agusta Turismo Veloce 800 dan MV Agusta F3.

Ini secara tidak langsung menguatkan dakwaan bahawa jenama motosikal dari Varese, Itali itu akan kembali bertapak di Malaysia. 

Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi setakat ini namun ternyata perkembangan ini amat menarik untuk segmen motosikal premium di Malaysia yang ketika ini di dominasi Ducati dan BMW. 

Pada masa sama, sekiranya benar, kemasukan semula jenama MV Agusta menerusi pengedar baharu pastinya akan menggembirakan pemilik jenama Itali itu di Malaysia kerana adanya rangkaian pengedar dan servis selepas jualan yang kukuh selepas ini.

AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memeterai kerjasama untuk membangunkan projek motosikal tempatan.

Dikenali sebagai Projek AM-2, antara motosikal yang akan diperkenalkan terlebih dahulu babitkan kapasiti kecil.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI, Ahmad Faez Yahaya, tahun pertama akan beri fokus pada motosikal jenis kapcai dan skuter.

Menariknya, projek motosikal tersebut akan dikuasai enjin 100 peratus dibangunkan anak tempatan. 

“Ia adalah pembangunan motosikal daripada tahap konsep sehingga pengeluaran produk yang dibangunkan oleh syarikat tempatan iaitu 100 peratus Bumiputera dan dijayakan dengan tenaga kerja mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.

“AMI mempunyai 16 jurutera dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bersama membangunkan motosikal jenis kapcai dan skuter untuk pasaran tempatan dan juga Asia Tenggara.

“Kita sudah memulakan projek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, sekarang kita hampir tamat,” Ahmad Faez memberitahu HMetro. – HM

Sebanyak tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.

“Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.

Yayasan Metamorphosis menyasarkan seramai 1,000 anak muda menyertai konvoi bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Perak sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 27 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, ia susulan program turun padang dan mendekati golongan mat rempit pada Sabtu agar mereka tidak terkecuali dalam sambutan Hari Kemerdekaan negara.

“Konvoi itu akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dari Jalan Duta di sini, menuju ke Tambun, Perak dengan beberapa intipati program termasuk beramah mesra dengan anak muda yang turut serta.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk mengawal keselamatan konvoi berkenaan,” katanya.

Pada Sabtu malam, Yayasan Metamorphosis mengadakan program santai bersama kira-kira 300 hingga 400 anak muda bermotosikal di sekitar Lembah Klang di sebuah restoran di Jalan Ipoh di ibu negara.

Razalif berkata, program ini adalah sebagai kesedaran kepada mat rempit agar tidak melakukan aktiviti yang membabitkan kesalahan jalan raya, namun dalam masa yang sama ruang tetap diberi kepada golongan berkenaan dengan cara lebih tepat.

“Kita mahu mereka sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu mengelak mereka berada di jalan raya untuk merempit melalui penganjuran program-program terbabit.

“Sebelum ini, kita ada adakan program-program sebegini, namun ini adalah kali pertama kita adakan selepas dua tahun penularan wabak Covid-19,” katanya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube