Bikesrepublic

Berita Terkini

Fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak kini 86% siap, menurut Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Beliau berkata beberapa bahagian lagi lebuh raya itu dijangka dibuka tahun ini dan tiga lagi bahagian di Sarikei, Bukit Begunan dan Lambir dijangka siap tahun depan.

“Tiga bahagian itu berdepan pelbagai cabaran termasuk tapak yang perlu diteliti semula.

“Malah ada yang memerlukan pemprosesan semula reka bentuk berikutan keadaan muka bumi yang tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sarawak Media Engagement di sini malam tadi.

Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 bernilai RM16 bilion melibatkan pembinaan jalan sepanjang 786km dari Telok Melano di hujung paling selatan negeri ini, ke Miri di utara.

Sementara itu, Fadillah berkata kementerian kewangan juga sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi projek Fasa 2 Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) dan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dan peruntukan siling sebanyak RM12 bilion telah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.

“Kami juga berharap dapat memuktamadkan pemberian kontrak kepada kontraktor pada tahun ini dan awal tahun depan projek ini akan dapat dimulakan,” katanya.

Pada 7 Ogos, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan Projek SSLR Fasa 2 dan projek LTB, dan pembinaan akan dimulakan seawal tahun depan.

Ismail berkata penyelidikan teknikal bagi projek SSLR dan LTB Fasa 2 yang menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas kini di peringkat akhir, dengan pembinaan dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun.

Tambahnya, projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk utara Sarawak sampai ke Sabah melalui dua pilihan rangkaian jalan raya tetapi juga memberi manfaat kepada penduduk di Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak untuk berulang-alik. – Free Malaysia Today

Kawasaki telah menaik taraf dua model 650cc, Ninja 650 dan Z650 dengan fungsi ‘traction control’ bagi tahun 2023.

Kedua-dua model terbabit kini tampil dengan tiga peringkat Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

Dalam mod 1, sistem tersebut akan mengukur kadar pusingan tayar bagi meningkatkan tahap cengkaman sewaktu masuk dan keluar dari selekoh.

Sementara itu mod 2 pula boleh diaktifkan sekiranya menunggang di atas permukaan licin – jalan basah, berpasir dan berbatu. Mod 2 akan memastikan ‘traction control’ bertindak lebih cepat bagi mengimbangkan motosikal.

Bagi yang mahukan cabaran dan tunggangan lasak terutamanya di litar, pengguna juga boleh menyahaktifkan KTRC sekaligus.

Pengguna boleh akses fungsi KTRC menerusi paparan skrin TFT berwarna yang disertakan.

Bagaimanapun, kedua-dua model ini kekal dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang menawarkan 67.3hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.

Penggunaan kerangka jenis steel trellis juga dikekalkan dan dipadankan bersama fork teleskopik 41mm di depan dan penyerap hentakan jenis ‘back-link’ di belakang.

Adakah model 2023 ini akan turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan menerusi pengedar baharu MODENAS? Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti.  

Francesco Bagnaia mencatat rekod baharu bersama Ducati apabila muncul pelumba pertama pasukan itu yang berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut selepas memenangi pusingan GP San Marino di Litar Misano, pada Ahad.

Pelumba Itali itu mempamerkan tunggangan cemerlang dan berjaya menepis kemaraan Enea Bastianini dan Maverick Vinales untuk menang di Misano.

Bermula di petak kelima ternyata tidak memberi kesan terhadap Bagnaia untuk merebbut kelompok depan.

Rakan sepasukan, Jack Miller, yang bermula di petak pertama buat julung kalinya selepas empat tahun, gagal menamatkan perlumbaan apabila kemalangan di lap kedua.

Tidak lama selepas itu, Marco Bezzechi turut menambah kumpulan kemalangan apabila terbabas di lap sama pada Turn 10.

Terdahulu, Johann Zarco, Michelle Pirro dan Pol Espargaro terlibat dalam kemalangan tiga pelumba di Turn 1.

Sementara itu, Bastianini yang mendahului perlumbaan selepas kemalangan Miller gagal mengekalkan status pendahulu apabila berjaya dipintas Bagnaia.

Vinales kemudiannya memintas Bastianini dan mula mengekori rapat Bagnaia.

Bagaimanapun, Bagnaia cekal mengekalkan peneraju perlumbaan dengan Bastianini kembali di tempat kedua sementara Vinales semakin ketinggalan di tempat ketiga.

Memasuki lap terakhir, Bastianini cuba untuk membuat pancungan terakhir namun Bagnaia berjaya mengesahkan kemenangan selepas kesudahan ‘photo-finish’ dengan kelebihan 0.034s. 

Dalam perkembangan sama, pertahan juara, Fabio Quartararo terpaksa berpuas hati dengna kedudukan kelima selepas percubaan untuk memintas Luca Marini di tempat keempat gagal.

Walaupun terus mendahului kejuaraan dengan 211 mata namun Bagnaia semakin menghampiri dengan perbezaan 30 mata. 

Sementara itu, pelumba WithU Yamaha RNF, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya di MotoGP selepas membuat keputusan untuk bersara. 

Menariknya, dalam penampilan terakhir di Misano, Dovizioso berjaya menyumbang mata selepas menamatkan saingan di tempat ke-12.

MODENAS telah mengumumkan program lanjutan waranti baharu (Program EW) bagi motosikal terpilih hasil kerjasama dengan rakan kongsi insurans, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.

Untuk itu beberapa model termasuk; Kriss 110, Karimsa 125S, Elegan 250, Pulsar RS200, Pulsar NS200 dan Dominar D400 yang dijual dan didaftarkan selepas 1 September akan didatangkan dengan waranti tambah dua tahun atau 85,000km (mana yang sampai dahulu) – berbanding dua tahun 20,000km sebelum ini.

Menurut MODENAS, program EW itu turut merangkumi perkhidmatan trak tunda yang disediakan pihak Allianz Partners Malaysia. 

Selain itu antara ciri lain yang turut ditawarkan Program EW termasuk:

bantuan tunda ke pusat servis MODENAS terdekat dalam radius 100km yang beroperasi 24 jam dan 365 hari. 

Nilai jualan semula motosikal MODENAS lebih baik

penggunaan alat ganti MODENAS tulen dengan waranti perbatuan tanpa had selama 2 tahun. 

Untuk pertanyaan lanjut bagi program EW terbabit, hubungi MODENAS di 1-800-880-181 atau WhatsApp ke +60195708135. 

Umum sedia maklum bahawa KTM telah membuat keputusan untuk menyingkirkan pelumba Tech3, Remy Gardner, meskipun baru semusim beraksi di kelas premier.

Gardner, yang dibawa ke kelas MotoGP selepas menjuarai kelas Moto2 musim lalu, diberitahu khidmatnya tidak lagi diperlukan menjelang musim 2023.

Berita itu ternyata sukar diterima Gardner yang mendedahkan dirinya rasa kecewa dengan tindakan pengurusan KTM.

Lebih mengejutkan, KTM memberitahu Gardner bahawa keputusan itu dibuat ekoran sikapnya yang tidak profesional.

Bagaimanapun, bekas pasukan Remy Gardner di Moto2 pada musim 2019-2020, TKKR Racing Team – yang ketika itu dikenali ONEXOX TKKR SAG Racing Team – tidak bersetuju dengan dakwaan KTM tersebut.

Sebaliknya, menerusi perkongsian di akaun Facebook rasmi TKKR Racing Team, pasukan itu berkata sukar untuk percaya bahawa Gardner tidak profesional.

“Ketika dia bersama ONEXOX TKKR SAG, dia telah mempamerkan dedikasi dan tahap profesional tinggi bagi menjadi seorang pelumba yang berkeupayaan muncul juara dunia.

“Kami berharap dia akan buktikan KTM silap, satu hari nanti,” jelas perkongsian tersebut.

Musim 2022 merupakan musim pertamanya di kelas premier MotoGP selepas menjuarai kejuaraan dunia Moto2 musim 2021 bersama KTM Ajo.

Meskipun bergelut musim ini namun Gardner masih lagi dalam proses menyesuaikan diri apatah lagi saingan musim 2022 masih lagi berbaki tujuh pusingan.

Lebih malang, ketika rakan sepasukan Raul Fernandez telah mengesahkan tempat bersama RNF Aprilia MotoGP musim depan, peluang Gardner untuk kekal di kelas premier kekal malap.

Setakat ini, hanya LCR Honda dan Sky VR46 yang masih melengkapkan slot pelumba musim depan sementara GASGAS dijangka mengumumkan pelumba Moto2, Augusta Fernandez, sebagai calon untuk digandingkan bersama Pol Espargaro. 

Pelumba pasukan Tech3 KTM, Remy Gardner, luah rasa kecewa dengan pengurusan pasukan itu selepas disahkan khdimatnya tidak lagi diperlukan menjelang musim 2023.

Gardner, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke sebuah lagi pasukan KTM, GASGAS, ternyata berputih mata apabila diberitahu tidak ada tempat untuknya bersama pasukan itu.

Perkembangan terbaru itu ternyata mengejutkan apatah lagi pelumba Australia itu menyumbangkan kejuaraan dunia Moto2 bagi kem KTM, musim lalu.

Gardner dibawa ke kelas premier bersama rakan sepasukan Moto2, Raul Fernandez dan ditempatkan di Tech3 KTM bagi musim 2022.

Namun ketika Fernandez disahkan akan beraski bersama RNF Aprilia MotoGP bagi musim 2023, Gardner pula akan ketiadaan pasukan musim depan.

Bercakap kepada Crash.net, Gardner luah rasa kecewa.

“Tiada sebarang kepastian ketika ini tetapi saya tidak akan berada di MotoGP.

“Saya telah berikan 100 peratus untuk mereka (KTM) dan saya mahu kekal disini tetapi mereka telah hancurkan hati saya,” jelasnya.

Dengan ketiadaan Gardner, hampir pasti KTM akan memberi slot di Tech3 GASGAS kepada pelumba Moto2, Augusto Fernandez yang ketika ini sedang mencabar kejuaraan. 

Dalam perkembangan sama, Gardner mendedahkan bahawa pihak pengurusan memberitahu dia tidak cukup profesional untuk kekal bersama pasukan itu.

“Saya rasa seperti tidak dihargai dengan kejuaraan dunia Moto2 yang saya hadiahkan untuk mereka. Saya sentiasa berikan yang terbaik tetapi itu tidak cukup untuk mereka.

“Apa pun, saya akan terus berikan 100 peratus, bukan untuk orang lain tetapi untuk diri saya sendiri,” tambahnya.

Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Litar Misano.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube