Seramai 12 orang wanita dari tujuh perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan mengambil bahagian dalam Bengkel Asas Penyelenggaraan Motosikal Untuk Wanita Orang Asli.
Bengkel berkenaan diadakan di bawah inisiatif Power House Wanita Gemilang (PH GEM), satu platform yang dipelopori kerajaan negeri.
Peserta yang berusia antara 14 hingga 42 tahun itu didedahkan dengan ilmu asas penyelenggaraan motosikal seperti cara menukar palam pencucuh, cara menukar minyak enjin dan cara menukar mentol lampu.
Bengkel sehari itu dianjurkan oleh RDS Driving Academy di bawah inisiatif Power House Wanita Gemilang (PH GEM), satu platform dipelopori kerajaan negeri.
Pengarah program itu, Manao Alan Wah yang juga pengajar bertauliah di RDS Driving Academy berkata, matlamat utama penganjur adalah untuk berkongsi ilmu asas penyelenggaraan motosikal kepada kaum wanita Orang Asli.
Pendedahan itu juga membolehkan mereka melakukan sendiri kerja penyelenggaraan motosikal.
“Apabila ada ilmu asas untuk menyelenggara motosikal, kita tidak perlu lagi ke bengkel. Hanya beli alat ganti dan buat sendiri.
“Ini akan dapat menjimat wang dan tidak perlu bergantung pada bengkel yang lazimnya terletak jauh dari lokasi kediaman masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Penyelia PH GEM bagi Parlimen Rasah, Zai Othman, berkata, pihaknya berharap dapat menganjurkan bengkel serupa melibatkan lebih ramai peserta daripada kalangan kaum Orang Asli di negeri ini.
Menurutnya, penyelenggaraan motosikal dianggap penting memandangkan ia adalah jenis pengangkutan yang sering digunakan oleh kaum Orang Asli.
“Pada masa sama, kemahiran yang dipelajari boleh digunakan untuk membuka bengkel sendiri atau membantu orang lain di kampung masing-masing,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Online