Meskipun musim 2021 beberapa bulan dari pembukaan tirai namun Gresini Racing telah pun mengambil langkah proaktif untuk berpisah dengan Aprilia bagi musim 2022.
Perkara itu disahkan sendiri Gresini Racing yang diketuai Fausto Gresini dalam satu kenyataan yang mengesahkan mereka akan kembali sebagai pasukan bebas.
Senario ini bukanlah satu kejutan tatkala Gresini dan Aprilia telah pun mendedahkan rancangan untuk tidak bergerak seiringan sebelum ini.
Gresini dan Aprilia bersatu pada 2015 dengan tiket sebagai pasukan bebas dan bukannya sebagai pasukan factory.
Meskipun Gresini tidak mendedahkan perancangan mereka bagi musim 2022 namun difahamkan mereka sedang dalam perbincangan untuk bergerak sebagai pasukan satelit Suzuki.
Selain Gresini, VR46 – yang juga akan beroperasi sebagai pasukan MotoGP pada 2022 – dicanang sebagai calon untuk menjadi pasukan satelit Suzuki.
Bagaimanapun, Gresini juga berpeluang bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia di samping pasukan factory Aprilia pada musim tersebut.
Moto Guzzi telah memperkenalkan dua model V7 yang kini tampil dengan , spesifikasi lebih tinggi dan enjin baharu untuk 2021.
V7 merupakan model paling popular dan paling lama ditawarkan Moto Guzzi, dengan kilang Mandello del Lario telah menghasilkan model itu untuk tempoh 50 tahun.
Bagaimanapun untuk 2021, Moto Guzzi telah menaik taraf model itu dengan ciri serba baharu antaranya enjin yang kini 850cc berbanding 744cc sebelum ini.
Hasilnya, V7 Stone dan Special menjana 25 peratus lebih kuasa, dari 52hp kepada 65hp dan 73.2Nm berbanding 59.6Nm sebelum ini.
Moto Guzzi turut mendakwa 80 peratus daripada tork boleh didapati seawal 3,000rpm.
Bagi mengendalikan kuasa yang lebih tinggi itu, V7 2021 ini dilengkapi dengan tayar belakang yang lebih lebar dan penyerap hentakan belakang Kayaba yang lebih besar.
Rekaan juga telah dikemas kini dengan bahagian panel tepi serba baharu dan mudguard belakang lebih pendek berbanding sebelum ini.
Tahap keselesaan juga lebih baik dengan tempat duduk dan fork depan depan baharu di samping MGCT traction control (yang boleh dipadam).
Susulan sambutan hangat terhadap Aprilia RS660, pengeluar motosikal Itali itu dilaporkan sedang giat membangunkan RS400 dan Tuono 400.
*Aprilia RS660
Aprilia seakan hidup semula dengan pelancaran RS660 dengan Tuono dan Tuareg akan turut menyusul dengan unit enjin yang sama bagi 2021.
Bagaimanapun, dalam laporan terkini, jenama motosikal Itali itu didakwa sedang membangunkan jentera 400cc.
Menurut laporan BikeWale, perkara itu disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Piaggio India, Diego Graffi.
*Aprilia RS150 dan Tuono 150
Difahamkan, motosikal tersebut ketika ini sedang giat dibangunkan di India namun akan dihasilkan di India dan akan dipasarkan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi.
Sementara itu, Piaggio India turut bakal memasarkan Aprilia RS150 dan Tuono 150 selepas model konsep itu menerima sambutan hangat sewaktu di Auto Expos, Februari lalu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada model ini akan dipasarkan ke pasaran dunia lain, ketika ini.
Honda CB500X merupakan antara motosikal kegemaran kami dan jentera segmen touring itu kini tampil dengan pilihan warna baharu untuk 2021.
*Grand Prix Red
Orang ramai kini boleh memilih antara tiga pilihan warna; Matt Gunpowder Black Metallic, Grand Prix Red dan Pearl Metalloid White.
Honda CB500X 2021 masih menikmati enjin yang telah dikemas kini pada 2019, dua silinder PGM-F1 DOHC 471cc yang menjana 49.6hp pada 8,500rpm dan 44.7Nm pada 7,000rpm.
*Matt Gunpowder Black Metallic
Pelbagai naik taraf telah dilaksanakan pada 2019 sekaligus menyaksikan ciri yang ada dikekalkan bagi 2021 antaranya penggunaan rim 19′, travel suspension yang lebih panjang, cakera brek tunggal (depan) 310mm dengan kaliper dua piston dan cakera brek 240mm (belakang) dengan kaliper satu piston.
*Pearl Metalloid White
Ergonomik tempat duduk juga dipertingkat dengan bentuk lebih ‘slim’ bagi memudahkan pergerakan sewaktu menunggang malah ‘steering angle’ juga telah dipertingkat sebanyak 3° kepada 38° sekaligus meningkatkan kadar mobiliti jentera.
Anti-lock Braking System (ABS) turut didatangkan secara standard seperti model sebelumnya.
Honda CB500X 2021 ini ditawarkan pada harga RM36,009 (sebelum cukai jalan dan insurans).
Orang ramai yang berminat boleh kunjungi Honda BigWing atau layari www.hondabigbike.com.my untuk maklumat lanjut.
Meskipun belum dilancarkan di Malaysia, KTM 390 Adventure merupakan antara motosikal paling laris di pasaran India.
Ini kerana selain daripada menawarkan imej ‘adventure’, model ini dilengkapi pelbagai ciri terkini antaranya skrin TFT, ride-by-wire, traction control, cornering ABS dan sistem ‘suspension’ dari WP.
*KTM 390 Adventure 2020
KTM juga telah memperkenalkan 250 Adventure baru-baru ini sekaligus memberi orang ramai tawaran yang lebih mampu milik.
Meskipun berkonsepkan ADV namun kedua-dua model ini didatangkan dengan rim jenis aloi lantas membuatkan 250 dan 390 Adventure bukanlah motosikal ADV sepenuhnya.
*Kit rim ‘spoke’ bagi 250 dan 390 Adventure
Bagaimanapun, pemilik model ini boleh menikmati pengalaman lasak yang ekstrim apabila KTM kini menawarkan rim jenis spoke yang boleh didapati dalam katalog KTM Powerparts.
Kit rim spoke ini – yang merangkumi cakera brek depan dan belakang serta ‘sprocket’ – akan meningkatkan keseimbangan dan lebih kukuh ketika ‘off-road’.
*KTM 390 Adventure jalani ujian jalan raya di Malaysia
Sementara itu, KTM 390 Adventure dijangka hampir pasti dilancarkan di Malaysia selepas jentera itu diintip menjalani ujian jalan raya, baru-baru ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan 137 kes kemalangan babitkan penunggang basikal telah direkodkan dari Januari hingga Oktober, tahun ini.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias yang turut memaklumkan daripada jumlah itu, 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan dicatatkan.
Bagaimanapun, terdapat penurunan berbanding tahun 2019 yang merekodkan 201 kemalangan dengan 107 kematian, 37 cedera parah dan 59 cedera ringan.
Aktiviti berbasikal menjadi trend ketika ini sekaligus terdapat pertambahan jumlah penunggang basikal di jalan raya.
Namun, senario itu mengundang pelbagai reaksi tatkala ada yang membuat kayuhan di kawasan berisiko termasuk di lebuh raya.
Azisman tidak menafikan aktiviti berbasikal boleh menggangu pengguna jalan raya lain namun meminta semua pihak bertimbang rasa.
“Aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran perjalanan kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa yang boleh mengundang risiko kemalangan.
“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa serta berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka lebih terdedah kepada bahaya,” jelasnya.
Pada masa sama, Azisman menasihatkan penunggang basikal untuk memilih lokasi selamat dan sesuai terutamanya kawasan yang kurang kenderaan dan bukan waktu puncak.
“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.
“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan,” tambahnya.
Aktiviti berbasikal menjadi pilihan gaya hidup sihat dikalangan rakyat Malaysia namun ada segelintir yang mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya apabila berkayuh dalam kumpulan besar dan tidak mengendahkan peraturan jalan raya.
Terbaru, ada penunggang basikal yang didapati membuat kayuhan di tengah-tengah Lebuhraya Persekutuan pada pada waktu puncak.