Bikesrepublic

Berita Terkini

Fabio Quartararo sekali lagi mempamerkan tunggangan mantap untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini di GP Portugal.

Meskipun bermula di petak pertama, namun Quartararo dipintas Johann Zarco, Alex Rins dan Marc Marquez sebaik perlumbaan dimulakan.

Bagaimanapun, pelumba Perancis itu bingkas memperbaiki tunggangan untuk kembali mengejar kelompok depan yang pada satu ketika diterajui Zarco, Rins dan Joan Mir.

Manakala Marquez yang berada di kedudukan podium di awal perlumbaan mula kehilangan tempat dah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 dalam penampilan sulungnya selepas 265 diketepikan ekoran kecederaan.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik Francesco Bagnaia yang berjaya memintas Zarco ketika perlumbaan berbaki enam lap dengan pelumba Pramac itu kemudiannya kemalangan sejurus selepas itu.

Bagnaia kini ditempat kedua kejuaraan dunia dengan 48 mata.

Tempat ketiga jadi milik juara musim lalu, Mir yang kini mengutip 38 mata selepas tiga perlumbaan.

Malang buat Rins yang pada satu ketika cuba mengejar Quartararo di hujung perlumbaan hilang kawalan jentera lalu terbabas.

Nasib sama menimpa Zarco apabila jenteranya seakan hilang cengkaman di bahagian tayar depan lalu kemalangan.

Turut gagal menamatkan pusingan kali ini, wakil Ducati, Jack Miller dan pelumba veteran, Valentino Rossi, dengan kedua-duanya kemalangan.

Kemenangan Quartararo kini menempatkan pelumba itu mendahului kejuaraan dunia dengan 61 mata.

Dalam perkembangan sama, Marquez mengutip mata pertama (9 mata) selepas hampir setahun tidak beraksi apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh.

Enam kali juara dunia MotoGP itu dijangka akan terus perbaiki tunggangannya dalam pusingan seterusnya di Jerez dalam usaha mengembalikan prestasi sebelum ini.

Keputusan penuh perlumbaan seperti berikut:

Fabio Quartararo meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih petak pertama di sesi kelayakan GP Portugal.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu merekodkan masa terpantas 1 minit 38.862 saat lantas memperbaiki catatan 1m39.199s yang dilakukannya sewaktu di litar sama musim lalu.

Quartarao pada awalnya kehilangan kedudukan pertama apabila pelumba Ducati, Francesco Bagnaia melakar rekod terpantas litar dengan 1m38.494s namun dibatalkan di saat akhir ekoran melanggar bendera kuning.

Kejadian itu menyaksikan Bagnaia terpaksa bermula di petak ke-11.

Sementara itu, wakil Suzuki, Alex Rins, akan bermula di petak kedua diikuti Johann Zarco dari Ducati, yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia dengan 40 mata.

Bagaimanapun, fokus utama kali ini turut tertumpu kepada enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez, yang beraksi buat julung kalinya selepas 265 hari diketepikan ekoran kecederaan.

Pelumba Repsol Honda itu mempamerkan tunggangan cemerlang apabila bakal bermula di barisan kedua di P6 dibelakang Franco Morbidelli selepas melakar 1m39.121s.

Dalam perkembangan sama, sesi kelayakan menyaksikan beberapa pelumba mengalami kemalangan termasuk rakan sepasukan Zarco, Jorge Martin, yang mengalami kecederaan serius sewaktu Ujian Bebas 3.

Perlumbaan MotoGP akan berlangsung pada Ahad.

Ducati telah membuat kejutan pada Disember tahun lalu apabila mempersembahkan Monster 2021 serba baharu.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan kemudian, kami difahamkan bahawa Ducati Malaysia bakal melancarkan Monster serba baharu itu sekitar suku ketiga tahun ini.

Meskipun tiada pengesahan rasmi namun melihat kepada pelancaran model lain sebelum ini, Ducati Malaysia tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan model baharu beberapa bulan selepas pelancaran global.

Generasi baharu Monster itu menampilkan rekaan berlainan termasuk tidak mengikut acuan sebelumnya dengan tidak lagi mengguna pakai kerangka jenis steel trellis.

Sebaliknya, menerapkan penggunaan kerangka depan jenis aluminium yang terdapat pada Panigale V4 dalam usaha merendahkan berat jenteras sekaligus menyaksikan motosikal ini menawarkan 166 kilogram.

Setiap komponen juga telah direka semula dan hasilnya rim kini 1.7kg lebih ringan, swingarm 1.6kg lebih ringan dan berat subframe turun 1.9kg hasil daripada teknologi GFRP (Glass Fibre Reinforced Polymer) sekaligus menyaksikan penurunan berat sehingga 18kg.

Bagaimanapun, model 2021 itu masih lagi mengekalkan beberapa ciri lama antaranya tangki jenis ‘bison back’ serta lampu berbentuk bulat.

Model 2021 ini juga bernadikan enjin baharu, Testastretta 937cc dengan silinder berkembar (twin-cylinder) 11-darjah yang menjana 111hp pada 9,250rpm dan 95Nm pada 6,500rpm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Ducati Quickshift (up/down)
  • ABS Cornering
  • Traction control
  • Wheelie control
  • Launch control.
  • Tiga mod tunggangan; Sport, Urban dan Touring
  • Paparan TFT 4.3 ini berwarna

Bagaimanapun, sementara menanti pelancaran Ducati Monster, Ducati Malaysia terlebih dahulu dijangka akan memperkenalkan Multistrada V4 untuk pasaran tempatan.

Isuzu Malaysia telah pun melancarkan D-Max terbaru untuk pasaran tempatan.

Terdapat tujuh varian ditawarkan dengan model D-Max X-Terrain merupakan varian tertinggi dan menerima naik taraf yang paling ketara.

Ketika model sebelumnya lebih memfokuskan kepada ciri praktikal utiliti, Isuzu menghasilkan rekaan lebih agresif dan berani bagi 2021 antaranya gril serba hitam yang diapit bersama lampu depan jenis Bi-LED.

Varian X-Terrain turut didatangkan dengan ‘aerofoil wipers’ manakala cermin depan mampu menyerap cahaya UV dan infra-red dengan lebih efisien sekaligus menghadirkan keselesaan sewaktu memandu.

Isuzu turut meningkatkan dimensi trak pikap ini bagi menawarkan ruang kabin yang lebih luas. D-Max 2021 ini juga mampu memasuki kedalaman air setinggi 800mm (200mm lebih baik dari model sebelumnya).

Ketahanan D-Max juga dipertingkat dengan chasis Dynamic Drive Platform namun menawarkan berat yang lebih ringan berbanding model sebelumnya hasil penggunaan shaft jenis aluminium, spring dan sitem brek baharu.

Isuzu D-Max X-Terrain dikuasakan dengan enjin 4JJ-3TCX 3.0L turbodiesel yang telah dinaik taraf bagi menawarkan kuasa sekitar 190hp dan 450Nm manakala enjin RZ-4E 1.9L terus ditawarkan pada varian D-Max lain.

Menariknya, Isuzu turut memberi penekanan terhadap ruang dalam dengan tempat duduk Anti-Vibration Elastic Comfort Foam yang mampu menyerap gegaran.

Sementara itu, bahagian depan pula didatangkan dengan konsol yang lebih tinggi dan sporty dan turut menempatkan paparan Multi-info 9″ bagi model X-Terrain dan 7″ bagi varian Premium.

Manakala pemandu disajikan dengan skrin TFT-LCD 4.2″ yang dipadankan bersama speedometer dan tachometer.

Ciri keselamatan Isuzu D-Max turut dipertingkat dan ditawarkan pada varia X-Terrain, antaranya:

  • Advanced Driving Assist System
  • Forward Collision Warning
  • Turn Assist
  • Autonomous Emergency Braking
  • Adaptive Cruise Control
  • Automatic High Beam
  • Lane Departure Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Isuzu D-MAx 2021 boleh didapati pada harga bermula RM88,599 sehinggalah RM141,938 bagi varian X-Terrain.

Selepas pratonton Nissan Navara PRO-4X pada Mac lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dengan rasminya melancarkan Nissan Navara 2021 untuk pasaran tempatan.

Terkenal dengan jolokan ‘Mother Trucker’ di Malaysia, Navara PRO-4X didatangkan dengan pelbagai teknologi terbaik dalam kelasnya, termasuklah bantuan pemanduan Nissan Intelligent Mobility serta beberap ciri keselamatan lain.

*2.5L VL Auto

Turut menemani varian Pro-4X, adalah lima varian lain melibatkan 2.5L VL Auto, 2.5L V Auto, 2.5L SE Auto, 2.5 SE Manual dan 2.5L Single Can Manual.

Nissan Navara PRO-4X didatangkan dengan rekaan yang menonjol dan agresif dengan penggunaan gril jenis ‘interlock’ berwarna hitam yang memampangkan nama ‘NAVARA’ di bahagian tengah.

Ciri lain antaranya fender, pemegang pintu, rail bumbung, cermin sisi, side step serta penggunaan rim 17″ berwarna hitam menguatkan lagi elemen agresif yang ditayangkan.

Model ini juga didatangkan dengan empat lampu projektor LED dan DRL (Daytime Running Light) berbentuk-C yang meningkatkan lagi rekaan agresif dan moden.

Manakala pencahayaan bahagian belakang trak pikap ini diserikan dengan lampu LED dengan bentuk-C ikonik.

*2.5L V Auto

Ruang dalam juga dipertingkat menerusi penggunaan cermin hadapan dengan fungsi ‘noise isolation Acoustic’ yang mampu mengurangkan bunyi gangguan luar serta kerusi Zero-Gravity yang menawarkan keselesaan dengan mengurangkan tahap gegaran.

Pemandu juga boleh menikmati paparan meter Advanced Drive-Assist Digital Display (ADAD) 7″ berwarna serta stering sporty 3-spoke dengan kemasan kulit serta sistem infotainmen Advanced Touchscreen Display Audio dengan fungsi Apple CarPlay & Android Auto 8″.

*2.5L SE Auto

Nissan Navara PRO-4X ini juga didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan terkini antaranya:

  • Intelligent Around View Monitor (I-AVM) WITH Off-Road Mode
  • Intelligent Predictive Forward Collision Warning
  • Intelligent Forward Emergency Braking
  • Intelligent Driver Alertness
  • Lane Departure Warning
  • Rear Cross-Traffic Alert
  • High Beam Assist
  • Blind Spot Warning
  • Intelligent Moving Object Detection

Bagi model 2021, Nissan Navara PRO-4X ini mengekalkan enjin turbodiesel YD25 4-inline DOHC yang menghasilkan 190PS pada 3,600rpm dan 450Nm pada 2,000rpm dan dipadankan bersama transmisi 7-kelajuan dengan mod manual.

Pemanduan Navara PRO-4X juga dipertingkat dengan:

  • Electronic Locking Rear Differential System
    • Mengawal kadar putaran tayar belakang sekiranya ‘tersangkut’ di dalam lumpur.
  • Trailer Sway Assist System
    • Bantu kenderaan mengekalkan posisi pemanduan dengan mengawal tekanan brek sekiranya treler belakang terhuyung-hayang.
  • Rear Multilink Suspension with Dual-Rate Coil Springs
    • Mengurangkan pergerakan ‘body toss’ tidak kira berat muatan kenderaan sekaligus meningkatkan kestabilan dan keselesaan pemanduan.
  • Tailgate Assist dan Rear Bumper Step
    • Meringankan pembukaan dan penutupan ‘tailgate’ serta memudahkan pemandu mengakses ruang belakang.

Nissan Navara PRO-4X ini didatangkan dengan empat warna pilihan, Stealth Grrey, Burning Red, Pearl White dan Black Star dan ditawarkan pada harga RM142,200.

Sementara harga bagi lima varian lain adalah seperti berikut:

  • 2.5L VL Auto – RM137,900
  • 2.5L V Auto – RM125,500
  • 2.5L SE Auto – RM116,900
  • 2.5L SE Manual – RM110,900
  • 2.5L Single Cab Manual – RM91,900

Sepasang suami isteri di Indonesia menjadi viral apabila bertindak membeli sebuah motosikal jenis Yamaha NMAX dengan duit syiling.

Totok Tri Bartonnanto bersama isterinya, Hasnaini, telah datang ke sebuah kedai motosikal di wilayah Kalimantan Timur dengan membawa 31 beg berisi duit syiling.

Duit syiling tersebut merupakan wang yang telah dikumpul sejak beberapa tahun lepas dalam usaha membeli skuter 155cc tersebut.

Difahamkan, kedua-duanya merupakan peminat skuter Yamaha dan telah pun memiliki model Aerox (NVX) di rumah.

“Saya memang meminati motosikal jenama Yamaha dan sudah memiliki Yamaha Aerox (NVX) di rumah kami.

“Kali ini, motosikal baharu dibeli atas nama saya sendiri,” jelas Hasnaini.

Pada masa sama, Hasnaini menjelaskan bukan perkara pelik membuat bayaran dengan duit syiling.

“Selagi ada nilai, tiada salah­nya. Terima kasih kepada kakitangan kedai Yamaha di sini yang membantu mengangkut puluhan plastik wang syiling kami yang digunakan untuk membayar harga motosikal baharu,” tambahnya. – Inibalikpapan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube