Bikesrepublic

Berita Terkini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu pengumuman telah membenarkan semua jenis basikal untuk menaiki perkhidmatan KTM Komuter.

Kebenaran tersebut telah pun bermula pada 6 Ogos lalu dengan tiada sebarang caj dikenakan pada waktu tertentu. 

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata pihaknya sebelum ini mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal.

Sejak 18 April lalu, tiada lagi sebarang caj dikenakan namun pada waktu itu hanya basikal jenis ‘folding bike’ (basikal lipat) dibenarkan menaiki tren pada hujung minggu. 

Bagaimanapun, dalam pengumuman terbaru, KTM Komuter kini membuka pintu kepada semua jenis basikal untuk dibawa naik. 

Jelas Mohd Zain, semua jenis basikal boleh dibawa naik tren (di luar waktu puncak) pada hari bekerja dan (sepanjang masa) pada hujung minggu. – HM

Hasrat seorang pekerja buruh lelaki berusia 40 tahun untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus, Terengganu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 397.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Ajil, hari ini. 

Mangsa, Mohd. Nazli Dasuki, disahkan meninggal dunia setelah mengalamai kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud memaklumkan mangsa ketika itu sedang berkonvoi bersama 18 rakannya yang turut menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Sebanyak empat kenderaan pacuan empat roda turut serta dalam konvoi tersebut dari Tanjung Karang, Selangor.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan menyertai program Perhimpunan Rakan Motosikal RXZ 4.0 di Gong Badak, Kuala Nerus yang dijadual berlangsung esok (hari ini),” jelasnya.

Difahamkan, motosikal mangsa hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu  untuk tindakan lanjut. – KOSMO

Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL di sekitar ibu kota.

Ia berikutan pendedahan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias di mana hampir separuh daripada jumlah penumpang bas berkenaan ‘dikuasai’ warga asing.

Jalaluddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini berkata, dianggarkan sebanyak 45.2% penggunaan bas tersebut terdiri warga asing.

“Mereka (warga asing) menggunakan perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 untuk setiap warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta setiap bulan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hisamudin Yahaya. 

Hisamudin telah bertanya tentang jumlah warga asing menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing pada masa hadapan.

Menjawab soalan tambahan Senator Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata, antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.

Selain itu, katanya, pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.

“Batuan awal antara kediaman ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya.

Rimba Raid akan kembali bagi edisi 2022 yang akan berlangsung pada 24 September ini.

Bertempat di XCape Resort, sebagai tuan rumah Rimba Raid 2022, edisi kali ini akan berlangsung di Kuala Tahan, Taman Negara, Pahang dan bakal menyaksikan penyertaan seramai 230 pelumba daripada 13 negara termasuk Malaysia, Columbia, Kanada, Thailand, Singapura, Australia, Vietnam, Polan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, Belanda dan Itali. 

Edisi 2022 bakal menyaksikan pelumba menempuh jarak lebih 200km ‘off-road’ menempuh hutan hujan tropika dengan hampir kesemuanya berlangsung didalam kawasan Hutan Simpan dan Taman Negara, Pahang. 

Menariknya, daripaad 230 peserta, empat daripadanya adalah pelumba wanita yang terdiri daripada Elissa Airin (Malaysia), Shamira Azahar (Malaysia), Cherie Tan (Singapura) dan Kanthaphat Kitisophonchodiran (Thailand).

Sementara itu, aksi Rimba Raid 2022 kali ini juga akan menyaksikan pertembungan menarik daripada beberapa jenama dan model motosikal.

Tahun ini akan menyaksikan penyertaan beberapa model baharu, antaranya Harley-Davidson Pan America 1250, Moto Morini XCape 650, WMOTO SX300, dan Fantic Caballero 500. 

Kesemua empat model baharu itu akan turun berentap dengan 32 unit BMW GS, sembilan Honda Africa Twin, 19 KTM dan dua Triumph Scrambler. Angka tersebut hanya babitkan Class A (1000cc ke atas). 

Untuk mengikuti senarai penuh penyertaan 230 pelumba sila KLIK SINI. 

Rimba Raid ‘Taman Negara’ 2022 akan berlangsung di Kuala Tahan pada 24 September ini. 

Lesen vokasional yang bakal diwajibkan terhadap penunggang p-hailing selepas pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan sedia ada tidak sama dengan lesen GDL yang digunakan terhadap kenderaan komersial mengangkut barangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia sebaliknya adalah satu lesen vokasional yang khusus untuk penunggang p-hailing.

Beliau berkata, berbeza dengan permohonan untuk mendapatkan GDL, penunggang hanya perlu mengikuti kursus singkat beberapa jam dan tidak perlu ke institut memandu.

“Nama kita belum tentukan, tetapi yang pasti lesen vokasional untuk p-hailing secara pendaftaran murah dan mudah.

“Ia hanya membabitkan pembayaran token dan moratorium akan diberikan untuk tempoh pendaftaran itu.

“Ia tidak akan membebankan rakan penunggang p-hailing,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan, di sini petang ini.

Berikutan itu, Ka Siong berkata, ia tidak akan membabitkan sebarang pemeriksaan terhadap kenderaan seperti kenderaan mengangkut barangan komersial lain.

Beliau berkata, kos yang akan dikenakan juga adalah minimum dan dianggarkan tidak melebihi RM10.

Katanya, dakwaan dan kekeliruan semua penunggang p-hailing perlu membawa motosikal yang digunakan untuk pemeriksaan di PUSPAKOM juga tidak benar.

Selain itu, beliau berkata, perlu ada pendaftaran berkenaan untuk membolehkan kementerian itu mempunyai data sebenar bilangan penunggang p-hailing yang ada di negara ini.

“Sebelum ini, data penunggang hanya boleh diperoleh daripada pengendali p-hailing (PHO), namun ia tidak mempunyai data yang lengkap membabitkan siapa yang masih aktif.

“Ia akan memudahkan apabila ada keperluan untuk pelan perlindungan dan bantuan. Saya tidak boleh menganggap semua pemegang lesen B2 sebagai penunggang p-hailing. Tidak boleh, ia kena ada kelebihan iaitu berdaftar dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, nama khusus untuk lesen vokasional itu akan ditentukan kemudian.

Selain itu, Ka Siong berkata, beliau juga bimbang dengan data kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menunjukkan 62 peratus daripada 16,308 penunggang p-hailing yang diperhatikan melalui kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) di Kuala Lumpur, didapati melanggar peraturan jalan raya dengan berada dalam petak kuning atau di lintasan pejalan kaki.

Katanya, sebanyak 14 peratus pula didapati memegang telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat, manakala 7 peratus membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan dan 3 peratus menunggang melawan arus atau melalui trafik bertentangan.

Isnin lalu, dalam satu sidang media khas, Ka Siong memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, bakal menyaksikan penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional.

Beliau dilaporkan berkata, melalui pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], had usia untuk penunggang perkhidmatan penghantaran makanan itu daripada mendapatkan lesen memandu vokasional diturunkan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Baru-baru ini kami telah dijemput menghadiri sesi suai kenal dengan jenama yang baru menapak di Malaysia, Aveta.

Aveta merupakan jenama motosikal tempatan yang berpangkalan di Klang, Selangor.

Sewaktu pertemuan tersebut kami disapa oleh Pengarah Urusan Aveta, En. Hon See Long dan Timbalan Pengarah Urusan Aveta, En. Caden Gan.

Menariknya, ketika sesi tersebut, kami dimaklumkan bahawa Aveta akan memperkenalkan beberapa model baharu tahun ini bermula dengan motosikal 250cc.

Motosikal tersebut berkonsepkan ‘sportsbike’ dan akan menampilkan ciri utama seperti ‘full fairing’. 

Difahamkan, pelancaran itu akan diadakan seminar bulan Oktober nanti.

Bagaimanapun, info terperinci mengenai kedatangan model itu hanya akan didedahkan pada hari pelancaran nanti. 

Menariknya, Aveta juga merancang untuk memperkenalkan jentera skuter ADV bersesaran 250cc. Namun tarikh pelancaran dan spesifikasi terperinci masih belum dapat didedahkan kepada umum ketika ini.

Buat masa ini, Aveta telah pun berada di pasaran tempatan menerusi beberapa model antaranya Aveta VS110, V13R dan terbaru SVR180. 

Menariknya, Aveta juga beri jaminan bahawa alat ganti bagi ketiga-tiga model ini sudah tersedia lantas memudahkan pemilik untuk membuat sebarang proses penyelenggaraan sekiranya perlu. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube