Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengeluar motosikal Jepun, Kawasaki, membuat kejutan sewaktu hujung minggu di Suzuka 8 Hours apabila mendedahkan dua jentera baharu yang didakwa akan dilancarkan tidak lama lagi.\

Model tersebut merupakan motosikal hibrid dan elektrik yang pernah diumumkan pada November 2020.

Berdasarkan video dikongsikan model elektrik pertama dipersembahkan kepada pengunjung dan menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada varian ‘Z’.

Motosikal seterusnya merupakan model hibrid dan menampilkan rekaan berasaskan varian ‘Ninja’ sekaligus tampil dengan panel badan yang penuh (full-fairing).

Menerusi video pendek itu, versi hibrid (HEV) tampak lebih besar hasil penggunaan dua enjin (petrol dan elektrik) dan menghasilkan bunyi lebih ketara sementara model elektrik pula kelihatan lebih kecil.

Sayangnya, Kawasaki masih berdiam diri tentang spesifikasi bagi kedua-dua motosikal namun melihat kepada keadaan hampir siap, pastinya pelancaran rasmi akan berlangsung tidak lama lagi.

Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, antara cadangan pindaan itu adalah kadar minima saman kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dinaikkan ke kadar yang lebih efektif.

“Sebagai contoh, sebelum ini mereka yang didapati berlumba haram dikenakan saman berjumlah RM300, mungkin dengan cadangan pindaan akta ini kadar saman akan dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000 untuk mengelakkan aktiviti lumba haram ini.

“Selain itu, mereka yang terlibat lumba haram juga bakal dikenakan hukuman penjara, malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan para penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

Dalam tragedi pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik bengkel yang didapati terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram juga akan dikenakan tindakan.

“Menerusi cadangan pindaan akta ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel yang ubahsuai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

“Kita juga mungkin membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

Seramai 6,889 individu telah ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di seluruh negara sejak 2020 hingga Jun tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata negeri Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah.

Beliau berkata, hampir 300 kemalangan motosikal berlaku setiap hari di negara ini bagi tempoh tiga tahun sejak 2019.

Dari jumlah itu, sembilan penunggang motosikal maut setiap hari dalam tempoh sama.

“Didapati kadar kemalangan motosikal meningkat selepas pandemik COVID-19, iaitu sebanyak 122,368 kemalangan membabitkan motosikal dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 33,226 kes berbanding tahun 2020,” katanya.

Oleh itu, pihaknya akan mempergiat operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta mat rempit.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang, Adenan Mat Isa.

Mat Kasim, 3,959 individu dilaporkan meninggal dunia sepanjang tahun 2019 dalam kemalangan membabitkan motosikal, diikuti dengan 3,118 (2020) serta 3,111 (2021).

“Bagi kes kecederaan parah pula, sebanyak 2,009 kes direkodkan bagi tahun 2019 dan 2,599 sepanjang tahun lalu,” katanya.

Seorang pemandu lori telah bantu polis menahan sebuah Toyota Alphard yang menggunakan lorong kecemasan dengan membunyikan honnya berkali-kali kepada kereta peronda di hadapannya.

Dalam video tular itu, pemandu lori tersebut dilihat bergerak perlahan beratur bersama-sama kenderaan lain dalam kesesakan lalu lintas, tiba-tiba pemandu lori itu sedar ada sebuah MPV memotong barisan di lorong kirinya.

Tindakan spontan pemandu lori itu membunyikan hon sebagai tanda ada MPV sedang memotong barisan menggunakan lorong kecemasan telah menarik perhatian kereta polis di hadapannya.

Anggota yang duduk di tempat duduk penumpang membuka tingkap dan mengarahkan Alphard itu memberhentikan kenderaan. Namun MPV itu segera masuk semula ke dalam lorong di hadapan kereta peronda tersebut.

Kereta polis itu memotong Alphard terbabit di sebelah kiri untuk mengarah pemandu MPV itu segera berhentikan kenderaannya. Selepas itu pemandu kereta peronda memberikan isyarat tangan ‘thumbs up‘ sebagai tanda berterima kasih kepada pemandu lori itu.

Pengguna TikTok yang menonton video berkenaan meninggalkan komen menyuarakan perasaan yang amat berpuas hati apabila pemandu MPV mewah itu dikenakan tindakan atas sebab melanggar undang-undang jalan raya walaupun peringatan sudah diberikan berkali-kali.

Pengguna jalan raya yang didapati bersalah memotong barisan menggunakan lorong kecemasan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59 (Kaedah 6) dengan denda maksimum RM300, petik hantaran Facebok rasmi PDRM.

Tonton video itu di bawah:

Pihak berkuasa Pulau Pinang akan berusaha keras dalam mengubah budaya anak muda tempatan dalam mengagungkan mat rempit kerana boleh membawa mudarat kepada semua pihak.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Kita melihat, mereka telah mengangkat pelumba haram yang memenangi perlumbaan sebagai ‘wira’ sedangkan budaya tersebut amat jijik. Kadang-kadang, bengkel yang telah mengubahsuai motosikal yang memenangi perlumbaan haram mendapat nama dan tersebar sebagai bengkel yang berjaya menghasilkan motosikal yang laju.

“Ini adalah pandangan yang menjijikan dan bukan mendatangkan kebaikan. Oleh demikian, masyarakat, media dan ibu bapa diharap dapat membantu kita dalam usaha membanteras pelumba haram ini secara keseluruhannya,” jelasnya.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim, mengharapkan usaha menangani gejala lumba haram menerusi pendekatan rakam gambar wajah sebelum membuat penahanan di rumah atau di tempat kerja berjaya dilaksanakan.

“Berdasarkan statistik sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,096 operasi samseng jalanan dijalankan di seluruh negara dan seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dengan 21,258 saman dikeluarkan manakala 2,200 kenderaan telah disita.

“Daripada jumlah itu, Perak merekodkan operasi samseng jalanan paling tinggi iaitu 286 operasi dan 4,597 saman dikeluarkan diikuti Pulau Pinang dengan 157 operasi membabitkan 4,444 saman dan Johor, 157 operasi dan 1,436 saman,” ujarnya.

Masalah lumba haram terutamanya di Pulau Pinang kembali mencuri tumpuan apabila kejadian pada 17 Julai lalu menyaksikan lima nyawa terkorban dengan dua lagi alami cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu yang berpunca dari lumba haram. – SH

Dalam usaha menangani gejala lumba haram dan mat rempit di Malaysia, pihak berkuasa tempatan akan menggunakan strategi baharu dengan merakan wajah pelaku yang terlibat sebelum membuat penahanan.

Perkara itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak.

Menurut beliau, langkah itu adalah lebih selamat bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sebelum ini perlu turun padang ke lokasi perlumbaan bagi membuat penahanan.

“Pulau Pinang akan menjadi model untuk projek perintis tersebut sebelum dibuat secara nasional iaitu diguna pakai ke seluruh negara. Kita akan pastikan usaha bersepadu ini efektif dan mendatangkan impak yang besar, bukan sahaja kepada masyarakat malah mengubah budaya jijik lumba haram ini.

“Selalunya polis dan penguatkuasa JPJ akan berada di lapangan sebelum serbuan dibuat untuk menahan mat rempit yang terlibat dalam perlumbaan haram. Tindakan ini dilihat berbahaya. Oleh itu, kita mengambil pendekatan secara defensif.

“Kita melihat menggunakan ‘reach approach’ iaitu menggunakan kamera-kamera untuk melihat dan memperoleh gambar suspek yang terlibat sama ada mereka ini penonton atau pelumba haram.

“Selepas itu, polis akan menahan suspek sama ada di rumah atau tempat kerja mereka,” jelasnya. – FMT

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube