Bikesrepublic

Berita Terkini

Sebanyak 675 buah motosikal diperiksa dengan 235 daripadanya telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Op Lejang terbaharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di dua lokasi berbeza di Seberang Perai.

Selain berhampiran Plaza Tol Juru, operasi yang sama turut dijalankan berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang.

Berbanding operasi terdahulu, Op Lejang kali ini diadakan secara bersepadu dan melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

“Antara kesalahan yang dikesan kali ini termasuk melibatkan pemandu di bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.

“Turut dikesan adalah kesalahan mengubah suai motosikal seperti menanggalkan brek belakang, mengubahsuai ‘swing arm’ dan ekzos, menggunakan saiz tayar motosikal yang terlalu kecil (tayar sotong), tiada cermin sisi serta mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ (tidak mengikut spesifikasi) dan ekstrem,” kata pihak JPJ dalam satu kenyataan.

Hadir memantau operasi itu ialah Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali serta Ketua Seksyen Operasi JPJ negeri, Mohd Nasron Aliyasak.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang mengingatkan pemilik serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuat kuasakan selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan haram hingga boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Minggu lalu, sebanyak 722 buah motosikal diperiksa dengan 286 daripadanya telah dikenakan tindakan JPJ dalam operasi Ops Lejang.

Seorang lelaki hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh hampir 10m ke landasan kereta api berhampiran Wadi Hana, di Johor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun  keluar sendiri dari kereta Proton Iriz sebelum dibantu orang awam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.32 pagi.

Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan dalam keadaan terbalik berhampiran landasan kereta api tersebut.

“Seramai 11 anggota dengan sebuah jentera dan van Penyelamatan dan Perawatan kecemasan (EMRS) serta unit tindakan cepat bermotosikal (RIM) diarah ke lokasi kejadian.

“Kita turun bersama-sama pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan bantu mula kepada mangsa sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nazaruddin berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Tebrau menghala ke pusat bandar terbabas ketika melalui lokasi kejadian. 

Ketika pameran motosikal EICMA berlangsung di Milan tahun lalu, CFMoto mencuri tumpuan apabila mendedahkan jentera konsep SR-C21.

Tidak lama kemudian, jenama motosikal China itu melancarkan model siap sepenuhnya pada Mac tahun ini.

Menampilkan rekaan moden dan agresif, jentera tersebut ternyata menarik perhatian apabila jentera tersebut ternyata lihat dibina dengan baik dan berkualiti.

Apatah lagi, CFMoto juga merupakan antara pengeluar motosikal China yang menampakkan peningkatan mendadak dari segi rekaan dan kualiti terutamanya menerusi pengenalan model 700CL-X serta 800MT.

Dalam perkembangan baharu, model 450SR itu telah pun dilancarkan di pasaran Filipina dengan harga PHP299,900 (RM24k).

Walaupun tampil dengan beberapa perubahan berbanding jentera konsep SR-C21 namun bahagian depan 450SR mengekalkan rekaan yang tajam dan lebih lebar.

Menariknya, ‘winglet’ yang terdapat pada SR-C21 sebelum ini turut dibawa ke 450SR.

Lebih mencuri tumpuan, 450SR ini akan digerakan enjin parallel-twin 449cc 270-darjah dengan CFMoto mendakwa menghasilkan 50hp dan 39Nm di samping mampu mencapai 190km/j.

Angka kuasa itu sekaligus meletakkan CFMoto 450SR antara pesaing utama Kawasaki Ninja 400 (49hp) dan KTM RC390 (44hp).

Dua pilihan warna ditawarkan di Filipina, Nebula Black dan Zircon Black dengan kedua-duanya dilengkapi ciri moden antaranya ABS dwi-saluran, klac slipper dan paparan skrin TFT.

Baru-baru ini tular laporan yang mendakwa berlakunya operasi tunda kenderaan tanpa notis dan disaman RM100 berlaku di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengarahkan penganjur MAHA 2022 untuk hentikan semua operasi tunda kereta di lokasi tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Ini berikutan berlakunya insiden tunda kereta yang menimpa pengunjung yang hadir ke tapak berkenaan. Difahamkan, senario tersebut turut menimpa seorang pengamal media yang hadir ke acara tersebut.

Untuk itu, MAFI menjelaskan pengamal media hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk MAEPS untuk ke parkir khas di belakang Dewan A.

“Bagi kenderaan awam pula perlu diletakkan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan,” jelasnya.

Pada masa sama, MAFI menjelaskan kehadiran trak tunda adalah bagi memastikan kelancaran acara bagi mengelakkan kesesakan.

Bagaimanapun, rata-rata netizen mempersoal tindakan menunda kereta orang awam disekitar MAEPS. Ini kerana selain daripada perlu membayar RM5 satu kereta, lokasi letak kenderaan juga tidak jelas lalu berlakunya insiden tunda kereta.

Pengunjung juga terpaksa membayar RM100 bagi mendapatkan kenderaan mereka semula sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati pengunjung yang hadir.

Satu video tular telah mendorong polis untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung aduan seorang pemandu yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota trafik.

Video dari kamera perakam video (dashcam) yang tular di media sosial Facebook itu memaparkan tindakan seorang anggota polis trafik yang menahan seorang pemandu dikatakan telah melakukan kesalahan lalu lintas.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, siasatan mendapati kejadian itu berlaku berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy, Jalan Kuala Kangsar menghala ke pusat bandar sekitar jam 7.28 pagi.

“Siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Anggota polis trafik yang menjalankan tugas semasa kejadian itu juga telah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang merakam kejadian itu diminta memberi kerjasama untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, individu berkenaan boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Ipoh, Asisten Superintendan Salim Ahmad di talian 018-5701739 bagi melengkapkan siasatan.

“Polis mengambil berat terhadap sebarang aduan awam berhubung salah laku pegawai atau anggota demi memperkasakan lagi tahap integriti yang menjadi fokus utama Ketua Polis Negara.Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada pemandu kenderaan terbabit yang memberi maklum balas mengenai mutu perkhidmatan pasukan ini,” katanya.

Dalam perkongsian video berdurasi 7 minit dan 11 saat itu, lelaki yang memandu sebuah kenderaan telah ditahan polis kerana didakwa telah melanggar lampu merah.

Rakaman perbualan menunjukkan anggota berkenaan menasihati pemandu itu agar tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Pemandu kenderaan itu ada menyatakan maaf namun dalam masa sama turut menyertakan tangkap layar rakaman yang jelas memaparkan lampu isyarat ketika itu menunjukkan warna hijau.

Perkongsian itu telah menimbulkan spekulasi dan tohmahan terhadap ketelusan tugas anggota polis yang menahan pemandu berkenaan atas kesalahan tidak dilakukan.

Royal Enfield dengan rasminya melancarkan Hunter 350 di India sekaligus sertai barisan model 350 sedia ada termasuk Classic 350 dan Meteor 350 yang telah pun diperkenalkan sebelum ini.

Menurut Royal Enfield, Hunter 350 tampil dengan dua varian Retro Factory dan Metro. Bagaimanapun, Metro turut datang dengan dua sub-varian, Dapper dan Rebel.

Seperti model 350 sebelum ini, Hunter 350 turut dikuasakan enjin satu silinder 349cc yang menghasilkan 20.2hp pada 6,100rpm dan 27Nm pada 4,000rpm. Kuasa tersebut disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 5-kelajuan.

Royal Enfield mendakwa enjin J-series 349cc itu berupaya mencapai kelajuan maksima 114km/j sekaligus memberi bayangan Hunter 350 ini lebih sesuai untuk tunggangan santai.

Tampil dengan rekaan scrambler retro, Hunter 350 ini secara tidak langsung bakal memberi cabaran pada Honda H’ness CB350.

Sementara itu, varian Retro Factory tampil dengan rim spoke manakala Metro pula didatangkan dengan rim aloi. Berat bagi kedua-dua model juga dianggarkan berada sekitar 181kg.

Hunter 350 Metro juga didatangkan rim sistem brek ABS dwi-saluran manakala Retro Factory pula hanya dilengkapi sistem ABS saluran tunggal dan dipadankan bersama cakera brek (tunggal) depan dan brek drum di bahagian belakang.

Menurut Royal Enfield, harga bagi Hunter 350 bermula dari INR149,900 (RM8.2k).

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube