Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang remaja yang ditahan ketika berlumba dengan sekumpulan penunggang motosikal di Gunung Keriang, Kedah, mengaku pernah dikenakan tujuh saman dua tahun lalu.

Namun begitu, pelajar tingkatan empat itu masih tidak serik untuk menunggang motosikal secara berbahaya dan terbabit dengan lumba haram.

Dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, remaja 16 tahun berkenaan dikenakan saman untuk beberapa kesalahan termasuk tiada lesen memandu.

Selain remaja itu, operasi turut memeriksa 77 motosikal dan 30 kereta di sekitar Muzium Padi dan Gunung Keriang.

Terdahulu, Inspektor Mohd Hilmi Sauti dan Inspektor Jasmizar Jamiran mengetuai pasukannya melakukan intipan selama 30 minit terhadap kegiatan lumba haram itu yang turut disaksikan ‘penonton’.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sejumlah 126 saman dikeluarkan menerusi operasi itu atas kesalahan yang termasuk tiada lesen, cukai tamat tempoh dan penunggang bawah umur.

“Selain Muzium Padi dan Gunung Keriang, kita turut mengenal pasti beberapa lokasi lagi yang menjadi tumpuan lumba haram termasuk Jalan Pegawai dan Lebuhraya Darulaman.

“Kita kerap melakukan operasi di beberapa kawasan itu namun mereka ini tidak serik untuk terbabit dalam aktiviti tidak sihat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Ahmad Shukri berkata, sebanyak 13 motosikal disita kerana kesalahan ubah suai, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 30-an yang menjadi penunggang, pembonceng dan penonton.

Beliau menasihati ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat dan melanggar peraturan.

Tempat duduk motosikal jenama Honda C70 asli yang sudah tembus dan berkarat dijual pada harga RM350 di salah satu laman e-dagang telah mendapat perhatian ramai.

Dikatakan tempat duduk ‘ori motor’ (OM) itu dikeluarkan pada tahun 70-an dan tidak pernah diubahsuai sejak motosikal tersebut dibeli lagi.

Namun apa yang menjadi perdebatan adalah berkenaan dengan keadaan tempat duduk itu yang kelihatan usang namun harga yang ditawarkan terlalu mahal.

Rata-rata orang ramai menjadikan hantaran jualan tersebut sebagai bahan mereka untuk mengutuk sikap penjual yang hanya mahukan keuntungan berlipat kali ganda walaupun barang yang ditawarkan itu dalam keadaan tidak padan dengan harga.

“Bukan nak kata, betul lah barang ni ori motor tapi tidak beragak nak jual sampai RM350. Ini dah usang sangat ni, tak tahu dia jumpa dekat mana.

“Memang ada harga sebab barang lama, tapi kena tengok juga keadaan barang nak dijual itu setimpal atau tidak dengan harga yang ditawarkan,” jelas Azman Hamad.

“Saya nak beli kucing yang cakar kerusi ni, mesti lagi mahal sebab kucing tu yang membuatkan kerusi nampak hebat dan bercorak,” jelas Acap RS.

“Saya doakan kepada penjualnya mendapat pembeli yang sepatutnya, saya mampu berdoa harap ada orang yang bijak membeli barang purba ini, kalau tidak kita siapa lagi,” kata Paan Sayonara. – KOSMO

Tak dinafikan, bagi dunia dua roda, perkara yang paling penting selepas memiliki motosikal adalah mencari helmet yang paling sesuai.

Seperti kebiasaan, sesi pemilihan helmet paling memeningkan kepala kerana selain daripada mencari yang berkualiti, aspek rekaan dan warna juga perlu diambil kira.

Dalam pasaran ketika ini, terdapat pelbagai jenis helmet ditawarkan, ada yang bermula serendah RM50 dan ada juga yang mencecah lebih RM15 ribu seperti Arai RX-7V Racing Carbon.

Namun, percaya atau tidak, terdapat helmet yang mencecah harga puluhan ribu ringgit? Menariknya, helmet dimaksudkan itu bukanlah dalam keadaan baru sebaliknya berstatus terpakai.

Seorang penjual di laman e-dagang popular tempatan menjual sebuah helmet vintaj Bell Magnum Super dengan harga RM65,000!

Helmet tersebut tampil dengan warna jingga dengan kemasan getah berwarna hitam di samping tulisan magnum berwarna kelabu. Logo Bell juga terpampang di bahagian atas helmet tersebut.

Melihat kepada ‘padding’ jelas bahagian tersebut tidak lagi berada dalam keadaan dara maka tidak hairanlah status helmet tersebut diletakkan sebagai ‘terpakai’.

Kami bukanlah pakar dalam menilai barangan vintaj seperti ini akan tetapi mungkin penjual ada sebab tersendiri kenapa helmet tersebut dijual pada harga tinggi.

Pasaran motosikal kapcai tempatan kini menerima sebuah lagi pendatang baharu menerusi Aveta SVR180.

Tampil sebagai motosikal ‘supermoped’, Aveta SVR180 akan memberi saingan kepada ‘supermoped’ lain antaranya SYM VF3i dan Yamaha Y16ZR.

Untuk rekod, Aveta SVR180 ini dikuasakan enjin satu silinder 175cc DOHC dengan penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik (EFI) yang mampu menjana 16.8hp dan 15.5Nm pada 8,500rpm. Kuasa kemudiannya disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 6-kelajuan.

Menurut Aveta, enjin digunakan pakai itu juga mencapai standard Euro 4 selain dilengkapi meter digital penuh, dan port pengecasan USB.

Sebagai sebuah kapcai moden, Aveta SVR180 ini juga didatangkan dengan lampu hadapan LED.

Antara ciri lain turut ditawarkan:

  • tanki 7L
  • fork depan teleskopik
  • tayar depan berukuran 90/80-17
  • tayar belakang berukuran 120/70-17
  • berat 125kg

Menurut Aveta, SVR180 ini boleh idapati di pengedar rasmi seluruh negara dengan harga RM9,998 bermula hari ini (25 Julai).

Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya sewaktu berkonvoi untuk bersiar-siar di Pantai Sura, Dungun menerima padah apabila ditahan polis pada kelmarin.

Mereka diekori sepasukan polis sejauh kira-kira 29 kilometer dari Kampung Jambu Bongkok di sini sebelum ditahan di Jalan Pantai Sura, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sembilan remaja lelaki yang berkonvoi itu dikesan melakukan aksi berbahaya oleh sepasukan polis yang sedang melaksanakan Op. Samseng Jalan di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini.

“Mereka didapati bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi zig zag dan ‘superman’ dengan motosikal masing-masing.

“Ia yang jelas membahayakan bukan sahaja keselamatan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kesemua remaja bermotosikal berkenaan telah diekori sebelum ditahan sewaktu mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Sura.

Tambah beliau, sembilan remaja telah dibawa bersama motosikal masing-masing ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM15,000 dan penjara maksimum lima tahun serta lesen memandu digantung bagi tempoh sama jika sabit kesalahan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya ‘menghidu’ taktik penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menggunakan lesen L (lesen memandu percubaan) bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, kebanyakan golongan itu menggunakan alasan belum memperbaharui lesen penuh (Kelas B) semasa pemeriksaan dijalankan.

“Penunggang motosikal kuasa tinggi yang tidak mempunyai lesen penuh sepatutnya tidak boleh membawa kenderaan berkenaan.

“Mereka membawa kenderaan itu tanpa lesen penuh, namun tidak mempunyai rancangan untuk memperbaharui lesen percubaan dimiliki,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan Ops Lejang di Plaza Tol Bentong, di sini hari ini.

Susulan itu, Aedy meminta agar penunggang motosikal berkuasa tinggi mendapatkan lesen penuh dan tidak bergantung kepada lesen percubaan yang boleh memberi kesan jika berlaku sebarang kemalangan.

Sementara itu, sebanyak 3,000 motosikal diperiksa menerusi Ops Lejang yang dijalankan sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur bermula di Plaza Tol Bentong melibatkan 12 lokasi ‘blackspot’.

Dalam operasi itu, sebanyak 796 buah motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu serta tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube