Bikesrepublic

Berita Terkini

Kami pernah menemui komen di mana seorang pemilik/mekanik motosikal yang mendakwa bahawa dia campurkan petrol di dalam enjin motosikalnya untuk flush (mencuci) minyak hitam yang lama.

Apa yang lagi mengejutkan ialah ada pembaca yang mengikuti jejaknya.

Apa yang akan terjadi jika bermuat demikian?

Faktanya ialah betul, iaitu minyak hitam akan cair apabila dicampur dengan petrol. TETAPI, mencampurkan petrol dalam enjin merupakan sesuatu yang tidak patut dibuat sama sekali.

Ini kerana akan tertinggal sisa minyak enjin di dalam enjin sudah bercampur petrol, khususnya di kawasan kepala silinder dan tren injap, serta di mana-mana yang ada ceruk-ceruk kecil, walaupun minyak lama telah dibuang. Oleh itu, minyak baharu akan bercampur pula dengan sisa yang ada petrol ini. Akibatnya minyak enjin baharu itu dikira rosak (adulterated) sebab masih terdapat sisa bercampur petrol.

Selain daripada itu, terdapat selaput minyak yang melitupi bahagian-bahagian yang bergerak. Petrol akan membuang selaput ini, dan berlakulah geseran di antara permukaan logam sebelum minyak yang baharu sampai ke komponen-komponen ini. Ini penting khususnya di antara permukaan gegelang piston dan silinder, di antara gear, pin piston, “roller” lengan jumpelang, sesondol (cam lobe), bearing rod piston (jack rod), aci sesondol, dan banyak lagi. Segala bahagian ini diminyakkan ketika dipasang, dan ini menunjukkan betapa pentingnya selaput minyak tersebut.

Tambah lagi, petrol tidak mesra alam dengan getah dan gasket. Lambat-laun, gasket-gasket akan pecah dan minyak akan bocor.

Ada yang berkata, “Saya pernah buat tapi ok jer.” Ya, kita tidak akan rasa ada kerosakan pada mulanya tetapi percayalah, masalah akan timbul pada kemudian hari. Nanti bila kena overhaul barulah tahu sakitnya.

Oleh itu, JANGAN campurkan petrol di dalam minyak enjin. Sebaliknya, gunakanlah produk-produk yang dikhususkan untuk membuat flush enjin.

Satu lagi nota: Anda tidak perlu membuat flush enjin jika tiada kesan jelaga atau mendapan. Tetapi jika anda ingin mencuci komponen dalaman enjin juga, lebih baik anda leraikan dan overhaul enjin tersebut.

Italjet Dragster 700 Twin (2024) yang telah diacah beberapa kali sebelum ini telah akhirnya didedahkan secara keseluruhannya.

Walaupun ia menyasarkan Yamaha TMAX 560 dan Honda Forza 750 dari segi prestasi, tetapi Dragster 700 adalah model sport yang tulen tanpa apa-apa ciri kemudahan seperti skuter lain. Malah, ketua Italjet berkata bahawa dia tidak mahu menggelarnya sebagai sebuah “skuter.” Oleh itu, tiada ruang simpanan hadapan dan bawah tempat duduk, papan pemijak kaki, dan skrin angin yang besar.

Enjin 68hp, berkembar selari, disejukkan cecair, DOHC, 4-injap setiap silinder diperoleh daripada Benelli dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual, sebagai standard. Ia jauh lebih berkuasa daripada enjin TMAX dan Forza, masing-masing menghasilkan 47 hp dan 58 hp.

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, terdapat sebuah edisi terhad Factory Edition dengan spesifikasi lebih tinggi termasuk suspensi Öhlins, kaliper brek Brembro, ekzos Akrapovič, dan warna hitam/emas. Komponen standard untuk kedua-dua versi standard dan Factory Edition ialah ekzos bawah tempat duduk, fork terbalik Marzocchi, monoshok belakang boleh laras, roda 15 inci, brek dengan cakera berkembar, dan peredam stereng Öhlins.

Italjet telah membuka tempahan untuk Factory Edition sejak 12 Julai dan akan berlangsung sehingga hari terakhir pertunjukan EICMA 2024, atau jika kesemua 700 unit terhad itu hasib dijual sebelum itu.

Dan akhirnya, harga. Versi standard 2024 Italjet Dragster 700 Twin akan berharga sekitar €12,900 (RM 65,688.64), manakala versi Factory Edition berharga €14,900 (RM 75,872.50). Harga ini sudah tentu akan dinaikkan jauh lebih tinggi kerana cukai dan duti jika motosikal itu sampai ke Malaysia.

Di tatkala kami kagum dengan barisan Ducati yang menggunakan enjin V4 semasa yang terdiri daripada Panigale V4, Streetfighter V4, Multistrada V4, dan terbaru Diavel V4, Ducati sebenarnya telah membuat enjin V4 walaupun sebelum menghasilkan enjin V-Twin pertama mereka. Sebaliknya dan mungkin ironisnya, enjin V-Twin yang membawa nama Ducati kepada orang ramai, sebelum mereka kembali ke V4 untuk menguasai litar perlumbaan dunia. Jawapannya ada kaitan dengan motosikal yang dipasang enjin V4 pada masa itu, iaitu Ducati Berliner 1260 Apollo yang tampil pada 1964.

Bagaimana ia bermula

Pengedar Ducati di Amerika Syarikat, adik beradik Joe dan Mike Berliner dari Berliner Motor Corporation yakin mereka boleh menjual motosikal kepada jabatan polis Amerika. Tetapi mereka terpaksa bersaing dengan Harley-Davidson yang mempunyai monopoli dalam segmen itu.

Jadi, Joe Berliner mendekati Ducati pada tahun 1959 dengan cadangan untuk membina motosikal itu. Ducati dimiliki oleh kerajaan Itali pada masa itu dan hanya mengeluarkan 200cc Elite. Dan, mereka juga berada dalam keadaan kewangan yang buruk seperti semua pengeluar motosikal Itali lain yang terpaksa bersaing dengan populariti Fiat 500.

Walaubagaimanapun, spesifikasi rasmi jabatan polis AS semakin diseragamkan di seluruh negara, dan mereka mengutamakan produk nasional mereka iaitu Harley. Mereka memerlukan kapasiti enjin sekurang-kurangnya 1200cc, jarak roda minimum 60 inci/1525mm, dan tayar 5.00 inci x 16 inci.

Mike Berliner menghantar dua Harley Duo Glide kepada Ducati untuk penilaian. Selepas mempertimbangkan rekabentuk enjin Harley FL 74 inci padu (1212cc) yang kuno, ketua Ducati Dr. Giuseppe Montano dan ketua jurutera Dr. Fabio Taglioni bersetuju bahawa mereka boleh menghasilkan rekabentuk yang lebih cekap dan moden. Taglioni menerima tugasan itu sebagai suatu cabaran teknikal dengan penuh semangat.

Malangnya para birokrat di Rom menunjukkan banyak keraguan yang mengakibatkan rundingan dilanjutkan sehingga 1961 sebelum Montana mendapat kata putus, dan selepas Berliner berjanji untuk menaja jamin projek itu termasuk kos pembangunan dan pengeluaran.

Nama Apollo dipilih oleh adik-beradik Berliner sebagai penghormatan kepada program bulan Apollo yang baru sahaja bermula.

Enjin dan prestasinya

Taglioni diberitahu untuk membuat enjin yang besar lebih besar dan lebih pantas dan oleh itu, dia merekabentuk sebuah unit V4 90°, 1257cc, sejukan udara, dua injap, dengan aci engkol 180°. Lejang dan gerek masing-masing adalah 84.5 mm dan 56 mm, menjadikannya enjin Ducati dengan nisbah gerek/lejang yang paling luas pada masa itu. Penggerakan injap dikendalikan oleh rod penolak (pushrod) dan lengan jungkit (rocker arms), bukannya syaf pemacu dan gear serong (bevel gear). Ia menghasilkan 100 hp pada hanya 7,000 RPM.

Ducati memasangkan transmisi 5-kelajuan untuk mengatasi pesaing mereka yang mempunyai kotak gear 4-kelajuan. Taglioni juga menyediakan peruntukan untuk memuatkan transmisi automatik (CVT) pada masa hadapan.

Enjin itu dipasang dalam kerangka tugas berat. Terdapat pemula tendangan (kick starter) bagi penunggang yang berani atau yang dengan tulang kering besi, tetapi terdapat juga pemula elektrik yang kelihatan serupa dengan Fiat TV1100. Juga terdapat penjana (stator) 200w yang besar di sebelah kanan untuk menampung semua peralatan elektrik polis. Ceriani membangunkan suspensi, serta brek dram  depan dan belakang.

Berat motosikal ini ialah 270 kg, kering. Walaupun itu agak banyak walaupun mengikut piawaian hari ini, ia sebenarnya lebih ringan daripada Harley dengan 291 kg.

Ducati melengkapkan penggayaan motosikal ini dengan tangki bahan api gaya ‘peanut,’ pelana ‘koboi’ dengan rel genggam sangkar berkrom, serta fork depan dan penyerap hentakan belakang yang kelihatan serupa dengan Harley Duo Glide.

Dua prototaip berfungsi sepenuhnya telah dibina, dengan satu dicat emas untuk ditunjukkan oleh Berliner di pameran, manakala satu lagi dalam warna hitam dan perak. Terdapat juga dua enjin ganti tambahan.

Tunggang uji

Penunggang ujian Ducati, Franco Farne, keluar daripada kilang Ducati untuk melakukan ujian jalanan sulung buat motosikal itu, namun dia kembali dengan keputusan: “pengendaliannya seperti trak.” Tetapi Ducati Berliner 1260 Apollo menebuskan dirinya dengan prestasi garis lurus, di mana ia mencecah lebih 200 km/j. Ujian ini mengesahkan bahawa ia merupakan motosikal Eropah terpantas pasca Perang Dunia Kedua.

Malangnya, prestasi yang menakjubkan itu juga menyebabkan kejatuhannya, terutamanya kerana ia dipasang dengan tayar kereta 16 inci. Seorang lagi penguji Ducati, dan bekas mekanik GP Giancarlo Fuzzi‚ keluar untuk ujian kelajuan tinggi pada autostrada Milan-Bologna. Tiba-tiba tayar Pirelli belakang motosikal ini mengembang dan tertanggal bunganya, malah keseluruhan tayar tercabut daripada rim pada kelajuan kira-kira 160 km/j. Fuzzi memanggil kelangsungan hidupnya sebagai ” satu keajaiban.”

Kuasa enjin itu kemudiannya dikurangkan kepada 80 hp dengan menurunkan nisbah mampatan dan memasang sesondol yang kurang agresif, tetapi ia masih terlalu kuat bagi mana-mana tayar pada masa itu. Sekali lagi ia telah dikurangkan kuasanya dengan menurunkan nisbah mampatan dan 65 hp; barulah kehausan tayar dikatakan “boleh diterima.”

Sebagai perbandingan, Moto Guzzi Grand Prix 500cc V8 mempunyai roda 20-inci, tetapi kuasa enjin 78 hp-nya sudah cukup untuk mengoyakkan tayar belakangnya.

Penghujung projek

Berliner gembira dengan persembahan itu dan terus mencetak risalah untuk menjual motosikal itu. Mereka bercadang untuk menjual versi ‘normale‘ dengan kuasa yang dikurangkan kepada orang awam sebagai model jelajah, sambil mengekalkan versi ‘Sport‘ yang berkuasa penuh untuk penguatkuasa undang-undang. Malah, 65 hp dari V4 masih lebih berkuasa daripada enjin Harley yang menghasilkan hanya 55 hp.

Bagaimanapun, versi yang dikurangkan kuasa enjin terpaksa bersaing dengan motosikal Eropah lain seperti BMW dan British Twins.

Harley juga boleh mendakwa bahawa harga Apollo sebanyak USD 1,500 itu terlalu mahal dan mereka menawarkan sesuatu yang hampir dengan prestasi itu pada harga yang jauh lebih murah.

Kemudian kerajaan Itali memutuskan bahawa pasaran terhad untuk model Apollo ini tidak membawa faedah daripada segi kos perkakas dan pengeluaran, dan menarik balik pembiayaan projek. Ini adalah tamparan hebat kepada rancangan perniagaan Berliner.

Sesuatu peluang yang terlepas

Ducati Berliner 1260 Apollo sebenarnya boleh menjadi ‘superbike‘ yang pertama jika teknologi tayar  masa itu dapat menampung kuasa enjinnya. Sebaliknya, Honda CB750 muncul pada tahun 1969 untuk menuntut penghormatan itu. Walaupun begitu, ia hanya mempunyai 68 hp dan kelajuan tertinggi 201 km/j. Kawasaki Z1 dengan enjin 903cc pada tahun 1972 pun hanya menghasilkan 81 hp dan kelajuan tertinggi 209 km/j.

Beberapa tahun kemudian, Honda dan Suzuki akan meniru rekabentuk V4 Ducati untuk mereka menguasai perlumbaan GP.

Ia sememangnya suatu peluang yang terlepas.

Walaubagaimanapun, reka bentuk enjin V4 membawa Taglioni kepada merekabentuk enjin yang akan membawa penguasaan Ducati dalam perlumbaan superbike, iaity V-Kembar (V-Twin) 90º. Tetapi dapat dilihat bahawa enjin V4 1257cc ini mempunyai tempat di hatinya, yang mana salah satu enjin ganti tersebut berada di dalam pejabatnya sehingga persaraannya pada 1984.

Hari ini, prototaip hitam dan perak itu dimiliki oleh Hiroaki Iwashita, dan ditempatkan di muziumnya di Yufuin di pulau Kyushu, Jepun.

Nasib prototaip berwarna emas tidak diketahui.

Norton Motorcycles bermula pada tahun 1898 dan telah melalui segala situasi di dalam sejarahnya termasuklah inovasi, kejayaan perlumbaan dan jualan, penurunan, pengambilalihan dan kebangkitan semula.

Terdapat tiga episod kebangkitan, pertama di bawah syarikat pelaburan Amerika Utara, diikuti oleh Stuart Garner, dan akhirnya pada masa ini oleh TVS Motor Company yang berpangkalan di India bermula 2020.

TVS Motor mempunyai rancangan besar untuk jenama legenda itu dan tidak sabar untuk mengembangkannya secara global.

Daripada Siaran Media

Norton Motorcycles, sebahagian daripada Syarikat Motor TVS, mengumumkan rancangan pelaburan dan pertumbuhannya untuk meletakkan syarikat itu di tempat yang ideal untuk pengembangan antarabangsa. Ketika di Goodwood Festival of Speed, ahli pasukan kepimpinan kanan Norton – Sudarshan Venu, Dr Robert Hentschel dan Richard Arnold – berkongsi visi jenama itu dan membincangkan bagaimana Norton kini berada pada kedudukan yang sempurna untuk berkembang secara global.

Sudarshan Venu, Pengarah Urusan, TVS Motor Company, berkata: “Visi, komitmen dan pelaburan kami ke dalam jenama Norton sedang memasukki fasa yang menarik. Kami tidak sabar-sabar untuk berkongsi perkara itu dengan penunggang motosikal di seluruh dunia.

Sudarshan Venu

Dengan sokongan TVS Motor dan keupayaan global, Norton sedang dicergaskan semula sebagai jenama global, yang diketuai oleh pasukan yang kuat dan dinamik.

TVS Motor telah memberikan komitmen sebanyak £200 juta sepanjang hayat pelaburan dalam pembangunan produk baharu, kemudahan, penyelidikan dan pembangunan serta kejuruteraan kualiti bertaraf dunia. Motosikal Norton baharu akan mengikut falsafah syarikat iaitu ‘Reka Bentuk, Dinamisme dan Perincian’. Pelancaran produk yang menarik sedang dirancang mulai tahun depan, dengan enam model baharu dirancang dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sebagai sebahagian daripada ini, Norton sedang bersedia untuk pengembangan antarabangsa dengan tumpuan awal pada Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Itali dan India.

Pelantikan termasuk Richard Arnold, Pengarah Eksekutif Norton, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Manchester United dan Dr. Robert Hentschel, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Norton Motorcycles. Menghimpunkan orang yang betul telah meletakkan Norton dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhannya.

Hasil daripada pelaburan dan sokongan TVS, penyelidikan dan pembangunan Norton yang digiatkan semula telah disalurkan ke dalam saluran paip produknya melalui kemudahan canggihnya di Solihull, UK. Perjanjian untuk ini ialah One of One V4SV, yang diilhamkan oleh ‘White Charger’ Steve Hislop yang mempercepatkan Goodwood Hillclimb setiap hari perayaan.

Dr. Robert Hentschel, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, berkata: “Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta kepimpinan telah meletakkan kami pada kedudukan untuk membawa enam produk menarik ke negara-negara di seluruh dunia, dengan kualiti dan skala bertaraf dunia, mengeja satu lagi zaman kejayaan dalam Norton cerita. Tumpuan kami pada reka bentuk, kebolehmanduan dan butiran akan memaksimumkan peluang menarik untuk Norton serta pelanggan baharu yang memilih salah satu motosikal kami.

Dr. Robert Hentschel

Tahun ini juga menandakan penyiapan Norton Motorcycles memberi penghormatan kepada pelanggan Norton Motorcycles UK Ltd (NMUL). Selepas melabur £2.3 juta ke dalam pembangunan, pembuatan dan kejuruteraan semula platform Komando dan V4, pemenuhan dan penghantaran pesanan untuk pelanggan syarikat terdahulu menandakan penutupan bab penting di mana Norton boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada masa depan syarikat.

Richard Arnold, Pengarah Eksekutif, berkata: “Warisan Norton adalah luas, dan memainkan peranan penting dalam pembangunan kami sebagai jenama global. Adalah penting bagi kami untuk mengutamakan pelanggan kami, pada masa kini dan akan datang. Bukan sahaja dengan basikal baharu tetapi juga dengan setiap titik sentuhan pengalaman Norton. Produk yang sedang dalam ujian dan pembangunan adalah sangat menarik. Penunggang basikal di seluruh dunia akan suka menunggangnya dan suka memilikinya, saya tidak sabar untuk memperluaskan ketersediaan mereka kepada pengedar tempatan di wilayah baharu dan berhubung dengan penunggang basikal untuk berkongsi perjalanan Norton.

Richard Arnold
Tamat Siaran Media

Jadi, marilah kita menantikan Norton memasuki semula pasaran Malaysia, ya?

Adakah kita akan melihat pengakhiran era superbike dengan enjin V-Twin Ducati, setelah Ducati Panigale V2 Superquardro Final Edition (Edisi Terakhir) dilancarkan? Kilang itu masih akan menggunakan enjin V-Twin 90° dalam model lain, tetapi ia akan menjadi hari yang menyedihkan untuk melihat ketiadaan superbike Ducati dua silinder dalam barisan model Ducati, kerana enjin V-Twin (Ducati memanggilnya ‘L’-Twin) inilah yang mengukuhkan nama Ducati di mata dunia.

Jadi, mungkin ini masa yang sesuai untuk menjejaki semula evolusi superbike Ducati dengan enjin V-Twin. (Artikel ini merangkumi motosikal sportbike Ducati sahaja.)

Bilakah enjin V-Twin Ducati bermula?

Seperti hampir semua pengeluar, Ducati telah bermula dengan membina enjin satu silinder. Yang pertama sebenarnya adalah unit 48cc buatan SIATA yang dipasang pada basikal Ducati pada 1950.

Ducati sebenarnya pernah membina sebuah motosikal berenjin V4 yang dipanggil Berliner 1260 Apollo pada 1964. Ia terlalu buas yang hampir tiada siapa boleh menunggangnya dan tiada tayar belakang dapat menahan tork dan kuasa enjin tersebut. Mengapa tidak: Enjin 90° V-Four 1257cc itu menghasilkan 100 hp pada hanya 7,000 RPM. Sebagai perbandingan, enjin V-Twin Harley-Davidson pada era itu hanya menghasilkan 55 hp. (Kami akan bercerita lebih lanjut mengenai motosikal yang menarik ini!)

Pada suatu hari, 20 Mac 1970, Dr. Fabio Taglioni mula membuat lakaran untuk sebuah enjin V-Twin 90°. Dari sinilah sejumlah besar model muncul dalam perlumbaan dan model jalanan, termasuk motosikal lumba 500cc dan basikal jalan 750cc. Ducati 750 Imola Desmo terus memenangi perlumbaan Imola pada tahun 1972.

Aci sesondol dipandu dari aci menegak dan sistem gear serong sehingga ke tahap ini. Taglioni memperkenalkan Pantah 500SL dengan sesondol dipacu tali sawat pada tahun 1980. Sistem dipacu tali sawat ini diteruskan sehingga Superquardro V-Twin muncul pada 1199 Panigale.

Dua bertambah menjadi empat

Dr. Taglioni telah mengkaji penggunaan kepala silinder dengan empat injap tetapi nampaknya tidak membuat kemajuan. Sebaliknya, muridnya Massimo Bordi yang berjaya merekabentuk dan meneruskannya.

Enjin empat injap V-Twin 90° kini dikenali sebagai Desmoquattro, bermula dalam prototaip 748IE untuk perlumbaan Bol d’Or pada 1986, sebelum digunakan dalam Ducati 851 pada 1987. Pada masa yang sama, ia juga merupakan enjin Ducati yang pertama yang menggunakan penyejukan cecair. Raymond Roche membawa 851 ke mahkota Superbike Dunia julung kalinya untuk Ducati pada 1990, dan sebagai pembuka tirai penguasaan Ducati dalam kejuaraan itu.

Model 851 menjadi 888, kemudian muncul 916 ikonik yang seterusnya menjadi 955 (versi SP yang amat terhad sahaja), dan akhirnya 996.

Sub-kategori bagi Desmoquattro

Testastretta

Pada 2001, Ducati mengeluarkan model homologasi 996R. Ia pada asasnya menggunakan enjin 998cc  yang menampilkan kepala Testastretta baharu atau “kepala sempit”. Testastretta baharu mempunyai sudut injap yang disertakan dikurangkan daripada 40 darjah kepada 25 darjah. Oleh itu, lubang boleh dibuat lebih besar untuk meningkatkan had putaran, dengan itu menghasilkan lebih banyak kuasa hujung atas.

Model 999 yang direka oleh Pierre Terblanche ialah motosikal yang direkabentuk semula sepenuhnya, dan menyusul pada tahun 2003. Walau bagaimanapun, rekabentuk itu terlalu jauh dari masanya dan telah dikutuk dengan teruk, walaupun 999 ini lebih baik di semua segi.

Testastretta Evoluzione

999 pula digantikan oleh 1098 pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin V-Twin Testastretta Evoluzione yang paling berkuasa pada era itu dan diterima baik, apalagi dengan gaya evolusi 916. 1098 menjadi 1198 pada tahun 2009.

Superquadro

Barisan 1098/1198 kemudiannya digantikan dengan 1199 Panigale pada tahun 2012, dan dengan itu bermulalah era enjin Superquardro. Ia adalah V-Twin yang paling berkuasa pada masa itu dengan menghasilkan 195 hp dan 133 Nm.

Terdapat beberapa perubahan, yang paling jelas ialah aci sesondol yang dipacu dengan sistem haibrid tali sawat/rantai. Ducati membuat empat kapasiti enjin ini, antara 898cc hingga 1285cc.

Sportbike V-Twin yang lebih kecil

Kita perlu menyebut mengenai motosikal sportbike Ducati berkapasiti lebih kecil kerana ia membawa kepada Ducati Panigale V2 Superquardro Final Edition. Di bawah 916 adalah 748 yang lebih kecil yang Ducati lumbakan dalam kategori SuperSport untuk bertarung dengan superbike berenjin 600cc empat silinder sebaris. Enjin 748 sudah tentunya merupakan enjin Desmo V-Twin 90° dengan empat injap setiap silinder. Jadi, untuk melengkapkan garis masa, enjin 748cc mula menjadi lebih besar menjadi 749, 848, 899, dan akhirnya 955 sekarang dengan enjin Superquardro. Panigale 955cc telah dijenamakan semula sebagai Panigale V2 berikutan penampilan pertama Panigale V4 pada 2018.

 

‘On’ tak ‘on’. Malah mungkin menyebabkan GP India dipindahkan ke tarikh yang berbeza. Itulah saga MotoGP Kazakhstan 2024. Ia kini telah dibatalkan sepenuhnya dan akan digantikan dengan pusingan kedua di Misano.

Kazakhstan telah dijadualkan pada 2023 tetapi Litar Antarabangsa Sokol dianggap belum siap. Itu menyebabkan pusingan tersebut ditunda ke tahun ini. Malangnya, banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini melanda rantau Asia Tengah pada Mei dan memaksa pusingan yang dijadualkan bermula dari 16 Jun itu dibatalkan.

Kemudian penganjur GP India pula membuat onar. Akibatnya, Dorna memutuskan untuk menggantikan GP India yang dijadualkan bermula dari 20 September dengan GP Kazakhstan. GP India, sebaliknya, dipindahkan ke Mac tahun depan.

Tetapi itu bukan penamat, kerana MotoGP mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa pusingan Kazakhstan telah dibatalkan sama sekali kerana isu logistik yang “telah menjadikan acara itu mustahil untuk dijalankan.”

“FIM, IRTA dan Dorna Sports mengumumkan pembatalan Grand Prix Kazakhstan,” kata kenyataan itu. “Isu operasi dan logistik yang timbul daripada banjir awal di seluruh wilayah menyebabkan acara itu mustahil untuk diadakan pada 2024.

“Litar Dunia Misano Marco Simoncelli sebaliknya akan menganjurkan Grand Prix Emilia-Romagna dari 20 hingga 22 September.

“MotoGP teruja untuk mengadakan acara kedua di tempat ikonik Adriatik, memberikan peminat Itali yang bersemangat peluang selanjutnya untuk melihat sukan paling menarik di dunia beraksi.”

Semakan itu mewujudkan situasi janggal kerana Kejohanan Superbike Dunia juga akan berlangsung pada hujung minggu yang sama, walaupun di trek Itali lain, Litar Cremona. Pusingan pertama MotoGP Misano akan diadakan dari 6-8 September. Jadi, Itali akan menjadi hos kepada 3 pusingan perlumbaan motosikal dalam masa dua minggu.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube