Seiring dengan perasmian BMW M 1000 R 2023, BMW Motorrad turut memperkenalkan M 1000 RR yang telah dipertingkat bagi tahun 2023.
Menariknya, sebahagian besar peningkatan yang dilakukan pada M 1000 RR 2023 ini memfokuskan bahagian aerodinamik.
Hasilnya, M 1000 RR ini menawarkan kelajuan maksima yang lebih tinggi meskipun enjin 4-silinder inline 999cc itu kekal menghasilakn 205hp pada 13,000rpm dan 1112Nm pada 11,000rpm.
Menurut BMW, angka itu dicapai dengan melakukan ujian ‘wind tunnel’ yang lebih intensif sambil dibantu rekaan panel badan gentian karbon dan reka bentuk ‘winglet’ yang lebih agresif.
Penghadang angin yang lebih tinggi juga menyumbang kepada M 1000 RR 2023 ini mencapai kelajuan lebih tinggi.
Difahamkan, winglet tersebut boleh menghasilkan ‘downforce’ sehingga 22.6kg pada kelajuan 299km dan 5.7kg pada 150km/j sekaligus memastikan tahap cengkaman yang lebih baik di litar mahupun jalan raya.
Lebih menarik, BMW juga melengkapkan M 1000 RR ini dengan corong penyejuk gentian karbon di bahagian rim yang berfungsi menurunkan suhu kaliper brek sehingga 10 darjah selsius.
Pelindung tayar karbon juga mengurangkan tahap rintangan angin dengan lebih efektif sekaligus meningkatkan aerodinamik.
Selain itu, BMW juga menawarkan pakej M Competition bagi yang berminat untuk meningatkan lagi prestasi jentera ini. Pakej tersebut merangkumi GPS laptrigger, rantai M Endurance Chain dengan selaput DLC dan lebih banyak aksesori gentian karbon lain.
BMW Motorrad akhirnya merasmikan BMW M 1000 R 2023 untuk pasaran dunia yang sekaligus menjadi model ‘M’ kedua diperkenalkan selepas M 1000 RR tahun lalu.
Meskipun dibangunkan dengan platform S 1000 R namun M 1000 R ini mendapat enjin yang sama seperti M 1000 RR. Hasilnya, model M baharu ini menawarkan 205hp pada 13,000rpm dan 112Nm pada 11,000rpm.
Naik taraf pada sistem ShiftCam juga menyaksikan tork meningkat dari 10,000rpm kepada 12,000rpm dengan ‘redline’ diletakkan pada 14,600rpm berbanding 12,000rpm pada S 1000 R.
Berdasarkan angka tersebut, ini bermakna M 1000 R juga jentera yang boleh meliar di litar lumba.
Selain itu, M 1000 R 2023 ini juga datang dengan sproket lebih pendek, 47 berbanding 45 pada S 1000 R.
Gear 4, 5 dan 6 juga lebih pendek agar M 1000 R ini lebih mesra ketika tunggangan dalam bandar. Bagi pengalaman yang lebih mengujakan, BMW M 1000 R ini juga dilengkapi Shift Assistant Pro (quickshifter) secara standard. Menariknya operasi sistem ini boleh diselaraskan sama ada mengikut tukaran gear konvensional atau gear GP.
Pakej elektronik pula terdiri daripada empat mod menunggang; Rain, Road, Dynamic dan Race manakala tiga mod lagi boleh diaktifkan ketika dalam litar; Race Pro 1, Race Pro 2 dan Race Pro 3.
Ciri lain termasuk Dynamic Traction Control (DTC) yang merangkumi wheelie-limitation, pit-lane limiter, launch control dan hill-start control (HSC).
Bagaimanapun, tumpuan utama sudah tentu terarah pada bahagian panel badan yang dilengkapi winglet aerodinamik.
Menurut BMW, selain daripada menonjolkan rupa agresif M 1000 R ini, winglet tersebut juga berfungsi menghasilkan ‘downforce’ sehingga 10kg pada kelajuan 218km/j.
Suspensi pula merangkumi fork depan jenis USD 45mm boleh laras (spring preload dan compression/rebound 10 peringkat) dan penyerap belakang dengan preload/compression dan rebound boleh laras.
Menariknya, model ini juga disertakan dengan sistem Dynamic Damping Control (DDC) yang bertindak mengawal suspensi mengikut tetapan mod menunggang.
Brek pula dikendalikan cakera brek berkembar 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek 4-pot di depand an cakera brek 220mm dengan kaliper 1-pot dibelakang. Brek juga diselia dengan ABS Pro dan Brake Slide Assist.
Akhir sekali, segala informasi jentera boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna 6.4-inci.
Difahamkan, BMW M 1000 R 2023 ini akan mula dipasarkan seluruh dunia bermula Januari tahun depan.
Baru-baru ini kami menghadiri pelancaran rasmi Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 untuk pasaran Malaysia yang dirasmikan pengedar rasmi, Chear Global.
*Italjet Dragster 200
Menariknya, sempena pelancaran terbabit, Chear Global turut menerbangkan Pengurus Penjualan dan Pemasaran Italjet, Sandro Carparelli.
Kehadiran antara individu penting Italjet dari Itali itu memberi peluang kepada kami untuk mengajukan beberapa soalan.
Antaranya, apakah yang kami boleh jangkakan daripada pihak Italjet sendiri tatkala pameran motosikal terbesar dunia, EICMA akan berlangsung pada November.
*Sandro Caparelli (kanan)
“Di EICMA nanti kami akan mempamerkan sebuah prototaip yang menampilkan rekaan sama seperti Dragster sedia ada namun dengan enjin yang lebih besar.
“Prototaip itu akan menggunakan enjin 300cc,” jelas Caparelli.
Menariknya, Caparelli turut mendedahkan bahawa Italjet juga akan meayangkan sebuah jentera konsep yang akan menjadi kejutan di Milan nanti.
“Juga akan terdapat sebuah model konsep yang saya tidak boleh dedahkan ketika ini namun model itu akan menjadi bintang utama di EICMA,” tambah Caparelli.
Tambah Caparelli lagi, prototaip Dragster 300cc itu akan dipasarkan dalam tempoh dua tahun lagi manakala model konsep itu pula akan memakan masa lebih lama sebelum beralih ke peringkat pengeluaran.
Italjet merupakan antara pengeluar yang akan mengambil bahagian di EICMA 2022 bersama nama besar lain.
Sementara itu, Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 kini boleh didapati menerusi pengedar rasmi dengan harga RM29,500 dan RM35,800.
Meskipun nama Loncin kurang dikenali namun pengeluar motosikal dari China itu merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan enjin bagi beberapa model BMW Motorrad.
*BMW F 850 GS
Hasil kerjasama Loncin dan BMW Motorrad membawa kepada terhasilnya model C 400 GT, C 400 X, F 750 GS, F 850 GS, F 900 R dan F 900 XR.
Kerjasama yang terjalin itu menyamai langkah yang dilaksana KTM bersama CFMOTO dan Qianjiang Motor bersama MV Agusta.
Namun, beberapa tahun selepas menghasilkan enjin bagi BMW, Loncin akhirnya akan memperkenalkan model sendiri dibawah jenama Voge.
Voge merupakan jenama motosikal premium China milik Loncin.
Sebagai langkah sulung, Loncin dilaporkan akan melancarkan Voge 900DS di pameran motosikal EICMA pada November ini.
Imej motosikal itu turut bocor di laman sosial dengan beberapa media antarabangsa sudah berkongsi gambar model terbabit baru-baru ini.
Berdasarkan gambar dikongsikan, jelas model 900DS itu mendapat inspirasi daripada model ADV BMW seperti F 850 GS. Namun bahagian panel depan pula tampak seperti Triumph Tiger 900.
Ketika ini, Loncin menghasilkan enjin dua enjin parallel-twin untuk BMW, 853cc bagi model F 850 GS dan 895cc bagi F 900 R/XR.
*BMW F 900 XR
Namun enjin 853cc pada F 850 GS lebih relevan kerana telah ditala bagi menghasilkan kuasa dan tork yang sesuai bagi sebuah jentera ADV pertengahan. Untuk rekod, enjin tersebut menawarkan 90hp dan 92Nm pada 6,250rpm.
Apa yang pasti, segala jawapan akan diketahui ketika EICMA berlangsung pada November ini.
Vespa Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Justin Bieber X Vespa edis terhad untuk pasaran tempatan dengan harga RM28,500.
Kurang enam bulan selepas dilancarkan di Eropah, Justin Bieber X Vespa kini dipasarkan di Malaysia.
Menurut Vespa Malaysia, setiap pembelian skuter edisi terhad itu turut disertakan dengan ‘flyscreen’ dantop box serba putih dengan penyandar.
Selain itu, turut ditawarkan adalah aksesori khas Justin Bieber X Vespa yang merangkumi sarung tangan, beg, dan helmet serba putih.
Vespa sebelum ini turut pernah berkolaborasi dengan beberapa jenama dan personaliti terkenal antaranya, Giorgio Armani, Christian Dior dan Sean Wotherspoon.
Menurut Vespa, Bieber X Vespa merupakan model yang unik dan berinspirasi dengan Bieber juga merupakan antara peminat jenama itu.
“Kali pertama yang menunggang Vespa adalah di Eropah dan saya ingat lagi sebaik ternampak skuter tersebut di jalan raya, saya terus berhajat memilikinya.
“Pengalaman menunggang Vespa sangat mengujakan, terasa bebas.
“Saya cintakan Vespa dan berupaya berkolaborasi dengan jenama klasik ini sangat menyeronokan,” jelasnya.
Malaysia antara negara Asean yang dibanjiri motosikal dengan lebih 13 juta motosikal direkodkan setakat hujung 2021.
Jadi tidak hairanlah Malaysia menduduki tangga ke-4 dunia dengan 83 peratus isi rumah memiliki motosikal selepas Thailand, Vietnam dan Indonesia menurut WorldAtlas.
Namun begitu, itu tidak bermakna Malaysia ditawarkan dengan motosikal pelbagai model sebaliknya terdapat beberapa model yang kami harap dipasarkan di sini.
Berikut lapan motosikal yang kami harap akan masuk Malaysia pada masa akan datang:
Kawasaki KLR 650
Antara motosikal paling popular Kawasaki sejak diperkenalkan pada 1987, KLR650 kembali bagi tahun 2022 selepas kali terakhir dikemas kini pada 2008.
Menariknya Kawasaki mengekalkan enjin satu silinder 652cc DOHC dengan penyejukan cecair sama seperti generasi sebelumnya namun menaik taraf kepada sistem suntikan bahan api EFI menggantikan karburator.
Meskipun model ini tidaklah berkuasa seperti model Kawasaki 650 lain namun KLR 650 dikenali dengan tahap ketahanan tinggi di samping mampu meredah permukaan yang ekstrim.
Kawasaki W175
Selain daripada pasaran Filipina dan Thailand, Kawasaki baru-baru ini telah melancarka W175 di pasaran India.
Motosikal gaya retro ini pastinya akan mendapat tempat di pasaran Malaysia apatah lagi motosikal gaya klasik kini bukan sahaja diminati golongan berusia malah remaja.
Kumpulan motosikal seperti Hikari Riders – yang diketuai Noh Hujan – dan acara seperti Distinguished Gentleman’s Ride menjadi daya penarik kepada anak muda terlibat dengan motosikal retro.
Untuk rekod, Kawasaki W175 ini dikuasakan enjin satu silinder 177cc yang menghasilkan 13hp dan 13.2Nm. Meskipun kuasa enjin agak rendah namun motosikal ini tetap nampak bergaya.
Honda Trail 125/Hunter Cub 125
Sebuah lagi motosikal yang kami harap dapat dipasarkan di Malaysia adalah Honda Trail 125 (Eropah) atau Hunter Cub 125 bagi pasaran Jepun.
Menariknya, model ini dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Honda Super Cub 125 yang dipasarkan di Malaysia.
Bagaimanapun, Honda Trail 125 ini lebih menarik perhatian ekoran menawarkan gaya dan reka bentuk lasak.
Rekaan keseluruhan Trail 125 ini diinspirasikan daripada model Trail 110 era 70an terutamanya reka bentuk ekzos yang ditempatkan di bahagian sisi penunggang.
Honda Trail 125 ini menawarkan 9.65hp pada 7,500rpm dan 10.4Nm pada 6,250rpm dan digerakkan transmisi 4-kelajuan. Meskipun kurang sengat namun model ini pastinya sesuai digunakan sebagai motosikal harian oleh semua jenis peringkat umur.
Yamaha XSR 155
Walaupun Yamaha XSR 155 ini cukup popular di Thailand, Indonesia dan Filipina namun model ini tidak dipasarkan di Malaysia sehingga kini.
Selain XSR 155, versi 900cc juga tidak dipasarkan disini oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Seperti Kawasaki W175 dan Honda Trail 125, Yamaha XSR 155 ini juga datang dengan gaya retro dengan penggunaan lampu bulat di depan, kerangka terdedah, panel meter digital LCD bentuk bulat dan tempat duduk gaya klasik.
Menariknya, Yamaha XSR 155 ini dikuasakan enjin satu silinder 155cc SOCH dengan VVA yang sama terdapat pada Yamaha R15M.
Honda Ruckus
Secara peribadi, kami berasakan Honda Ruckus merupakan skuter kompak paling cantik pernah dihasilkan Honda dan sukar ditandingi pengeluar lain dalam kelasnya.
Manakan tidak, rekaan keseluruhan Ruckus ini tampak unik dan luar biasa.
Walaupun hanya bernadikan enjin satu silinder 49cc dengan penyejukan cecair namun dengan reka bentuk terdedah dan ;ampu bulat berkembar menjadkan Ruckus sebuah skuter yang sangat menarik perhatian.
Menariknya, Ruckus dilengkapi dengan tangki sebesar 4.9L dan sesuai digunakan sebagai motosikal harian.
Skuter ini sangat popular di Amerika Syarikat terutamanya bagi budaya kustom di negara itu.
Yamaha Tenere 700
Sudah bertahun kami harapkan Yamaha Tenere 700 dibawa masuk ke Malaysia namun sehingga kini masih tiada jawapan dari HLYM.
Tenere 700 merupakan sebuah jentera ‘adventure’ pertengahan yang terbukti menawarkan kemampuan meredah permukaan lasak.
Baru-baru ini di Rimba Raid 2022, tiga jentera Yamaha Tenere 700 mendominasi podium bagi Class B.
Pihak penganjur juga menharapkan HLYM membawa masuk model itu ekoran sudah terbukti kemampuannya.
Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 digerakkan enjin parallel-twin 689cc DOHC yang menawrakan 72.4hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 68Nm.
Honda Super Cub 110
Ketika ini, Boon Siew Honda (BSH) hanya menawarkan Honda Super Cub 125 untuk pasaran negara.
Walaupun model gaya klasik itu menarik perhatian namun tidak dinafikan harga yang ditawarkan sekitar RM13,999 adalah agak tinggi bagi model sebegitu.
Namun, lain kisahnya jika BSH memasarkan Honda Super Cub 110 yang ketika ini dipasarkan di Jepun dan beberapa negara jiran.
Menampilkan ciri klasik seperti varian 125, Super Cub 110 dipasarkan di Jepun pada harga hanya JPY280,500 (RM8.9k) berbanding JPY440,000 (RM14k) bagi sebuah Super Cub 125.
Ini bermakna, sekiranya dipasarkan di Malaysia permintaan Super Cub 110 pastinya lebih tinggi.
Untuk rekod, Honda Super Cub 110 dikuasakan enjin 109cc 4-stroke, SOHC dengan PGM-FI yang berupaya menghasilkan 7.8hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm pada 5,500rpm.
Meskipun kurang berkuasa namun gaya yang ditampilkan cukup menarik perhatian di samping berpeluang untuk dikustom dengan pelbagai cara oleh pengguna.
Di antara semua model yang disebut di atas kami menharapkan Yamaha Tenere 700, XSR 155 dan Honda Super Cub 110 antara model yang harus dipertimbangkan untuk pasaran tempatan kerana pastinya terdapat permintaan yang tinggi mengikut demografik masing-masing.