Bikesrepublic

Berita Terkini

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengatakan bahawa jika ia menceburi kenderaan elektrik (EV), ia akan menjadi EV tulen dan bukan EV hibrid plug-in.

“Jika kita menceburi EV, ia akan menjadi EV yang lengkap dan sesuai,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad pada majlis pelancaran Perodua Alza baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Zainal, bagaimanapun, mencadangkan bahawa usaha EV oleh Perodua tidak akan datang dalam masa terdekat kerana beliau berkata kenderaan sedemikian masih memerlukan kajian pasaran dan pelanggan, manakala tabiat pemanduan juga perlu diubah.

Sementara itu, Ismail Sabri menggesa Perodua dan syarikat utiliti nasional Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama dalam memperkenalkan kadar caj EV mampu milik untuk rakyat.

Perdana menteri berkata TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran tenaganya dengan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menyediakan stesen pengecas EV yang mencukupi.

“Pada masa sama, Perodua boleh menggunakan peluang ini dengan meneroka bidang baharu seperti menghasilkan EV berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh keluarga Malaysia.

Malah, syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia juga boleh bekerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang membolehkan pengguna untuk menempah sesi pengecasan EV dalam talian,” tambahnya.

Perodua Alza 1.5L 2022 baharu telah menerima 30,000 tempahan yang memecahkan rekod sebelum pelancaran rasminya, yang turut dihadiri rakan kongsi strategik Perodua Daihatsu Motor Co, Soichiro Okudaira dan pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin.

Pesanan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah jenama itu setakat ini, menurut Zainal.

Beliau berkata hampir 4,000 pelanggan telah menukar pesanan Alza mereka kepada versi terkini walaupun sebelum ia dibuka untuk tempahan pada 23 Jun.

“Sesetengah pelanggan kami akan menerima Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan sah di seluruh negara mulai hari ini.

Kami juga memberi jaminan kepada pelanggan kami yang menempah Alza 2022 mereka pada atau sebelum 30 Jun bahawa mereka akan menerima kenderaan mereka sebelum 31 Mac , tarikh akhir 2023,” tambahnya.

Perodua telah melabur RM770 juta untuk membangunkan model baharu Alza mulai April 2018.

Ia dibangunkan bersama di bawah Daihatsu New Global Architecture (DNGA) di mana pereka dan jurutera Malaysia bekerja dengan rakan sejawatan mereka dalam Daihatsu Motor Co. dari Jepun.

Ia merupakan model kedua dibangunkan di bawah DNGA selepas Perodua Ativa yang diperkenalkan pada Mac 2021.

“Perkongsian ini telah membolehkan Perodua dan pembekalnya bekerjasama dengan Daihatsu untuk mencapai skala ekonomi dan meningkatkan kos pembangunan model baharu – yang dalam kes ini ialah Alza 2022,” kata Zainal.

Alza baharu boleh didapati dalam tiga varian dan dijual pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk H dan AV berspesifikasi tinggi pada harga RM75,500.

Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia dengan cukai jualan dan tanpa insurans.

Tumpuan kenderaan pelbagai guna itu adalah ruang dalamannya yang lebih besar berbanding pendahulunya terutamanya di baris ketiga, dan kini dengan unit penghawa dingin belakang.

Semua varian dijalankan pada enjin 1.5L Dwi VVT-i EEV yang dipasangkan dengan transmisi D-CVT kecekapan bahan apinya juga telah dipertingkatkan dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya dengan sehingga 22km seliter.

Ciri baharu lain termasuk pemandangan panoramik 360, brek letak kereta elektronik dengan penahan brek automatik, brek cakera belakang dan mod pemanduan baharu: Normal, Eko dan Kuasa.

Semua varian datang dalam lima pilihan warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, dan Elegant Black dan Vintage Brown yang baharu.

MIMOS Bhd membangunkan motosikal Range Extended Electric Vehicle (RE-EV) yang pertama di Malaysia dengan kerjasama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

MIMOS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan projek RE-EV adalah melalui program High Value-Added and Complex Product Development Programme (HVA), iaitu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan sektor pembuatan dalam membangunkan produk bernilai tambah tinggi serta kompleks.

Projek RE-EV yang mengambil masa selama dua tahun itu disepadukan dengan genset enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk memberi pengecasan tambahan kepada bateri yang boleh memanjangkan jarak perjalanan.

“Jika dibandingkan dengan EV hibrid di mana kedua-dua ICE dan motor elektrik dijadikan sistem drivetrain, RE-EV pula ialah sebuah sistem yang lebih ringkas, di mana ia tidak memerlukan rantai pemacu untuk memutar roda.

“Ini akan mengurangkan kerisauan penunggang ketika memandu jarak jauh kerana genset akan diaktifkan apabila tenaga bateri sedia ada menurun di bawah ambang tertentu,” menurut kenyataan itu.

Motosikal RE-EV yang disempurnakan bulan lalu itu dibangunkan dengan penggunaan bateri boleh ditanggalkan yang juga boleh disokong dengan pertukaran bateri.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr Iskandar Samad, berkata geran kerajaan seperti HVA terbukti mampu membantu industri dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengkomersialan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi, terutama untuk perusahaan Malaysia dengan menawarkan banyak peluang ekonomi.

“Pembangunan motosikal RE-EV ini diharapkan dapat menjadi pendorong utama industri kenderaan dua roda bukan sahaja di pasaran domestik, malah pasaran serantau.” katanya.

Selain motosikal RE-EV, MIMOS juga telah menyempurnakan dua lagi projek di bawah geran HVA iaitu Application Specific Integrated Circuit (ASIC) dengan kerjasama Oppstar Technology Sdn Bhd dan Asset Optimisation Leveraging on IIOT Technologies for O&G Industry dengan kerjasama Neu Zenith Sdn Bhd yang berjaya disiapkan pada April 2021.

ASIC ialah sebuah projek mereka bentuk harta intelek (IP) dengan klasifikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pemain industri semikonduktor dengan menyediakan IP ASIC yang boleh disepadukan ke dalam set cip AI semikonduktor mereka dan menyediakan klasifikasi AI pada cip data raya.

Projek IIOT Technologies for O&G Industry pula, MIMOS membangunkan Sistem Pemerolehan Data berasaskan IOT Tanpa Wayar untuk Persekitaran Kasar (iDASH) untuk mengukur pelbagai parameter seperti getaran, akustik dan suhu dalam persekitaran yang kasar seperti minyak dan gas.

Menurut kenyataan itu, MIMOS komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan pemain industri dalam menjayakan projek bagi memacu industri dan perniagaan Malaysia ke arah automasi dan pendigitalan bagi membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain memperkasakan industri.

Kejadian kemalangan maut babitkan lima individu di Pulau Pinang baru-baru ini mendapat perhatian ramai pihak susulan berkait dengan gejala lumba haram di negeri itu.

Sehubungan dengan itu, ramai pihak yang berpendapat bahawa kejadian seumpamanya itu boleh ditangani sekirannya kerajaan negeri mewujudkan litar lumba agar kejadian lumba haram yang meragut lima nyawa itu tidak berulang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah pun membuka proses permohonan pengemukaan cadangan (Request for Proposal) tahun lalu namun tiada satu syarikat pun yang memberi maklum balas.

“Sebelum ini kita ada satu cadangan untuk membuka satu litar besar di Batu Kawan, kita telah menjemput syarikat-syarikat yang layak untuk menyertai RFP projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

“Kita telah berusaha untuk elak kejadian sedemikian (kemalangan) tetapi tidak ada syarikat yang memberi respond kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” jelasnya.

Pulau Pinang sebelum ini telah pun bercadang untuk membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri dengan tanah berkeluasan 2.8 hektar itu dilihat lokasi sesuai untuk pembinaan tersebut. – KOSMO

Satu video memaparkan bekas Imam Masjidilharam menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi lengkap dengan berpakaian moden, menjadi tular dalam media sosial.     

Berdasarkan video dirakam oleh seorang peminat di aplikasi Snapchat, Sheikh Adel Al-Kalbani dilihat sedang duduk di atas motosikal jenis Harley Davidson di tepi jalan. 

Malah, Sheikh Adel juga kelihatan memakai jaket dengan bendera negara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa lagi ikon di atas pakaian itu.  

“Sheikh Adel tersenyum dan menunjukkan isyarat dua jari berbentuk `V’ sebagai simbol kedamaian selepas peminat yang merakam video meminta beliau berbuat demikian,” jelas laporan Al Arabiya

Nama Sheikh Adel menjadi sohor kini di Twitter sejak rakaman video itu tular dalam media sosial, Isnin lalu.

Malah, tindakan bekas Imam Masjidil Haram itu juga mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh Arab Saudi kerana dianggap luar biasa dan berbeza dengan ulama lain.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berpandangan cara Sheikh Adel berpakaian mungkin sukar diterima oleh sesetengah rakyat. 

“Pada hemat saya, Sheikh Adel tidak melakukan sebarang perkara yang dilarang. Beliau bebas membuat apa sahaja dimahukan.

“Namun, kita sudah biasa melihat golongan imam terutama Imam Masjidil Haram berpakaian dengan cara tertentu. Jadi, kami sukar menerima perkara ini,” katanya di Twitter.

Bagaimanapun, rata-rata warganet memuji penampilan baharu Sheikh Adel dengan ada yang menggelar beliau sebagai tokoh luar biasa.     

Ramai juga yang menganggap apa yang dilakukan oleh bekas Imam Masjidil Haram itu sebagai satu bentuk kebebasan baginya.  

“Apa salahnya memakai pakaian moden. Ini adalah kebebasannya. Tiada siapa yang akan mempertanggungjawabkan individu itu melainkan Allah.

“Jadi, mengapa mahu kecoh mengenai isu ini,” kata seorang pengguna yang menjawab komen negatif pada video tersebut.

“Kegiatan merempit adalah menyusahkan orang ramai, mengganggu pengguna jalan raya selain daripada membahayakan diri sendiri dan orang lain.Kesemua ini dilarang di da­lam syariat Islam dan merupakan satu perbuatan dosa.”

Demikian kenyataan dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkenaan dengan kegiataan merempit yang berlaku di negeri itu baru-baru ini yang menyaksikan lima individu maut.

Menurut Datuk Seri Wan Salim, aktiviti merempit adalah dilarang mengikut syariat Islam di samping bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah keselamatan orang lain.

Jelasnya, aktiviti merempit juga adalah satu dosa kerana wajib bagi rakyat mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Wan Salim juga luah rasa dukacita dan kecewa dengan jumlah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat naik ketika ini.

“Banyak nyawa manusia terkorban dan ramai pula yang ce­de­ra parah dan ada yang hilang keupayaan kekal sepanjang hayat.

“Islam juga wajibkan umat­nya memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah,” tambahnya.

Pada masa sama, Mufti Pulau Pinang itu juga meminta agar pihak berkuasa menyemak semula menyemak semula peraturan sedia ada bagi menyekat aktiviti merempit.

Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berpuas hati dengan pencapaian Syarifuddin Azman pada Pusingan 5 Kejuaraan JuniorGP Dunia di Litar Algarve, Portugal minggu lalu.

Beliau berharap tempoh rehat sehingga September dapat memberi ruang buat Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok memperkemaskan tunggangannya bagi mengharungi pusingan seterusnya di Litar Misano.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi Damok minggu lalu kerana meraih podium ketiganya musim ini dan sekali gus meletakkan dirinya berada di kedudukan kedua keseluruhan ketika ini.

“Ini adalah sesuatu yang bagus buat kami. Diharap, ketika tempoh rehat ini, dia dapat melihat secara mendalam apakah yang boleh dipertingkatkan lagi untuk ke depan lagi,” kata Zulfahmi.

Ahad lalu, Damok meraih podium ketiganya musim ini di Litar Algarve, Portugal selepas menemui garisan penamat kedua dengan catatan 29 minit 07.323 saat (s) dan dipisahkan 6.551s di belakang pemenang, Jose Rueda (29:00.772s) manakala Adrian Cruces melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 29:07.437s.

Pelumba lain yang bawah kendalian pasukan, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang turut beraksi dalam kelas sama pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan kini berada di tangga ke-19 keseluruhan.

Seorang lagi pelumba yang beraksi dalam saingan European Talent Cup (ETC), Hakim Danish Ramli tidak menamatkan perlumbaan selepas jentera mengalami masalah mekanikal dan kini berada di tangga kelima keseluruhan.

“Untuk Danial, ini adalah tahun untuk dia belajar. Dia masih belajar untuk menjadi pantas menggunakan motosikal Moto3. Untuk Danish pula, agak malang yang dia berdepan masalah mekanikal.

“Secara keseluruhannya, Danish adalah seorang pelumba kompetitif di ETC dan diharap, dia akan kembali dengan lebih kuat di pusingan seterusnya,” kata Zulfahmi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube