Bikesrepublic

Berita Terkini

Sikap pentingkan diri segelintir penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara membiarkan kereta dan motosikal tersadai di tempat letak kenderaan bertahun-tahun menyusahkan ramai pihak, tambah pula lagi dengan masalah kekurangan tempat meletak kereta.

Malah, bukan sahaja ia menyusahkan orang ramai, tetapi keadaan kenderaan yang dibiarkan hingga usang itu turut mengundang masalah lain seperti isu keselamatan dan kesihatan.

Ini kerana, kereta atau motosikal yang terbiar lama berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta haiwan perosak lain seperti tikus selain mengundang punca kebakaran.

Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Sabah 3A, Raja Rahim Raja Muhaiddin berkata, masalah kenderaan terbiar menjejaskan aspek kebersihan hingga menyebabkan kawasan itu menjadi lokasi panas untuk denggi.

Katanya, walaupun pelbagai program bagi membendung demam denggi dilaksana, hasilnya tidak dirasai jika kenderaan usang dan terbiar tidak dialihkan kerana masih memberi implikasi buruk.

“Saya tak nafikan memang perumahan tempat saya ini pernah capai 33 kes denggi, namun ia semakin berkurangan sejak kita mempunyai program komunikasi untuk perubahan tingkah laku (Combi) yang mana, kita buat pemeriksaan rawak tempat hotspot denggi selain semburan fogging berkala oleh agensi berkaitan.

“Saya anggarkan ada lebih 20 kereta dan motosikal terbiar di PA Seri Sabah 3A dan kalau isu ini tidak selesai, kita buat gotong-royong selalu pun tak guna.

“Saya pun sudah buat surat mewakili penduduk di sini supaya pihak DBKL mengambil tindakan lanjut bagi menyelesaikan isu itu kerana kita tidak boleh tarik kenderaan sesuka hati,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengerusi-Pengerusi Persatuan Penduduk PA dan PPR DBKL, Mohd Radi Razali berkata, hampir 90 peratus daripada 68 PA dan PPR DBKL berhadapan masalah kenderaan tersadai di parkirsejak sekian lama.

“Boleh dikatakan masalah kenderaan terbiar dan tidak bergerak ini berlaku 90 peratus di PA dan PPR milik DBKL, terutama sekali PPR kerana di bawahnya ada ruangan kosong.

“Dianggarkan ada lebih 1,000 kenderaan tersadai dan setiap PPR paling kurang ada 10 kes sama. Contohnya PPR Pantai Ria ada lebih 200 kenderaan rosak, tidak bergerak langsung atau tayar tiada angin.

“Isu ini pun memang sudah banyak kita buat aduan kepada DBKL, namun kita faham tempat simpanan kenderaan DBKL mungkin terhad, sebab itu kita minta supaya tindakan lebih tegas lagi diambil supaya pemilik kenderaan ‘faham’,” katanya.

Mohd Radi berkata, masalah berpunca daripada penghuni yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan.

“Apabila satu kenderaan rosak, dia akan tinggalkan di petak parkir atau mana-mana tempat berdekatan perumahan ini dan biasanya akan terbiar bertahun-tahun.

“Majoritinya kenderaan lama yang usianya mencecah 10 tahun ke atas. Ia akhirnya menjadi tempat pembiakan nyamuk, tikus atau ular kerana adakalanya kenderaan itu penuh dengan sampah seperti kotak, botol, surat khabar atau plastik.

“Apa yang paling kita bimbangkan, ia boleh menjadi punca kebakaran kerana plastik kalau disimpan terlalu lama dalam kenderaan dan keadaan terlalu panas ia mudah terbakar,” katanya.

Beliau meminta kerjasama pemilik kenderaan supaya lebih bertanggungjawab dan mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat sesuai atau menjualnya.

Selain memberi laluan untuk orang lain meletak kenderaan, ketiadaan kenderaan usang juga memberi pandangan yang lebih bersih di kawasan PPR dan PA.

“Selain itu, kita juga memohon jasa baik DBKL untuk memasang besi penghadang di ruang bawah PPR yang tiada longkang supaya kenderaan tidak dapat masuk parkir di situ,” katanya.

Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna mengakui terkilan dan kecewa apabila pembangunan teknologi yang cuba diketengahkan oleh mereka dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) seakan-akan tidak dihargai.

Ducati memperkenalkan beberapa teknologi baharu yang mampu meningkatkan prestasi jentera mereka sekaligus menjadi pencabar utama kejuaraan MotoGP musim ini.

Bagaimanapun, inovasi yang dibawa Ducati mendapat tenta­ngan pesaingnya termasuklah pengenalan sistem aerodinamik seperti winglet atau fairing yang kini dipakai semua pasukan ­MotoGP.

Dall’Igna menuntut agar FIM dan MotoGP bertindak lebih adil terutama selepas peranti ride height bahagian depan jentera yang diperkenalkan oleh Ducati bakal diharamkan pada musim depan.

Bukan itu saja, peranti holeshot juga tidak lagi boleh digunakan.

Keadaan tersebut memberi tekanan kepada Ducati ke­rana mereka telah mengeluarkan dana besar terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kesemua jentera Desmosedici GP pada musim ini.

“Saya tidak boleh menentukan peraturan sendiri. Saya hanya boleh cuba memahami peraturan dan melakukan perkara yang dibenarkan.

“Tidak adil jika peranti-peranti­ berkenaan diharamkan selepas perlumbaan musim 2022 nanti.

“Tetapi, apabila semua orang menentang saya, tangan saya terikat dan tiada apa yang boleh saya lakukan mengenainya. Saya terpaksa menerima perubahan ini,” kata Dall’Igna.

Sudah lama kita tunggu kereta terbang, tapi yang dapat, teksi terbang?

Dalam usaha menjadikan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) lebih mampan, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan perkhidmatan ‘teksi udara’ ke bandar-bandar utama di negara ini.

EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani hari ini (14 Julai 2022) berkata perkhidmatan teksi udara itu akan menggunakan pesawat yang lebih kecil, ringan dan menjimatkan kos bagi membolehkan perjalanan ke bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Ipoh, Alor Setar, Kota Bahru dan Kuala Terengganu.

Katanya, cadangan itu bertujuan mengelak kesesakan jalan raya yang melampau terutama pada musim perayaan.

“Ia adalah perkara baharu, yang mungkin tidak diterima dengan baik, tetapi kita perlu mengubah cara dan mentaliti rakyat. Ini supaya perkhidmatan itu boleh digunakan sebagai alternatif untuk menggunakan pesawat kecil seperti yang digunakan di Sabah dan Sarawak.”

“Penggunaan pesawat kecil akan berguna kepada rakyat, jadi kita mahu membawa konsep ini ke Melaka. Pada masa yang sama, kami akan dapat membangunkan LTAM sebagai hab pesawat ringan,” katanya pada sidang media di pejabat Pelancongan Melaka hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Straits Connect (M) Sdn Bhd juga berhasrat menyediakan penerbangan sewa khas LTAM ke Jakarta, Indonesia, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong kesihatan ke negeri ini.

“Penerbangan sewa khas ini dijangka bermula pada pertengahan Ogos 2022.”

“Selain itu, kerajaan negeri turut menerima permohonan daripada World Asia Logistics (M) Sdn Bhd, yang mahu menjadikan LTAM sebagai hab kargo utama di Malaysia. Bagaimanapun, perkara itu masih dalam perbincangan dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Jelasnya, beliau yakin dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk menggiatkan semula operasi LTAM.

“Lebih ramai pelancong akan melawat negeri ini, terutamanya pelancong kesihatan dari Riau, Indonesia.”

Seorang ‘influencer’ tempatan yang tular sejak kebelakangan ini setelah diberi jolokan ‘ikon permotoran’ oleh individu tertentu telah dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pada Ahad.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika pihaknya menjalankan operasi motosikal dan pelbagai kesalahan.

Remaja berusia 20-an itu ditahan sewaktu sedang memandu kereta jenis Audi sekitar jam 11 malam.

Pada masa sama, remaja tersebut turut didapati tidak mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian depan.

“Tindakan saman telah diambil terhadap sebuah kenderaan jenis Audi berwarna hitam di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan kenderaan.

“Selain itu, tindakan saman turut dikenakan kerana memandu tanpa lesen,” jelasnya.

Semalam, tular beberapa gambar yang memaparkan surat saman yang dikeluarkan terhadap ‘influencer’ terbabit. – Kosmo

Pada bulan Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah pun memaklumkan bahawa kerajaan sedang pertimbang cadangan wajibkan fungsi Anti-lock Braking System (ABS) pada motosikal 150cc ke atas.

Cadangan itu juga sedang diperincikan pihak Insitut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Bagaimanapun, menurut laporan diterbitkan FMT baru-baru, beberapa pengeluar motosikal didakwa cuba mempengaruhi kerajaan terutamanya di Asia Tenggara bahawa teknologi ABS tidak kos efektif terutamanya bagi motosikal kapcai.

Menurut Presiden Eksekutif Global New Car Assesment Programme (NCAP), David Ward, pemain industri motosikal tidak boleh lagi cuba menangguhkan pemasangan ABS.

“Industri motosikal perlu berhenti menangguhkan proses pemasangan ABS pada motosikal dengan menokok tambah faktor kos.

“Senario di mana pengeluar motosikal cuba menafikan atau melambat-lambatkan (pemasangan) ABS sudah berakhir!,” jelas Ward.

Bercakap kepada FMT, Ward menegaskan bahawa dia tidak boleh terima industri motosikal masih ketinggalan jauh bagi menjadikan ABS sebagai ciri standard pada motosikal.

Dia juga berharap Malaysia dapat jadi perintis dalam menggerakan pasaran Asia Tenggara dalam mewajibkan ABS pada motosikal. – FMT

Seramai 180 penunggang motosikal Yamaha LC135 dengan nombor plat pendaftaran 1010 mengadakan konvoi seluruh negara dan juga beberapa negara Asia bagi memperkenalkan jentera Yamaha itu yang hanya dikeluarkan dan dijual di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr. Jim Khor berkata, konvoi Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010 itu memulakan perjalanan secara berperingkat bermula Sabtu. 

“Apa yang uniknya, Yamaha LC135 berwarna merah ini hanya dikeluarkan untuk dijual di Malaysia sahaja. Tiada di negara Asia seperti Indonesia, Jepun, Vietnam dan Thailand seperti mana kebiasaan pasaran Yamaha.

“Selain itu, ia juga tertera nombor plat khas 1010 yang bermaksud “Perfect” atau sempurna bagi fengshui Cina. 

“Ketika ini, motosikal dengan nombor plat 1010 itu hanya ada sebanyak 180 buah sahaja di Malaysia dan pembeli perlu menunggu untuk menguruskan tempahan khas nombor plat ini sebelum memiliki motosikal mereka. Sebab itu kita katakan kelab ini unik,” katanya. 

Jim Khor yang juga Presiden Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010 itu berkata, konvoi itu akan diadakan setiap bulan bermula bulan ini sehingga selesai seluruh negeri dalam Malaysia sebelum ke Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube