Bikesrepublic

Berita Terkini

Penggunaan ruang meletak kereta sesuatu yang mudah, namun begitu ramai yang masih tidak menggunakannya dengan betul dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain apabila menghalang laluan.

Sebuah video tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat dan mengalihkan kereta Perodua Myvi gara-gara diletakkan di tempat yang salah.

Menurut pemilik video, dia turut berada di lokasi kejadian dan difahamkan bas yang dinaikinya bersama rakan-rakannya itu sukar melalui laluan terbabit disebabkan terhalang oleh kereta tersebut.

Jelasnya lagi, sebelum mengambil keputusan untuk mengangkat kereta terbabit beramai-ramai, mereka telah berusaha mencari pemiliknya terlebih dahulu namun tidak ditemui.

“Kami nak balik kereta ini halang sudah la jalan sempit, dia parkir pun tengah jalan, kami dah pusing cari pemilik kereta satu padang kota. Ini sahaja kami mampu buat,” katanya.

Sehubungan itu, rata-rata orang ramai memuji tindakan sekumpulan lelaki berkenaan kerana masih bertimbang rasa dan tidak merosakkan kereta tersebut meskipun ia telah menghalang dan menyusahkan mereka.

“Terbaik la, kalau jenis tak sabar, mahu dilanggar sahaja kereta itu, ‘King’ tak ‘King’, semua kasi rembat, yang parkir ikut suka hati siapa suruh,” ujar Kamarul Azmi.

“Nasib baik abang-abang kita gagah, boleh tolong angkat dan ubah, terima kasih jadi pengguna bijak,” kata Mastura. 

Selepas dilancarkan sekitar Jun tahun lalu, CFMOTO 800MT kini dibuka untuk tempahan di pasaran Malaysia.

Menurut info yang diperolehi, motosikal ‘adventure touring’ ini ditawarkan pada harga RM53,800 (sebelum cukai dan insurans) dan model tersebut dijangka akan tiba sekitar bulan September atau Oktober.

Membuat penampilan sulung ketika di Beijing Motor Show 2021, 800MT merupakan motosikal ADV pertama diperkenalkan jenama itu.

Meskipun terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran global; 800MT Sport dan 800MT Touring, hanya varian Touring sahaja yang dipasarkan di Malaysia.

Perbezaan utama versi Touring adalah kehadiran rim jenis lidi (wire-spoke) 19 inci depan di samping dilengkapi top box dan panniers secara standard.

Menariknya, 800MT ini dikuasakan enjin enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure hasil kerjasama antara CFMOTO dan KTM. Enjin tersebut menawarkan 95hp pada 8,000rpm dan 88Nm pada 6,600rpm.

CFMOTO 800MT ini turut tampil dengan ciri slipper clutch, suntikan bahan api elektronik Bosch dan fungsi ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan; rain,off-road dan road.

Antara ciri menarik lain yang turut ditawarkan:

  • quickshifter
  • tyre pressure monitoring system (TPMS)
  • sistem suspensi KYB
  • kaliper brek J.Juan
  • ABS dwi-saluran
  • cruise control
  • tangki 19L
  • crash bar
  • tempat duduk dengan ketinggian 825mm
  • penghadang angin boleh laras
  • pengecas USB
  • lampu LED penuh

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia terlibat dalam kemalangan kereta di Ibiza, Sepanyol pada pagi Selasa.

Menurut laporan akhbar Sepanyol, kereta dipandu Bagnaia hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Bagaimanapun, pelumba Itali itu kemudiannya menjalani ujian pernafasan alkohol (ujian breathalyzer) dan mendapati kandungan alkohol dalam badannya adalalah lebih tinggi dari yang ditetapkan.

Untuk rekod, had ditetapkan kerajaan Sepanyol adalah 0.5 tetapi keputusan ujian menunjukkan paras alkohol Bagnaia berada pada 0.87.

Bagnaia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dia telah parti bersama rakan-rakan di Ibiza sebelum meninggalkan tempat itu sekitar jam 3 pagi.

“Ujian alkohol yang dijalankan pihak polis mendapati kandungan alkohol dalam badan saya adalah tinggi dari yang dibenarkan undang-undang Sepanyol.

“Saya minta maaf atas apa yang berlaku, saya bukanlah seorang peminum tetapi ini adalah kecuaian dari saya dan perkara ini tidak seharusnya berlaku.

“Saya memohon maaf kepada semua. Dan saya beri jaminan bahawa ini adalahs satu pengajaran besar buat saya,” jelasnya.

Meskipun begitu, Bagnaia dijangka akan berdepan tindakan atas insiden tersebut tatkala kerajaan Sepanyol memandang serius insiden memandu dalam keadaan mabuk.

Bagnaia merekodkan kemenangan ketiga musim ini apabila mendominasi aksi di GP Belanda, Jun lalu.

Pihak polis kini sedang memburu buli jalanan yang memandu Perodua Myvi secara melulu di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang.

Sebuah video kejadian berdurasi 1 minit 14 saat yang telah tular itu menunjukkan kereta tersebut menukar lorong dan membrek secara tiba-tiba berkali-kali.

Segmen # Hebahan Trafik ‼️‼️‼️ PEMANDU MYVI NO. WQX 6397 DICARI 6 Julai 2022 – Tular di media sosial Facebook…

Posted by Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM on Tuesday, 5 July 2022

Ketua polis daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed berkata pihaknya sedang mencari suspek berikutan laporan polis yang dibuat mengenai pemandu itu.

Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan untuk memandu secara melulu dan berbahaya.

Zainal mengujar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik Mohd Shaifuddin Mohd Nor di 017-6645812 atau ibu pejabat polis daerah Gombak di 03-61262222.

Seramai 52 penunggang motosikal telah disaman Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong melibatkan pelbagai kesalahan ketika Op Motosikal di lorong Tol Karak. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, melalui Op Motosikal antara pukul 10.30 pagi sehingga 1 tengah hari di laluan tersebut, polis trafik telah mengesan antaranya kesalahan menunggang tanpa lesen yang sah, pengubahsuaian spesifikasi motosikal yang boleh mengundang bahaya serta pelbagai kesalahan lain.

“Operasi ini untuk mendidik pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sama ada melibatkan penunggang sendiri atau membahayakan orang lain.

“Kita mendapati walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan, masih ada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan masing-masing,” katanya.

Penunggang terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 26, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM300 dan maksimum melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

“Polis memandang serius tentang penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas dan tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan berasaskan undang-undang lalu lintas.

“Hal ini kerana kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal merupakan penyumbang tertinggi bagi kes kemalangan di kawasan IPD Bentong,” kata Zaiham lagi.

Beliau menambah, IPD Bentong kerap menerima aduan dan rungutan orang ramai yang bimbang serta tidak berpuas hati dengan cara penunggang motosikal yang tidak menghiraukan keselamatan orang ramai.

Meskipun pasaran motosikal dunia terjejas dengan isu semikonduktor yang sekaligus memberi impak terhadap aspek pengeluaran dan harga, namun permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat di Malaysia.

Bukan itu sahaja, ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ducati Malaysia, dibawah kendalian Dennis Michael berjaya memastikan permintaan terhadap motosikal jenama Itali itu terus meningkat.

Bukan itu sahaja, Ducati Malaysia juga berjaya memastikan permintaan pelanggan berjaya dipenuhi walaupun pusat jualan tidak dibuka dengan orang ramai tidak dibenarkan hadir.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pacific, Marco Biondi, ketika ditemui pada Mei lalu.

Biondi turut meluahkan rasa kagum dengan kemampuan Ducati Malaysia dalam memastikan perniagaan berjalan walaupun pasaran Ducati di rantau lain terjejas.

“Ketika pandemik kami sangat gembira dengan Dennis (Michael) dan pasukannya kerana berjaya memastikan jualan motosikal Ducati berjalan.

“‘Lockdown’ memberi kesan besar pada kami semua tetapi Ducati Malaysia tetap pastikan perniagaan mereka berjalan terutamanya menerusi jualan atas talian.

“Mereka cukup fleksibel dalam memastikan permintaan pelanggan tetap dipenuhi termasuk motosikal dan aksesori jadi kami sangat gembira,” jelasnya.

Menariknya, kejayaan Ducati Malaysia dalam memastikan permintaan pelanggan dipenuhi juga telah menyaksikan Malaysia muncul sebagai pasaran paling pesat membangun bagi jenama motosikal Itali itu.

“Kini kami teruja kerana Malaysia kini merupakan pasaran yang paling berkembang dengan pesat di rantau ini.

“Malaysia setakat ini mencatatkan peningkatan 30 peratus sehingga bulan Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu” tambah Biondi lagi.

Sementara itu, Dennis Michael juga menjelaskan walaupun pasaran motosikal ketika ini terpalit dengan masalah kekurangan cip semikonduktor namun, permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat.

“Tahun lepas sahaja Ducati berjaya jual lebih 60,000 unit seluruh dunia walaupun dalam tempoh pandemik dan tahun ini sahaja angka itu sudah hampir untuk diatasi (walaupun baru 6 bulan).

“Di Malaysia, jualan meningkat 30 peratus berbanding tahun lalu jadi itu jelas membuktikan bahawa walaupun dengan isu semikonduktor, namun pelanggan tetap sanggup tunggu untuk mendapatkan motosikal mereka,” katanya.

Ducati Malaysia telah pun memulakan kalendar 2022 dengan pelancaran enam model baharu baru-baru ini antaranya Multistrada V2, Streetfighter V2, Streetfighter V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Scrambler Urban Motard dan Scrambler 1100 Tribute Pro.

Ketibaan enam model baharu ini dijangka akan terus memacu permintaan motosikal Ducati di Malaysia sekaligus memberi impak positif terhadap pasaran jenama itu di rantau Asia.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube