Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro mendahului catatan masa terpantas bagi Sesi Pertama (Hari Pertama) ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Espargaro merekodkan catatan masa 1 minit 58.371saat untuk muncul terpantas setakat ini.

Sementara itu, pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini merekodkan masa kedua terpantas dengan 1m 58.630s diikuti wakil Suzuki Ecstar, Alex Rins ketiga dengan catatan masa 1m 59.340s.

Ini sekaligus menyaksikan sesi pertama hanya Espargaro dan Bastianini yang berjaya menduduki dalam kelompok 1m 58s berbanding pelumba lain.

Juara dunia MotoGP musim lalu, Fabio Quartararo sekadar 10 terpantas di sesi pertama dengan catatan masa 1m 59.667s manakala pelumba tonggak Ducati, Francesco Bagnaia menduduki tempat ke-14 dengan 2m 00.027s.

Bagaimanapun, catatan masa pada Sesi Pertama ini dijangka akan terus diperbaiki sebaik memasuki Sesi Kedua nanti.

Tahun 2021 merupakan tempoh sibuk buat Yamaha apabila melancarkan beberapa model baharu antaranya, MT-09, Tracer 9 dan Tracer 9 GT serta model serba baharu, YZF-R7.

Pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan TMAX Tech Max 560 penghujung tahun lalu sebagai model 2022.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati Yamaha tidak merancang untuk berhenti disitu apabila dokumen terbaru difailkan di Eropah mendedahkan terdapat dua model yang akan dilancarkan tahun ini.

Dokumen tersebut mendedahkan dua kod nama, RN82 serta RN83. Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan apakah model yang dimaksudkan namun kod nama tersebut sudah cukup menjelaskan beberapa aspek.

Seperti pengeluar lain, Yamaha juga menggunakan kod nama yang dicipta bagi mengelaskan jenis motosikal tersebut.

Dalam kes ini huruf ‘R’ merujuk kepada model ‘street’ manakala model ‘cruiser’ akan mengguna huruf ‘V’ sementara motosikal ‘adventure’ akan guna huruf ‘D’.

Seterusnya, huruf kedua, ‘N’ pula memaklumkan bahawa motosikal tersebut akan dikuasakan enjin berkapasiti antara 750cc hingga 1,000ccc.

Jika huruf kedua adalah ‘M’ maka enjin tersebut duduk antara 600cc hingga 750cc manakala huruf ‘P’ pula merujuk kepada kapasiti lebih 1,000cc.

Maka, RN merujuk kepada motosikal jenis ‘street’ dengan kapasiti enjin antara 750cc hingga 1,000cc.

Jika melihat kepada kumpulan enjin dinyatakan, buat masa ini Yamaha cuma ada dua pilihan, enjin 889cc CP3 dari MT-09, Tracer 9 serta XSR900 dan enjin 998cc CP4 crossplane dari MT-10 dan YZF-R1.

Bagaimanapun, enjin CP3 lebih relevan kerana sebelum in terdapat dakwaan kuat bahawa Yamaha cadang perkenalkan MT-09 versi ‘full-fairing’, keputusan sama yang diambil sewaktu pembangunan YZF-R7 yang bernadikan enjin CP2 dari MT-07.

Apatah lagi Yamaha juga telah pun memfailkan tanda nama YZF-R9 di Eropah sebelum ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan tersebut.

Kemudian, model seterusnya dijangka merujuk kepada generasi kedua Niken kerana motosikal itu merupakan model terakhir yang masih lagi menggunakan enjin 847cc CP3 Yamaha.

Naik taraf kepada enjin 889cc CP3 terbaru merupakan langkah rasional apatah lagi enjin terbaru itu mencapai standard Euro 5.

Apatah lagi kebenaran menjual motosikal bukan Euro 5 di Eropah akan berakhir pada 31 Disember tahun ini maka logik buat Yamaha untuk menaik taraf model tersebut.

Pengurus pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Racing, Wilco Zeelenberg berpendapat terdapat banyak persamaan antaranya juara dunia, Fabio Quartararo dan pendatang baharu di kelas premier, Darryn Binder.

RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali mencetuskan pelbagai reaksi apabila mengumumkan Darryn Binder sebagai pelumba kedua pasukan itu selepas Andrea Dovizioso.

Binder melangkah terus ke MotoGP dari Moto3 selepas pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) terkubur hujung musim lalu.

Dia menjadi pelumba kedua untuk melompat terus dari Moto3 selepas Jack Miller yang kini bersama Ducati.

Pengumuman Binder juga mendapat kecaman apabila bukan sahaja hanya merekodkan satu kemenangan di Moto3 selepas tujuh musim, malah insiden pelanggaran musim lalu dengan Dennis Foggia telah menentukan kejuaraan dunia Moto3 Pedro Acosta.

Bagaimanapun, mengimbau kembali senario pada 2019, rata-rata ramai pihak yang mempersoal keputusan menandatangani Quartararo, yang juga hanya merekodkan satu kemenangan di Moto2 musim 2018.

Quartararo kemudiannya bangkit mempamerkan kemampuan sebenar, sebelum beralih ke pasukan factory Yamaha, menggantikan Valentino Rossi.

Sebagai pengurus pasukan, Zeelenberg menyifatkan terdapat banyak persamaan antara Binder dan Quartararo, menjelang aksi ujian pra-musim yang akan berlangsung hujung musim ini.

“Fabio lebih muda ketika kami mendapatkan khidtmanya, tetapi di usia 14 tahun dia lebih baik dari pelumba lain.

“Dia kemudiannya melalui satu fasa dan pasukan lain tidak lagi berminat dengannya. Lalu kami menggunakan peluang itu untuk mengambilnya,” jelas Zeelenberg.

Binder bakal turut buat kali pertama bersama pasukan RNF Racing pada 5 hingga 6 Februari ini bagi sesi ujian pra-musim 2022.

Tahun lalu di EICMA, Honda membuat kejutan apabila mendedahkan ‘teaser’ sebuah motosikal baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Meskipun ‘teaser’ tersebut hanyalah gambaran CGI namun, media Jepun, Autoby telah menghasilkan imej ‘render’ yang dipercayai rupa sebenar motosikal tersebut yang didakwa sebagai Honda CB750S.

Meskipun hanyalah gambar rekaan semata-mata namun melihat kepada rekod Autoby yang terkenal dengan reputasi menghasilkan rekaan yang tepat dengan model sebenar, imej dikongsikan 90 peratus adalah tepat.

Menurut laporan media antarabangsa, motosikal tersebut akan mengguna nama CB750S dan merupakan sambungan kepada model Honda Hornet CB600F.

Bagaimanapun, rekaan Autoby jelas mengikut acuan sama dengan Honda Hornet 250 yang ketika ini dipasarkan di India.

Honda CB750S itu dijangka menjadi taruhan Honda untuk mencabar segmen motosikal pertengahan yang ketika ini dimonopoli beberapa jenama lain antaranya Yamaha MT-07 dan Triumph Trident 660.

Namun, berbeza dengan Honda CB650 yang tampild dengan rekaan neo-retro, CB750S lebih agresif dan sporty dengan penggunaan lampu yang tajam dan bersegi.

Pada masa sama, Honda CB750S juga dijangka akan dihidupkan enjin 750cc serba baharu dan bukannya dipinjamkan dari siri NC750.

Difahamkan, enjin sama juga akan digunakan pada model Honda Transalp akan datang yang turut akan menjadi pencabar kepada Yamaha Tenere 800 dan Aprilia Tuareg 660.

Lebih menarik, terdapat khabar angin bahawa Honda akan turut memperkenalkan versi ‘full-fairing’ bagi menyaingi Yamaha YZF-R7.

Selepas sekian lama Triumph dan Bajaj menoktahkan perjanjian kerjasama, akhirnya motosikal sulung hasil kolaborasi dua jenama itu dikesan menjalani ujian jalan raya di United Kingdom.

sumber: MCN

Menariknya, gambar ‘spy shot’  itu mendedahkan beberapa perkara, pertamanya model sulung itu bukanlah motosikal yang diinspirasikan daripada Trident 660 seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya, jentera ujian itu mirip model Triumph Scrambler 1200.

Keduanya, kerjasama dengan Bajaj jelas kelihatan pada model tersebut, terutamanya penggunaan enjin satu silinder serta beberapa komponen lain antaranya cakera brek jenis radial dua-pot dari ByBre, ciri sama terdapat pada Dominar 400 UG dan KTM 390 Duke.

sumber: MCN

Beberapa perkongsian atas talian juga mendapati motosikal tersebut mengguna pakai paparan TFT yang sama diambil dari KTM 390 namun komponen itu mungkin akan ditukar.

Setakat ini belum dapat dipastikan kapasiti enjin yang akan menggerakkan jentera tersebut namun hampir pasti babitkan sesaran antara 350cc hingga 500cc.

Meskipun berkongsi beberapa komponen dari KTM 390 dan Dominar namun model akan datang itu jelas menampilkan DNA sama seperti Scrambler 1200 antaranya lampu LED jenis bulat, ‘bar-end mirror’, dan ekzos tinggi.

Bagaimanapun, dengan model ini dijangka akan dipasarkan sebagai model 2023, mungkina akan terdapat beberapa naik taraf lain yang akan dilaksanakan kelak.

Baby Scrambler ini bakal menjadi motosikal sulung oleh Triumph yang menawarkan kapasiti kecil dalam usaha untuk menyaingi segmen itu yang cukup sengit ketika ini. – MCN

Astra Honda Motor telah pun melancarkan Vario 160 untuk pasaran Indonesia.

Bagi tahun 2022, Vario telah dikemas kini dengan rekaan baharu serta enjin bersesaran 160cc berbanding 150cc sebelum ini.

Menariknya, Vario 160 juga dilengkapi beberapa ciri baharu antaranya daytime running light (DRL), ciri sama yang sebelum ini terdapat pada ADV 150. Kehadirann lampu DRL juga menyaksikan Honda melaksanakan kemas kini di bahagian depan yang tampak lebih agresif dan sporty.

Malah, keseluruhan rupa Vario 160 ini juga tampak lebih lebar berbanding generasi 150.

Bagaimanapun, naik taraf terbesar adalah bahagian enjin, dengan Vario 160 2022 ini didatangkan enjin 160cc yang menjana 15.2hp pada 8,500rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm berbanding 13hp dan 12.9Nm sebelum ini.

Selain itu, Honda Vario 160 juga didatangkan dengan fungsi ABS bagi varian tertinggi manakala ciri Combine Braking System (CBS) masih lagi dikekalkan bagi varian standard.

Model terbaru ini juga menyaksikan terdapatnya slot pengecas USB berbanding Vario 150 sebelum ini.

Menurut laporan media Indonesia, Honda Vario 160 ini ditawarkan pada harga IDR28.5 juta (RM8,300) bagi versi ABS.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube