Bikesrepublic

Berita Terkini

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa jenama motosikal mewah Itali, MV Agusta, bakal menembusi pasaran Malaysia menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Sdn Bhd (AMI). 

Menariknya, bukan sekadar mengedar malah beberapa model akan turut dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

Mac lalu, Pengerusi Kumpulan Eksekutif AMI, Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya telah pun berkongsi beberapa gambar di media sosial yang memaparkan kelibat dua jentera MV Agusta Brutale RR. 

Dalam perkongsian terbaru, Ahmad Faez memuat naik video berdurasi 32 saat yang memaparkan model sportsbike popular, MV Agusta F3. Menariknya, model tersebut bukan versi standard sebaliknya varian edisi terhad RC (Reparto Corse). 

Untuk rekod, MV Agusta F3 dikuasakan enjin 3-silinder 798cc 12-valve yang berupaya menjana 155hp pada 13,250rpm dan 88Nm pada 10,100rpm. Enjin tersebut juga mempunyai nisbah mampatan tinggi dengan 13.3:1.

Dengan hanya seberat 165kg, MV Agusta F3 RC ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 240km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk fork depan USD 43mm jenama Marzocchi boleh laras, kaliper brek Brembo depan dan belakang, rim 17-inci dan tangki 16.5L. Model ini juga turut dilengkapi panel meter TFT 5.5”, fungsi ‘cruise control’ dan ‘launch control’. 

Buat masa ini, AMI masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelancaran model MV Agusta untuk pasaran Malaysia namun kami jangkakan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi. 

Pasukan CryptoData RNF Aprilia memulakan aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP dengan langkah kiri selepas kedua-dua pelumba, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira gagal menamatkan perlumbaan. 

Oliveira kemalangan ketika berada di kelompok depan setelah dirempuh Marc Marquez di Turn 3 sekaligus memaksanya bersara di awal perlumbaan. 

Pelumba Portugal itu juga disahkan akan terlepas aksi GP Argentina setelah mengalami kecederaan. Marquez juga turut diketepikan daripada aksi di pusingan kedua setelah Repsol Honda mengesahkan juara dunia lapan kali itu mengalami kecederaan tangan. 

Ketika perlumbaan di Portimao tamat, Race Direction juga telah mengenakan penalti ‘long-lap’ berganda terhadap Marquez di Argentina. Namun, hukuman itu telah dibawa ke pusingan ketiga di GP America susulan Marquez disahkan akan terlepas aksi pusingan kedua. 

Bagaimanapun, RNF Aprilia dalam satu kenyataan, menuntut agar Race Direction melaksanakan hukuman lebih berat dikenakan. 

“Susulan aksi tidak bertanggungjawab dipamerkan Marc Marquez (Repsol Honda) terhadap Miguel Oliveira, kami mahu hukuman lebih berat dikenakan. 

“Tunggangan agresif bukan sahaja boleh meninggalkan kesan buruk pada diri sendiri malah terhadap pelumba lain. 

“Insiden antara Marquez dan Oliveira wajar dijadikan pengajaran kepada pelumba lain di MotoGP.

“Oleh itu, kami menuntut Race Direction mengenakan penalti lebih berat terhadap pelaku.”

Kawasaki mendedahkan Ninja ZX-4RR secara rasmi di Amerika Syarikat pada Februari lalu sebelum motosikal tersebut mula buat penampilan di Thailand dan Indonesia. 

Indonesia merupakan pasaran paling meriah bagi Kawasaki terutamanya sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R tiga tahun lalu. 

Bagi meraikan ketibaan Kawasaki Ninja ZX-4RR di pasaran negara itu, Kawasaki Indonesia telah memuat naik beberapa video promosi tentang motosikal tersebut.

Bagaimanapun, video paling mencuri tumpuan adalah ujian ‘top speed’ atas mesin dyno. Ini kerana, ujian tersebut menunjukkan bagaimana Ninja ZX-4RR mampu mencecah kelajuan 253km/j pada gear enam.

Meskipun kelajuan tersebut dicatat pada mesin dyno dan bukannya atas jalan raya, angka yang ditonjolkan masih mengagumkan. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR dikuasakan enjin 399cc 4-inline yang berupaya menghasilkan 79hp (dengan Ram Air) pada 14,500rpm dan 35.9Nm pada 11,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Dalam perkembangan sama, tiada maklumat daripada pihak Kawasaki Malaysia sama ada Ninja ZX-4RR akan dipasarkan di Malaysia. Bagaimanapun, kami diberitahu sebelum ini bahawa Ninja ZX-25R akan diperkenalkan tahun ini dan akan dipasang sebagai model CKD. 

Proton dengan rasminya mendedahkan rupa jelas model serba baharu, Proton X90. 

Proton dalam satu kenyataan mendedahkan model tersebut telah pun ditayangkan kepada beberapa media tempatan di studio rekaan di Shah Alam. 

Untuk rekod, Proton X90 merupakan model ketiga bagi keluarga X Proton selepas X50 dan X70. Dipasang sepenuhnya di kilang Proton di Tanjung Malim, Proton X90 merupakan SUV dengan tiga baris tempat duduk.

Tampil dengan empat varian, Standard hingga Flagship, Proton X90 ini datang dengan tujuh tempat duduk tetapi turut tersedia sebagai enam tempat duduk.

Sebagai SUV moden premium, X90 juga datang dengan ciri keselamatan terkini termasuk:

  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Collision Warning (RCW) 
  • Traffic Sign Information (TS)
  • panel meter LCD 10-inci
  • unit infotainmen 12.3-inci dengan prosesor EO2

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Proton X90 merupakan SUV mid-hibrid dan dikuasakan enjin 1.5L TGDi yang berupaya menghasilkan 190PS dan 300Nm. Sistem hibrid EMS 48V pula menambah 13PS dan 45Nm. 

Menurut Proton, platform tersebut juga ditawarkan di pasaran China dan Filipina termasuk transmisi dual-clutch 7-kelajuan. 

Sementara itu, orang ramai akan turut diberikan peluang menyaksikan Proton X90 dengan lebih dekat menerusi sesi pra-tonton yang akan berlangsung pada 8 April ini di enam bandar terpilih. 

Pusingan pertama Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 telah pun berlangsung hujung minggu lalu yang menyaksikan Francesco Bagnaia bermula dengan langkah kanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim lalu. 

Meskipun begitu, perlumbaan tersebut dicemari insiden kemalangan membabitkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez dan Miguel Oliveira. 

Kesilapan Marquez di Turn 3 menyebabkan dia merempuh Oliveira sebelum kedua-duanya terbabas dan tidak dapat meneruskan perlumbaan. Akibat daripada pelanggaran itu, Marquez telah dikenakan penalti ‘long-lap’ berganda di GP Argentina. 

Namun, perkembangan terbaru mengesahkan Marquez dan Oliveira akan terlepas pusingan di Argentina ekoran mengalami kecederaan.

Sementara itu, turut terlibat dengan insiden tersebut adalah pelumba Pramac, Jorge Martin. 

Memetik laporan, motorcyclesports.net, Martin persoal mengapa Marquez tidak dikenakan hukuman yang lebih berat. 

“Saya rasa penalti ‘long-lap’ berganda bukan satu hukuman yang berat untuk Marquez. Kami sentiasa diberitahu jika mengulangi kesilapan sama, hukuman lebih berat menanti namun Marquez beberapa kali telah melakukan perkara ini. 

“Tetapi disebabkan si pelaku adalah Marquez jadi mereka tidak akan lakukan apa-apa,” jelas Martin. 

Terdahulu, Marquez mengakui kesilapannya dan telah pun memohon maaf kepada Oliveira dan kem CryptoData RNF Aprilia. 

Baru-baru ini, CFMoto telah pun membuka pra-tempahan bagi model serba baharu, 800NK untuk pasaran Eropah. 

Berdasarkan maklumat dikongsikan CFMoto, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, 800NK dan 800NK High End. Untuk rekod, versi ‘High End’ bukan sahaja datang dengan warna berbeza malah turut dilengkapi ciri ‘keyless’, quickshifter, handlebar jenis aloi aluminium dan panel meter 8-inci TFT dengan sistem multimedia MMI. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan model itu akan turut dipasarkan di Malaysia menerusi CFMoto Malaysia. Berdasarkan maklumat diperolehi, CFMoto 800NK itu dijangka akan dipasarkan sekitar awal 2024. 

Ini bermakan, CFMoto 800NK bakal menyaingi pasaran motosikal naked berkuasa tinggi disini. 

Untuk rekod, CFMoto 800NK dikuasakan enjin parallel-twin LC8 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 DUKE dan menawarkan 99hp.

Untuk makluman, CFMoto kini memegang hak terhadap enjin KTM LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 DUKE dan 790 Adventure bagi pihak KTM untuk pasaran global.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube