Selepas dua tahun menyepi, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali meriah dengan penganjuran MotoGP Malaysia yang berlangsung semalam.
SIC menjadi saksi kepada perebutan kejuaraan di antara pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dan wakil Yamaha, Fabio Quartararo.
Perlumbaan pada Ahad itu menyaksikan Bagnaia muncul pemenang diikuti Enea Bastianini kedua dan Quartararo ketiga.
Susulan Quartararo berjaya menaiki podium, perebutan kejuaraan dunia MotoGP akan dibawa ke pusingan akhir di Valencia yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Namun, dengan jarak 23 mata, ini bermakna peluang Bagnaia lebih cerah untuk muncul juara dunia musim 2022 kerana hanya perlu menamatkan aksi di Valencia pada kelompok 13 terbaik.
Berdasarkan kiraan itu, Bagnaia secara tak langsung sudah pun memegang trofi MotoGP sebelah tangan.
Bagaimanapun, keputusan pada Ahad sudah tentunya disumbangkan permulaan terbaik yang pernah dilakukannya sepanjang musim ini.
“Ketika sesi ujian kami melakukan penambahbaikan pada ‘launch system’ jadi hari ini (Ahad) adalah yang terbaik pernah dilakukan.
“Tetapi brek pertama (pada Turn 1) agak berisiko tetapi kami berjaya melakukannya,” ujar Bagnaia.
Pada masa sama, Bagnaia mendedahkan keengganan mengikut kelajuan Jorge Martin yang pada awalnya mendahului perlumbaan membuahkan hasil apabila pelumba Pramac itu kemalangan di Turn 5.
“Ketika saya melepasi dua selekoh pertama, saya sudah mula bertenang.
“Tetapi Jorge (Martin) sudah terlalu laju dan pada waktu itu saya berasakan kelajuannya agak melampau jadi saya memilih untuk bertenang dan mengekalkan kelajuan saya.
“Jorge tidak bernasib baik kerana terbabas tetapi kelajuan pada waktu itu juga agak menyukarkan kerana saya yang sedang cuba menjaga keadaan tayar.
“Sejurus selepas itu saya dipintas Enea (Bastianini) tetapi menyedari kelajuan saya lebih baik jadi saya cuba brek dengan lebih agresif untuk membuat pintasan,” tambah Bagnaia.
Meskipun begitu, sifat enggan menyerah kalah dipamerkan Quartararo harus dipuji.
Ini kerana dia berlumba dalam keadaan kesakitan setelah tangan kirinya disahkan alami keretakan tulang di bahagian jari ketiga dari kiri.
Dia kini hanya ada satu objektif di Valencia, memenangi perlumbaan itu sambil mengharapkan Bagnaia menduduki tempat ke-14 dan ke bawah.
“Objektif saya cuma satu, untuk menang di Valencia. Walaupun terdapat banyak pesaing yang akan cuba menang namun saya akan cuba menikmati perlumbaan itu dan lihat apa yang berlaku,” ujarnya.
Walaupun saingan di Valencia 6 November ini dijangka sengit namun kiraan matematik meletakkan Bagnaia sebagai calon utama muncul juara dunia MotoGP kali pertama dalam kariernya.
Pada masa sama, mengambil kira kejayaan merekodkan tujuh kemenangan, 10 podium dan 5 petak pertama (pole position) musim ini, Bagnaia sememangnya calon paling layak mendapat status juara dunia bagi musim 2022.
Melainkan nasib malang menimpa dengan Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan (DNF) buat kali keenam musim ini di Valencia. Sekiranya itu berlaku, kejuaraan musim ini pastinya berjaya dipertahankan Quartararo.