Bikesrepublic

Berita Terkini

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Razlan Razali, menafikan laporan Valentino Rossi bakal tinggalkan pasukan itu hujung musim ini.

Media tempatan Kosmo melaporkan kontrak Rossi tidak akan disambung bagi meneruskan saingan musim depan.

Dalam perkembangan terbaru, Razlan memberitahu Crash.net bahawa petikannya telah disalah erti sebaliknya menegaskan tiada keputusan dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, sekiranya Rossi tidak lagi bersama SRT, fokus pasukan itu adalah kembali membangunkan pelumba muda.

“Bekerjasama dengan Valentino Rossi membuka peluang besar kepada pasukan ini dan hubungan ini membenarkan pasukan ini untuk berkembang.

“Memilih pelumba berpengalaman bakal memberi peluang baik pada pelumba muda pada masa akan datang.

“Kami masih belum memutuskan barisan pelumba bagi musim 2022 tetapi sekiranya kerjasama dengan Valentino (Rossi) berakhir, kami akan kembali memberi fokus dalam mencari pelumba muda terbaik,” jelas Razlan. – Crash.net

Pasukan VR46 semakin hampir untuk diumumkan sebagai pasukan baharu untuk menjalin kerjasama dengan Ducati bagi saingan MotoGP musim 2022.

Perkara itu disahkan Pengarah Sukan Ducati Corse, Paolo Ciabatti yang mendakwa kerjasama ke antara dua pihak itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sejujurnya, kami semakain hampir untuk mencapai persetujuan.

“Saya rasa kemungkinan akan berlaku sebelum Assen, pengumuman akan dibuat sekitar waktu itu.

“Saya berharap segalanya akan termeterai dalam tempoh beberapa hari lagi supaya kami boleh membuat pengumuman rasmi kepada umum,” jelas Ciabatti ketika ditemu ramah Simon Crafar.

Ini bermakna, Ducati bakal menurunkan lapan jentera Desmosedici musim 2022 menerusi pasukan factory, Pramac Racing, Gresini Racing dan VR46. – MotoGP

Kontrak pelumba veteran, Valentino Rossi, bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT), tidak akan disambung musim depan.

Perkara itu disahkan prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali.

Difahamkan, keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu diambil setelah mengambil kenyataan Rossi yang sebelum ini memaklumkan sebarang keputusan hanya akan diambil setelah cuti musim panas.

Enggan menunggu terlalu lama ketika pasukan lain telah pun mula mengesahkan slot ke MotoGP bersama pelumba masing-masing, Razlan membuat keputusan untuk menamatkan hubungan bersama juara dunia tujuh kali MotoGP itu.

“Kami (SRT) enggan menunggu terlalu lama mengenai keputusan Rossi sama ada dia ingin meneruskan perlumbaan atau tidak pada musim depan.

“Menerusi perbincangan dengan pengurusan, kami sebulat suara bersetuju tidak ingin meneruskan kontrak bersama Rossi bagi perlumbaan 2022,” jelasnya.

Menurut Razlan, langkah seterusnya bagi SRT adalah mencari bakat muda terbaik bagi mengisi slot Rossi.

Selain daripada belum mempertimbangkan perjalanan karier musim depan, Rossi juga sibuk degan pembangunan pasukan sendiri apabila VR46 disahkan bakal beraksi di kelas premier musim depan bersama Saudi Aramco selaku penaja utama.

Meskipun masih tiada pengesahan rasmi setakat ini namun, VR46 dijangka akan mengambil slot Avintia yang bakal meninggalkan saingan MotoGP musim ini. – KOSMO

Pelumba supermoto negara, Khairulamirin Yahaya, telah mengalami kemalangan ngeri sewaktu ujian bebas bagi menghadapi Kejuaraan Supermoto Sepanyol di Albaida, Jumaat lalu (11 Jun).

Perkara itu disahkan pasukannya, Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team.

Kemalangan tersebut menyebabkan Khairulamirin patah tulang pelvis dan mengalami pendarahan dalaman sekaligus menyaksikan dia bakal terlepas aksi untuk beberapa bulan dalam usaha untuk kembali pulih dari kecederaan.

Menurut laporan, pelumba 19 tahun itu hilang kawalan jentera dan mengalami ‘highside’ ketika sesi terakhir ujian sewaktu dalam kelajuan tinggi dalam usaha mengejar catatan lap yang lebih baik.

Pasukan perubatan bergegas memberi rawatan dan Khairulamirin terus dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan stabil selepas menjalani pembedahan kecemasan bagi menghentikan pendarahan dalaman.

Bagaimanapun, keadaan Khairulamirin masih dipantau rapat dan telah pun dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Isnin.

Meskipum baru berhadapan kemalangan, Khairulamirin menyasarkan untuk kembali cergas bagi bersaing di pusingan akhir Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang dijadualkan pada Oktober.

Khairulamirin merupakan pelumba supermoto pertama negara yang berjaya melayakan diri ke Kejuaraan Supermoto Eropah S4. – Supermotoland

Selepas berbulan khabar angin, akhirnya Gresini Racing disahkan bakal meneruskan saingan di MotoGP musim depan bersama Ducati.

Kerjasama Gresini bersama Aprilia Racing berakhir hujung musim ini tatkala pengeluar dari Noale, Itali itu akan bergerak sebagai pasukan factory musim 2022.

Ini bermakna, Gresini akan kembali sebagai pasukan Independent MotoGP musim depan dengan sokongan Ducati sebagai pengeluar di samping bakal mempertaruhkan Fabio Di Giannantonio dan Enea Bastianini.

Bastianini yang ketika ini bersama Avintia Ducati, bakal meneruskan kerjasama dengan pengeluar motosikal Itali itu di Gresini manakala rakan sepasukan, Luca Marini, dijangka sertai Aramco VR46 yang akan mengambil slot Avintia, musim depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, teruja dengan perjanjian terbaru itu.

“Kami gembira berjaya mencapai persetujuan bersama Gresini Racing untuk dua musim di MotoGP.

“Kami telah pun mencapai kesepakatan bersama mendiang Fausto (Gresini) hujung tahun lalu jadi kami amat berbesar hati kerana keluarganya berminat meneruskan projek ini.

“Kami amat yakin dengan kerjasama kali ini di samping bergantung kepada dua pelumba muda seperti Enea dan Fabio,” jelasnya. – MotoGP

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Datuk Razlan Razali mendedahkan pasukan itu bersedia untuk memancing pelumba Moto3 di FIM CEV Repsol, Syarifuddin Azman.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, merekodkan kemenangan sulung musim ini ketika Perlumbaan 1 di Litar Catalunya, hujung minggu lalu.

Senario itu turut mendapat perhatian Razlan yang sentiasa mengikuti perkembangan pelumba negara di CEV termasuk Adam Norrodin di Moto2.

Bagi Razlan, Damok sudah menunjukkan kematangan selepas dua tahun beraksi di CEV.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.

“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” jelas Razlan.

Sementara itu, Adam turut dicanang untuk bersama Damok ke MotoGP di kelas Moto2 dan Moto3 tatkala berjaya mempamerkan keputusan cemerlang setakat ini. – KOSMO

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube