Bikesrepublic

Berita Terkini

Mula-mulanya dokumen permohonan kelulusan jenis untuk enjin empat silindernya didedahkan, dan kini keseluruhan motosikal sport empat silinder CFMoto 500SR Voom telah didedahkan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, enjin empat silinder selari DOHC-nya dengan gerek 63mm dan lejang 40mm menghasilkan 78 hp.

Spesifikasi lain yang didedahkan dalam dokumen kelulusan menunjukkan bahawa CFMoto 500SR Voom mempunyai jarak roda 1394 mm, serupa dengan motosikal supersport 600cc. CFMoto mendakwa ia seberat 194 kg termasuk bahan api, iaitu kurang sedikit daripada CFMoto 675SR-R yang menggunakan enjin tiga silinder yang akan datang, dengan keberatan 195 kg. Menurut dokumumen itu lagi, kelajuan maksimumnya ialah 210 km/j. Saiz tayar depan dan belakang masing-masing ialah 120/70-17 dan 160/60-17.

Gambar-gambar dalam dokumen menunjukkan dua versi warna iaitu perak/hitam serta biru-hitam. Kedua-duanya menampilkan suspensi KYB dan kaliper brek yang dipasang secara radial berjenama CFMoto. Namun versi perak dan hitam mendapat fork hitam dan penutup enjin gangsa dan roda berwarna gangsa, manakala versi biru mempunyai fork perak, roda putih dengan enjin hitam. Lubang bulat pada depan fairing merupakan adalah salur masuk udara yang digelangi dengan LED DRL. Saluran udara ke kotak penapis udara kelihatan di atas fairing tepi. Lampu utama ialah unit segi empat tepat di bawah hidung.Ini kelihatan amak cantik dan kami boleh menjangkakan versi naked NK tidak lama lagi. Tetapi kami ingin melihat sama ada CFMoto akan membuat varian yang lebih sporty dengan lengan ayun sebelah.

Pengusaha sebuah stesen minyak di Alor Gajah berdepan dengan denda RM1 juta (maksimum) selepas satu video tular menunjukkan seorang pemandu kereta bernombor pendaftaran luar negara mengisi petrol bersubsidi RON95 di sana.

Sehubungan itu, stesen minyak itu telah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar, berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.

Beliau berkata, video tular itu menunjukkan seorang individu mengisi petrol bersubsidi ke dalam kenderaan bernombor pendaftaran dari negara jiran .

“Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.

“Kesalahan disyaki dibuat jam 4.35 petang, Ahad lalu dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi ‘outdoor payment terminal’ (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norena berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).

“Kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing,” katanya.

Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition telah lancarkan sebagai penghormatan kepada legenda rock ‘n’ roll itu.

Elvis merupakan seorang peminat motosikal yang tegar dan memiliki beberapa motosikal tetapi Triumph adalah salah satu kegemarannya. Beliau menunggang sebuah Triumph T120 julung kalinya pada tahun 1965 yang dimiliki oleh rakannya Jerry Schilling. Elvis begitu kagum dengan motosikal itu sehingga dia terus memesan T120 untuk setiap rakannya.

Model T120 baharu ini digayakan mengikut persembahan ’68 ‘Comeback Special’ Elvis yang paling ikonik, dimana namanya diterangi dengan mentol merah di atas pentas. Oleh itu, motosikal itu menampilkan huruf emas ‘ELVIS’ dalam cara yang sama dengan lampu pentas tersebut, bersama-sama dengan tandatanganya di atas tangki. Lambang Elvis ‘Taking Care of Business in a Flash‘ juga dipaparkan pada mudguard hadapan motosikal. Rekabentuk ini turut dipaparkan pada rantai leher yang dihadiahkan kepada setiap ahli Memphis Mafianya.

Skim warna Carnival Red diilhamkan oleh Bonneville T120 TT yang dipaparkan dalam wayang koboi-komedi ‘Stay Away Joe‘ serta Bonneville yang dihadiahkan kepada Memphis Mafia pada tahun 1965, selain daripada inspirasi Bonneville custom yang dibina oleh J Daar bagi mengumpul dana untuk yayasan Elvis Presley Charitable Foundation pada tahun 2023.

Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition ini terhad kepada 925 unit sahaja di seluruh dunia, oleh itu nombor sirinya dan tandatangan Elvis Presley diukir pada pengapit bar hendal. Setiap pembeli akan menerima cakera emas Sony dalam sarung rekod Elvis Presley dan Triumph Motorcycles yang eksklusif. Di dalam sarung itu turut terdapat sijil ketulenan yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Triumph Nick Bloor dan Jamie Salter, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ABG, Elvis Presley Enterprises.

Harga ialah £14,495 (RM86,780.70) di atas jalan raya di UK.

Seperti yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini, peralatan penunggang motosikal seperti topi keledar, jaket, seluar, sarung tangan, kasut mesti mematuhi piawaian tertentu. Dan anda mungkin pernah melihat label sedemikian di atas dilekatkan pada item pakaian. Tetapi apakah itu dan mengapa padding taraf CE dalam gear motosikal penting?

Padding yang kami maksudkan ialah yang diletakkan di kawasan di mana jaket, seluar atau sut perlumbaan yang terdedah kepada impak seperti siku, bahu, belakang, dada. Walaubagaimanapun, mesti ada piawaian untuk mengawal ujian dan keputusan, untuk mencegah pengeluar membuat dan menuntut apa sahaja yang mereka kehendaki.

Apakah piawaiannya?

Piawaian yang paling lazim digunakan di seluruh dunia ialah CE “Conformité Européene” atau EN “European Norm” EN 1621. Sila rujuk gambar di bawah yang merupakan replikasi label yang boleh anda temui dalam padding pakaian keselamatan menunggang motosikal.

  • Simbol motosikal menunjukkan bahawa ini adalah pakaian perlindungan bagi penunggang motosikal terhadap hentakan mekanikal.
  • Di bawah dan di luar kotak, anda boleh menemui kod ini EN 1621-1:2012.
  • EN1621-1 bermaksud padding adalah untuk bahagian-bahagian ini:
    • S – Bahu (shoulder).
    • E – Siku (elbow).
    • H – Pinggul (hip).
    • K – Lutut (knee).
    • K + L – Lutut, betis atas dan tengah (knee + leg).
    • L – Betis (leg) di bawah pelindung lutut.
    • KP – Perlindungan buku jari.
    • 2012 dalam kod bermaksud tahun EN 1621 telah disemak. Ia TIDAK menandakan tahun item itu dibuat.

  • Kembali ke dalam kotak, di bawah simbol penunggang motosikal itu:
    • E/K TYPE A bermaksud padding ini boleh digunakan sebagai pelindung siku atau lutut.
    • TYPE A merujuk kepada kawasan liputan:
      • A – kawasan liputan yang dikurangkan untuk aplikasi khas.
      • B – kawasan liputan biasa.

  • Jika anda jumpa EN1621-2, padding ini adalah untuk perlindungan belakang sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat kod yang berbeza untuk kawasan liputan yang berbeza:
    • B atau FB – Pelindung belakang penuh (back/full back).
    • CB – Belakang tengah (centre back).
    • L atau LB – Lumbar sahaja.
  • Piawaian EN1621-3 digunakan untuk pelindung dada.

Sila ambil perhatian bahawa pengeluar mungkin tidak menyenaraikan keseluruhan kod dalam pakaian atau padding itu sendiri. Walau bagaimanapun, anda mungkin mendapati maklumat penuh pada kad yang dilampirkan.

Tahap perlindungan

Terdapat dua tahap perlindungan, Tahap 1 dan Tahap 2. Jumlah daya yang dihantar melalui menentukan tahap:

  • Tahap 1 – Daya pemindahan maksimum mestilah di bawah 18 kN, dan tiada nilai tunggal melebihi 24 kN.
  • Tahap 2 – Daya pemindahan maksimum mestilah di bawah 9 kN, dan tiada nilai tunggal melebihi 12 kN.

Ini bermakna padding Tahap 2 lebih melindungi daripada padding yang lulus sebagai Tahap 1.

Kriteria pilihan

Pengeluar peralatan tunggangan juga boleh menguji tahap perlindungan untuk kriteria lain, contohnya:

  • Prestasi keseleruhan – Tahap 1 atau 2.
  • Rintangan geseran –  Tahap 1 atau 2.
  • Rintangan terpotong – Tahap 1 atau 2.
  • Rintangan pecah – 1 atau 2.
UNI prEN 17092-X:2017

Badan berkanun CE telah melaksanakan piawaian baharu selepas 2018, walaupun ia tidak muncul pada semua peralatan penunggang motosikal, bergantung pada tempat barangan itu dijual. Piawaian baharu ini merangkumi tahap perlindungan dalam kod itu sendiri, tidak seperti EN1621-X sebelumnya , yang hanya merujuk kepada bahagian yang dilindungi.

Contohnya, Kelas AAA memberikan tahap perlindungan tertinggi jika anda melihat kod prEN 17092-2:2017 (2017 ialah tahun barangan itu diperakui).

Kelas AAA (prEN 17092-2:20XX) Menawarkan tahap perlindungan tertinggi untuk tahap risiko tertinggi.
Kelas AA (prEN 17092-3:20XX) Tahap perlindungan kedua tertinggi.
Kelas A (prEN 17092-4:20XX) Tahap perlindungan ketiga tertinggi. Selesa untuk menunggang saban hari.
Kelas B (prEN 17092-5:20XX) Perlindungan geseran sama dengan Kelas A tetapi tanpa perlindungan daripada hentaman.
Kelas C (prEN 17092-6:20XX) Tahap perlindungan paling rendah. Sesetengah padding mungkin termasuk dalam kategori ini kerana ia menahan hentaman tetapi tidak menahan daya hentaman.
Penutup

Sekali lagi, walaupun piawaian CE/EN untuk peralatan penunggang motosikal tidak dikuatkuasakan di Malaysia, sila jangan ambil mudah penilaian ini, kerana ini bermakna pelindung itu telah diuji dan didapati memberikan perlindungan.

 

Ingatkah anda kepada motosikal touring GWM Souo S2000ST dan S2000GL yang menggunakan enjin lapan silinder ? Seperti yang dijangkakan, pengeluar itu tidak akan berhenti di situ dan mereka kini menggunakan enjin tersebut pada motosikal kruiser  GWM Souo S2000 lapan silinder pula. Prototaip motosikal ini telah dilihat sedang menjalani ujian jalan raya.

Gambar-gambar prototaip itu telah tersebar di media sosial China dan menunjukkan kruiser yang diilhamkan oleh Honda lain iaitu F6C dan Rune. Mengapa tidak, kerana kedua-dua kruiser ini adalah berdasarkan platform Honda Gold Wing, yang disaingi oleh Souo S2000ST dan S2000GL.

Penggayaan kruiser GWM Souo kelihatan seperti percampuran antara F6C dan Rune. Bahagian belakangnya mempunyai madgad yang dipotong seperti F6C, manakala lampu depan, tangki bahan api, dan fairing radiator kelihatan seperti Rune. Walaubagaimanapun, prototaip China ini menggunakan fork teleskopik dan bukannya suspensi depan jenis Hossack yang digunakan pada tourer S2000.

Adalah mudah untuk melihat bahawa GWM mahu mengatasi Honda dengan membina enjin dengan menambah dua silinder lagi (8 vs. 6), isipada yang lebih besar (2000cc vs. 1800cc), satu lagi aci sesondol dalam setiap blok (DOHC vs. SOHC), dan transmisi klac berkembar (dual clutch transmission) dengan lapan kelajuan (8 lawan 6). GWM telah pun telah menjadi pengeluar pertama yang membina enjin motosikal pengeluaran 8 silinder mendatar yang pertama.

Walaubagaimanapun, enjin dalam kruiser ini mungkin mempunyai ciri penyahaktifan silinder untuk memberikan ciri dentuman enjin pada RPM rendah seperti bagi beberapa kruiser yang lain.

Produk yang siap mungkin didedahkan tidak lama lagi, seperti bagaimana tourer itu didedahkan hanya beberapa minggu selepas enjinnya dipamerkan di Beijing Motor Show.

“Motosikal terpantas di dunia,” “kereta terpantas di dunia,” trak terpantas di dunia,” tetapi bagaimana pula… eh… “sesuatu yang lain” terpantas di dunia? Itulah yang dilakukan oleh seorang mekanik di UK yang mencipta kereta sorong terpantas di dunia.

Dylan Phillips yang berusia 38 tahun membina kereta sorong itu di bangsalnya di Crymych, Pembrokeshire, sebelum mengambil bahagian dalam Minggu Kelajuan Straightliners 2024 di Elvington Airfield di Yorkshire, di mana ia mencecah 84km/j. Ia mengatasi rekod lamanya yang dirakam pada 74km/j.

Dylan menyempurnakan dua larian yang diwajibkan melalui perangkap laju di lapangan 100m dengan jenteranya yang merupakan sebahagian kereta sorong, sebahagian lagi skuter lusuh.

Dia berkata: “Ia tidak selesa dan ia menakutkan. Isunya ialah cuba memperlahankannya kerana ia hanya ada brek di hadapan.”

Seperti semua idea yang tidak masuk akal, Phillips mengakui bahawa dia memikirkannya di sebuah pub.

“Pada masa ini saya gembira dengan keadaan itu tetapi itulah perkara dengan menjadi seorang jurutera – anda mula bermimpi lebih besar,” katanya.

“Sejujurnya, saya sangat gembira, kerana ia hanya menggalakkan inovasi dan ia mungkin akan mendorong saya untuk pergi dan mencuba lagi dan pergi dengan lebih pantas.”

Usaha Phillips mendapat tempat dalam buku Rekod Dunia Guiness, tetapi anda boleh yakin dia akan memecahkan rekod itu sekali lagi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube