Bikesrepublic

Berita Terkini

Zongshen telah pun melancarkan Cyclone RX1S di China, motosikal ADV varian terbaru itu telah dikemas kini bagi tahun 2022.

Difahamkan, model tersebut bakal menyaingi Honda CB200X yang turut dipasarkan di negara itu.

Dari aspek rekaan, ternyata tak tumpah sepereti RX1 namun terdapat beberapa perbezaan ketara antaranya jarak kelegaan tanah lebih tinggi, 175mm berbanding 170mm pada RX1.

Pada masa sama, RX1S ini tampil dengan pilihan warna Blue/Silver.

Bagaimanapun, RX1S ini kekal dikuasakan enjin 249cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang mampu menghaslkan 24hp dan 21Nm.

Ciri lain turut ditawarkan adalah paparan skrin separa-digital yang memaparkan odometer, waktu dan petunjuk gear, fork depan jenis USD dan monoshock di belakang.

Meskipun ciri yang ditawarkan cukup biasa, namun sistem membrek dikendalikan fungsi ABS dwi-saluran.

Antara ciri lain ditawarkan adalah:

lampu halogen dengan DRL (daytime running light)
penghadang angin tinggi
tempat duduk jenis single-piece
tangki 14L
rim 17-inci

Baru-baru ini, media tempatan Paultan.org telah pun melaporkan bahawa Italjet Dragster 125 akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia menerusi Chear Global.

Tinjauan kami di aplikasi e-commerce Mudah.my mendapati sudah terdapat pengedar yang membuka tempahan bagi skuter sporty tersebut.

Menurut info dikongsikan, tempahan bagi Italjet Dragster 125 itu diterima serendah RM50, dengan hanya beberapa unit akan dipasarkan disini.

Bagaimanapun, apa yang mencuri tumpuan adalah harga yang diiklankan, RM31,990 bagi model CBU dari Itali itu.

Meskipun tiada pengumuman rasmi setakat ini namun harga tersebut dijangka tidak jauh (atau sama) seperti harga rasmi yang bakal diumumkan kemudian.

Italjet Dragster ini ditawarkan dalam dua varian, 125cc dan 200cc namun hanya varian 125 akan dipasarkan di Malaysia.

Varian 125cc menghasilkan 13hp daripada enjin satu silinder dengan penyejukan cecair manakala enjin 200cc dengan standard Euro5 menawarkan 18hp.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu sekumpulan pemilik kereta yang didapati berlumba antara satu sama lain menerusi satu rakaman video ‘dashcam’ yang tular di media sosial.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superitendan Dr Bakri Zainal Abidin, kenderaan yang terbabit akan disita untuk tempoh panjang sementara pemandu akan dikenakan saman maksimum.

“Kita akan buat tindakan susulan untuk mengesan lokasi serta pelakunya. Setiap perbuatan melanggar undang-undang, pasti akan menerima padah dan kesannya.

“Tindakan sita kenderaan dalam tempoh masa yang lama akan dikenakan terhadap pelaku, selain saman dengan kadar maksimum bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang,” katanya.

Rakaman berdurasi empat mini lapan saat itu jelas menunjukkan beberapa buah kereta telah terlibat berlumba antara satu sama lain di lebuh raya dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Video tersebut yang turut dikongsikan di Facebook MotoMalaya.Net mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang mengharapkan tindakan diambil pihak PDRM.

“Maklumat daripada orang ramai seperti masa dan lokasi, akan dapat membantu kita menggerakkan elemen penguatkuasaan, khususnya bagi membanteras gejala samseng jalanan itu dengan lebih cekap dan efisyen,” katanya. – BH

Baru-baru ini kami berpeluang sertai BMW R 18 Getaway Malaysia atas jemputan BMW Motorrad Malaysia yang melibatkan tunggangan lebih 1000km dalam pengembaraan selama tiga hari dua malam bersama rakan media lain.

Kami juga diberikan jentera BMW R 18 Classic dan R 18 Pure untuk digunakan sepanjang pengembaraan tersebut sementara konvoi enam media pula diketuai BMW Motorrad Instructor, Faizal Sukree.

Hari Pertama (HQ BMW Cyberjaya – Cameron Highlands)

Hari pertama BMW  R 18 Getaway Malaysia membawa kami ke Cameron Highlands menerusi Sg Koyan dengan BMW R 18 Pure menjadi pilihan pertama.

Sebelum berlepas ke Cameron Highlands, kami sempat sarapan pagi di Bungalow 37, Bangsar. Dalam perjalanan meskipun menempuh trafik sesak ke Kuala Lumpur namun R 18 Pure berjaya diimbangkan dengan cukup baik walaupun celah kaki dimuatkan enjin 1800cc Big Boxer.

Percaya atau tidak, walaupun enjin besar gedabak itu diletakkan hanya beberapa inci dari kaki namun bahang enjin tidak dirasai, ketika menunggang ada juga yang berani merehatkan kaki di atas blok enjin tersebut, bila diri sendiri cuba, memang menyesal sebab panas tak terhingga!

Ketika diberitahu berat R 18 ini cecah 350 kilogram, tanggapan pertama memang dah terbayang rasa lelah nak tunggang di sekitar Cameron Higlands yang kadang kala sesak tapi jangkaan kami ternyata meleset sebabnya motosikal tersebut cukup mudah untuk dikendalikan.

Menyelusuri kawasan Sungai Koyan memang layan, walaupun kadang kala permukaan tak rata (ternyata banyak) membuatkan kami beberapa kali nak tercampak dari tempat duduk tapi bertongkatkan lengan yang sado, R 18 Pure ini memang mudah dijinakkan sehinggalah tiba di destinasi pertama di Cameron Highlands.

Hari Kedua (Cameron Highlands – Pulau Pinang)

Hari kedua memang dinantikan kerana dapat melenjan lagi BMW R 18 Pure kali ini melalui Simpang Pulai.

Ini juga merupakan hari di mana tempat letak kaki (footpeg) R 18 menjadi makanan selekoh tajam ketika turun dari Cameron Highlands. Status ‘footpeg’  pada BMR R18 Classic milik Faizal lebih parah, kerana dah patah dan tidak lagi menyerupai ‘footpeg’  yang normal.

Sebaik masuk ke Lebuhraya Utara Selatan, kami berhenti sekejap di RNR Sg Perak untuk tujuan mengisi minyak. Baru perasan R 18 Pure dan Classic ini boleh pergi sejauh 300km sekali isian penuh hasil bantuan tangki 17L. 

Waktu itu juga baru perasan, R 18 Pure ini kurang selesa untuk digunakan di lebuhraya kerana agak ‘bogel’ tidak seperti R 18 Classic yang dilengkapi penghadang angin tinggi yang menjaminkan tunggangan lebih selesa.

Tak lupa juga R 18 Classic dilengkapi fungsi ‘cruise control’ jadi tangan kanan tidak terasa bahana memulas ‘throttle’  tanpa henti seperti yang berlaku ketika tunggan R 18 Pure.

Apa yang lebih mengagumkan, kemampuan R 18 Pure dan Classic menyelinap di antara penduduk Pulau Pinang yang memandu dengan penuh ‘hemah’. Siapa tak berdebar, bila kena menunggang motosikal bernilai sekitar RM150 ribu dengan kelajuan kurang 60km/j  dikalangan pemandu Pulau Pinang yang sememangnya popular dengan sifat memahami.

Tetapi senario lebih mengejutkan berlaku di lokasi makan tengah di Deen Maju, kerana BMW Motorrad pastikan kami tak perlu beratur untuk masuk dalam sebab dah ada meja ‘VVIP’  yang menanti. Tabik hormat pada BMW Motorrad Malaysia.

Di sebelah petang, BMW Motorrad bawa kami merehatkan pinggul dan tulang belakang dengan pelayaran empat jam menaiki ‘catamaran’  melalui bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang sebelum bersambung dengan makan malam dan tidur yang cukup di G Hotel.

Hari Ketiga (Pulau Pinang – HQ BMW Cyberjaya)

Hari yang paling memenatkan bagi semua penunggang yang berkonvoi tak kira jauh atau dekat. Hari untuk pulang merupakan saat yang sememangnya memenatkan, bukan hanya perlu menempuh perjalanan berjam-jam tapi perlu kembali ke kehidupan realiti.

Sebelum berlepas, ketua konvoi, Faizal sempat menyampaikan sepatah dua kata dan peringatan bagi menjaminkan perjalanan pulang berlangsung selamat.

Tetapi penulis bernasib baik, sebab berpeluang ‘swap’  jentera dengan rakan media lain untuk menunggang R 18 Classic pula.

BMW R 18 Classic sememangnya dibina untuk tunggangan di lebuh raya, dan Lebuhraya Utara Selatan merupakan medan paling sesuai untuk tujuan itu.

Berbeza dengan R 18 Pure, varian Classic lebih mesra ‘highway’ kerana adanya kehadiran penghadang angin yang cukup tinggi.

Selain menjaminkan tunggangan lebih selesa kerana kurang pelanggaran angin, cermin tinggu itu juga memudahkan juga ‘throttle’  dipulas lebih dari kebiasaan untuk pergi lebih laju sedikit berbanding had laju kebangsaan.

Bukan itu sahaja, ciri ‘saddle bag’  juga membuatkan penunggang boleh menyimpan barangan dengan selamat tanpa perlu risau tentang cuaca. Kaki melancong ke Pulau Pinang semudah ABC boleh simpan jeruk yang dikirim Bentara Guru.

Menempuh pengembaraan lebih 1,000km bersama R 18 Classic dan Pure sememangnya satu pengalaman yang cukup mengujakan. Ini kali pertama petugas media diberikan layanan dan peluang untuk merasai sebuah jentera dengan suasana yang berbeza.

Jangan risau, acara BMW R18 Getaway ini sebenarnya terbuka untuk semua, dengan bayaran serendah RM3,350 (termasuk motosikal, hotel, makan dan sunset crusie) orang ramai boleh merasai pengalaman menunggang BMW R18 Classic dan Pure di samping menikmati pelbagai aktiviti menarik.

Bagi yang berminat, layari www.fsadventures.com.my untuk maklumat lanjut.





Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam satu kenyataan telah mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan hadir untuk menyaksikan ujian pra-musim MotoGP yang akan berlangsung dari 5 hingga 6 Februari ini.

Lebih menarik, kemasukan adalah percuma dan penonton boleh menyaksikan persediaan pasukan MotoGP secara dekat di Main Grandstand.

Bagaimanapun, sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan, hanya individu dengan vaksinasi lengkap dibenarkan masuk ke SIC bagi menyaksikan ujian pra-musim berlangsung.

“Ini adalah acara sukan permotoran antarabangsa pertama di Malaysia sejak berlakunya pandemik dengan pelumba dan pasukan akan bergerak di bawah Motorsport Travel Bubble.

“Ini merupakan satu permulaan baik bagi kalendar 2022 dan menandakan usahasama untuk kembali menghidupkan industri sukan di Malaysia. Kami mahu berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas sokongan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi destinasi sulung bagi permulaan musim 2022 dengan menjadi tuan rumah bagi ujian pra-musim rasmi.

Dengan beberapa pelumba sedah pun mula tiba di Malaysia, SIC bakal menjadi medan ujian sulung bagi menguji kemampuan jentera 2022 masing-masing sebelum pusingan pertama bermula.

Bagaimanapun, sebelum pelumba prolifik seperti pertahan juara, Fabio Quartararo dan enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turun beraksi, pelumba uji setiap pasukan akan turun terlebih dahulu bagi menguji jentera 2022 masing-masing di litar tertutup dikenali Shakedown Test.

Kemudian, pasukan Suzuki Ecstar dan Monster Energy Yamaha dijadualkan mengadakan pelancaran pasukan  pada 4 Februari (Jumaat) di Sepang.

Pelumba tonggak pasukan masing-masing kemudiannya akan turun ke litar bagi ujian rasmi pada 5 dan 6 Februari.

Berdasarkan maklumat awal diperolehi, penonton yang sudah lengkap vaksinasi juga akan dibenarkan untuk menyaksikan sesi ujian pra-musim tersebut namun akan termaktub pada pengumuman rasmi oleh pihak SIC nanti.

Sementara itu, Marquez yang sebelum ini dipalit kecederaan selepas mengalami diplopia (double vision) disahkan akan turut serta ujian pra-musim dengan jentera RC213V terbaru.

Suzuki juga mencuri tumpuan kerana dijangkakan jentera GSX-RR kali ini jauh lebih baik berbanding musim sebelumnya dalam usaha kembali mencabar kejuaraan selepas kekecewaan musim lalu.

Kem Ducati juga akan jadi fokus kali ini selepas Pecco Bagnaia hanya dipisahkan 26 mata dibelakang juara, Quartararo manakala KTM dan Aprilia akan terus cuba membuat kejutan menerusi gandingan Brad Binder dan Miguel Oliveira serta Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Sementara itu, Quartararo dijangka akan kekal sebagai pilihan utama kali ini dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan dimenanginya musim lalu apatah lagi terdapat pepatah di MotoGP bahawa menang kali kedua berturut-turut barulah akan mengesahkan kejuaraan yang pertama.

Pasukan baharu, WithU Yamaha RNF MotoGP Racing Team juga akan berada dalam pemerhatian peminat MotoGP terutamanya di Malaysia yang mahu menyaksikan apakah kemampuan pengasas dan prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali dalam membawa cabaran itu musim ini setelah terkuburnya Petronas SRT hujung musim lalu.

Prestasi Andrea Dovizioso dan Darryn Binder juga akan dipantau dan diharapkan dapat menghadirkan keputusan memberangsangkan seandainya mahu dielak menjadi bahan kritikan peminat di Malaysia.

Dovizioso akan beraksi dengan jentera factory-spec YZR-M1 2022 sementara Binder diberikan jentera 2021.

Pada masa sama, kem Tech3 KTM juga mencuri tumpuan kerana bakal menurunkan juara dan naib juara Moto2, Remy Gardner dan Raul Fernandez.

Kedua-dua pelumba itu bersaing sengit sebagai rakan sepasukan musim lalu dan persaingan itu dijangka akan diteruskan musim ini dengan jentera RC16 terbaru.

Ujian pra-musim di Sepang dijangka akan berlangsung penuh aksi dan memberi peluang kepada orang ramai membuat ramalan awal apakah yang boleh dijangka pada pembukaan musim 2022 nanti.

Kami juga akan membawakan perkembangan semasa sepanjang ujian pra-musim berlangsung.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube