Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda Motorcycle Japan telah pun mengumumkan akan memperkenalkan Honda Super Cub 110 Pro untuk pasaran negara itu bermula Mei.

Super Cub 110 Pro merupakan varian yang diperkenalkan khas untuk orang ramai yang menggunakan motosikal sebagai mod penghantar barangan.

Hasilnya, Super Cub 110 Pro dilengkapi dengan bangkul di bahagian depan secara standard serta ruang letak barang yang lebih besar dan lasak berbanding Super Cub 110 sedia ada.

Kehadiran bakul juga mengubah kedudukan lampu depan berbanding versi standard.

Honda juga menaik taraf bahagian suspensi agar membolehkan Super Cub 110 Pro membawa muatan lebih berat daripada kebiasaan.

Selain itu, Honda juga mengemas kini enjin dengan ‘stroke’ yang lebih panjang agar tork hadir lebih awal. Paip ekzos juga dinaik taraf agar mencapai peraturan emisi di Jepun.

Meskipun hanyalah sebuah moped 110cc namun Honda turut menaik taraf ciri keselamatan dengan cakera brek depan dan sistem ABS.

Menariknya, model ini juga dilengkapi tayar ‘tubeless’ yang dipadankan bersama rim aloi 14-inci.

Antara kemas kini lain yang dilaksanakan adalah kehadiran petunjuk gear di skrin LCD, jam dan meter minyak.

Pelumba negara, Syarifuddin Azman telah dipilih untuk menggantikan pelumba pasukan Moto3, Alberto Surra untuk dua pusinngan bermula hujung minggu ini di GP Portugal.

Syarifuddin @ Damok akan mewakili pasukan Rivacold Snipers Team mengambil tempat Surra di GP Portugal dan GP Sepanyol selepas pelumba itu mengalami kecederaan serius sewaktu ujian bebas di GP Amerika Syarikat, 10 April lalu.

Damok – yang pernah beraksi di Moto3 musim lalu bersama Petronas Sprinta Racing – akui teruja dengan peluang yang diberikan kali ini.

Dia juga berharap pengalaman beraksi di Litar Algarve akan memberi sedikit kelebihan dalam memberikan aksi terbaik.

“Saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan Team Snipers.

“Tahun lalu saya berupaya meraih posisi yang sangat baik pada sesi kelayakan Kejuaraan Dunia JuniorGP, jadi saya harap dapat meraih mata.

“Saya menyasarkan untuk dapatkan penamat dalam kelompok mata dan buat yang lebih baik di Aragon tahun lalu. Harap semuanya berjalan lancar dan semuanya menjadi kenyataan,” jelasnya.

Pelumba 21 tahun itu ketika ini sedang beraksi di Kejuaraan Dunia JuniorGP bersama pasukan SIC Racing.

Pengeluar motosikal Itali, Ducati menutup suku pertama 2021 dengan pencapaian menakjubkan apabila sekali lagi merekodkan angka jualan tertinggi.

Ducati berjaya menyerahkan 13,450 unit motosikal di seluruh dunia dari Januari hingga Mac tahun ini sekaligu menandakan peningkatan 5 peratus berbanding tempoh sama bagi 2021.

Seperti beberapa bulan sebelum itu, Ducati Multistrada V4 kekal model paling laris dengan 2,456 unit telah terjual diikuti Monster (1,868) dan barisan Scrambler 800 (1,557).

Sementara itu, Itali kembali menjadi pasaran utama bagi Ducati dengan 2,544 motosikal dijual – naik 8 peratus – diikuti Jerman (1,382 unit).

Menurut Ducati, Perancis telah merekodkan peningkatan memberangsangkan dengan 1,153 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, sekaligus mencapai kenaikan 29 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

Permintaan di UK juga meningkat secara mendadak dengan 46 peratus kenaikan hasil daripada 860 unit berjaya dijual.

Sementara itu, permintaan terhadap Ducati dijangka akan terus meningkat dengan pelancaran beberapa model baharu antaranya DesertX dan Streetfighter V2.

Populariti KTM semakin meningkat naik sejak syarikat motosikal Austria itu memperkenalkan enjin parallel-twin LC8 kompak pada 2017.

Sejak itu, enjin 790cc itu telah pun berevolusi kepada 889cc sebelum KTM menaik taraf  enjin tersebut dengan versi ‘R’ yang menyaksikan kuasa dinaikan dari 105hp kepada 119hp.

Bagaimanapun, KTM tak bercadang untuk berhenti disitu sebaliknya ‘enjin LC8 890cc itu sekali lagi akan menjalani evolusi.

‘Spy shot’ terbaru yang diambil di kilang KTM yang terletak di Mattighofen mengesahakn perkara ini apabila memaparkan jentera ‘naked’ terbaru yang didakwa sebagai KTM 990 Duke.

Seperti namanya, KTM 990 Duke ini akan digerakan enjin parallel-twin LC8 990cc yang dibangunkan daripada platform 889cc sedia ada, namun dengan ‘bore’ dan ‘stroke’ yang lebih besar dan panjang.

Berdasarkan foto dikongsikan, 990 Duke bukan hanya akan tampil dengan enjin baharu malah rekaan dan spesifikasi yang berbeza berbanding generasi 890.

Meskipun 990 Duke bakal menawarkan perubahan besar namun dijangkakan enjin LC8 itu akan kekal dengan ‘crankshaft’ 285-darjah yang berupaya menghasilkan ‘firing interval’ yang menyamai enjin V-Twin 75-darjah.

Dengan enjin yang lebih besar, 990 Duke ini juga dijangka menawarkan kuasa lebih 130hp.

Namun, 990 Duke ini juga dijangka didatangkan dengan kerangka baharu yang lebih ringan dan kompak termasuk panel badan yang berbeza. Bahagian kerangka belakang juga tampak lebih terdedah.

Walaupun lampu depan nampak menarik – seakan menyamai GSX-S1000 – namun difahamkan itu bukanlah rupa sebenar yang akan diguna pakai.

Buat masa ini maklumat lebih terperinci beserta spesifikasi masih lagi samar namun melihat kepada pembangunan model terdahulu, 990 Duke ini dijangka akan didedahkan lewat tahun ini sebelum dilancarkan secara rasmi pada 2023. – CycleWorld

Isu kenderaan asing yang mengambil kesempatan dengan mendapatkan petrol bersubsidi RON95 di Malaysia semakin berkurang, jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Kejadian kenderaan pendaftaran asing ‘mencuri’ RON95 yang hanya ditujukan kepada rakyat Malaysia meningkat setelah kerajaan membuka sempadan negara pada 1 April lalu.

Kelibat kenderaan asing terutamanya dari Singapura mengisi RON95 mendapat kecaman orang ramai.

Bagaimanapun, Alexander Nanta Linggi menjelaskan kejadian tersebut semakin reda.

“Sebelum ini, sejurus selepas pembukaan semula sempadan negara, ramai kalangan mereka (warga asing) bergegas (untuk mengisi minyak dalam negara), tetapi selepas kita ingatkan mereka (pengusaha stesen minyak), nampaknya masalah itu berkurangan.

“Kita sangat bergantung kepada pengusaha (stesen minyak) untuk membantu kerajaan memastikan RON95 hanya dijual kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Bagaimanapun, sebaik kes RON95 reda, timbul pula kenderaan pendaftaran asing yang membawa penumpang Singapura dilihat mencuri cas elektrik di Shell Recharge yang terletak di Johor. –FMT

Kerajaan bakal putuskan peraturan baharu berkait dengan penggunaan skuter elektrik atau e-skuter.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, peraturan baharu itu termasuk pelaksanaan lesen terhadap pengguna dan pembekal kenderaan terbabit.

“Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-undang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu, mereka perlu mempunyai lesen,” jelas Wee Ka Siong.

Peraturan tersebut dilihat sebagai langkah wajar susulan penggunaan e-skuter semakin menjadi trend dikalangan orang ramai.

Pada masa sama, Wee Ka Siong menyifatkan kelajuan e-skuter yang sama seperti motosikal membuatkan pengguna terdedah kepada risiko kemalangan.

Penggunaan mobiliti elektrik sudah pun termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 yang merangkumi aspek kenderaan mikro mobiliti .

“Saya rasa kita kena perhalusi setiap satu dan sebenarnya libat urus telah dibuat berkali-kali.

“Jumlah mikro mobiliti ini banyak, nama e-basikal tapi bukan basikal, iaitu kelajuan sangat tinggi dan tidak menggunakan pedal.

“Kita kena lihat setiap satu supaya tidak terlepas pandang. Definisi kena jelas dan kita kena kawal (penggunaan mikro mobiliti) demi kebaikan semua orang,” tambahnya. – FMT

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube