Bikesrepublic

Berita Terkini

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sememangnya antara ahli politik yang merupakan peminat jentera dua roda.

Beliau juga pernah dilihat menunggang motosikal jenis Honda X ADV 750 sebelum ini.

Bercakap tentang isu pengharaman motosikal kapcai berprestasi tinggi yang menjadi bualan hangat kebelakangan ini, Zahid Hamidi berpendapat saranan itu hanya akan membawa kesan buruk kepada negara.

Baginya, pengharaman tersebut – sekiranya dikuatkuasakan – akan menjejaskan pengedar, penjul dan pekerja industri berkaitan.

“Pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda.

“Langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula.

“Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja,” ujar Zahid Hamidi dalam perkongsian di akaun Facebook miliknya.

Tambah beliau lagi, beberapa perkara juga perlu diperhalusi termasuk motosikal kapcai sebagai pilihan utama bagi jutaan penduduk di Malaysia.

“11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.

“Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

“Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir.

“Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas,” tambahnya.

Sebaliknya, Zahid berpendapat aspek utama dalam menangani isu kemalangan jalan raya dikalangan pengguna kapcai adalah berkait dengan sikap pengguna itu sendiri.

Maka, adalah penting fokus utama adalah ke arah menerapkan kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang selain mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya.

Isu pengharaman kapcai berkuasa tinggi timbul selepas Ketua Polis Negara, Acyrl Sani Abdullah Sani mencadangkan kapcai seperti Suzuki Raider R150 Fi diharamkan gara-gara tular video motosikal tersebut mencapai kelajuan 177km/j atas mesin dyno lantas melebihi had laju kebangsaan iaitu 110km/j.

Januari lalu, Benelli telah pun memfailkan paten enjin terbaru yang merujuk kepada platform parallel-twin 799cc yang akan menggerakan model TNT akan datang.

Rupa bentuk enjin tersebut juga tampak seiras dengan enjin KTM LC8.

Dalam perkembangan terbaru, syarikat motosikal China, Qianjiang – yang juga pemilik kepada Benelli – telah memfailkan paten enjin kedua tahun ini yang merujuk kepada platform V-Twin 1,301cc.

Menariknya, rekaan enjin tersebut juga kelihatan mirip dengan enjin KTM 1301cc yang terdapat pada Super Duke R.

Menurut paten tersebut, enjin itu membawa kod nama ‘QJ2V108MYL’ yang sekaligus memberi penjelasan mengenai spesifikasi ditawarkan.

Dua huruf pertama – QJ – merujuk kepada Qianjiang manakala dua huruf seterusnya, 2V bermaksud V-Twin. Seterusnya, angka 108 mendedahkan ‘bore’ iaitu 108mm – sama seperti enjin KTM 1290.

Persamaan ketara antara enjin terbaru dibangunkan Qianjiang ini dengan KTM tidak bermakna syarikat China itu meniru bulat-bulat enjin KTM, sebaliknya menandakan kerjasama baharu telah pun termeterai antara dua syarikat itu yang akan diumumkan kelak.

Qianjiang sebelum ini telah pun menjalinkan kerjasama dengan beberapa pengeluar motosikal luar antaranya MV Agusta dan Harley-Davidson.

Tidak lupa juga, KTM turut menjalinkan kolaborasi dengan pengeluar motosikal China, CFMoto sebelum ini.

Apa yang pasti, enjin terbaru yang difailkan itu pastinya akan diterapkan pada model Benelli yang akan dipasarkan di Eropah dan Asia. Benelli ketika ini sedang menikmati kejayaan di beberapa pasaran Eropah terutamanya di Itali dengan TRK 502 muncul model paling popular selama beberapa tahun ini.

Tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak dan bukan warga asing yang mengambil kesempatan mengisi petrol bersubsidi RON95 dalam negara.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.

Sebaliknya, Mohd Hairul menggesa pengusaha stesen minyak di negeri ini lebih aktif dalam mencegah kenderaan asing merasai nikmat RON95.

“Tindakan hanya kepada pemilik stesen minyak atau pengusaha stesen minyak dan bukan kepada pemilik kenderaan, sebab itu pengusaha kena pastikan ia tidak berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Hairul meminta orang awam memberi kerjasama dengan mengambil bukti gambar warga Singapura yang mengambil kesempatan mengisi RON95.

“Ambillah gambar, kita tak ada masalah tetapi sertakan sekali bukti yang jelas.

“Kami komited untuk membanteras kesalahan tersebut kerana petrol RON95 adalah hak warganegara dan KPDNHEP Johor akan pastikan hak pengguna di negeri ini dilindungi,” tambahnya.

Larangan penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing telah pun berkuatkuasa pada 1 Oktober 2020 bagi memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi tersebut. – SH

Pemandu wanita yang sebelum ini dihadapkan ke mahkamah ekoran menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun bermula hari ini.

Sam Ke Ting, 27, sebelum ini telah pun dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu namun Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar memutuskan perkara itu setelah pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Ke Ting uga telah dikenakan denda RM6,000 dan perlu dibayar sekiranya mahu mengelak daripada pertambahan hukuman penjara enam bulan.

Tertuduh juga telah hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik tempoh hukuman berakhir.

Menyentuh keputusan pembebasan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini, Abu Bakar memaklumkan bahawa mahkamah telah terkhilaf.

““Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara berbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” ujar Abu Bakar.

Sementara itu, KeTing kelihatan tenang sebaik keputusan penjara dan denda dibacakan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini memutuskan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan berkenaan berkaitan dengan kejadian pada 18 Februari 2017.

Ke Ting, yang ketika itu berusia 22 tahun, didakwa memandu secara melulu di Jalan Lingkaran Dalam lalu menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada pukul 3.20 pagi. – Utusan

Harley-Davidson julung kalinya memperkenalkan motosikal ‘entry-level’ dengan sistem penyejuk air selepas kali terakhir melakukannya pada 65 tahun dulu.

Mengembalikan semula nama Nightster, model baharu itu meneruskan DNA Harley-Davidson dengan penampilan klasik namun dilengkapi dengan beberapa ciri elektronik terkini.

Namun, tumpuan utama terarah kepada bahagian enjin, yang menempatkan platform 975cc serba baharu yang dibangunkan daripada platform Revolution Max 1250 yang menggerakan Pan America.

Harley-Davidson mendakwa enjin V-Twin 60-darjah dengan sistem penyejuk air itu mampu menjana 88.5hp pada 7,500rpm dan 95Nm pada 5,000rpm.

Bagaimanapun, ketika Revolution Max 1250 mengguna pakai ‘variable valve timing’ pada kedua-dua inlet dan injap ekzos, enjin 975cc terbaru ini hanya menampilkan VVT pada bahagian ‘inlet cam’ sahaja.

Harley juga hanya menerapkan satu ‘sparkplug’ bagi setiap silinder berbanding dua ‘sparkplug’ pada enjin 1250.

Antara ciri lain yang terdapat pada Harley-Davidson Nighster 2022 adalah seperti berikut:

  • tangki 11.7L
  • berat 221kg
  • tiga mod menunggang (Road/Sport/Rain)
  • ABS
  • Traction Control
  • Drag-Torque Slip Control System
  • fork depan 41mm Showa Dual Bending Valve
  • penyerap hentakan belakang berkembar Showa
  • lampu LED penuh
  • paparan LCD dan analog

Yamaha telah pun melancarkan YZF-R15 V4 di India pada September tahun lalu di India.

Pada pelancaran tersebut, Yamaha memperkenalkan dua varian, R15 (Standard) dan R15M yang merupakan varian terbaru bagi model itu.

Tak lama kemudian, Yamaha R15 V4 itu turut dipasarkan di negara jiran, Indonesia sementara pengedar di Singapura membawa masuk model itu untuk pasaran terbabit pada Februari lalu.

Sumber: Paultan.org

Dalam perkembangan terbaru, jangkaan kami bahawa R15 generasi keempat itu bakal diperkenalkan tidak lama lagi di Malaysia bakal dilunaskan setelah dua model dikesan menjalani ujian jalan raya baru-baru ini seperti yang dilaporkan rakan media, Paultan.org pada Selasa.

Laporan itu jelas memaparkan dua model R15 V4 sedang menjalani ujian dan tampil dengan warna serba hitam bagi melindungi rupa sebenar.

Bagaimanapun, seperti yang didedahkan sebelum ini, R15 V4 ini menawarkan panel badan dan reka bentuk lampu LED serba baharu yang yang diinspirasikan daripada jentera terbaru YZF-R7 yang dilancarkan di Eropah.

Bukan itu sahaja, varian R15M dilengkapi dengan traction control, sistem quickshifter dan dua mod tunggangan (Track/Street) sekaligus menawarkan pengalaman menunggang yang mengujakan.

Difahamkan, Yamaha R15 ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia sekitar awal suku ketiga tahun ini. – Paultan.org

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube