Bikesrepublic

Berita Terkini

Royal Enfield Scram 440 (2025) telah dilancarkan ketika perhimpunan motosikal tahunan terbesar pengeluar ini, Motoverse 2024, yang diadakan di Goa, India. Scram 440 ini dikemaskini daripada Scram 411 semasa.

Bermula dengan enjin, enjin 411cc, silinder tunggal, SOHC, penyejuk udara/minyak semasa yang diadu sebagai kurang kuasa dibesarkan kepada 443cc. Isipadu tambahan itu meningkatkan kuasa maksimum kepada 25.4hp pada 6,250 RPM dan tork kepada 34Nm pada 4,000 RPM. Ia adalah pertambahan daripada 24.3hp pada 6,500 RPM dan 32Nm pada 4,250 RPM. Tetapi entahlah kenapa RE tidak meningkatkan output enjin kepada sekitar 30hp.

Seterusnya ialah transmisi, dan RE menambahkan gear ke-6 untuk menangani masalah menunggang di atas lebuh raya. Selain itu, RE juga mendakwa tarikan klac lebih ringan.

Kerangka diperkukuh untuk menampung beban yang lebih berat dan kotak simpanan (top box), yang casisnya kekal sama. Rodanya berjejari wayar adalah 19-inci di hadapan dan belakang 17-inci belakang, jenis tiub. Pembeli boleh membeli roda aloi tanpa tiub sebagai pilihan.

Brek juga dinaiktaraf sebagai tindak balas kepada pemilik sekarang yang mendapati kuasa brek mereka tidak mencukupi. ABS dwi-saluran kini membenarkan penunggang mematikan ABS roda belakang untuk kegunaan off-road, sama seperti RE Himalaya.

Beberapa warna baharu telah ditambah untuk Royal Enfield Scram 440 (2025) dan akan dikeluarkan di India mulai Januari 2025.

BMW R 12 S (2025) telah dilancarkan, dan ia merupakan penghormatan yang amat cantik kepada BMW R90S (1973-1976).

Mengapa R90S menjadi sebuah motosikal ikonik? BMW mengatakan bahawa R90S “menetapkan tanda seru untuk BMW Motorrad dengan 67 hp, kelajuan tertinggi 124 mph (dianggap sebagai ‘penghalang bunyi’ untuk motosikal pada masa itu),  brek hadapan cakera berganda dan dinamik menunggang sukan.” Kita ketepikan ayat-ayat agensi Perhubungan Awam itu: R90S adalah motosikal yang memindahkan BMW daripada tanggapan “motosikal orang tua” ke dalam dunia motosikal prestasi. Malah, Reg Pridmore memenangi Kejohanan Superbike AMA 1976 dengannya. Cycle World menggelarnya sebagai motosikal yang memulakan revolusi sport-touring. Ia juga direka oleh Hans Muth, pereka yang kemudiannya merekabentuk Suzuki Katana yang pertama.

Rangkaian R nineT ialah rangkaian klasik moden untuk BMW dan telah menyaksikan beberapa lelaran indah bagi motosikal zaman dahulu, terutamanya R nineT Racer. Tetapi R 12 S ini paling cantik bagi kami setakat ini.

Berdasarkan R 12 nineT, BMW R 12 S menggunakan enjin Boxer 1170cc, penyejuk udara/minyak yang sama, dan menghasilkan 109hp dan 115Nm. Walaubagaimanapun, R 12 S ditambah dengan rim jejari dawai Option 719 Wheel Classic II, bar hendal dan tiub fork hitam. Enjin itu juga menampilkan beberapa bahagian hitam.

Skim cat dipanggil N42 Lava (yang asal dipanggil Daytona Orange) dan termasuk jalur merah serta jalur aluminium yang diberus pada tangki bahan api dan penutup tempat duduk belakang. Dan jangan lupa fairing lampu klasik, kerana R90S adalah motosikal pengeluaran pertama yang menampilkan ciri tersebut.

Ciri-ciri lain termasuk Hill Start Control, Gear Shift Assist Pro, cruise control, Headlight Pro.

Harga ialah USD21,590 (RM95,997.59) di AS sebelum cukai. Menyesal saya tidak menjadi broker saham dari dulu…

Pakar penyerapan hentakan yang berpengkalan di United Kingdom, D3O, telah menghasilkan pelapik kasut dengan penyerap getaran D3O.

Satu perkara yang tidak dapat ditangani apabila menunggang motosikal adalah getaran daripada jalan dan motosikal itu sendiri. Getaran jalan adalah sesuatu yang boleh kita tangani dengan mengubah suspensi atau menukar tayar, tetapi getaran berfrekuensi tinggi dari sesetengah motosikal boleh menyebabkan kaki berasa kebas terutamanya apabila menunggang jarak jauh.

Tetapi siapakah dan apakah D3O…?

Mengetepikan D3O seketika, mari kita lihat ‘padding‘ kelengkapan bermotosikal yang lain: Jika anda inginkan keselesaan khususnya untuk tunggangan harian, ‘padding‘ itu seharusnya lembut. Namun, ia mungkin tidak dapat menyerap daya impak tinggi. Tetapi anda boleh memakai jaket atau seluar itu sebagai pakaian kasual.

Sebaliknya, jika anda inginkan tahap perlindungan yang lebih tinggi, keselesaan terpaksa dikorbankan kerana ‘padding‘ biasanya lebih keras dan lebih besar. Anda akan kelihatan seperti ‘cyborg‘ jika anda ingin memakai jaket itu. Tambah lagi ‘padding‘ yang keras boleh menjadi tidak selesa dan mengehadkan pergerakan.

Di sinilah keutamaan D3O. ‘Padding‘ D3O diperbuat daripada bahan yang menghasilkan  sifat bukan Newtonian. Pepejal bukan Newtonian tidak wujud tetapi terdapat cecair bukan Newtonian yang wujud. Satu contoh yang baik ialah sos tomato yang lebih mudah mengalir setelah digoncang.

Jadi, ‘padding‘ D3O boleh ditempa dan lembut bila disentuh, dan ini membolehkan pergerakan yang bebas dan keselesaan yang tinggi. Tetapi apabila terdapat hentakan yang kuat, molekul-molekul di dalam ‘padding‘ D3O akan ‘bersatu’ serta-merta dan ‘padding‘ menjadi kaku untuk menyerap daya impak yang tersebut.

Oleh itu, ‘padding‘ D3O melihat pelbagai kegunaan termasuk dalam topi keledar tentera, topi keledar basikal, peralatan menunggang yang disebutkan di atas, dan kasut seperti beberapa model dalam barisan Stylmartin.

Berbalik kepada pelapik kasut dengan penyerap getaran D3O…

Pelapik kasut dengan penyerap getaran D3O D3O telah dibangunkan daripada pengethuan bersama pasukan Formula Satu. Pelapik kasut ini direka agar mengedarkan  getaran secara merata pada tapak untuk keselesaan yang lebih baik.

Terdapat tiga tahap perlindungan: ‘Minimalist‘, ‘Standard‘ dan ‘Loaded.’

Ketiga-tiga versi memberikan perlindungan utama pada kawasan tapak tengah, di mana kaki bertemu dengan pemijak. Versi yang lebih premium menampilkan bahan redaman tambahan di kawasan yang lebih besar.

Produk ini amat dialu-alukan memandangkan sebahagian daripada kami sebagai penunggang yang telah mencari pelbagai cara untuk meredamkan getaran motosikal kami. D3O mengatakan ia akan tersedia pada 2025.

Sebuah bank pelaburan menaikkan unjuran jumlah jualan automotif  untuk tahun ini kepada 800,000 unit daripada 760,000 unit sebelumnya.

Unjuran daripada Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) itu sekali gus berpotensi memecah rekod jumlah keseluruhan industri (total industry volume/TIV) tertinggi dalam sejarah, 799,731 unit yang dicatatkan pada tahun lalu.

Semakan semula oleh bank pelaburan itu mencerminkan pesanan tertunggak yang ketara untuk PERODUA dan usaha jualan yang mantap oleh pelbagai pengeluar peralatan asal (OEM) pada suku keempat 2024.

Pada Oktober, TIV telah melantun semula bulan ke bulan sebanyak 20.3 peratus kepada 69,900 unit, didorong oleh jadual pengeluaran penuh PERODUA dan dorongan jualan akhir tahun oleh OEM lain.

Bagaimanapun, TIV pada Oktober sebenarnya merupakan penurunan 9.1 peratus berbanding dengan bulan yang sama pada tahun lepas, disebabkan oleh pesanan tertunggak yang lebih rendah.

Jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada Oktober 2024 meningkat 20 peratus berbanding September kepada 69,859 unit.

TIV bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024 adalah 2.4 peratus lebih tinggi kepada 664,002 unit berbanding 648,130 unit dalam tempoh sama 2023.

Dalam tempoh 10 bulan itu, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 608,225 unit, meningkat lima peratus berbanding 581,672 unit dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi kenderaan komersial pula, jualan merosot sebanyak 16 peratus kepada 55,777 unit berbanding 66,458 unit.

Kami menjangkakan volum jualan akan kekal pada bulan-bulan akan datang berikutan pesanan tertunggak yang masih tinggi untuk PERODUA dan kempen jualan yang lebih agresif dilancarkan oleh pelbagai OEM.

Kami juga mendapati pelancaran yang lebih agresif oleh OEM dari China dengan harga dan ciri yang menarik, yang akan memberikan saingan sengit kepada OEM sedia ada,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menaikkan unjuran TIV untuk jualan kenderaan baharu di Malaysia kepada 800,000 unit bagi tahun 2024.

Unjuran baharu itu bersamaan peningkatan sebanyak 35,000 unit berbanding jangkaan yang dibuat pada Julai lalu sebanyak 765,000 unit.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan membangkitkan isu amalan memperagakan model wanita berpakaian seksi dalam MotoGP kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan Rukun Negara.

Beliau memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberhentikan perbuatan itu ketika Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat semalam (27 November).

Baru-baru ini kita menonton pertandingan MotoGP Sepang 2024 pada awal November lalu.

Jadi saya ingin membangkitkan selain daripada acara baik dilaksanakan ada beberapa perkara yang mungkin boleh dibuat penambahbaikan.

Saya nak kongsikan berkaitan isu tradisi memperagakan model wanita seksi yang mencolok mata yang ada di sepanjang acara itu.

Ia kalau kita lihat bercanggah dengan ajaran Islam dan Rukun Negara kita yang kelima Kesopanan dan Kesusilaan sangat tidak patut sukan permotoran yang sininom dengan lelaki dan diminati pelbagai lapisan masyarakat disajikan dengan perkara sebegitu, malah ramai pengunjung merungut,” katanya.

Justeru, beliau memohon KBS memandang serius perkara terbabit seperti tindakan penambah baikan dalam isu penyerahan arak semasa perlumbaan Formula One (F1), sebelum ini. (Formula One sudah memberhentikan khidmat gadis pemegang payung sejak beberapa tahun lalu. – Pengarang)

Jadi saya mohon kalau boleh KBS dapat mengambil kira pandangan ini seperti mana kita buat pada sebelum ini.

Kalau kita tengok dalam kategori sukan F1 sebelum ini ada upacara arak diberikan atas podium tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebelum SIC tidak dihidupkan, kita lihat penyerahan arak itu tidak diberikan.

Ini satu perkara baik dan mungkin boleh diamalkan dalam negara kita khususnya dalam isu wanita mencolok mata ini,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Fawwaz turut bersetuju dengan perjanjian kerjasama dimeterai antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas.

Saya bersetuju dengan perjanjian antara SIC dengan Petronas bekerjasama selama tiga tahun ini mengurangkan kebergantungan SIC kepada kerajaan.

Malah, rentetan perjanjian ini kalau kita lihat banyak program rancak dilaksanakan di SIC,” kataya.

Pasaran motosikal Indonesia mengekalkan momentum kenaikannya, selepas menyaksikan sedikit penurunan pada separuh pertama tahun ini. Separuh masa pertama telah ditutup dengan pengurangan 0.9% dalam jualan motosikal, tetapi melantun semula sebanyak 4.1% setakat Oktober.

Peningkatan itu adalah hasil komitmen kerajaan Indonesia untuk menukarkan kenderaan bahan api fosil kepada kenderaan elektrik di negara itu. Pada April 2024, kerajaan membelanjakan U$455 juta untuk mensubsidi pembelian motosikal elektrik yang bertujuan untuk menampung pembelian 800,000 motosikal elektrik baharu dan penukaran 200,000 motosikal enjin pembakaran kepada motosikal elektrik. Program subsidi menyediakan diskaun IDR 7 juta untuk pembelian motosikal elektrik. Oleh yang demikian segmen itu telah meningkat sebanyak 96.6% tahun ini.

Pemimpin EV daripada China, Yadea, cepat memanfaatkan peluang itu dan melabur banyak untuk menghasilkan skuter dan motosikal elektrik di Indonesia.

Majlis penyerahan kenderaan sulung, yang diadakan pada 14 Mac 2024, di Cikarang, Bekasi, Indonesia, menandakan peristiwa penting bagi usaha pengembangan Yadea di rantau Asia Tenggara.

Terletak di Bekasi, Provinsi Jawa Barat, pangkalan pengeluaran Yadea Indonesia merangkumi  28,000 meter persegi, dan menawarkan kemudahan terkini dan teknologi termaju, serta mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 300,000 unit.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube