Bikesrepublic

Berita Terkini

Enea Bastianini menampilkan aksi cemerlang di GP Amerika apabila berjaya mengungguli pusingan kelima MotoGP, pada Ahad.

Pelumba Gresini Racing itu juga muncul pemenang berganda pertama musim ini selepas mendominasi GP Qatar, Mac lalu.

Keputusan itu juga menyaksikan Bastianini kembali mendahului kejuaraan dengan 61 mata, diikuti Alex Rins (56 mata) dan Aleix Espargaro (50 mata).

Bastianini berada di belakang Jack Miller di kebanyakan masa perlumbaan namun ketika aksi berbaki lima lap, Miller mula melakukan kesilapan dan terlepas beberapa apex.

Menyedari perkara itu, Bastianini berjaya memintas Miller di Turn 12 dan terus meninggalkan pelumba Ducati itu.

Miller juga terus terkesan dan pada lap akhir berjaya dipintas wakil Suzuki, Alex Rins. Rins sah tamatkan aksi di tempat kedua diikuti Miller, ketiga.

Sementara itu, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut mencuri tumpuan apabila berjaya bangkit dari tempat terakhir (P24) untuk menamatkan aksi di kedudukan keenam.

Meskipun terlepas dua pusingan (GP Indonesia, GP Argentina) ekoran kecederaan namun Marquez kembali menunjukan taring sebenar.

Walaupun bermula di petak ke-9, jentera Honda RC213V miliknya seakan alami masalah dan berada pada kedudukan terakhir menuju ke selekoh pertama.

Dia bagaimanapun berjaya memintas tujuh pelumba pada lap sama untuk memulakan misi memperbaiki kedudukan.

Dia kemudiannya memancung Maverick Vinales, Brad Binder, Takaaki Nakagami dan rakan sepasukan Pol Espargaro untuk tempat ke-10.

Menariknya, walaupun berada di kelompok pertengahan, Marquez beberapa kali merekodkan masa lebih pantas berbanding kelompok depan.

Pelumba Sepanyol itu terus mengasak dan memintas (Aleix Espargaro), Johann Zarco, Jorge Martin dan Fabio Quartararo untuk mengambil tempat keenam.

KTM Malaysia dengan rasminya melancarkan KTM 250 Duke untuk pasaran tempatan dengan harga RM21,500.

Tampil dengan pilihan warna baharu bagi 2022, 250 Duke ini juga menawarkan beberapa ciri baharu antaranya subframe, suspensi belakang, rekaan lebih agresif serta swingarm serba baharu.

Sistem suspensi depan juga dipertingkat dengan kehadiran fork USD 43mm dari WP manakala sistem brek dikendalikan kombinasi cakera brek 300mm depan dan 230mm belakang yang diapit dengan kaliler brek radial 4-pot (depan) dan satu pot belakang.

Sementara itu, 250 Duke dikuasakan enjin satu silinder 249cc DOHC yang menghasilkan 30hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,250rpm.

Ciri lain ditawarkan: 

  • tangki 13.4L
  • berat kering 136kg
  • ketinggian tempat duduk 830mm
  • tayar depan 110/70-17
  • tayar belakang 150/60-17
  • kerangka steel trellis

Baru-baru ini tular kenyataan dibuat Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani apabila mencadangkan pengharaman motosikal jenis kapcai berprestasi tinggi.

Saranan tersebut dibuat susulan kebimbangan peningkatan angka kemalangan maut dikalangan penunggang motosikal terutamanya kapcai.

Walaupun saranan tersebut mendapat pelbagai reaksi namun menurut bekas pelumba lagenda negara, Wazi Abdul Hamid, cadangan itu relevan apabila babitkan soal keselamatan.

Namun, Wazi menyifatkan cadangan itu perlu diperjelas dengan lebih teliti.

“Perlu dijelaskan juga dengan terma prestasi tinggi, apakah yang dimaksudkan dengan terma terbabit adakah mempunyai kelengkapan prestasi tinggi atau enjin berprestasi tinggi?

“Jika dulu motosikal menggunakan meter analog namun kini sudah bertukar kepada meter digital, ini juga kita panggil sebagai prestasi tinggi ataupun dulu motosikal guna karburetor dan kini guna ‘injection’,” jelasnya.

KPN dalam satu kenyataan sebelum ini juga mencadangkan untuk haramkan kapcai seperti Suzuki Raider R150 Fi gara-gara tular video memaparkan motosikal tersebut mencapai kelajuan maksima 177km/j di atas mesin dyno.

Bagaimanapun, Wazi menjelaskan kiraan di atas mesin dyno dan pada dunia sebenar adalah jauh berbeza.

“Jika di lebuh raya dengan muatan berat penunggang dan pembonceng adalah 120 kilogram (kg), jumlah kelajuan sebenar sudah pasti berkurang kepada 110 km/h, itu belum dikira dengan faktor jalan dan angin,” tambahnya.

Sementara itu, Wazi berpendapat tidak ada salahnya sekiranya pihak kerajaan membuat keputusan untuk mengharamkan kapcai ‘power’.

“Tidak salah jika mahu mengharamkan kapcai berprestasi tinggi, 30 tahun lalu juga kita pernah mengharamkan motosikal kerana mempunyai kelajuan tinggi,” tambahnya lagi.

*Honda Nova Dash 125

Malaysia pernah mengharamkan motosikal kapcai jenis Honda Nova Dash 125 pada era 90an dengan kerajaan tidak meluluskan model tersebut dibawa masuk ekoran dilabel sebagai kapcai berprestasi tinggi.

Nova Dash 125 itu dianggap sebagai pelesit kelajuan pada waktu itu dan memiliki reputasi gah di serata Asia Tenggara.

Persoalannya, adakah kenyataan KPN bakal memberi kesan kepada penjualan Suzuki Raider R150 Fi yang baru sahaja dilancarkan? – HM

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan Y16ZR Edisi Ulang Tahun ke-60 World GP untuk pasaran tempatan.

Menurut HLYM, hanya 5,000 unit ditawarkan di Malaysia dan dijual pada harga asas RM11,688.

Ini merupakan model seumpamanya yang ditawarkan HLYM yang didatangkan dengan ‘livery’ khas itu selepas Yamaha Eropah memperkenalkan beberapa model edisi sama tahun lalu.

Sementara itu, setiap pembelian Y16ZR Ulang Tahun ke-60 WGP ini juga didatangkan dengan sijil khas, tumber eksklusif, pin edis terhad serta keychain premium.

Yamaha Y16ZR edisi Ulang Tahun ke-60 WGP tampil dengan gabungan warna merah dan putih di samping warna rim keemasan serta lencana ulang tahun ke-60.

Bagaimanapun, spesifikasi model edisi khas ini kekal sama termasuk enjin 155cc 4-valve SOHC dengan teknologi VVA yang menghasilkan 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm pada 8,000rpm.

Pelancaran Y16ZR edisi khas ini sememangnya telah dinanti kerana negara jiran termasuk Indonesia turut memperkenalkan Aerox 155 (NVX) dan MX King 150 (Y15ZR) edisi sama sebelum ini.

Penghormatan pertama edisi Ulang Tahun ke-60 World GP itu telah pun diberikan kepada jentera MotoGP Yamaha YZR-M1 milik Cal Crutchlow tahun lalu.

Syarikat automotif Perancis, Peugeot sedia mengorak langkah sulung dalam segmen skuter adventure dengan memperkenalkan model serba baharu yang bakal menyaingi Honda ADV350.

Seperti ADV350 dan Kymco DT X360, skuter ADV Peugeot itu juga menawarkan ciri praktikal yang sama namun dengan kemampuan off-road.

Seperti Honda ADV350 yang berkongsi platform sama dengan Forza 350, Peugeot pula bangunkan skuter ADV itu dengan daripada model popular, Metropolis 400.

Ini bermakna model baharu terbabit akan dikuasakan enjin satu silinder 400cc yang menawarkan 36hp dan 38Nm.

Keseluruhan rupa skuter tersebut ternyata menampilkan elemen lasak, dengan penghadang angin tinggi serta ‘paruh’ yang wajib ada pada semua motosikal seumpamanya.

Meskipun menawarkan ciri ADV namun berdasarkan imej dikongsikan ternyata saluran paip ekzos jelas berada pada kedudukan yang terdedah berbanding ADV350.

Namun, DNA ADV tampak lebih menonjol pada model ini terutamanya dengan kehadiran rim jenis spoke (lidi) berbanding aloi pada pesaing lain.

Bagaimanapun, tiada pengesahan bila model ini akan diperkenalkan namun melihat kepada imej lengkap dikongsikan, hampir pasti Peugeot akan melancarkan model ini tidak lama lagi.

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak kenderaan awam yang dirakam menggunakan ‘strobe light’ (lampu mata) sekaligus mencetuskan rasa tidak senang dikalangan pengguna jalan raya lain.

Ini kerana, tindakan menyalakan lampu tersebut menyebabkan pemandu berkenaan seakan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.

Beberapa video yang tular juga telah mendapat perhatian pihak Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia.

Segmen # Peringatan Trafik – UBAH SUAI DAN GUNA “STROBE LIGHT” PADA KENDERAAN PERSENDIRIAN BOLEH DIDENDA SEHINGGA…

Posted by Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM on Wednesday, 6 April 2022

Berdasarkan info dikongsikan di laman Facebook rasmi JSPT, nombor pendaftaran kenderaan yang dirakam dalam beberapa video yang tular juga telah dikenal pasti.

Sehubungan itu, JSPT menegaskan bahawa adalah satu kesalahan bagi orang awam memasang dan menggunakan ‘strobe light’ dan tindakan boleh dikenakan.

Menurut tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tak lebih RM2,000 atau penjara tak lebih enam bulan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube