Bikesrepublic

Berita Terkini

Sempena ulang tahun ke-30 bagi model ikonik, CBR Fireblade, Honda menjemput semua pemilik motosikal itu ke Litar Misano Marco Simoncelli pada 23 April ini.

Dikenali sebagai Fireblade Day, litar ikonik itu akan dikhaskan kepada semua pemilik Fireblade – dari model 1992 hingga terkini – untuk menikmati kemampuan jentera kesayangan mereka.

Bagaimanapun, hanya model CBR900RR, CBR1000R dan CBR1000RR-R dengan ekzos stok atau ekzos perlumbaan dengan DB killer dibenarkan untuk memasuki litar.

Setiap peserta akan diberikan tiga lap bagi setiap 20 minit dengan penganjur akan turut menyediakan perkhidmatan catatan masa dan sewaan transponder dengan bayaran hanya EUR60 (RM280).

Honda juga menawarkan perkhidmatan tukar tayar di litar tersebut bagi yang benar-benar mahu ‘menikmati’ pengalaman penuh dengan jentera Fireblade masing-masing.

Orang ramai yang berminat untuk sertai Fireblade Day pada 23 April ini boleh layari https://www.honda.it/motorcycles/experience-honda/eventi/fireblade-day-2022.html dan muat turun borang permohonan.

Nexx Helmets telah mengumumkan Yamashiro Malaysia sebagai rakan strategik terbaru yang bertanggungjawab untuk mengedar helmet jenama itu di Malaysia bermula 26 Oktober 2021.

Nexx Helmets dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama dengan Yamashiro Malaysia akan membantu dalam mewujudkan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dalam usaha menyampaikan barisan produk pelbagai kepada orang ramai dengan lebih efisien.

Yamashiro Malaysia Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik Yamashiro Ltd yang berasal dari Jepun dan telah wujud lebih 70 tahun yang lalu.

Yamashiro Malaysia komited dalam menyediakan perkhidmatan servis selepas jualan terbaik kepada pelanggan Nexx Helmets di samping menawarkan harga yang berpatutan.

Bagi yang berminat untuk ikuti perkembangan Nexx Helmets di Malaysia, orang ramai boleh layari www.yamashiro-malaysia.com atau hantarkan emel kepada info@yamashiro-malaysia.com.

Baru-baru ini, Qianjiang Motorcycle telah pun memfailkan paten nama Harley-Davidson 338R di Amerika Syarikat sekaligus mengesahkan kehadiran motosikal berkapasiti kecil itu tidak lama lagi.

Walaupun mengambil masa lebih dua tahun untuk kerjasama Qianjiang-Harley Davidson membuahkan hasil akhirnya perkembangan mengenai motosikal berkapasiti kecil sulung dari Harley-Davidson itu bakal direalisasikan.

*Harley-Davidson 338R

Seperti dilaporkan sebelum ini, HD 338R itu dikuasakan enjin sama daripada Benelli 302R.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Qianjiang dilaporkan sedang menguji sebuah lagi motosikal Harley-Davidson kali ini babitkan model 500cc.

Lebih menarik, motosikal Harley-Davidson 500cc itu menampakkan chasis dan enjin yang sama daripada Benelli Leoncino 500.

*Benelli Leoncino 500

Berdasarkan tangkapan gambar yang tular, segala elemen yang kelihatan – termasuk kerangka, fork depan 50mm dan kaliper brek radial – adalah mirip dengan Leoncino 500.

Bukan itu sahaja, bahagian swingarm, braket nombor plat, rim, footpeg dan handlebar juga dipinjamkan daripada Leoncino.

Namun, perbezaan ketara adalah di bahagian tangki dan subframe yang telah direka semula dengan DNA Harley-Davidson sendiri.

Bahagian sisi tangki juga memaparkan logo Harley-Davidson lantas memberi bayangan model ini telah berada dalam peringkat akhir ujian.

Sekiranya benar Harley-Davidson ini bernadikan enjin parallel-twin 500cc dari Leoncino maka dijangka model baharu itu akan menawarkan sekitar 45 hingga 50hp.

Skuad 42 yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan lumba haram kini berkuasa untuk mengeluarkan saman dan melakukan tangkapan ke atas penunggang motosikal di mana-mana sahaja.

Tidak lagi terhad ketika operasi, skuad berkenaan boleh mengeluarkan saman dan membuat tangkapan selepas menjalankan risikan dan pemerhatian serta semakan dengan menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) terhadap mereka yang didapati mempunyai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, proses saman yang dijalankan mengikut prosedur bermula dengan pemerhatian dan pengecaman terlebih dahulu terhadap penunggang motosikal berkenaan.

Katanya, sebelum saman dikeluarkan, anggota akan membuat semakan menggunakan sistem MCOPS terlebih dahulu.

“Cara polis menahan dan mengeluarkan saman di premis juga adalah wajar dan berupaya mengurangkan risiko kemalangan terhadap pesalah trafik dan anggota polis yang menjalankan tugas berkenaan.

“Kaedah ini adalah salah satu cara dalam operasi Skuad 42 dalam mencegah dan menangkap mereka yang terbabit lumba haram,” katanya kepada Harian Metro.

Chang Hook berkata demikian sebagai mengulas tular di Facebook video mengenai seorang wanita yang mempertikaikan tindakan polis mengeluarkan saman ke atas remaja 16 tahun ketika sedang makan di sebuah kedai di Mahsan di sini tanpa mengetahui kebenaran tindakan anggota terbabit.

Bagaimanapun video berkenaan didapati sudah dipadam selepas warganet mempersoalkan tindakan wanita yang mempertikaikan saman dikeluarkan polis.

“Remaja berkenaan disaman Ahad lalu selepas anggota polis dalam op motosikal dengan berpakaian awam melakukan pemantauan risikan di sekitar Taman Mahsan.

“Ketika pemantauan dijalankan kira-kira jam 3 petang, polis mendapati terdapat seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Y15 berwarna merah tanpa memakai topi keledar dan tidak memiliki nombor pendaftaran hadapan.

“Polis kemudian mengekori motosikal berkenaan sehingga ke kedai makan berkenaan dan apabila sampai memperkenalkan diri sebelum memanggil remaja berkenaan.

” Remaja berkenaan mengaku menunggang motosikal berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan trafik yang dikesan antaranya tidak mempunyai lesen memandu yang sah, tiada nombor pendaftaran (hadapan) dan aksesori tidak sempurna,” katanya.

Chang Hook berkata berikutan itu, polis mengeluarkan tiga saman kepada penunggang motosikal berkenaan.

Setelah lama tak melihat aksi lagak ngeri “stuntman” dari Austria, Günter Schachermayr, akhirnya beliau telah melakukan aksi baru menaiki Vespa.

Aksi terakhir kami melihatnya, beliau menuruni cerobong Slovakia dengan Vespa, dan kali ini beliau tarik pesawat pula menggunakan Vespa!

Dalam video di bawah ini, Schachermayr menggunakan Vespa oren sebagai tunda pesawat di landasan. Pesawat yang dimaksudkan bukanlah pesawat penumpang besar, tetapi Cessna kecil yang lebih ringan, tetapi masih besar juga kalau banding dengan Vespa itu.

Terdapat lebih banyak lagiyang diperlukan untuk aksi ini daripada sekadar memasang tali tunda antara Vespa biasa dan pesawat.

Walaupun pesawat itu lebih ringan jika dibandingkan dengan pesawat lain, ia pasti tetap sukar, kerana enjin skuter menggerakkan roda belakang, dan berat penunggang juga terletak di atas roda belakang.

Perkara ini pada dasarnya bermakna bahawa Schachermayr akan perlu menaikkan roda hadapannya sepanjang masa tidak kira apa pun, jadi kenapa perlu roda hadapan kalau tak digunakan?

Nampaknya itulah yang beliau lakukan, dan walaupun ini sebahagian dari aspek pertunjukan, ketiadaan roda hadapan juga membantu imbangan yang diperlukan untuk melaksanakan aksi ini dengan jayanya.

Hasil akhir yang anda boleh lihat dalam video ini, walaupun tidak berapa pantas, dipenuhi dengan Schachermayr yang sentiasa mengalihkan kakinya untuk mengekalkan keseimbangan yang baik sambil terus menarik pesawat itu atas Vespa monowheelnya ini.

Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat antara kedua-dua negara bermula 1 April ini.

Pembukaan semula itu juga menyaksikan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan bagi memudahkan rakyat negara ini untuk ke sana dan sebaliknya.

Individu dari kedua-dua negara yang lengkap vaksin dibenarkan untuk merentas sempadan tanpa menjalani sebarang kuarantin dan tidak perlu melakukan ujian saringan lebih awal.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media dari pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada Khamis.

Keputusan pembukaan semula sempadan darat dengan Singapura itu juga selaras dengan peralihan ke fasa endemik pada 1 April ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube