Tahun lalu, BMW Motorrad telah dikesan menjalankan ujian terhadap beberapa model prototaip yang didakwa sebagai R 1300 GS.
Prototaip tersebut dirakan menjalani ujian di fasiliti khas BMW Enduro Park yang merupakan medan sesuai bagi sebuah motosikal ADV.
Bagaimanapun, berdasarkan gambar yang dikongsikan, jelas model prototaip itu masih lagi berada dalam peringkat awal ujian dan tidak menampakkan versi siap sepenuhnya.
Namun dalam perkembangan terbaru, Motorcycle.com mendedahkan bahawa BMW akan memperkenalkan tiga model GS baharu; R 1300 GS, R 1400 GS dan M 1300 GS tahun depan.
Perkara itu dikenal pasti menerusi borang servis atas talian daripada pihak BMW Motorrad sendiri.
Menurut laporan, di bahagian pemilihan model, tiga model GS serba baharu itu telah tersenarai sekaligus secata tidak langsung mengesahkan kedatangan model ADV tidak lama lagi.
Kemunculan M 1300 GS bukan satu kejutan kerana pengeluar motosikal Jerman itu pernah memfailkan tanda nama model tersebut dua tahun lalu bersama-sama dengan M 1000 RR dan M 1000 XR.
Bagaimanapun, antara ketiga-tiga model itu, R 1400 GS paling mencuri tumpuan.
Walaupun tiada sebarang info tambahan ketika ini namun apa yang boleh kami rumuskan R 1400 GS mungkin merujuk kepada versi R 1300 GS dengan tangki yang lebih besar sepertimana R 1250 GS dengan R 1250 GS Adventure. – Motorcycle.com