Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda merasmikan pelancaran ADV 350 untuk pasaran Eropah sekitar bulan November tahun lalu.

Pelancaran model berkapasiti 350cc itu ternyata mencuri tumpuan apatah lagi menawarkan pilihan yang lebih luas terhadap pembeli yang mahukan sesuatu yang lebih berkuasa berbanding ADV 150 namun lebih mampu milik dari X-ADV 750.

Kini, motosikal skuter versi ADV itu telah pun dilancarkan di negara jiran Thailand dengan dua varian ditawarkan, Standard dan RoadSync Type.

Menurut laporan, ADV 350 itu ditawarkan pada harga bermula THB181,900 (RM22.9 ribu) bagi versi Standard manakala THB183,900 (RM23 ribu) bagi varian RoadSync Type.

Dibangunkan di kilang Honda yang terletak di Itali, ADV 350 ini menggabungkan elemen ‘adventure’ dengan ciri premium.

Selain daripada rekaan lampu depan yang diinspirasikan daripada X ADV 750 2021, versi 350cc ini juga mengekalkan ciri yang praktikal untuk kegunaan harian antaranya ruang letak barang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet ‘full-face’.

ADV 350 ini juga menawarkan fungsi keyless dan penghadang angin boleh laras serta paparan digital LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menggunakan Bluetooth.

Menurut Honda, ADV 350 ini juga didatangkan dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Emergency Stop Signal sebagai standard.

Sementara itu, ADV 350 ini digerakan enjin 330cc dengan eSP (enhanced Smart Power) yang menjana 29.2hp pada 7,500rpm dan 31.5Nm pada 5,250rpm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork depan 37mm jenis USD dengan penyerap hentakan berkembar di belakang
  • tayar 120/70-R15 depan
  • tayar 140/70-R14 belakang
  • tangki 11.7L
  • lampu LED penuh

Buat masa ini, tiada pengesahan sama ada ADV 350 ini akan dipasarkan di Malaysia namun melihat kepada portfolio Boon Siew Honda (BSH) yang ketika ini menawarkan Forza 250 dan Forza 300 maka tidak hairan jika skuter ADV terbaru ini akan juga dipasarkan bagi melengkapkan varian ADV 150 dan X-ADV 750 yang telah tersedia.

Motosikal kategori ‘sportsbike’ segmen pertengahan semakin mendapat permintaan tinggi dikalangan peminat dua roda seluruh dunia.

Permintaan mendadak itu juga membawa kepada lahirnya Yamaha R7, Aprilia RS660 dan akan datang Honda Hornet.

Difahamkan, pengeluar motosikal China, Qianjiang juga akan sertai kategori ‘sportsbike’ segmen pertengahan dengan dua jentera bernadikan enjin parallel-twin 693cc yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Meskipun tarikh pelancaran belum ditentukan namun dokumen pengesahan yang difailkan di China telah pun mendedahkan rupa dua jentera tersebut berserta beberapa spesifikasi asas.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan apakah nama yang akan diberikan terhadap jentera 700cc terbaru ini namun melihat kepada model 600cc dinamakan sebagai 600RR berkemungkinan besar model terbaru ini akan dilabel sebagai 700RR.

Apa pun, kedua-dua varian ini dijana enjin parallel-twin 693cc yang sama terdapat pada QJMotor SRK700.

Menariknya, walaupun enjin tersebut dibangunkan sendiri Qianjiang namun bentuk dan rekaan enjin menyamai 700CL-X milik CFMoto termasuk bore dan stroke yang berada pada 83mm dan 64mm.

Seperti SRK700, dua model baharu ini dibangunkan dengan kerangka steel tube dan dipadankan bersama suspensi Marzocchi.

Qianjiang juga telah pun menandatangani kerjasama dengan Marzocchi untuk menghasilkan komponen buatan Itali itu di China.

Perbezaan utama yang membezakan model asas dan model ‘flagship’ adalah penggunaan ‘swingarm’ jenis single-sided, fork depan berwarna emas dan tayar lebih lebar di belakang, 190/55-17 berbanding 180/55-17 pada model asas.

Bagaimanapun, kedua-dua model ini ternyata menampilkan rekaan moden dan agresif dengan kehadiran winglet dan kaliper brek jenis ‘axial’ jenama Nissin.

Qianjiang ternyata antara pengeluar dari negara Tembok Besar China itu yang paling sibuk dan agresif dalam memperkembangkan jenama QJMotor ke serata dunia ketika ini.

Selain menjadi pemilik kepada Benelli sejak 2005, Qianjiang juga berjaya memeterai perjanjian bersama Harley-Davidson bagi pembangunan 338R, serta MV-Agusta bagi model Lucky Explorer 5.5 yang berkongsi platfrom sama dengan TRK 502.

Kesatuan Eropah (EU) telah mengambil langkah baharu dengan melarang motosikal berharga melebihi €5,000 (RM23,232) daripada dieksport ke Rusia, berikutan perang antara Rusia dan Ukraine yang kini sedang berlaku.

Jurnal Rasmi Kesatuan Eropah telah dikemas kini pada 15 Mac untuk menyasarkan Rusia merentasi beberapa aspek, termasuk tenaga, produk besi dan keluli serta barangan mewah, yang terakhir termasuk motosikal.

“Kenderaan, kecuali ambulans, untuk pengangkutan orang di bumi, udara atau laut dengan nilai melebihi EUR 50,000 setiap satu, teleferik, lif kerusi, garis seret ski, mekanisme daya tarikan untuk funikular, motosikal dengan nilai melebihi EUR 5,000 setiap satu, sebagai serta aksesori dan alat ganti mereka.”

“Ia kemudiannya menyenaraikan subsistem peralatan yang berkaitan dengan kenderaan tersebut, serta kenderaan itu sendiri. Entri untuk motosikal menyatakan definisi rasmi sebagai “Motosikal (termasuk moped) dan kitaran yang dipasang dengan motor tambahan, dengan atau tanpa kereta sisi; kereta sampingan.”

Walaupun sebelum larangan ini diumumkan, beberapa syarikat telah bertindak menjauhkan diri dari Rusia seperti Harley-Davidson, Polaris, Ducati, BMW dan Honda yang menghentikan eksport ke negara itu, manakala Honda dan Yamaha telah menderma €1 juta dan €750,000 untuk membantu dalam bantuan kemanusiaan.

Bawah definisi EU, motosikal dianggap sebagai ‘barangan mewah’ dalam senarai yang termasuk kaviar, kuda, truffle, wain dan barangan elektronik.

Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof, mewakili kementeriannya pada sesi parlimen baru-baru ini berkata PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan syarikat konsesi lebuh raya lain telah diarahkan mengkaji semula keperluan membina lebih banyak tempat berteduh untuk penunggang motosikal, serta keperluan lain yang lebih selamat.

“Terdapat sejumlah 186 tempat perlindungan hujan motosikal di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Lokasi tempat perlindungan hujan ini ditanda pada papan tanda jalan di lebuh raya untuk mengarahkan penunggang motosikal ke lokasi dengan selamat,” katanya.

Selain dari itu, beliau berkata papan tanda juga harus diperbaiki untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal dan sebagai cara mengelak daripada kemalangan.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telahpun mengetengahkan isu ini beberapa kali sejak beberapa tahun yang lalu, akibat kejadian penunggang motosikal yang berteduh di bawah jambatan dilanggar kenderaan.

Malah, dari tahun 2017 lagi Jabatan Kerja Raya mengarahkan syarikat-syarikat konsesi untuk membina tempat berteduh di jalan raya untuk penunggang motosikal dan juga cara-cara lain untuk meningkatkan keselamatan untuk mereka.

Namun begitu, sehingga kini tiada tindakan kukuh dibuat untuk menyelesaikan masalah ini. Adakah kita akan melihat perubahan dalam masa terdekat?

Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan pencarum Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas yang berlangsung hari ini.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas melakukan penelitian mendalam dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dengan impak Covid-19 sebelum ini.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

“Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” jelasnya.

Sementara itu, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat pihak Kementerian Kewangan dan KWSP.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai untuk membuat pertimbangan secukupnya sebelum membuat pengeluaran tersebut. – BH

Royal Enfield telah pun memperkenalkan ahli baharu dalam keluarga Himalayan menerusi Scram 411.

Royal Enfield Scram 411 ini lahir daripada Himalayan 411 dan hasilnya, model ini juga dikuasakan enjin 411cc SOHC dengan penyejukan udara yang menghasilkan 24.3hp pada 6,500rpm dan 32Nm pada 6,500rpm.

Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 5-kelajuan.

Sistem suspensi pula hadir menerusi fork depan teleskopik 41mm dengan jarak pergerakan 190mm sementara monoshock belakang pula tawar pergerakan 180mm.

Spesifikasi tersebut adalah sama seperti yang terdapat pada Himalayan 411 2022.

Meskipun Scram 411 menawarkan ciri motosikal urban namun komponen brek juga sama seperti Himalayan 411, dengan kaliper brek dua-piston di depan dipadankan bersama cakera brek 300mm dan kaliper satu piston belakang dengan cakera brek 240mm.

Kawalan brek juga diselia dengan bantuan ABS dwi-saluran.

Pada masa sama, Scram 411 ini juga masih lagi didatangkan dengan rim jenis ‘wire spoke’ sama seperti Himalayan 411 sekaligus model baharu ini masih lagi boleh ditunggang di permukaan lasak.

Sementara itu, penghadang angin tinggi pada Himalayan 411 tidak lagi kelihatan sebaliknya Scram 411 ini dapat pelindung lampu depan berbentuk bulat.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube