Santai Anak Utara (SAU) mensasarkan kehadiran lebih 100,000 peserta dalam karnival yang bakal berlangsung pada bulan depan.
Angka tersebut sekaligus akan mengatasi rekod SAU 5.0 pada 2017 apabila 80,000 peserta membanjiri Amanjaya Mall, Sungai Petani.
Bagi memastikan terdapat ruang mencukupi untuk menampung ketibaan himpunan motosikal yang besar, SAU 2022 akan berlangsung di MAEPS, Serdang, pada 3 September ini.
Ini juga kali pertam SAU akan diadakan di luar wilayah utara.
SAU 2022 akan berlangsung dengan pelbagai aktviti termasuk kaedah menungang dengan selamat, pameran kerjaya, sembang bersama ikon permotoran dan banyak lagi.
Menurut pengasas SAU, Mohd Safiuddin Elias (Acai) dan Mohd Syauqi Ismail, objektif SAU kali ini bukan setakat menjadi tapak pertemuan kelab permotoran tempatan tetapi juga meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya.
“Dari segi usia, berdasar karnival sebelum ini, sebahagian besar peserta yang hadir adalah mereka berumur antara 15 hingga 30 tahun.
“Malah, kami pernah menerima kehadiran peserta semuda 12 tahun yang datang dari Kuala Lumpur, meskipun ketika itu acara diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Di sini saya ingin menasihatkan, tungganglah dengan selamat.
“Jika mereka ingin hadir dengan menunggang motosikal mahupun kereta, maka perlulah ada lesen dan cukai jalan serta mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Bagi mereka yang muda dan belum layak mengambil lesen, maka tumpanglah dengan rakan yang mempunyai lesen.
“Kami ingin menerapkan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat kepada pengunjung pada kali ini,” jelasnya. – BH