Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang mekanik tercampak sejauh 20 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada dada dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Pada masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala Pasir Mas telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh kira-kira 20 meter dari motosikalnya ke kiri jalan menghala Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Rosdi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beri jaminan bahawa Litar Antarabangsa Sungai Petani akan mengenakan caj ‘marhaen’ sebaik siap sepenuhnya kelak.

“Ini adalah titik mula pembinaan litar lumba rakyat. 

“Walaupun trek ini dinamakan sebagai litar antarabangsa, namun saya beri jaminan bahawa trek ini akan menawarkan harga rakyat marhaen untuk memenuhi kehendak dan permintaan peminat sukan pemotoran khususnya dua roda di seluruh Kedah dan Semenanjung Malaysia.

“Kita akan pastikan litar ini boleh digunakan oleh semua dengan bayaran minimum dan saya jangkakan trek ini akan melonjak sukan permotoran di Kedah khususnya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengasas Karnival Santai Anak Utara (SAU), Mohd Safiuddin Eias @ Acai, menyambut baik jaminan diberikan MB Kedah tersebut.

Baginya, caj yang mahal dan akses ketat kepada litar lumba antara faktor yang menyebabkan remaja berlumba di jalan raya awam.

“Antara faktor yang dikenalpasti menghalang remaja berlumba di litar adalah jumlah litar yang terhad, jauh, caj yang mahal serta banyak peraturan serta prosedur atau kerenah ‘birokrasi’.

“Jika perkara ini dapat dipermudahkan. Saya yakin ramai remaja akan ke litar daripada ke lebuh raya atau jalan raya awam,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi sebelum ini telah pun mengesahkan bahawa projek litar yang terbengkalai sejak 2017 itu akan dibangunkan semula oleh syarikat PKB Open Road.

Projek bernilai RM75 juta itu akan menempatkan litar sepanjang 1.8 kilometer dan menawarkan pelbagai kemudahan dan fasiliti. 

Menariknya, litar tersebut akan dibangunkan sebagai litar antarabangsa berbanding sebagia litar rakyat yang terdapat dalam pelan asal. – BH

Penganjuran program Himpunan RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Gong Badak Sabtu lalu berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit kepada rakyat Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menerima laporan seramai 25,000 peserta yang berdaftar, namun jumlah keseluruhan yang hadir dianggarkan kira-kira 40,000 orang pemilik dan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

Menurutnya, sepanjang berada di negeri ini, peserta terlibat berbelanja untuk tempahan penginapan seperti hotel dan homestay, makan serta membeli-belah.

“Saya juga mendapat laporan banyak kedai-kedai, restoran penuh dengan mereka (peserta Himpunan RXZ Member 4.0). Penduduk tempatan pun nak pergi membeli pun tak ada ruang.

“Jadi ini sebenarnya satu limpahan ekonomi kepada masyarakat di negeri Terengganu terutama peniaga-peniaga,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Seramai 408 bekas pegawai dan anggota polis di negeri ini menerima anugerah tersebut.

Program Himpunan RXZ Members 4.0 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri bersedia menganjurkan program yang sama selepas ini kerana didapati memberi pulangan yang menguntungkan dari segi ekonomi kepada penduduk negeri ini.

“Jadi, saya percaya ini adalah salah satu ruang untuk merancakkan ekonomi di negeri Terengganu.

“Insya-Allah adakah lagi program ini berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima daripada pemilik dan peminat RXZ,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa pula memberitahu, polis hanya menerima dua laporan kehilangan motosikal Yamaha RXZ sempena himpunan tersebut.

Katanya, dua motosikal tersebut dilaporkan hilang di sebuah homestay di sini pada Ahad lalu.

“Hanya dua motosikal RXZ yang dilaporkan hilang,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan sebanyak 230 buah motosikal RXZ dicuri yang tular di media sosial selepas himpunan itu.

Tambahnya, polis Terengganu juga tidak mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal tersebut.

Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CB250R 2022 untuk pasaran tempatan dengan harga RM23,999 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Model ‘neo-sport cafe’ ini menjalani kemas kini bagi tahun 2022 yang merangkumi naik taraf suspensi.

Hasilnya, Honda CB250R 2022 kini didatangkan dengan fork depan 41mm Showa Separate Fork Function Big Piston (SFF-BP). 

Fork terbaru itu meningkatkan lagi tahap kendalian motosikal terutamnya ketika melalui selekoh. 

Sementara itu, monoshock belakang pula menawarkan pelarasan lima peringkat mengikut kesesuaian penunggang.

Bagaimanapun, bahagian enjin kekal sama dengan platform silinder tunggal DOHC menawarkan 27.2hp pada 9,000rpm dan 23.2Nm. 

Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan bantuan ‘slipper clutch’.

Sementara itu, sistem brek pula dikelola sistem ABS dwi-saluran.

Untuk pasaran tempatan, Honda CB250R ini tampil dengan dua pilihan warna, Mat Gun Powder Black Metallic dan Cany Choromosphere Red.

Penunggang tidak menggunakan laluan motosikal antara kesalahan tertinggi dicatatkan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthtie).

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi ini dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pelbagai kesalahan trafik dikesan melibatkan 124 saman dikeluarkan kepada pengguna.

“Kesalahan melibatkan penunggang yang tidak menggunakan laluan motosikal disediakan antara kesalahan tertinggi melibatkan sebanyak 110 saman dikeluarkan.

“Selain itu, antara kesalahan lain melibatkan kesalahan nombor plat (enam saman), kesalahan melibatkan lesen memandu (lima saman), lesen kenderaan motor (LKM) (tiga saman),” kata beliau.

Katanya lagi, operasi dijalankan turut melibatkan pemeriksaan sebanyak 183 kenderaan dan 198 individu telah diperiksa.

“Operasi yang dijalankan selama dua jam ini turut membuat tangkapan dua kes narkotik dan rampasan dadah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan saman,” katanya.

Orang ramai khususnya penduduk di Batu Pahat diminta membantu mencari seorang remaja perempuan yang dipercayai melarikan diri dari rumahnya bersama seorang lelaki dengan menunggang motosikal.

Siti Azizah Mohd. Mazlan, 40, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu iaitu Norshahzrin Shahzwani Mohd. Hafiz, 16, disedari hilang ketika mahu mengejutkannya untuk pergi ke sekolah pada pukul 5 pagi, 11 Ogos lalu.

Keluarga percaya anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongkang Pecah itu keluar dari rumah antara pukul 1 hingga 5 pagi kerana dia dan suaminya masuk tidur kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan di dalam bilik mendapati along hanya membawa sepasang pakaian dan wang tunai kira-kira RM100.

“Ketika keluar rumah, dia dipercayai menggunakan seluar  warna hitam serta baju T pasukan bola sepak berwarna merah,” katanya ketika.

Azizah yang tinggal di Kampung Parit Amat, Bukit Pasir berkata, sebelum kejadian itu, tiada perselisihan faham antara anaknya itu sama ada dengan ayah atau ahli keluarga lain.

“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini dia sering mengurung diri di dalam bilik setiap kali selepas balik dari sekolah.

“Usaha mencarinya sudah dilakukan di sekitar kampung serta bandar Batu Pahat selain bertanya dengan kawan-kawan sekelas, namun, masih belum dapat menemukannya,” katanya.

Azizah berkata, laporan polis turut dibuat pada hari kejadian dan diharap dapat menjumpainya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu boleh menghubungi suaminya, Mohd. Hafiz menerusi talian 018-7655419 atau melaporkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube