Bikesrepublic

Berita Terkini

Fabio Quartararo terus selesa mendahului kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 apabila merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Jerman.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu bingkas mendahului perlumbaan sejak dimulakan dan meskipun terdapat asakan daripada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia namun Quartararo kekal tenang untuk terus berada di depan.

Kedudukan Quartararo bertambah selesa apabila Bagnaia kemalangan ketika lap kelima sekaligus menyaksikan pelumba Perancis itu selesa di depan sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat selaku pemenang buat kali ketiga musim ini.

Sementara itu, Johann Zarco menghadiahkan podium keempat buat Pramac Racing musim ini selepas menamatkan aksi di tempat kedua.

Zarco menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan apatah lagi saingan antara dua pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales membantunya membuka jurang yang lebih besar.

Pada masa sama, Vinales menampilkan aksi baik untuk mengekori rapat rakan sepasukan Espargaro bagi perebutan tempat ketiga.

Namun masalah teknikal yang dialami pelumba Sepanyol itu memaksanya bersara awal daripada perlumbaan.

Situasi itu membuka ruang buat Jack Miller sertai perebutan tempat ketiga di belakang Espargaro sebelum memintas pelumba Aprilia itu di hujung perlumbaan sekaligus melengkapkan podium di tempat ketiga.

Aksi di Sachsenring merupakan antara yang terbaik buat Miller meskipun dikenakan ‘long lap penalty’ namun masih berjaya menaiki podium.

Dalam perkembangan sama, kegagalan menamatkan saingan buat kali ketiga musim ini menyaksikan Bagnaia secara tidak langsung sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan musim ini.

Jentera GP 22 miliknya seakan hilang cengkaman ketika di Turn 1 lalu terbabas meskipun tiada sebarang perlanggaran atau tekanan dari pelumba lain.

Suhu mencecah 35 darjah celsius ternyata memberi kesan besar terhadap perlumbaan kali ini yang menyaksikan tujuh pelumba gagal menamatkan perlumbaan (DNF) termasuk Pol Espargaro, Vinales, Takaaki Nakagami, Alex Marquez, Darryn Binder, Bagnaia dan Mir.

Pada masa sama, keputusan perlumbaan kali ini menyaksikan Quartararo terus mendahului kejuaraan dengan 172 mata diikuti Espargaro kedua (138 mata) dan Zarco ketiga (111 mata).

Acara tempatan yang terkenal dengan budaya kustom, Art of Speed akan kembali untuk edisi ulang tahun ke-10 selepas dua tahun menyepi susulan pandemik Covid-19.

Seperti AOS sebelum ini, edisi 2022 akan menyaksikan himpunan motosikal kustom, kenderaan radikal di samping pameran restorasi seni dan budaya kustom di Malaysia.

Bagaimanapun, selaras dengan kejayaan menganjurkan AOS bagi tahun ke-10, acara kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran tetamu dari luara negara serta sokongan komuniti kustom sendiri.

Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sekali lagi menjadi tapak pilihan bagi penganjuran AOS 2022 kali ini yang akan berlangsung pada 2 hingga 3 Julai dari jam 10.30 pagi hingga 8 malam.

Menurut penganjur AOS 2022, acara kali ini akan menyaksikan kehadiran tetamu berikut:

  • Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
  • Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show; Amerika Syarikat
  • Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday; Amerika Syarikat
  • Yaniv Evans dari Powerplant Motorcycles; Amerika Syarikat
  • Artis Chopper dan Kustom; Russell Murchie “MOW” dari Australia
  • Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com; Jepun
  • Yasuo Sekijima dan Satoru Ise dari Vibes Magazine; Jepun
  • Artis pinstripe Mil dari Millart, Irvine Jasta dan Fahmi Freeflow; Indonesia
  • Aekalak Kitdusitpong pembuat model skala diecast dari AKARA; Thailand

Sementara itu, antara acara mencuri tumpuan adalah Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 yang bakal menyaksikan  tujuh ‘custom builder’ merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) & RM5,000 (pilihan orang ramai).

Berikut acara tumpuan lain yang akan disajikan kepada pengunjung di AOS 2022:

  • Jelajah Hot Wheels Legends – Monster Truck Bone Shaker bersaiz sebenar.
  • pameran kolektif kenderaan terpilih dari seluruh negara dengan nama ‘Garage Life’
  • Hail Vintage – pameran pakaian vintaj dari 32 vendor terpilih
  • Off The Grid – gaya hidup perkhemahan sebagai konsep baharu dalam outdoor lifestyle
  • Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co – wawancara bersama panel dari luar negara antaranya Scoot Johnson (Mama Tried Motorcycle Show) dan Warren Heir Jr (Flat Out Friday).

Lain-lain aktiviti yang akan berlangsung:

  • Roda Rumble 2022
  • La Cultura
  • Tapak Makanan
  • Pasar Lambak Vintaj
  • Perhimpunan kereta Alfa Romeo
  • Hot Wheels Club Malaysia Convention
  • Streetwear Con
  • Mini Crawlers RC
  • Zon Pandu Uji motosikal (Ducati, Royal Enfield, Vespa, Aprilia dan Harley-Davidson)

Bagi menghangatkan lagi acara kali ini, AOS 2022 mempersembahkan Festival Sound Circuis yang akan menyaksikan penampilan Hujan sebagai persembahan utama diikuti Sekumpulan Orang Gila, SweetAss, Iqbal M, Balok People dan ramai lagi.

Berikut senarai harga tiket bagi yang berminat untuk hadir:

  • Tiket Speed Lane (dua hari) – RM55
  • Tiket hujung minggu (tanpa konsert Sound Circus) – RM35
  • kanak-kanak bawah 12 tahun – masuk percuma
  • pemegang Pas OKU – masuk percuma

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berkongsi detik menggerunkan yang pernah menimpa dirinya tahun lalu.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Hulu Selangor dari Seri Kembangan, Muhammad Firdaus Mukhtar, 30, berkata motosikal jenis Yamaha MT-09 yang ditunggangnya pada waktu itu telah terjunam ke dalam lubang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Firdaus, ketika itu tiada sebarang kon atau tanda amaran diletakkan pada lubang yang mencapai kedalam paras betis tersebut yang
terbentuk ekoran kerja-kerja kontraktor jalan raya.

Susulan kejadian berkenaa, dia mengalami kerugian RM42,000 akibat kerosakan motosikal tersebut.

“Motosikal memang total loss, namun saya bersyukur hanya mengalami luka ringan ekoran pada hari kejadian memakai sut penuh untuk bermotosikal.

“Tambahan pula, sebuah kereta dari arah belakang sempat brek kenderaannya. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk akan berlaku,” jelasnya kepada Kosmo.

Pada masa sama, Firdaus luah rasa kecewa dengan sikap kontraktor yang mengambil mudah aspek keselamatan sewaktu melakukan kerja sehingga boleh menggugat nyawa pengguna jalan raya lain.

“Benda ini (jalan berlubang) sangat serius dan kalau tidak dibendung boleh mengancam nyawa.

“Nasib nyawa saya masih panjang, kalau tidak mati digilis. Kita harap pihak berwajib memandang serius mengenai jalan berlubang ini,” tambahnya.

Baru-baru ini, Ketua Pusat Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, mendedahkan sebanyak 285 kes kematian berpunca dari jalan berlubang telah direkodkan antara 2014 hingga 2018. – KOSMO

Isuzu D-Max X-Terrain telah memperkenalkan pelbagai penambahan dalam senarai cirinya, dari yang kecil hingga ke yang signifikan.

“Isuzu D-Max generasi baru kekal menjadi kebanggaan kami. Model ini telah menghubungkan jurang antara fungsi sebenar trak pikap dengan kehendak pelanggan.

“Model utama Isuzu ini ingin memastikan pelanggan menikmati sejumlah ciri yang benar-benar hebat yang akan menjadikan pemanduan mereka lebih selamat dan menyenangkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Penambahan paling jelas pada model baru D-Max X-Terrain ini ialah dua warna baru yang menonjol; Silky Pearl White dan Onyx Black, yang menyertai warna sedia ada iaitu Valencia Orange.

Satu lagi pertambahan utama dalam D-Max X-Terrain baru ini adalah Around-View Monitor yang membolehkan persekitaran terdekat dipantau 360 darjah.

Ciri ini bukan saja menawarkan pandangan mata burung ketika mengundur, ia juga menyediakan pilihan panduan 3D dalam paparan 9 inci bagi meletakkan kereta dengan lebih tepat dan mudah.

Satu lagi ciri baru adalah pelantar cas tanpa wayar Qi yang terletak di ruang depan gear untuk kemudahan pengguna.

Sesuai digunakan untuk hampir semua telefon pintar, telefon boleh dicas dengan mudah dan tanpa gangguan.

Justeru, pemandu tetap dapat menggunakan Bluetooth untuk menikmati muzik dan melihat peta, dan pada masa sama bateri telefon tidak akan berkurang.

Satu lagi penambahan berdasarkan permintaan pelanggan yang popular adalah lampu alu-aluan di luar.

Terletak kemas di bahagian bawah, lampu LED ini akan menerangi kawasan sekitar kaki ketika membuka kunci kenderaan.

Apabila digunakan bersama-sama follow-me home lights, pemandu dan penumpang akan selamat, dan kasut anda juga tidak akan kotor, walaupun di tengah gelap malam.

Seiring dengan gaya rugged X-Terrain, model ini juga kini memiliki pelindung geseran (scuff plate) berlampu yang bukan saja melindungi bingkai pintu daripada calar kecil, ia juga menambah lagi ciri elegan model ini.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata populariti model Isuzu D-Max, terutama varian X-Terrain kekal tinggi dengan ramai pemilik kali pertama gembira dengan trak pikap moden ini.

“Tahap keselamatan dan keselesaan yang mengagumkan, serta ciri
versatil untuk ke mana saja dan melakukan apa saja telah menyebabkan semakin ramai pengguna kereta sedan beralih kepadanya.

“Saya yakin dengan tambahan ciri dan warna baru, D-Max X-Terrain akan terus menarik lebih ramai pemandu untuk beralih ke kenderaan kategori ini,” kata beliau.

Isuzu D-Max X-Terrain baru ini akan dibuka untuk tempahan bermula sekarang di semua pengedar Isuzu sah dan akan mula diserahkan kepada pemilik pada pertengahan bulan Julai.

Model baru ini dijual dengan kenaikan harga minimum dengan harga atas jalan (tak termasuk insuran) daripada RM146,938.40.

Untuk maklumat lanjut mengenai D-Max baru yang hebat ini, kunjungi pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.

Tindakan seorang pemilik kereta jenis Perodua Kelisa mengubah suai rupa dan identiti kepada sebuah Daihatsu undang padah apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi di Jalan Sultan Idris Shah pada Rabu.

JPJ turut mengeluarkan notis arah periksa kenderaan kepada pemilik kereta tersebut untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, JPJ turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi kerana gagal memperbaharui cukai jalan yang sudah tamat tempoh dua tahun.

Perkara itu disahkan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan yang turut memaklumkan lebih 300 kenderaan telah diperiksa dalam tempoh dua jam dengan 121 kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Operasi ini dijalankan dengan menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

 “Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap,” jelas Mohammad Yusoff. – Utusan

Selepas mengemas kini Yamaha MT-15 dengan tiga warna baharu bagi tahun 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut memperkenalkan dua warna baharu bagi motosikal naked, MT-09.

Bagi tahun 2022, MT-09 kini tampil dengan dua pilihan warna baharu, Tech Black dan Cyan Storm, menggantikan warna Icon Blue dan Storm Fluo yang diperkenalkan tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada perubahan lain dilakukan terhadap bahagian enjin yang kekal dikuasakan platform CP3 tiga silinder 890cc yang menawarkan 117.3hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm.

Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuand dengan bantuan quick shifter.

Aspek lain juga tidak berubah dengan MT-09 masih lagi kekal dengan ciri berikut:

  • fork depan 41mm boleh laras
  • monoshock belakang boleh laras
  • brek kaliper jenis radial berkembar depan
  • brek kaliper tunggal belakang
  • cakera brek depan 298mm
  • cakera brek belakang 245mm
  • tangki 14L

Sementara itu, meskipun terdapat kenaikan harga pada MT-15 seperti yang diumumkan baru-baru ini, MT-09 pula kekal ditawarkan pada harga RM54,998.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube