Bikesrepublic

Berita Terkini

Ingatkah anda kepada motosikal touring GWM Souo S2000ST dan S2000GL yang menggunakan enjin lapan silinder ? Seperti yang dijangkakan, pengeluar itu tidak akan berhenti di situ dan mereka kini menggunakan enjin tersebut pada motosikal kruiser  GWM Souo S2000 lapan silinder pula. Prototaip motosikal ini telah dilihat sedang menjalani ujian jalan raya.

Gambar-gambar prototaip itu telah tersebar di media sosial China dan menunjukkan kruiser yang diilhamkan oleh Honda lain iaitu F6C dan Rune. Mengapa tidak, kerana kedua-dua kruiser ini adalah berdasarkan platform Honda Gold Wing, yang disaingi oleh Souo S2000ST dan S2000GL.

Penggayaan kruiser GWM Souo kelihatan seperti percampuran antara F6C dan Rune. Bahagian belakangnya mempunyai madgad yang dipotong seperti F6C, manakala lampu depan, tangki bahan api, dan fairing radiator kelihatan seperti Rune. Walaubagaimanapun, prototaip China ini menggunakan fork teleskopik dan bukannya suspensi depan jenis Hossack yang digunakan pada tourer S2000.

Adalah mudah untuk melihat bahawa GWM mahu mengatasi Honda dengan membina enjin dengan menambah dua silinder lagi (8 vs. 6), isipada yang lebih besar (2000cc vs. 1800cc), satu lagi aci sesondol dalam setiap blok (DOHC vs. SOHC), dan transmisi klac berkembar (dual clutch transmission) dengan lapan kelajuan (8 lawan 6). GWM telah pun telah menjadi pengeluar pertama yang membina enjin motosikal pengeluaran 8 silinder mendatar yang pertama.

Walaubagaimanapun, enjin dalam kruiser ini mungkin mempunyai ciri penyahaktifan silinder untuk memberikan ciri dentuman enjin pada RPM rendah seperti bagi beberapa kruiser yang lain.

Produk yang siap mungkin didedahkan tidak lama lagi, seperti bagaimana tourer itu didedahkan hanya beberapa minggu selepas enjinnya dipamerkan di Beijing Motor Show.

“Motosikal terpantas di dunia,” “kereta terpantas di dunia,” trak terpantas di dunia,” tetapi bagaimana pula… eh… “sesuatu yang lain” terpantas di dunia? Itulah yang dilakukan oleh seorang mekanik di UK yang mencipta kereta sorong terpantas di dunia.

Dylan Phillips yang berusia 38 tahun membina kereta sorong itu di bangsalnya di Crymych, Pembrokeshire, sebelum mengambil bahagian dalam Minggu Kelajuan Straightliners 2024 di Elvington Airfield di Yorkshire, di mana ia mencecah 84km/j. Ia mengatasi rekod lamanya yang dirakam pada 74km/j.

Dylan menyempurnakan dua larian yang diwajibkan melalui perangkap laju di lapangan 100m dengan jenteranya yang merupakan sebahagian kereta sorong, sebahagian lagi skuter lusuh.

Dia berkata: “Ia tidak selesa dan ia menakutkan. Isunya ialah cuba memperlahankannya kerana ia hanya ada brek di hadapan.”

Seperti semua idea yang tidak masuk akal, Phillips mengakui bahawa dia memikirkannya di sebuah pub.

“Pada masa ini saya gembira dengan keadaan itu tetapi itulah perkara dengan menjadi seorang jurutera – anda mula bermimpi lebih besar,” katanya.

“Sejujurnya, saya sangat gembira, kerana ia hanya menggalakkan inovasi dan ia mungkin akan mendorong saya untuk pergi dan mencuba lagi dan pergi dengan lebih pantas.”

Usaha Phillips mendapat tempat dalam buku Rekod Dunia Guiness, tetapi anda boleh yakin dia akan memecahkan rekod itu sekali lagi.

Kemunculan peranti komunikasi untuk penunggang motosikal berikutan kemajuan dalam teknologi telefon pintar telah menambahkan banyak keseronokan ketika kita menunggang.

Ia juga telah mendorong pengeluar motosikal untuk mencipta ciri baharu pada motosikal mereka. Ciri komunikasi atau media motosikal tertentu boleh disambungkan ke telefon pintar untuk memainkan muzik, membuat panggilan keluar dan menerima panggilan telefon masuk, malah menyediakan navigasi skrin motosikal (skrin LCD atau TFT) dan melalui peranti komunikasi Bluetooth.

Beberapa pengeluar topi keledar juga telah mencipta topi keledar yang sesuai dengan peranti tersebut.

Jadi kini, peranti komunikasi ini bukan lagi barang mewah, sebaliknya menjadi suatu keperluan kepada penunggang motosikal. Sejujurnya saya mengatakan bahawa saya menentang penggunaan peranti itu apabila ia mula-mula muncul di pasaran. Sekarang, saya tidak pernah menunggang ke mana-mana tanpanya.

Berikut ialah beberapa faedah menggunakan peranti.

1. Komunikasi antara penunggang dan pembonceng

Tolong izinkan saya menceritakan suatu pengalaman.

Saya dan isteri saya berjelajah ke Pulau Pinang. Ketika kami sampai di Sungai Perak, dia memanggil saya dengan menunjuk ke hadapan. Saya ingatkan dia menunjuk ke arah sungai, jadi saya berpaling dan berkata, “Ya, sungai yang cantik.” Kemudian dia berkata sesuatu yang tidak kedengaran di dalam topi keledar. Selepas jambatan tiu, dia mula mengetuk saya dengan kuat supaya saya pergi ke tepi jalan. Ketika itulah dia menjerit, “SAYA NAK PERGI KE BILIK AIR LAH!”

Suasana menjadi muram sejak itu. Saya dipersalahkan kerana tidak memberi perhatian, dia meluahkan kenapa dia ditakdirkan dengan suami yang rosak pendengaran, yada, yada, yada.

Tetapi semuanya berubah sejak kami memasang peranti komunikasi Bluetooth dalam topi keledar kami. Tiada lagi salah dengan, tiada lagi jeritan melawan deruan angin, tiada lagi pergaduhan.

Inilah sebabnya semakin banyak sekolah menunggang advanced yang menggunakan peranti sedemikian kerana ia menyediakan komunikasi yang jelas antara pengajar dan pelajar.

2. Keselamatan

Samada anda menggunakan Waze, Peta Google, Petal atau mana-mana aplikasi navigasi lain, ia kadangkala memberi amaran melalui suara kepada anda tentang bahaya di hadapan. Anda boleh mendengar amaran ini semasa anda memandu, tetapi anda tidak boleh berbuat demikian apabila anda menunggang motosikal – melainkan anda menyambungkan telefon atau TFT anda kepada penyampai Bluetooth.

Pesanan suara ini juga menyediakan anda kepada jarak anda ke sesuatu simpang atau destinasi seterusnya. Oleh itu, anda tidak perlu memandang telefon atau skrin motosikal sepanjang masa.

Selain itu, dengan peranti komunikasi yang mempunyai ciri arahan suara pengguna, anda boleh memberikan arahan Siri atau Google Assistant di telefon anda, atau melalui ciri arahan suara terbina dalamnya bagi menukar lagu, membuat panggilan telefon, dan sebagainya, tanpa mengalihkan tangan anda daripada hendal atau pandangan anda daripada jalan di depan.

3. Membolehkan anda kekal berjaga

Menunggang kilometer demi kilometer di atas lebuhraya di bawah bahang matahari akan membuatkan kita hilang fokus dan mengantuk, walaupun di lebuh raya di tengah bandar. Jadi, mainkanlah beberapa lagu kegemaran anda atau mendengar stesen radio memecahkan kebosanan melalui peranti komunikasi anda.

Walau bagaimanapun, kami menasihati anda untuk menukar mod mental anda mengikut tempat anda menunggang dan keadaan trafik, apabila anda menghidupkan komunikator. Sebagai contoh, anda boleh menyanyi bersama lagu di lebuhraya terbuka, tetapi letaklah muzik di latarbelakang dan fokus pada tunggangan anda apabila anda berada di kawasan berpenduduk atau di dalam keadaan sukar seperti bandar, kampung, hujan, dsb.

4. Kelancaran dan keselamatan dalam konvoi motosikal

Ia amat membantu jika setiap peserta atau sekurang-kurangnya di kalangan individu penting seperti marsyal dalam konvoi untuk mempunyai komunikator. Isyarat tangan kadang-kadang tak cukup, atau ada individu di kelompok tengah yang malas nak sampaikan isyarat tangan daripada ketua konvoi.

Ia juga amat berguna dalam situasi peserta terpisah. Contohnya kalau tidak menggunakan peranti komunikasi, kumpulan-kumpulan yang terpisah akan mendapati ia sukar untuk menghubungi satu sama lain kerana satu lagi kumpulan sedang menunggang motosikal dan tidak dapat menjawab panggilan. Ini akan membawa kepada situasi bermasam muka.

5. Tidak terlepas panggilan penting

Walaupun ini bukan sebab utama saya memansang peranti komunikasi pada mulanya saya menghargai hakikat bahawa saya boleh menerima panggilan penting semasa saya menunggang. Ini amat penting tidak kira anda sebagai bos sesuatu perniagaan atau rider penghantaran.

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES (2024) yang dinanti-nantikan telah diperkenalkan di Malaysia. Lebih dikenali dengan nama singkatan “Africa Twin,” ia menampilkan beberapa semakan penting, termasuk enjin yang lebih berkuasa dan keselesaan yang lebih baik.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 1084cc, sejukan cecair, OHC, berkembar selari menghasilkan tork 7% lebih tinggi. Kuasa maksimum ialah 75 kW (100.5) pada 7,500 RPM dan tork maksimum 112 Nm tiba pada 5,500 RPM.
  • DCT (Dual Cluth Transmission) telah disemak semula untuk memberikan rasa yang lebih semulajadi seperti melepaskan sedikit-dikit (lebih dikenali sebagai “half-clutch“) semasa pecutan daripada berhenti, dan antara gear pertama dan kedua.

  • Seperti biasa, mod “M” (manual) biasa dikekalkan, membenarkan penunggang menukar gear dengan menekan butang yang dipasang pada bar hendal.
  • Penunggang boleh bertukar antara mod “D” (drive) dan “S” (sport).
  • Semakan lanjut DCT termasuk pengesanan sudut mereng motosikal bagi mengelakkan kotak gear menukar gear semasa motosikal berada di dalam selekoh.

  • Suspensi Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERATM) kini merupakan ciri standard, berbanding menjadi ciri pilihan pada Africa Twin sebelumnya.
  • Sistem ini melaraskan redaman suspensi secara automatik berdasarkan keadaan tunggangan dan bergantung pada  lima mod suspensi (MID, HARD, SOFT, OFFROAD, USER) yang dipilih.
  • Pendikit ride-by-wire dikekalkan justeru menyediakan bantuan elektronik dalam ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC), kini diuruskan dengan sistem ukuran inersia enam paksi (IMU).

  • Penunggang boleh memilih salah satu daripada empat mod tunggangan: TOUR, URBAN, GRAVEL, atau OFF-ROAD.
  • Terdapat juga Wheelie Control dengan 3 tahap yang boleh dipilih.
  • Sistem ABS juga berfungsi bersama-sama dengan IMU untuk menyediakan penyelesaian brek yang lebih selamat pada semua sudut mereng.
  • ABS belakang boleh dimatikan untuk tunggangan off-road.

  • Roda depan 19-inci untuk kestabilan di atas jalan yang lebih baik sambil mengekalkan keupayaan off-road.
  • Kelegaan tanah minimum 220 mm.
  • Ketinggian pelana boleh dilaraskan antara 820 mm dan 840 mm tanpa alatan.

  • Pelana baharu dengan kusyen lebih tebal 15mm dan keluasan tambahan 8% untuk lebih selasa semasa perjalanan jauh.
  • Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports E 2024 menonjolkan fairing hadapan yang direkabentuk semula untuk memesong angin dengan lebih baik bagi mengurangkan kesan angin pada badan penunggang.
  • Paparan Maklumat Berbilang (MID) TFT 6.5-inci menyepadukan Apple CarPlay dan AndroidAuto.

Honda CRF11000L Africa Twin Adventure Sports ES (2024) boleh didapati mulai 19 Jun 2024 dalam dua pilihan warna iaitu Mat Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White. Harga jualan (bukan di atas jalan) ialah RM 119,388.

Honda CBR250RR (2024) telah dilancarkan di Malaysia, bersama beberapa kemas kini tertumpu kepada prestasi enjin dan pengendalian.

Ciri utama baharu:
  • Nisbah mampatan dinaikkan kepada 12.5:1 daripada 12.1:1 dengan mengurangkan isipadu kebuk pembakaran daripada 7.55 cm3 to 70.0 cm3.
  • Diameter tekak port masuk telah dibesarkan daripada 21.4 mm kepada 21.6 mm.
  • Pemasaan injap kemasukan dikemas kini.

  • Piston dan ketegangan gelang minyak yang dioptimumkan untuk mengurangkan geseran.
  • Kemas kini ini menghasilkan peningkatan kuasa maksimum sebanyak 1 kW (1.34 hp) berbanding model sebelumnya, dan membawanya kepada 31 kW (41.6 hp) pada 13,000 RPM dan tork 25 Nm pada 11,000 RPM.
  • Ciri Assist dan Slipper Clutch dikekalkan, tetapi kini dilengkapi dengan quickshifter.

  • Suspensi depan dinaik taraf dengan fork jenis terbalik Showa Separate Function Fork -Big Piston – Big Piston (SFF-BP) 37mm.
  • Di sebelah ciri elektronik, Honda CBR250RR (2024) mempunyai pendikit ride-by-wire yang seterusnya menawarkan tiga mod tunggangan, iaitu Sport+, Sport, dan Comfort.
  • Bentuk fairing telah dirombak untuk apa mengikut konsep yang panggil “bentuk pantas agresif”, yang membawa kepada pengurangan rintangan udara sebanyak 6%.

“Dengan CBR250RR baharu, kami menyasarkan untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tiada tandingan yang menggabungkan kuasa, ketepatan dan gaya,” kata Mitsuharu Funase, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda. “Ia adalah bukti komitmen Honda terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam segmen motosikal supersport. Kami yakin peningkatan dalam prestasi dan reka bentuk akan memikat peminat motosikal di seluruh pasaran Malaysia.”

Honda CBR250RR 2024 hadir dalam dua warna – Mat Zodiac Blue Metallic dan Honda Tricolor, kedua-duanya dijual harga daripada RM27,999.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga dikenali dengan PMX, memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menaikkan harga perkhidmatan atau barangan akan dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mereka. Amaran itu turut merangkumi pihak yang berhak mendapat subsidi diesel.

Tindakan tersebut harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Sebenarnya ingat kita dalam Jemaah Menteri senang nak lakukan, tak ada hati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga…tidak.

“Saya sendiri berpuluh kali bermesyuarat supaya jangan terbeban, maka nelayan dikecualikan, maka subsidi diteruskan untuk nelayan, pekebun kecil, bas sekolah.

“Bas sekolah naik (harga perkhidmatan), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga, saya tak tahu orang lain, kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu),” katanya.

Perkhidmatan bas sekolah, bas ekspress, dan bas pelancongan tidak patut naik harga

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berkata kenaikan tambang bas sekolah tidak seharusnya berlaku memandangkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat kekal pada harga RM1.88 seliter.

Loke menyarankan meskipun Kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah, pengusaha seharusnya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dengan kementerian turut sedia membantu pelbagai sudut untuk meringankan beban pihak terlibat.

Selain daripada itu, beliau juga berkata kerajaan tidak menyediakan subsidi untuk perkhidmatan bas persiaran memandangkan ia membabitkan sektor swasta.

“Jadi ini kita kena faham… kalau bas persiaran tujuannya untuk pelancongan (dan) ini untuk pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian. Jadi ini kita tak (beri) subsidi untuk sektor pelancongan.

Pengusa bas sekolah dan bas ekspress masih diberikan subsidi melalui penggunaan kad ‘fleet‘, dan harga diesel bagi mereka ialah RM1.88 seliter berbanding dengan RM2.15 sebelum ini.

Syarikat trak tunda diberi notis

Sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan yang mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan engan alasan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel telah diberi notis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata notis diberikan kepada syarikat berkenaan dan mereka mestilah memberi jawapan dalam tempoh antara 7 hingga 14 hari.

“Notis itu bagi syarikat berkenaan memberi maklum balas terutama bukti dokumentasi dan sebab kenaikan kos operasi mereka yang dikaitkan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bermula Isnin lalu.”

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube