Bikesrepublic

Berita Terkini

Laporan rasmi siastan nahas helikopter TLDM (Tentera Laut DiRaja Malaysia) telah dikeluarkan hari ini.

Faktor utama yang menyebabkan kemalangan tersebut dikenal pasti akibat salah sebuah pesawat itu tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan. Pesawat jenis Fennec itu telah memasukki laluan pesawat AW139 yang menyebabkan kedua-duanya berlanggar dan terhempas.

Nahas itu mengorbankan 10 nyawa pada 23 April lalu, di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Kenyataan TLDM turut menyebut satu faktor lain ialah tumpuan terpaku pada penukaran haluan (channelized attention) yang menghadkan reaksi untuk mengelak pelanggaran. (Nota daripada pengarang: Faktor ini turut sering terjadi kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang dipanggil ‘target fixation.’)

“Lembaga Siasatan melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit dalam pelbagai aspek.

Siastan tersebut telah mengkaji semua aspek yang berpotensi mengakibatkan kemalangan tersebut.

“Ini termasuk semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil itu menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.

“Selain itu, bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter juga diambil kira sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, selepas siasatan dilaksanakan secara komprehensif, Lembaga Siasatan mendapati laporan bedah siasat mengesahkan bahawa tiada isu ‘hypoglycemia‘ (keadaan kekurangan kepekatan glukosa di dalam darah) atau unsur-unsur ‘fatigue‘ (kepenatan) terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.

“Selain itu, tiada unsur ‘mental illness‘ (penyakit mental) direkodkan atau dikenal pasti dengan kesemua kru udara terbabit disahkan secara perubatan sebagai ‘fit to fly‘ (cergas untuk melakukan penerbangan).

“Kematian kesemua 10 mangsa adalah berpunca daripada ‘multiple injuries due to aviation crash‘ (pelbagai kecederaan disebabkan kemalangan penerbangan).

“Pesawat AW139 disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan Laporan Analisis Kotak Hitam. Pesawat Fennec juga tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi. Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak pengeluar peralatan tulen (OEM).”

“Sampel minyak, pelincir dan bahan api sudah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).”

Malah, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.

“Laporan Analisis Kotak Hitam pesawat AW139 turut digunakan untuk membantu siasatan. Bagi pesawat Fennec pula, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar.”

Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi membantu siasatan.

“Airbus Helicopter mengesahkan bahawa tiada peralatan yang mempunyai Non-Volatile Memory (NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.” (Nota daripada pengarang: Perakam data atau lebih dikenali sebagai kotak hitam tidak diwajibkan untuk dipasang dalam pesawat helikopter.)

 

MotoGP Kazakhstan yang ditangguhkan sebelum ini akan menggantikan MotoGP India, dari 20 – 22 September 2024.

Pada awalnya, pemegang hak MotoGP, Dorna Sport dan FIM telah memutuskan untuk menangguhkan pusingan Kazakhstan di Litar Antarabangsa Sokol kerana banjir besar di negara itu. Pertukaran ini bermaksud pusingan India akan berlangsung pada Mac tahun depan. Ini seterusnya membawa Grand Prix Qatar sebagai pembuka musim ke tarikh yang lebih lewat.

Ini merupakan satu lagi “plot twist” untuk MotoGP India, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Fairstreet Sports, Pushkar Nath Srivastava, “mengesahkan” acara itu masih akan diteruskan setelah terdapat berita yang Dorna belum menerima bayaran untuk hak melangsungkan acara itu. Bercakap pada 15 Mei kepada The Times of India, beliau berkata “Perlumbaan ini akan berlangsung […] Ini hanyalah khabar angin yang berlegar-legar. Semua obligasi kontrak akan dipenuhi pada bulan Jun.”

Bagaimanapun, Dorna juga telah memberi tempoh sehingga 20 Mei kepada penganjur untuk menyelesaikan perkara itu.

Kini, Srivastava memberitahu agensi berita India, PTI “Ia telah diputuskan bersama untuk mengalihkan perlumbaan ke Mac tahun depan. Kami melihat pada minggu pertama atau kedua bulan Mac … Semua pihak yang berkepentingan termasuk Dorna bersetuju bahawa cuaca September tidak kondusif untuk perlumbaan dan ia adalah sukar untuk pelumba dan marsyal seperti yang dialami tahun lepas.”

Sejumlah 4,169 saman berkaitan gejala rempit dikeluarkan pihak berkuasa di seluruh Pulau Pinang setakat April tahun ini.

EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, 150 operasi dijalankan sepanjang tempoh itu membabitkan 14 lokasi ‘panas’ yang dikenal pasti.

“Antaranya Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, bulatan Bayan Baru, Jalan Tun Dr Awang, Padang Kota Lama, Lingkaran Luar Butterworth, Lebuh Raya Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Sama Gagah dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

“Lokasi lain Jalan Bukit Gambir, Jalan Mayang Pasir, Jalan Sultan Azlan Shah, Butterworth-Kulim Expressway (BKE) dan Taman Ilmu yang terletak di Seberang Perai Selatan.

“Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan operasi secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Beliau dalam perkembangan sama menegaskan semua pihak memandang serius dan komited berganding bahu dalam usaha mengekang dan membanteras masalah membabitkan mat rempit atau samseng jalanan.

“Ini termasuk pemeriksaan premis kedai yang mengubah suai motosikal dan lain-lain penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang selain mengadakan operasi bersepadu setiap hujung minggu, rondaan trafik serta sekatan jalan raya,” jelasnya.

Terdapat tiga warna baharu untuk Yamaha EGO Avantiz (2024).

Skuter automatik Yamaha EGO Avantiz kekal di dalam banjaran model Hong Leong Yamaha Motor sejak dilancarkan pada tahun 2016. Terdapat beberapa semakan dalam jangka masa itu, tetapi semuanya terhad kepada kemaskini kosmetik.

Enjinnya masih merupakan jenis 125cc, silinder tunggal, dengan penyejukan cecair, SOHC yang menghasilkan 7.0 kW (9.4 hp) pada 8,000 RPM dan 9.6 Nm tork pada 5,500 RPM.

Seperti yang dinyatakan di atas, casis, suspensi, badan, brek kekal tidak disentuh.

Tiga warna baharu itu dipanggil Sky Blue (biru langit), Dark Blue (biru tua), dan Purple (ungu).

Yamaha EGO Avantiz 2024 sudah mula dijual di pengedar sah Yamaha mulai 28 Mei 2024. Harga jualan yang disyorkan adalah daripada RM 5,998, tidak termasuk yuran pendaftaran dan perlindungan insurans.

Galeri foto Yamaha EGO Avantiz (2024)

Motosikal superbike Zontes 703RR kini berada di tahap produksi. Akhirnya.

Lima tahun telah berlalu sejak kami melawat kilang Zontes di Guangzhou, China, di mana kami melihat jurutera mereka sedang merekabentuk sebuah enjin tiga silinder. Tetapi President syarikat itu berminta kami untuk merahsiakannya, dan sebab itulah kami tidak menyiarkannya sehingga ia menjadi rasmi setahun selepas itu.

Terdapat banyak berita mengenai enjin tiga silinder ini sejak itu, tetapi tiada apa yang ketara sehinggalah EICMA 2023, apabila konsep Zontes 703RR dan Zontes 703F telah dipamerkan.

Mengapa ia mengambil masa yang begitu lama? Ia hasil falsafah yang dipegang oleh Presiden Zontes untuk membina hampir semua komponen motosikal mereka secara dalaman, dan bukannya membeli daripada pembuat komponen yang lain. Tidakan itu bermakna mereka boleh mengawal kualiti komponen dan produk mereka, serta mengelakkan birokrasi untuk menyelesaikan masalah.

Kembali ke Zontes 703RR, dokumen kelulusan jenis motosikal telah dilihat bersama dengan angka prestasinya.

Enjin tiga silindernya dihomologasikan kepada 101 hp. Dimensi gerek dan lejang silinder ialah 70mm x 60.6mm, memberikannya anjakan 699cc (“70” bermaksud 700cc, “3” bermaksud tiga silinder). Aci engkolnya menggunakan pemasaan 120 darjah, seperti semua enjin tiga silinder lain, kecuali aci engkol T-Plane dalam Triumph Tiger 900.

Kelajuan tertinggi 230 km/j dipetik dalam dokumen tersebut, meletakkan motosikal itu di sekitar lawannya seperti Honda CBR650R, Aprilia RS 660, Triumph Daytona 660, sambil menewaskan Yamaha YZF-R7. Walaubagaimanapun, kuasa enjin CFMoto 675SR mungkin lebih tinggi.

Ia adalah satu langkah yang baik untuk Zontes apabila 703RR dilancarkan kerana ia telah membolehkan mereka melonjakkan diri daripada penghasilan enjin satu silinder mereka. Namun, lebih baik mereka melancarkan motosikal ini dengan secepat mungkin kerana banyak lagi pengeluar, termasuk saingan daripada China yang telah atau akan melancarkan motosikal sportbike kelas pertengahan mereka sendiri.

Enjin ’empat dapur’ (empat-silinder) CFMoto 500SR telah didedahkan.

Dunia motosikal telah dikejutkan dengan acahan dua motosikal sportbike CFMoto SR pada September lalu. Sekarang CFMoto telah memfailkan paten untuk enjin 500cc empat-silinder untuk 500SR. Motosikal sport 675SR pula menggunakan enjin tiga silinder.

Lukisan paten menunjukkan beberapa komponen enjin, termasuk sistem penyejukan yang direka untuk menaikkan suhu enjin dengan cepat untuk mengurangkan pencemaran. Ini kerana pemangkin ekzos hanya benar-benar berfungsi apabila unsur-unsurnya mencapai 400 darjah Celsius.

Lukisan itu juga menunjukkan enjin yang direkabentuk sepenuhnya oleh CFMoto sendiri, dan bukan “diinspirasi” oleh enjin 500cc lain. Apapun, tiada motosikal dengan enjin empat sebaris 500cc dalam pasaran hari ini.

Oleh itu, syarikat itu merekabentuk sebuah enjin yang konvensional, seperti aci sesondol berkembar (DOHC) yang dipacu rantai, dengan rantai itu terletak pada satu hujung aci engkol. Sesondol bertindak secara langsung pada tepet, dan bukannya mengikut kaedah semasa yang menggunakan ‘pengikut jari’ (finger follower). Selain itu, terdapat empat gegelung pencucuh individu bagi setiap palam pencucuh.

Aci engkol mengikut konvensyen 180-darjah, oleh itu bukan susunan “crossplane” atau “Big Bang“.

Kotak gear ialah jenis enam kelajuan konvensional, dan lukisannya tidak menunjukkan quickshifter, mahupun sistem klac. Takungan minyak enjin ‘dipotong’ sebelah untuk penghalaan paip ekzos.

Enjin empat silinder CFMoto 500SR baharu ini dijangka menghasilkan sekitar 80 hp, justeru diletakkan di antara CFMoto 675SR dengan 100 hp dan CFMoto 450SR dengan 50 hp. Ia juga akan menyaingi Kawasaki Ninja ZX-4RR dan Kove 450RR.

Motosikal ini kelihatan mempunyai ergonomik motosikal sportbike jalanan seperti Ninja ZX-4RR, seperti bar hendal yang diletakkan lebih tinggi berbanding motosikal supersport. Prototaip itu menunjukkan beberapa elemen aerodinamik seperti penutup di bawah kaliper brek hadapan untuk menyalurkan aliran udara di sekitar fairing bawah.

CFMoto 500SR dijangka akan dilancarkan lewat tahun ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube