Bikesrepublic

Berita Terkini

Harley-Davidson Petaling Jaya berjaya merangkul anugerah Penjualan Terbaik buat kali kedua berturut-turut bagi pasaran membangun Asia.

Penganugerahan ini membuktikan H-D Petaling Jaya menawarkan perkhidmatan selepas jualan paling terbaik kepada semua pemilik Harley-Davidson di Malaysia.

Kejayaan ini merupakan kesinambungan dari meraih anugerah sama bagi suku pertama tahun ini.

Bagi Pengerusi Goh Brother Group, Goh Kian Sin, kejayaan ini seharusnya dibanggakan pasukan H-D Petaling Jaya.

“H-D Petaling Jaya akan terus lakukan yang terbaik, menawarkan semua pelanggan pengalaman pemilikan tanpa mengira usia motosikal Harley-Davidson masing-masing.

“Moto kami adalah “Let us win your trust” sejak tertubuhnya rangkaian pengedar sejak 2017.

“Ketika ini rangkaian pengedar adalah dibawah pemantaun Lau Chye Wang sebagai Dealer Principal sementara Ahmad Fikeri mengendalikan After Sales.

“H-D PJ berjaya memenangi anugerah After Sales buat kali kedua tahun 2021 diantara semua pengedar Asia Pasifik. Ini adalah pencapaian yang kami banggakan terutamanya meletak Malaysia di peta dunia,” jelasnya.

Bagi menambah kejayaan pengedar Harley-Davidson di Malaysia, H-D Pulau Pinang pula menggondol anugerah Best Dealer bagi suku kedua 2021 dikalangan pasaran membangun Asia lain.

Anugerah itu mengesahkan kemampuan H-D Pulau Pinang dalam menangani hubungan dan isu pelanggan di samping mengekalkan standard ditetapkan.

“Ini adalah kejayaan berganda bagi Goh Brother Group kerana dua pengedar kami berjaya mendapat pengiktirafan dari Harley-Davidson.

“Saya mahu berterima kasih kepada rakan niaga kami, Kheoh Hock Seng atas dedikasi dan penat lelah dalam menjadikan pasukannya sebagai pengedar nombor satu di Asia,” tambah Goh.

Yamaha Motor India disahkan bakal memperkenalkan Yamaha R15 baharu berdasarkan dokumen kelulusan yang difailkan di negara itu.

Berdasarkan info yang terdapat pada dokumen tersebut, jelas Yamaha akan melancarkan dua varian R15 baharu, versi standard dan R15M.

*Sumber: autocarindia.com

Dokumen tersebut sekaligus mengesahkan foto ‘spy shot’ yang berlegar sebelum ini merujuk kepada model R15 baharu.

Menariknya, R15 baharu ini menawarkan rekaan depan yang menyamai YZF-R7 yang dilancarkan sebelum ini termasuk lampu LED dan DRL (daytime running light).

Bagaimanapun, R15 dan R15M ini dijangka mengekalkan enjin satu silinder 155cc dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 18.3hp dan 14.7Nm.

Pada masa sama, info dari dokumen itu turut mendedahkan R15 baharu ini tampil dengan ABS dwi-saluran, cakera brerk 282mm depan dan 220mm belakang serta panel badan yang telah direka semula.

Model ini juga akan didatangkan dengan paparan skrin baharu dengan keupayaan Bluetooth.

Sementara itu, imej sebuah motosikal yang didakwa sebagai R15M itu turut didedahkan dan memaparkan grafik dan warna Monster Energy Yamaha MotoGP.

Setelah lebih setahun sejak Suzuki Assemblers Malaysia mengumumkan penghentian operasi, jenama motosikal Jepun itu akhirnya kembali ke Malaysia menerusi pengendali baharu.

*Suzuki GSX-S750 2021

Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB) disahkan sebagai pengimpot, pengedar dan pemasangan tunggal bagi semua motosikal Suzuki, ATV, alat ganti dan aksesori di Malaysia.

Sebagai membuktikan komitmen yang lebih jitu, Suzuki Malaysia turut melancarkan enam model baharu untuk pasaran tempatan yang merangkumi:

  • Suzuki GSX-R1000 – RM99,289.00
  • Suzuki GSX-R1000R – RM110,289.00
  • Suzuki Katana GSX-S 1000S – RM77,989.00
  • Suzuki GSX-S 750 – RM40,989.00
  • Suzuki V-Strom 650XT – RM37,989.00
  • Suzuki SV 650 – RM37,289.00
*Suzuki Katana 2021

Menurut Pengurus Besar dan Pengarah Suzuki Malaysia Sdn Bhd, Dato’Jeffrey Lim, ini adalah permulaan baharu yang mengujakan bagi Suzuki.

“Kami bukan sahaja kembali tetapi kami tiba dengan komitmen yang lebih besar, bukan sahaja menawarkan pelanggan dengan model terkini malah meningkatkan pengalaman pemilikan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

*Suzuki SV650 2021

Pada masa sama, Dato Jeffrey memahami bahawa peminat Suzuki sudah menunggu lama untuk pelancaran produk baharu.

“Suzuki Malaysia telah pun merancang untuk melancarkan barisan baharu ini lebih awal namun disebabkan faktor Covid-19, kami tidak dapat melaksanakannya,” tambahnya.

*Suzuki V-Strom 650XT 2021

Sementara itu, meskipun keenam-enam model dilancarkan membabitkan jentera bersesaran 650cc keatas namun banyak lagi produk lebih menarik akan diperkenalkan.

“Suzuki Malaysia ada tiga kategori pengedar (Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus dan Suzuki Station) untuk pasaran tempatan tetapi buat masa ini kami memulakan perniagaan dengan menjual model CBU.

“Kami akan mengumumkan banyak lagi barisan produk menarik tak lama lagi,” katanya.

Meskipun tidak menyebut tentang model bersesaran kecil namun berdasarkan skop ketiga-tiga kategori pengedar berikut, pastinya model bawah 250cc akan diperkenalkan.

Hal ini kerana, Suzuki Big Bike World akan menawarkan pusat pameran serba lengkap dengan kesemua model motosikal Suzuki sementara Suzuki Station Plus akan menjual model sehingga 800cc.

Manakala Suzuki Station dipertanggungjawabkan menawarkan motosikal bawah 250cc dengan mensasarkan pelanggan mencari motosikal mampu milik untuk kegunaan harian.

Suzuki Station juga akan menawarkan liputan rangkaian paling luas untuk pasaran besar sekaligus beri bayangan model bersesaran kecil antaranya GSX-R150 dan Belang 150 akan direalisasikan tak lama lagi.

Triumph Motorcycles telah membuat pengumuman mengejut apabila mendedahkan Tiger Sport 660, sebuah motosikal sports-tourer yang digerakan enjin sama yang terdapat pada Trident 660.

Meskipun model tersebut dilitupi dengan grafik ‘camo’ bagi menyembunyikan ciri sebenar namun berdasarkan video dan foto dikongsikan, jelas Tiger Sport 660 ini dikuasakan enjin 3-silinder 660cc yang sama pada Trident 660.

Lantas kami menjangkakan Tiger Sport 660 kekal menawarkan 80hp pada 10,250rpm dan 63.7Nm pada 6,250rpm.

Bagaimanapun, sebagai motosikal segmen touring, kami jangkakan Triumph melakukan beberapa talaan antaranya aspek nisbah gear yang lebih tinggi, sistem suspension dengan jarak pergerakan lebih panjang dan juga penggunaan kerangka baharu.

Sudah pasti, perbezaan ketara berbanding Trident 660 adalah penggunaan fairing serta penghadang angin tinggi.

Sementara itu, Triumph juga dijangka membawa sistem elektronik yang sama terdapat pada Trident 660 termasuk sistem ride-by-wire, mod tunggangan, traction control dan ABS.

Meskipun tiada info lebih terperinci didedahkan namun dijangka motosikal ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Yamaha Motor India telah pun melancarkan MT-15 Monster Energy MotoGP Edition untuk pasaran negara itu.

Bagaimanapun, selain daripada grafik dan warna yang diilhamkan dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, model edisi khas ini kekal dengan ciri dan spesifikasi sama seperti varian standard.

Grafik dan warna Monster Energy Yamaha boleh kelihatan di bahagian tangki, sisi panel badan dan pelindung radiator.

Yamaha MT-15 ini dikuasakan enjin 155cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 19hp @ 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500 dan dipadankan bersama kotak gear 6-kelajuan dengan bantuan klac slipper dan assist.

Ciri lain turut ditawarkan adalah kerangka jenis delta box, fork teleskopik dengan jarak pergerakan 130mm, lampu LED dengan daytime running light (DRL), paparan digital LCD, sistem Variable Valve Actuation (VVA) dan ABS (single-channel).

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 ditawarkan dengan harga RM11,998 dan didapati dengan dua pilihan warna, Yamaha Blue dan Ice Fluo.

Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, lebih gemar jika setiap pelumba menggunakan masa latihan dengan motosikal berbanding aktiviti lain.

Dia berkongsi pendapatnya ketika sesi Facebook Live di akaun Facebook miliknya.

Bagi Zulfahmi, sebagai pelumba motosikal, sesi latihan seharusnya kekal dengan bermotosikal tapi sebaliknya ramai yang gemar berlatih mengikut trend antaranya berbasikal.

“Latihan perlu berjalan mengikut benda yang betul supaya kita tak hilang fokus sebagai pelumba motosikal.

“Zaman sekarang cukup senang nak hilang arah dengan sesi latihan kita sebab dengan adanya media sosial kita nampak ramai pelumba MotoGP main basikal, motorcross.

“Tapi pada pandangan saya, latihan perlu mengikut apa sukan kita iaitu perlumbaan motosikal profesional. Jadi kita perlu banyakkan masa atas motosikal tak kira apa pun jenis motosikal tersebut.

“Yang penting kita menunggang motosikal di litar supaya dapat perbaiki skil,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zulfahmi akui bimbang dengan sikap pelumba yang gemar ikut trend semasa.

“Saya nampak sekarang ini pelumba terlalu mengikut trend latihan pelumba profesional. Bila mereka kayuh basikal, semua nak kayuh basikal.

“Bila pelumba pro main motocross, semua nak main motocross.

“Tapi apakah keperluan yang palig penting untuk berada dalam keadaan terbaik dalam perlumbaan? Bagi saya adalah berlatih dengan motosikal di litar.

“Jika ikutkan pemain tenis, berlatih dengan bermain tenis. Atlet berbasikal berlatih dengan kayuh basikal setiap hari. Pelari maraton pula lari setiap hari.

“Jadi disebabkan sukan kita adalah lumba motosikal jadi sudah tentu latihan juga adalah lumba motosikal,” tambah Zulfahmi lagi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube