Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran mereka akan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang dilaporkan atau dikesan merakan video TikTok ketika memandu.

Badan itu berkata demikian berhubung perbuatan seoang pemandu bas ekspres yang dikesan membuat rakaman langsung melalui aplikasi TikTok ketika memandu. JPJ akan mengambil tindakan serta-merta terhadap pemandu tersebut.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata pihaknya akan menempatkan pegawai penyamaran di dalam setiap bas ekspres bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan itu.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar pemandu yang bertindak sedemikian juga dialu-alukan.”Mereka boleh menghantarkannya kepada kami berserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan.

“Sebelum ini, memang ada kes seperti ini tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini.

“Jika dikesan melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan terus. Bagaimanapun, perjalanan tetap boleh diteruskan,” katanya lagi.

Pada operasi itu, beliau turut melakukan pemeriksaan pada bas ekspres menggunakan peralatan khusus bagi memastikan ketebalan tayar supaya tidak botak, selain lampu isyarat berada dalam keadaan baik.

Varian Suzuki V-Strom 800RE Tour telah dilancarkan dengan penambahan bagasi untuk jelajah jarak jauh anda.

Suzuki V-Strom 800RE telah dilancarkan tahun lepas sebagai varian atas jalan bagi barisan V-Strom 800, manakala saudaranya, V-Strom 800DE ialah versi pengembaraan yang tertumpu kepada off-road.

Seperti namanya, Tour mementingkan pembawaan untuk perjalanan jarak jauh. Ia termasuk boks atas 38 liter dan dua boks sisi 37 liter untuk jumlah 112 liter.

Ya, ya, boks tersebut bukanlah baharu kerana mereka dijual sebagai pilihan berasingan untuk RE standard. Cuma harga boks-boks itu lebih rendah apabila anda membeli pakej V-Strom 800RE Tour. Satu set boks sisi berharga £938 (RM5,627.53) manakala boks atas berharga £515 (RM3,089.74), sekiranya dibeli berasingan untuk versi standard. Aduh.

Jadi, Suzuki meletakkan harga V-Strom 800RE Tour pada £11,199 (RM67,188.40) berbanding versi standard pada £9,699 (RM58,189.15). Oleh itu, anda menjimatkan £706.94 (RM4,241.29) untuk boks-boks tersebut.

Terdapat dua warna untuk boks tersebut iaitu warna hitam atau perak. Namun, V-Strom 800RE Tour masih dijual dalam warna yang sama dipanggil Pearl Vigor Blue, Metallic Matt Steel Green, dan Glass Sparkle Black yang sama seperti RE standard.

Semua ciri kekal sama antara edisi standard dan Tour.

Satu-satunya soalan ialah: Adakah Suzuki akan menjual versi Tour di Malaysia?

Seorang penunggang motosikal maut akibat terlanggar pintu kereta yang dibuka oleh pemandu kereta di Kampung FELCRA Teratak Batu, Jalan Pasir Puteh-Machang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pemandu sebuah Proton Persona  menghentikan keretanya di tepi jalan dan membuka pintu untuk keluar. Ketika itu, mangsa yang menaiki motosikal Honda Dash dari arah sama melanggar pintu kereta sebelum hilang kawalan dan tercampak ke laluan bertentangan.

Malangnya, mangsa dilanggar oleh sebuah Perodua Alza yang datang dari arah yang bertentangan dan merempuh mangsa.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa berusia 37 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat manakala dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Henry Dass Tevatus di talian 016-5072413,” kata Superintendan Zaizul Rizal lagi.

Kami telah memaparkan berita mengenai sepasang suami isteri yang berazam untuk menunggang motosikal dalam Kembara Jelebu-Makkah bagi menunaikan haji. Mereka terpaksa mengikuti laluan Banjaran Himalaya kerana laluan melalui Myanmar tidak selamat. Namun, mereka berdepan dengan detik cemas apabila isterinya diserang AMS.

Mohd Rahmat Mohammed Amin, 38 ketika dihubungi oleh Berita Harian berkata mereka berdepan detik mencemaskan apabila isterinya Nurazlinda Mohamad, 36 diserang gejala sindrom gunung kritikal (acute mountain syndrome/AMS) pada ketinggian 5,000 meter ketika melalui laluan Lhasa-Tibet di Banjaran Himalaya.

“Ketika dalam keadaan cemas ada penduduk yang kebetulan melalui laluan itu memberi pertolongan kepada isteri dengan memberi bantuan oksigen selain dibawa menaikki kereta.

“Mereka melarang isteri membonceng motosikal sebaliknya menumpangkan isteri dengan kereta sebelum dibawa ke kawasan lebih rendah di laluan itu.

“Ada juga yang memberi isteri saya minuman glukosa dan ketika ini keadaan isteri semakin baik,” katanya.

Mohd. Rahmat berkata sepanjang lima hari melalui laluan itu, dua kali dia menunggang dalam keadaan ribut salji dengan suhu dari satu hingga 0-darjah celsius.

Dengan berbaki kira-kira 700km sebelum sampai ke sempadan China-Nepal, cuaca sejuk turut mengganggu perjalanan yang sudah lewat sehari daripada jadual asal. Justeru itu dia akan berusaha untuk tiba di sempadan Nepal pada Isnin ini.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan urusan mereka sepanjang perjalanan dipermudahkan supaya selamat tiba di Makkah pada 5 Mei ini.

Mohd Rahmat dan isteri memulakan perjalanan bermotosikal dari Jelebu pada 19 Mac lalu dengan merentas 13 negara meliputi jarak 14,000km.

AMS terjadi apabila seseorang didedahkan kepada ketinggian yang terlampau lebih dari 2 jam kerana kekurangan oksigen. Sila rujuk infografik daripada laman Facebook Mount Kinabalu di bawah.

 

MV Agusta Enduro Veloce telah dilancarkan. Ia bukanlah MV baharu, sebaliknya ia “hanya” nama ketiga untuk Lucky Explorer 9.5.

Ia pada mulanya dipanggil Lucky Explorer 9.5, sebagai penghormatan kepada Cagiva Elefant tajaan Lucky Strike yang memenangi Rali Dakar pada tahun 90-an. Tahun lepas, nama itu kemudiannya ditukar kepada LXP Orioli selepas Edi Orioli yang menunggang Elefant itu untuk kemenangan itu. Dan kini, MV Agusta Enduro Veloce pula. Pengeluaran akan bermula pada Mei 2024 dan dijangka tiba di bilik pameran pengedar luar negara sebelum akhir tahun.

Oleh itu, motosikal semasa adalah sama dengan LXP Orioli yang disebutkan di atas.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin tiga silinder sebaris 931cc menghasilkan 124bhp dan 102Nm.
  • Enjin mempunyai aci engkol pusingan balas (counter-rotating crankshaft)  untuk mengurangkan kesan giroskopik aci engkol.
  • Fork hadapan 48mm boleh laras sepenuhnya dan monoshock belakang boleh laras untuk pramuat sahaja yang memberikan gerakan 210mm.
  • Kaliper brek depan ialah Brembo Stylema yang mencengkam cakera 320mm.
  • Lapan tahap kawalan cengkaman iaitu lima untuk jalan raya, dua tetapan luar jalan dan satu untuk permukaan basah.
  • Penunggang boleh memasukkan sama ada dia menggunakan tayar on-road atau off-road dan sistem kawalan cengkaman akan mempunyai tetapan yang berbeza.
  • Ciri elektronik lain seperti kawalan brek enjin dengan dua tetapan, kawalan pelancaran, kawalan pelayaran, kawalan roda, ABS selekoh, kawalan lif roda belakang.
  • Empat mod tunggangan (ya, ia berasingan daripada kawalan cengkaman), Urban, Touring, Off-Road, Custom All-Terrain.
  • Data kawalan daya tarikan dimasukkan ke dalam IMU enam paksi.
  • Paparan TFT 7-inci, dan kawalan bar hendal lampu belakang MV Agusta biasa.
  • Pilihan warna adalah mana-mana warna yang anda mahukan asalkan Ago Red dan Ago Silver (two tone).
  • Harga jualan yang disyorkan di UK ialah £21,800 (RM130,789.10).

Tidak akan ada lima pusingan MotoGP di Iberia pada masa hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Semenanjung Iberia terdiri daripada Sepanyol dan Portugal. Pada masa ini, mereka mempunyai bilangan pusingan MotoGP tertinggi di mana-mana rantau. Mereka ialah:

  • Grand Prix Portugal di Litar Antarabangsa Alrgarve.
  • Grand Prix Sepanyol di Litar Angel Nieto Jerez.
  • Grand Prix Catalunya di Litar Barcelona-Catalunya.
  • Grand Prix Aragon di Motorland Aragon.
  • Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo.

Sepanyol menjadi tuan rumah kepada empat GP, dan itu belum termasuk tiga sesi ujian sepanjang tahun. Monopoli sedemikian oleh satu negara menyebabkan peminat mempersoalkan keperluan dan sebabnya.

Walau bagaimanapun, akan berlaku perubahan dalam jadual kejohanan setelah MotoGP dibeli oleh Liberty Media. Sebagai pemilik baharu MotoGP mulai 2025, syarikat itu menyasarkan tambahan satu atau dua lagi Grand Prix di Amerika Syarikat.

Pusingan MotoGP di Amerika Syarikat merupakan satu perkara yang penting kerana negara itu merupakan pasaran motosikal utama, ditambah pula ia merupakan wakil tunggal kedua-dua benua Amerika selepas Argentina menarik diri.

Apapun, kalendar MotoGP sudah mencapai 22 pusingan yang maksimum. Ini bermakna tempat tertentu perlu memberi laluan untuk satu atau dua pusingan tambahan di Amerika. Justeru itu calon yang tersedia ialah mereka yang berada di semenanjung Iberia, atau lebih khusus, di Sepanyol kerana GP Portugal akan dikekalkan.

Ini disahkan oleh Ezpeleta apabila ditanya oleh GPOne.com, “Sudah tentu, tetapi tidak sehingga 2027. Kami tidak boleh mempunyai lebih daripada 22 Grand Prix setiap musim dan pastinya pada masa hadapan, tidak akan ada lima di Semenanjung Iberia.”

Selain Sepanyol, Itali merupakan satu lagi negara yang menganjurkan lebih daripada satu GP setahun, iaitu GP Itali di Mugello dan GP San Marino di Misano.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube