Motosikal pengembaraan BMW Concept F 450 GS telah didedahkan di EICMA 2024.
Motosikal kelas ringan itu akan merapatkan banjaran model satu silinder G 310 GS dan platform F 900 GS yang lebih besar. BMW Motorrad mengatakan bahawa ia bukan motosikal ‘trial‘, sebaliknya ia lebih dekat dengan motosikal enduro dengan kedudukan berdiri.
Walaupun BMW tidak mendedahkan butiran lanjut, mereka menyatakan bahawa enjin itu akan menghasilkan sekitar 48hp. Gambar menunjukkan prototaip dengan enjin silinder berkembar, selain gaya yang menyerupai model R 1300 GS yang perdana termasuk lampu depan berbentuk “X”.
Pengurus Produk, Sepp Mächler menegaskan bahawa enjin itu dibangunkan secara dalaman menggunakan bahan ringan seperti magnesium. Ia adalah satu perubahan besar daripada siri G 310 di mana enjin itu dibina secara kerjasama dan dikongsi dengan TVS. Syarikat itu tidak mendedahkan siapa sebenarnya yang akan membina enjin 450 baharu itu kelak.
Mächler, seorang penunggang yang meminati tunggangan off-road, menambah, “Secara amnya, ia adalah sekitar 175kg, dengan 48hp, dan enjinnya mempunyai aci engkol 125 darjah untuk penyalaan.”
“Ia sangat ramping dan untuk kedudukan tempat duduk yang mempunyai variasi yang berbeza mengikut permintaan pelanggan,” sambungnya. “Ia rek bentuk serba baharu, direka bentuk oleh BMW. Ini adalah idea yang kami ada sejak dahulu, dan kemudian kami memutuskan untuk melakukannya seperti itu.”
“Kami sedang mencari kedudukan pemijak kaki pada kedudukan yang betul, dan kami hendak memuatkan penunggang dengan ketinggian dari 1.65 meter hingga 1.90 meter – jadi setiap jenis pelanggan boleh duduk atau kekal di atas motosikal.”
Ketua BMW Motorrad Design, Alexander Buckan seterusnya mengulas: “Kami telah berjaya merekabentuk konsep dengan daya tarikan dinamik sporty ikon ‘off-road‘ besar kami dalam bentuk yang sangat padat.”
BMW Concept F 450 GS akan menjadi tambahan baharu kepada segmen motosikal pengembaraan ringan, yang kini diisi oleh Suzuki DR-Z4 yang baru dilancarkan, KTM 390 Adventure, serta Aprilia Tuareg 457 yang bakal dilancarkan dalam kategori 350-450cc. G 310 GS pula bersaing dengan Kawasaki Versys 250/300, dan Suzuki V-Strom 250.
BMW Motorrad berkata F 450 GS akan dilancarkan pada 2025.