Bikesrepublic

Berita Terkini

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah melancarkan WMOTO RT1 (2024) dengan warna dan grafik baharu.

Pengedar mengatakan bahawa perubahan itu memenuhi keperluan peminat skuter untuk penampilan yang bergaya dan elegan. Spesifikasi teknikalnya kekal tidak berubah selain daripada port pengecasan USB yang “diperbaharui” yang terletak berhampiran poket penyimpanan barang di hadapan.

Ciri-ciri utama:
  • WMOTO RT1 menggunakan enjin 149.3cc, silinder-tunggal, 4-lejang yang menghasilkan kuasa maksimum 11.5kW (15.4hp) pada 8,000 RPM dan tork maksimum 14.5Nm pada 6,750 RPM.

  • Sistem Kawalan Traksi (TCS) meningkatkan keselamatan penunggang terutamanya di jalan licin.
  • Begitu juga ABS sebagai ciri keselamatan penunggang semasa membrek kecemasan.

  • Terdapat panel meter TFT tetapi Mforce tidak menyebut sama ada ia mempunyai ciri sambungan Bluetooth.

  • Pencahayaan adalah LED sepenuhnya.
  • Kamera papan pemuka hadapan dengan resolusi 1080p sebagai standard.

Tiga warna itu dipanggil Sky Blue, White, dan Matte Red. Harga jualan asas kekal pada RM9,888, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Pembeli boleh menikmati waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana datang dahulu), selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen dalam talian.

WMOTO RT1 (2024) kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.

Galeri Foto WMOTO RT1 (2024)

Kami selalu mengingatkan: Jangan sekali-kali menunggang motosikal tanpa perlindungan insurans. Tetapi memilih insurans yang betul tidak mudah. Kami pernah merasakan keperitannya sendiri. Tetapi jangan risau lagi kerana Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) telah melancarkan dua pelan insurans motosikal baharu yang dipanggil Z-Rider (EW) dan Z-Rider (Plus).

Daripada siaran media:

Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) melancarkan dua pelan insurans motosikal baharu, Z-Rider (EW) dan Z-Rider (Plus). Pelan-pelan inovatif ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan komprehensif dan ketenangan fikiran kepada penunggang motosikal di Malaysia.

Dengan lebih 16 juta motosikal di Malaysia, ZGIMB menyedari keperluan untuk penyelesaian insurans motosikal yang disesuaikan dengan kehendak pelanggan. Siri Z-Rider memenuhi keperluan ini dengan menawarkan ciri- ciri yang memberi manfaat khusus kepada penunggang motosikal. Ini sejajar dengan etos jenama Zurich Malaysia ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’ yang menekankan inovasi, kemudahan dan empati.

“Pelancaran Z-Rider (EW) dan Z-Rider (Plus) merupakan langkah yang signifikan dalam insurans motosikal di Malaysia,” kata Junior Cho, Ketua Pengawai Eksekutif/Ketua Zurich Malaysia. “Kami bangga menjadi syarikat insurans pertama yang menawarkan jaminan lanjutan percuma, memberikan nilai yang luar biasa kepada pelanggan kami. Pelan-pelan ini menawarkan perlindungan komprehensif dan manfaat berharga, menjadikan ZGIMB rakan kongsi ideal untuk pengalaman menunggang motosikal yang selamat dan yakin.”

Z-Rider (EW): Pertama di Pasaran

Pelan Z-Rider (EW) adalah pelan perintis kepada pasaran. Ia menawarkan jaminan lanjutan percuma, yang merupakan manfaat unik yang pertama dalam pasaran, memastikan perlindungan optimum untuk penunggang motosikal.

Manfaat* utama adalah seperti berikut:

  • Jaminan Lanjutan Percuma: Terpakai untuk motosikal baharu sehingga 200cc (tidak termasuk motosikal elektrik) yang disertakan dengan jaminan dua tahun pengeluar menerusi ejen sah ZGIMB yang merupakan pengedar motosikal.
  • Servis Tunda Kerosakan: Perlindungan sehingga 60 km.
  • Perlindungan Kemalangan Peribadi: RM5,500 setiap pemegang polisi.
Z-Rider (Plus), pelan komprehensif untuk keperluan penunggang yang pelbagai

Manfaat* utama adalah seperti berikut:

  • Direka untuk motosikal di bawah 250cc.
  • Servis Tunda Kerosakan: Perlindungan sehingga 60 km.
  • Perlindungan Kemalangan Peribadi: RM5,500 setiap pemegang polisi.
  • Elaun Banjir: RM1,000.
  • Tunda Kemalangan: RM100.

Maklumat lanjut mengenai pelan perlindungan Z-Rider boleh diperolehi di laman web rasmi di
https://www.zurich.com.my/insurance-products/protection/for-my-vehicle/z-rider dan
https://www.zurich.com.my/takaful-products/protection/for-my-vehicle/z-rider-takaful.

Tentang Zurich Malaysia

Zurich Malaysia adalah istilah rujukan kolektif bagi anak-anak syarikat Zurich Insurance Group (Zurich) yang beroperasi di Malaysia: Zurich General Insurance Malaysia Berhad, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad. Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful yang komprehensif; membantu individu dan juga pemilik perniagaan memahami dan melindungi diri, perniagaan dan juga asset mereka daripada risiko. Zurich Malaysia mempunyai rangkaian cawangan bersepadu di bandar-bandar utama di seluruh negara dan juga agensi dan saluran pengedaran yang berdedikasi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelanggan. Untuk maklumat lanjut mengenai Zurich Malaysia, layari www.zurich.com.my.

Polis telah menjalankan Ops Samseng Jalanan di “litar” Ulu Yam semalam (Ahad, 11 Ogos 2024). Hasilnya, 40 saman telah dikeluarkan terhadap berbagai kesalahan.

Polis mendapati bahawa sesetengah individu yang memandu kereta supercar serta penunggang motosikal berkapasiti tinggi sering menggunakan Jalan Ulu Yam-Sungai Tua, Batang Kali tersebut sebagai tempat untuk menguji potensi kenderaan mereka.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bermula jam 7 hingga 10 pagi itu menyaksikan sebanyak 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata operasi diadakan bagi mengekang dan mencegah kesalahan lalu lintas di kawasan terbabit.

“Antara kesalahan dilakukan adalah memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Bagaimanapun, tiada sitaan dan tiada pemandu ditahan dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Faizal berkata, pemantauan mendapati Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua menjadi tumpuan konvoi pemandu dan penunggang motosikal dengan sebahagiannya membawa secara berbahaya.

“Setakat ini polis belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya bawa kenderaan dengan sebaik mungkin, patuh undang-undang lalu lintas dan jangan pentingkan diri sendiri,” katanya.

Aih, kita fikirkan Ducati Panigale V2 Superquardro Final Edition baru-baru ini adalah superbike Ducati V-Twin yang terakhir, mereka mengatakan terdapat superbike Ducati V2 baharu akan dibangunkan.

MCN berkata bahawa temu bual dengan Ketua Komunikasi Produk, Giulio Fabbri semasa World Ducati Week mendedahkan bahawa syarikat itu mempunyai rancangan lain.

Fabbri memberitahu MCN: “Enjin V2 tidak akan ditamatkan sepenuhnya, sebaliknya hanya suatu versi enjin yang ditamatkan. Ia hanya edisi terakhir V2 Superquadro, tetapi sesuatu yang baharu akan datang.

“Pastinya, kami akan terus melihat Panigale supersport dengan enjin V2. Tetapi masih terlalu awal untuk bercakap tentang masa depan. Saya tidak boleh mengatakan bila sesuatu yang baru akan tiba, tetapi bagi kami ia adalah sangat penting dan enjin V2 adalah istimewa. Ia adalah sebahagian daripada budaya Ducati.”

Apa yang Fabbri katakan adalah betul, kerana enjin V-Twin (juga dikenali sebagai V2 atau L-Twin dalam istilah Ducati) merupakan enjin yang telah menjadikan jenama itu terkenal – daripada motosikal Imola kepada 851, 916, dan sehinggalah ke Panigale 1299 – sebelum Panigale V4 diperkenalkan.

Tetapi sudah tentu, eksekutif Ducati itu tidak mendedahkan spesifikasi motosikal baharu itu. Enjin Panigale V2 Superquardro yang terakhir berkapasiti 955cc dan menghasilkan 153hp.

Tiga anggota polis telah ditahan setelah terdapat kehilangan komponen daripada Yamaha RX-Z yang berada di dalam stor barangan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata suspek berusia antara 26 hingga 32 tahun.

Beliau berkata kesemua anggota terbabit ditahan pada Selasa lepas selepas siasatan mendapati berlaku kehilangan komponen enjin motosikal di stor simpanan terbabit.

“Pihak kami kemudiannya menjalankan siasatan sebelum menahan kesemua suspek untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati dua suspek memiliki motosikal jenis sama dan merupakan peminat tegar motosikal RX-Z,” katanya.

Dua daripada suspek tersebut telah dibawa ke Mahkamah Kemaman untuk permohonan sambung reman pada hari ini, namun permohonan itu ditolak atas alasan mereka masih anggota polis yang boleh dipanggil pada bila-bila masa. Mahkamah juga telah membenarkan kedua-dua suspek diikat jamin.

Bagaimanapun, Hanyan berkata pihaknya akan segera menyiapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

BMW telah membeli data MotoGP Suzuki, mungkin untuk mempercepatkan kemasukan dan keupayaan mereka ke dalam kelas perdana.

Menurut Motosport.com, ini adalah berita orang dalam semasa GP British pada hujung minggu lepas. Dan jika ia benar, BMW telah membayar €18 juta untuk memperolehi semua data yang dikumpulkan melalui jentera Suzuki GSX-RR.

Walaupun BMW tahu cara membina enjin berkuasa tinggi, mereka mungkin memerlukan data dari segi persediaan casis dan strategi kawalan cengkaman. 18 juta adalah wang yang banyak, tetapi ia pasti lebih menjimatkan daripada cuba membangunkan sesebuah jentera dan strategi elektronik daripada sifar. Kepunyaan data dalam tangan bermakna BMW mempunyai asas untuk membangunkan motosikal mereka dengan lebih cepat dan efektif.

Dorna telah membiarkan satu tempat kosong di atas grid khas untuk jenama daripada Bavaria itu dan diharapkan yang mereka akan menyertai MotoGP pada 2027. 2027 adalah tahun apabila MotoGP akan melalui semakan yang besar, termasuklah penggunaan enjin 850cc yang lebih kecil berbanding dengan enjin 1000cc semasa, serta mengehadkan penggunaan ciri-ciri aerodinamik. BMW kini sedang membuat enjin empat sebaris untuk motosikal superbike S 1000 RR mereka, jadi motosikal MotoGP mereka bolehlah menggunakan enjin yang diadaptasi daripada S 1000 RR.

Pada masa ini, BMW telah mengumpul banyak data daripada projek WSBK. Mereka hanya memperoleh satu kemenangan dalam setiap musim 2021, 2022 dan 2023, tetapi penyertaan Toprak Razgatlıoğlu telah membuahkan 12 kemenangan daripada 18 perlumbaan tahun ini. Adakah pelumba Turki itu akan diserap ke dalam skuad MotoGP BMW? Kita rasa ia mungkin akan berlaku.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube