Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MIT) telah mengemukakan cadangan pemberian insentif bagi pembelian motosikal elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri. Jelasnya, insentif tersebut akan tertumpu kepada kumpulan B40.
“Kita mengharapkan keputusan positif. MITI berharap Kementerian Kewangan (MoF) dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri EV negara…di dalam konteks ini untuk motosikal,” Datuk Hanafi memberitahu Bernama.
Selain daripada pemerkasaan kumpulan B40, Hanafi juga berharap insentif tersebut akan memacu pasaran EV dua roda di Malaysia yang ketika ini masih berada di tahap rendah (kurang daripada satu peratus). – Bernama
Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mengeluarkan notis larangan letak kenderaan di hadapan rumah sendiri atau jiran berkuatkuasa 2 Oktober lalu.
MBPG dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan kompaun serta-merta bole dikenakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan (MBPG) 2010 sebanyak RM500 dan dibawah undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan dengan kadar maksima RM2,000.
Memetik laporan Buletin TV3, tindakan tegas itu diambil ekoran pihak MBPG menerima banyak aduan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka.
Bagaimanapun, MBPG dalam satu kenyataan terbaru tindakan kompaun itu hanya akan dilaksanakan berdasarkan aduan diterima.
“Untuk makluman pihak tuan/puan, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG pada tahun lalu ialah 242 aduan.
“Manakala pada tahun ini sehingga September ialah 349 aduan berkaitan kacau ganggu kenderaan.
“Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan. Antaranya seperti meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacauganggu di kawasan/tempat awam,” jelasnya. – Buletin TV3
Honda dengan rasminya memperkenalkan Honda CRF1100L Africa Twin yang telah dinaik taraf bagi tahun 2024.
Seperti model sebelumnya, motosikal ‘adventure’ dari Honda itu hadir dengan dua varian, CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports.
Enjin
Untuk rekod, model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 1,084cc yang sama namun telah dipertingkat bagi tahun 2024. Pertamanya, 112Nm tork hadir lebih awal iaitu pada 5,500rpm berbanding 6,250rpm sebelum ini.
Menurut Honda, tork tersebut tiba lebih awal hasil nisbah mampatan 10.5:1 berbanding 10.1:1 sebelum ini. Perkara itu juga dicapai dengan mengubah ‘valve timing’ dan ‘intake ports’ serta menala semula ECU.
Kelengkapan
Honda juga memastikan suspensi Showa EERA (separa aktif) kini didatangkan secara standard pada kedua-dua varian selain daripada tayar ‘tubeless’ Metzeler Karoo Street dan penghadang angin baharu dengan lima tetapan. Selain itu, bagi mengurangkan rintangan angin, Honda juga mereka semula panel badan di hadapan.
Menyedari ramai yang menggunakan varian Adventure Sport di jalan raya berbanding ‘off-road’, Honda juga memperkenalkan rim 19-inci baharu dengan tayar depan yang lebih lebar. Fork depan juga kini menawarkan jarak pergerakan 20mm lebih pendek.
Tidak cukup dengan itu, Honda juga menaik taraf tempat duduk yang kini 15mm lebih tebal berbanding model terdahulu.
Dalam pada itu, Honda turut menurunkan ketinggian tempat duduk dari 850mm hingga 870mm kepada 835mm hingga 855mm. Tempat duduk itu juga boleh diturunkan kepada 795mm menggunakan aksesori tambahan.
Menurut Honda, Honda CRF1100L Africa Twin 2024 hadir dengan dua pilihan warna, Grand Prix Red dan Matt Ballistic Black Metallic sementara varian Adventure Sports ditawarkan dengan warna Matt Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White Tricolour.
Honda Racing Corporation (HRC) dengan rasminya mengumumkan pelumba tonggak pasukan Repsol Honda MotoGP, Marc Marquez, akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim 2023.
HRC membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan rasmi yang diterbitkan hari ini. Perkembangan terbaru itu bermakna kerjasama 11 tahun antara Honda dan Marquez berakhir dengan pelumba Sepanyol itu menyumbang enam kejuaraan dunia, 59 kemenangan dan 101 podium.
Bayangan Marquez meninggalkan pasukan itu bertiup kencang beberapa minggu ini dengan Ducati menyatakan minat terhadap khidmat pelumba bintang itu.
Meskipun begitu, Marquez dan Honda akan terus memberi saingan sengit bagi baki enam pusingan lagi.
Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah telah menerima lapan unit motosikal berkuasa tinggi yang disumbangkan Kerajaan Sabah.
Penyerahan lapan motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu telah diadakan dalam satu majlis khas yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.
Polis Sabah dalam satu kenyataan menjelaskan motosikal Harley-Davidson tersebut akan digunakan untuk penugasan khas selain daripada membantu mengatasi masalah kekurangan aset terutamanya motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah.
Untuk rekod rekod, Harley-Davidson Soft Tail Low Rider ST itu dilengkapi enjin V-Twin 1,923cc dan menawarkan 105hp dan 168Nm pada 3,500rpm.
Tayangan terbaru Ducati World Premiere 2024 dengan rasminya memperkenalkan Ducati DesertX Rally 2024.
Dibangunkan daripada Ducati DesertX sedia ada, versi Rally ini menawarkan pelbagai peningkatan terbaru terutamanya dalam aspek suspensi dan rim.
Pertamanya, Ducati DesertX Rally masih lagi dikuasakan enjin 937cc Testastretta 11-darjah yang menawarkan 110hp dan 92Nm.
Namun, segalanya tertumpu kepada pakej suspensi yang kini dinaik taraf dengan fork depan 48mm jenis ‘closed-cartridge’ dari KYB yang menawarkan tetapan ‘rebound dan compression’. Penyerap hentak KYB di belakang pula menawarkan tetapan ‘compression’ serta preload dan rebound.
Penggunaan suspensi baharu ini juga menyaksikan jarak kelegaan tanah yang lebih baik dengan 280mm. Bagi meningkatkan kecekapan kawalan, DesertX Rally ini juga dilengkapi dengan ‘steering damper’ dari Ohlins.
Sementara itu, DesertX Rally ini juga mengalami transformasi signifikan di bahagian roda yang kini menempatkan rim 21-inci depan dan 180inci belakang jenama Excel Takasago dengan lidi (spoked) karbon. Rim baharu ini juga 0.5kg lebih ringan berbanding rim stok pada DesertX standard.
Antara ciri tambahan lain ditawarkan termasuk ‘mudguard’ depan baharu dengan kabel brek terpisah selain daripada pedal brek dan gear boleh laras. Juga eksklusif pada varian Rally adalah penggunaan livery Iron Giant.