Siapa sangka, laluan lebuh raya tertinggi di Malaysia, Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong Jalan di Bukit Kukus boleh dinaiki air.
Jalan tersebut ditimpa banjir kilat selepas berlakunya hujan lebat, pada Ahad.
Video insiden air bertakung juga memaparkan bagaimana air bertakung hampir 0.5 meter pada bahagian jalan tersebut.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh mengesahkan air surut sejurus selepas anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang melakukan pembersihan.
“Kejadian itu disebabkan longkang tersumbat kerana lubangnya ditutup oleh daun kering dan sampah.
“Masalah itu telah berjaya diselesaikan dan air telah surut,” jelasnya.
Sebelum ini juga beberapa perkongsian di media sosial menunjukkan laluan tertinggi di Malaysia itu telah dipenuhi sampah sarap termasuk bungkusan nasi lemak yang ditinggalkan pengunjung.
Jalan Bukit Kukus yang berada pada ketinggian 61.5 meter itu mengambil masa enam tahun untuk disiapkan dan menelan belanja lebih RM378.2 juta. – K Online!
Enea Bastianini, muncul pelumba terpantas pada hari terakhir ujian (Day 2) ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba Gresini Racing MotoGP itu merekodkan catatan masa 1 minit 58.131 saat untuk muncul terpantas dengan kelebihan 0.026s ke atas wakil Aprilia, Aleix Espargaro.
Catatan itu turut memperbaiki catatan masa 1m 58.638s yang direkodkan pada hari pertama (semalam),
Bercakap kepada media, Bastianini mendedahkan jentera Ducati GP21 yang ditunggangnya musim ini jauh lebih baik berbanding GP19 ketika bersama Avintia Esponsorama musim lalu.
“(GP21) jauh lebih baik di setiap sudut litar. Saya boleh brek lebih lambat dan bahagian belakang juga lebih stabil.
“Penggunaan tayar baharu juga membolehkan saya membuka ‘throttle’ dengan lebiih agresif berbanding GP19,” jelas Bastianini.
Selepas mempamerkan peningkatan mendadak di hujung musim lalu apabila merekodkan 71 mata pada baki enam pusingan terakhir, pelumba berusia 24 tahun itu dijangka akan mempamerkan prestasi cemerlang musim ini dalam musim pertamanya bersama Gresini.
Suzuki Ecstar menempuh musim yang mengecewakan pada 2021, bukan sahaja kerana Joan Mir tidak mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim 2020 malah Alex Rins juga gagal berikan cabaran.
Mir ketinggala 70 mata dibelakang juara, Fabio Quartararo manakala Rins sekadar mengutip 99 mata selepas 18 pusingan musim lalu.
Sewaktu ditemui ketika sesi ujian pra-musim di Sepang, Rins akui fokus utamanya musim ini, selain mencabar kejuaraan adalah mendapatkan semula ‘feel’ yang sama pada musim 2020 apabila menamatkan musim itu dikedudukan ketiga dengan 139 mata, hanya 32 mata di belakang juara dan rakan sepasukan, Mir.
“Sasaran musim ini adalah dapatkan semula ‘feel’ dua tahun lalu. Pada musim 2020 saya menunggang dengan laju jadi untuk pastikan itu berlaku saya berlatih dengan lebih keras kali ini tidak kira di rumah atau di gim dengan usaha meningkatkan lagi tahap fizikal.
“Kami perlu beri lebih baik musim ini, dan itulah yang Suzuki sedang lakukan jadi saya kena buat perkara sama,” jelas Rins.
Melihat kembali musim lalu, Rins beberapa kali mengalami nasib malang apabila sering kemalangan ekoran jenteranya hilang cengkaman terutamanya sewaktu keluar selekoh perlahan.
Menyedari perkara itu, Rins juga mengharapkan jentera kali ini lebih baik dan aspek cengkaman diperbaiki hasil bantuan pelumba uji, Slyvain Guintoli.
“Masalah utama waktu itu adalah ketika mahu keluar dari selekoh perlahan tetapi saya rasa bukan masalah cengkaman tetapi lebih kepada aerodinamik.
“Kerana saya rasa cengkaman cukup baik tetapi jentera mudah melakukan ‘wheelie’ jadi perkara itu memberi kesan sewaktu henda keluar dari selekoh perlahan.
“Suzuki juga sedang memperhalusi perkara itu,” tambah Rins.
Sewaktu sesi ujian pra-musim hari pertama di SIC, Rins rekodkan masa ketiga terpantas dengan 1 minit 59.340s sebelum memperbaiki catatan pada hari kedua (hari ini) dengan 1m 58.261s.
Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro mendahului catatan masa terpantas bagi Sesi Pertama (Hari Pertama) ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Espargaro merekodkan catatan masa 1 minit 58.371saat untuk muncul terpantas setakat ini.
Sementara itu, pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini merekodkan masa kedua terpantas dengan 1m 58.630s diikuti wakil Suzuki Ecstar, Alex Rins ketiga dengan catatan masa 1m 59.340s.
Ini sekaligus menyaksikan sesi pertama hanya Espargaro dan Bastianini yang berjaya menduduki dalam kelompok 1m 58s berbanding pelumba lain.
Juara dunia MotoGP musim lalu, Fabio Quartararo sekadar 10 terpantas di sesi pertama dengan catatan masa 1m 59.667s manakala pelumba tonggak Ducati, Francesco Bagnaia menduduki tempat ke-14 dengan 2m 00.027s.
Bagaimanapun, catatan masa pada Sesi Pertama ini dijangka akan terus diperbaiki sebaik memasuki Sesi Kedua nanti.
Tahun 2021 merupakan tempoh sibuk buat Yamaha apabila melancarkan beberapa model baharu antaranya, MT-09, Tracer 9 dan Tracer 9 GT serta model serba baharu, YZF-R7.
Pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan TMAX Tech Max 560 penghujung tahun lalu sebagai model 2022.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati Yamaha tidak merancang untuk berhenti disitu apabila dokumen terbaru difailkan di Eropah mendedahkan terdapat dua model yang akan dilancarkan tahun ini.
Dokumen tersebut mendedahkan dua kod nama, RN82 serta RN83. Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan apakah model yang dimaksudkan namun kod nama tersebut sudah cukup menjelaskan beberapa aspek.
Seperti pengeluar lain, Yamaha juga menggunakan kod nama yang dicipta bagi mengelaskan jenis motosikal tersebut.
Dalam kes ini huruf ‘R’ merujuk kepada model ‘street’ manakala model ‘cruiser’ akan mengguna huruf ‘V’ sementara motosikal ‘adventure’ akan guna huruf ‘D’.
Seterusnya, huruf kedua, ‘N’ pula memaklumkan bahawa motosikal tersebut akan dikuasakan enjin berkapasiti antara 750cc hingga 1,000ccc.
Jika huruf kedua adalah ‘M’ maka enjin tersebut duduk antara 600cc hingga 750cc manakala huruf ‘P’ pula merujuk kepada kapasiti lebih 1,000cc.
Maka, RN merujuk kepada motosikal jenis ‘street’ dengan kapasiti enjin antara 750cc hingga 1,000cc.
Jika melihat kepada kumpulan enjin dinyatakan, buat masa ini Yamaha cuma ada dua pilihan, enjin 889cc CP3 dari MT-09, Tracer 9 serta XSR900 dan enjin 998cc CP4 crossplane dari MT-10 dan YZF-R1.
Bagaimanapun, enjin CP3 lebih relevan kerana sebelum in terdapat dakwaan kuat bahawa Yamaha cadang perkenalkan MT-09 versi ‘full-fairing’, keputusan sama yang diambil sewaktu pembangunan YZF-R7 yang bernadikan enjin CP2 dari MT-07.
Apatah lagi Yamaha juga telah pun memfailkan tanda nama YZF-R9 di Eropah sebelum ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan tersebut.
Kemudian, model seterusnya dijangka merujuk kepada generasi kedua Niken kerana motosikal itu merupakan model terakhir yang masih lagi menggunakan enjin 847cc CP3 Yamaha.
Naik taraf kepada enjin 889cc CP3 terbaru merupakan langkah rasional apatah lagi enjin terbaru itu mencapai standard Euro 5.
Apatah lagi kebenaran menjual motosikal bukan Euro 5 di Eropah akan berakhir pada 31 Disember tahun ini maka logik buat Yamaha untuk menaik taraf model tersebut.
Pengurus pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Racing, Wilco Zeelenberg berpendapat terdapat banyak persamaan antaranya juara dunia, Fabio Quartararo dan pendatang baharu di kelas premier, Darryn Binder.
RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali mencetuskan pelbagai reaksi apabila mengumumkan Darryn Binder sebagai pelumba kedua pasukan itu selepas Andrea Dovizioso.
Binder melangkah terus ke MotoGP dari Moto3 selepas pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) terkubur hujung musim lalu.
Dia menjadi pelumba kedua untuk melompat terus dari Moto3 selepas Jack Miller yang kini bersama Ducati.
Pengumuman Binder juga mendapat kecaman apabila bukan sahaja hanya merekodkan satu kemenangan di Moto3 selepas tujuh musim, malah insiden pelanggaran musim lalu dengan Dennis Foggia telah menentukan kejuaraan dunia Moto3 Pedro Acosta.
Bagaimanapun, mengimbau kembali senario pada 2019, rata-rata ramai pihak yang mempersoal keputusan menandatangani Quartararo, yang juga hanya merekodkan satu kemenangan di Moto2 musim 2018.
Quartararo kemudiannya bangkit mempamerkan kemampuan sebenar, sebelum beralih ke pasukan factory Yamaha, menggantikan Valentino Rossi.
Sebagai pengurus pasukan, Zeelenberg menyifatkan terdapat banyak persamaan antara Binder dan Quartararo, menjelang aksi ujian pra-musim yang akan berlangsung hujung musim ini.
“Fabio lebih muda ketika kami mendapatkan khidtmanya, tetapi di usia 14 tahun dia lebih baik dari pelumba lain.
“Dia kemudiannya melalui satu fasa dan pasukan lain tidak lagi berminat dengannya. Lalu kami menggunakan peluang itu untuk mengambilnya,” jelas Zeelenberg.
Binder bakal turut buat kali pertama bersama pasukan RNF Racing pada 5 hingga 6 Februari ini bagi sesi ujian pra-musim 2022.