Bikesrepublic

Berita Terkini

Sistem Indentifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang sepatutnya memudahkan pengguna jalan raya di Malaysia dalam usaha mengatasi masalah kesesakan trafik di plaza tol bertukar menjadi medium yang menyusahkan.

Manakan tidak, ribuan pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung bahana sangkut dalam kesesakan jalan raya di beberapa plaza tol selepas pelaksanaan lorong RFID.

Paling mencuri tumpuan adalah Plaza Tol Bandar Seri Putra, apabila ketiadaan lorong SmartTAG membuatkan berlakunya kesesakan yang panjang dengan rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial semalam.

Menurut perkongsian di Facebook Group Bandar Seri Putra Community [Official], kawasan tersebut sudah cukup sesak sebelum ini namun pelaksanaan lorong RFID mencetuskan kesesakan yang lebih luar biasa.

Insiden tersebut turut menyaksikan pengguna jalan raya membanjiri ruangan komen PLUS Malaysia di Facebook, namun apa yang mengejutkan, PLUS Malaysia bertindak menutup ruangan komen gara-gara tidak tahan dikecam.

Persoalannya, adakah wajar bagi PLUS Malaysia sebagai organisasi besar bertindak menutup ruang komen berbanding cuba membantu menjelaskan keadaan sebenar terhadap mereka yang berang dan tidak berpuas hati?

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengarahkan PLUS Malaysia mencari jalan penyelesaian susulan isu kesesakan yang berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan RFID.

“Saya meminta mereka menjelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian kepada segala isu berbangkit mengenai pelaksanaan RFID ini,” jelasnya.

PLUS Malaysia sebelum ini sudah pun memulakan kempen bertukar kepada RFID sejak 25 Disember lalu.

Bagaimanapun, kempen itu berdepan kritikan apabila rata-rata pengguna RFID masih berdepan beberapa isu antaranya pelekat RFID tidak diberjaya dikesan sensor maka pemandu terpaksa undurkan kenderaan di lorong RFID.

Bukan itu sahaja, ketika Smart Tag dan Touch ‘n Go boleh juga digunakan pada kenderaan lain, pelekat RFID hanya boleh digunakan pada satu kenderaan sahaja sekaligus memaksa pengguna membeli lebih dari satu pelekat.

Tinggal lagi dua minggu sebelum ujian pra-musim rasmi MotoGP membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekaligus menandakan permulaan kepada musim 2022.

Beberapa minggu lalu, Marc Marquez dicanang tidak akan bertandang ke SIC susulan masih dalam proses pemulihan selepas mengalami diplopia (double vision) ekoran terlibat kemalangan sewaktu latihan hujung musim lalu.

Pelumba Repsol Honda itu bagaimanapun berjaya kembali menunggang motosikal selepas mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan.

Selang beberapa hari kemudian, Marquez kembali di atas jentera Honda RC213V-S di litar Autodromo Internacional do Algarve buat julung kalinya dalam tempoh tiga bulan dalam usaha untuk kembali mendapatkan rentak.

Dia kemudiannya mengesahkan akan menggunakan peluang itu untuk meningkatkan sesi latihan sebagai persiapan ke SIC pada Februari.

“Kami masih ada baki dua minggu sebelum bermulanya ujian di Sepang jadi saya akan gunakan peluang ini untuk tingkatkan latihan fizikal dan berlatih dengan jentera saya,” jelas Marquez.

Meskipun akui masih perlukan masa untuk mencapai keserasian dengan jentera Honda itu, namun Marquez tidak sabar untuk ke Litar Sepang, bulan depan.

Tahun 2021 menyaksikan Petronas meraikan ulang tahun ke-46 sejak penubuhan dan secara kebetulan merupakan tahun sama bagi Valentino Rossi membuat penampilan terakhirnya di pentas MotoGP bersama pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Bagi meraikan musim terakhir pelumba Itali itu, Yamaha Motor Europe telah pun mempersembahkan 46 unit edisi terhad jentera replika YZF-R1 M yang diinsiprasikan daripada Petronas MotoGP YZR-M1.

Ketika pelancaran tersebut kesemua 46 unit itu ditawarkan pada harga EUR46,000 (RM219 ribu).

Sasaran pembinaan model tersebut adalah menghasilkan sebuah jentera yang hampir menyamai jentera factory Petronas Yamaha namun boleh digunakan di jalan raya.

Yamaha Austria Racing Team (YART) GYTR Pro Shop telah dipertanggungjawabkan bagi membangunkan jentera replika tersebut yang dipasang dengan fork depn FGRT 2, spring belakang TTX dan steering damper.

Jentera replika tersebut turut dipasang dengan fungsi ‘quick-release’ bagi tayar belakang, footpeg baru dan ECU R1 khas.

Sementara itu, sistem brek pula dikendalikan Brembo dengan kaliper GP4-RX yang dipadankan bersama tayar slick dari Michelin. Model ini juga dilengkapi ‘winglet’ dan livery Petronas SRT.

Menariknya, daripada 46 unit replika tersebut, unit ke-13 dibuka untuk bidaan menerusi platform bidaan Catawiki. Menurut laman sesawang itu, jentera tersebut adalah serba baharu dan belum didaftarkan.

Jentera tersebut dijangka akan mencapai harga sekitar RM350 ribu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya kutip lebih RM204 juta hasil daripada bidaan nombor pendaftaran kenderaan sepanjang tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim yang turut memaklumkan kutipan tersebut babitkan 117 siri nombor pendaftaran negeri di 15 stesen JPJ seluruh negara.

“Bagi setiap siri nombor pendaftaran itu, kami berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.7 juta.

“Tahun 2020, kami berjaya kutip RM177 juta dengan 13 siri nombor pendaftaran dilancarkan,” jelasnya.

Pada masa sama, JPJ turut mengeluarkan lebih 1,039, 612 juta saman pada 2021 berbanding 980,839 notis yang  dikeluarkan pada tahun sebelumnya.

Menurut Zailani, daripada jumlah  tersebut, sebanyak 507,956 telah selesai membuat bayaran dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM71.2 juta.

Sementara itu, JPJ juga peroleh RM7.14 juta bayaran balik saman menerusi program diskaun 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. – Kosmo

Juara Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kategori ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman kini sedang mencari bakat muda untuk menyertai pasukannya, AS 25 Racing Team.

Perkara itu dimaklumakn menerusi perkongsian di laman media sosial Instagram miliknya.

Berdasarkan perkongsian tersebut, Azlan sedang mencari pelumba berusia 14 hingga 16 tahun bagi perlumbaan CubPrix 2022 kategori WIRA.

Menurut Azlan, sebarang pelumba yang menepati kriteria dicari dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan boleh menghantar profil kepadanya untuk tujuan pemilihan.

Pada masa sama, Azlan memaklumkan pihak yang berminat boleh menghantar profil ke +60133204481.

Dalam perkembangan berlainan, Azlan akan kembali ke litara bagi saingan MSF Supermoto pusingan ketiga di Tangkak pada 13 Februari ini.

Pusingan tersebut sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 9 Januari lalu namun terpaksa ditunda susulan pembatalan sebarang aktiviti selama dua minggu oleh Istana Johor sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Azlan sebelum dijadualkan untuk berentap dengan bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin yang memenangi pusingan kedua di litar sama sebelum ini.

Ingat lagi jenama motosikal China, Moxiao yang sebelum ini curi perhatian apabila mengeluarkan model 500RR yang ditiru bulat-bulat daripada Ducati Panigale 1199.

Jenama itu kembali menarik perhatian apabila memperkenalkan MX650 dan MX500 yang secara jelas merupakan percubaan meniru Panigale V4 dan Streetfighter V4.

Bagaimanapun, daripada imej yang dikongsikan jelas menunjukkan kedua-dua model itu hanyalah indah kabar dari rupa kerana sekali imbas sememangnya tampak seakan motosikal mainan yang dibeli dari kedai RM2.

*Ducati Panigale V4

Apa pun, kami juga runsing bagaimana Ducati masih belum mengambil sebarang tindakan sehingga kini melainkan mereka juga sedang ternanti-nanti apakah model seterusnya yang akan diciplak pada masa akan datang sebagai bahan hiburan.

Moxiao MX650 dikuasakan enjin parallel-twin 650cc dengan bore 83mm dan stroke 60mm yang diklon daripada Kawasaki ER6N dan menawarkan 60hp berbanding 211hp yang terdapat pada jentera Ducati sebenar.

Selain berenjin lebih kecil, Moxiao MX650 ini juga 22 kilogram lebih berat berbanding Panigale V4 dan hanya mampu mencapai kelajuan maksima 120km/j.

Sementara itu, Moxiao MX500 lebih mengecewakan, selain hanya menawarkan 44hp daripada enjin parallel-twin 471cc, rupa keseluruhan model ini juga tampak tidak berkualiti berbanding MX650.

Model tiruan Streetfighter V4 ini juga seberat 200kg sekaligus memberi kesan kepada keseluruhan prestasi.

*Ducati Streetfighter V4

Bukan itu sahaja, aspek rekaan kelihatan selekeh dan tidak kemas termasuklah bahagian ‘winglet’  yang seakan diperbuat daripada bahan plastik murah.

Hakikatnya, pasaran motosikal China semakin berkembang maju dengan jenama seperti QJMotor (Benelli), CFMoto dan Zontes telah pun mengorak langkah ke depan dengan menghasilkan jentera berkualiti di samping menampilkan rekaan tersendiri.

Benelli TRK502 merupakan motosikal ADV popular di Itali manakala CFMoto telah pun jalin kerjasama dengan KTM bagi pembangunan 800MT yang akan dipasarkan di Eropah dan Asia tidak lama lagi.

Namun, tindakan dilakukan Moxiao ini akan sentiasa memberi impak negatif kepada penerimaan orang ramai terhadap motosikal buatan China.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube