Seramai 53 penunggang motosikal disaman, manakala 6 motosikal disita di dalam operasi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE/Sungai Besi-Ulu Kelang Expressway) pagi semalam.
Sebanyak 63 saman dikeluarkan kepada kalangan 53 penunggang tersebut, manakala majoriti kenderaan yang disita melibatkan yang ditunggang oleh warga asing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare, berkata operasi bermula jam 7.30 pagi itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di laluan motosikal.
“Op Motosikal itu adalah bertujuan untuk mengesan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.
“Saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan-kesalahan lazim antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi serta ubah suai ekzos,” katanya.
Nazruel berkata, pihaknya turut menyita enam motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha Y15, Yamaha 135LC serta Honda Wave.
Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.
“Lima motosikal itu adalah yang ditunggang oleh warga asing dan satu lagi ditunggang warga tempatan kerana kesalahan pengubahsuaian ekzos.
“Penunggang motosikal antara penyumbang besar kepada statistik kemalangan setiap hari, oleh itu dinasihatkan supaya semua pengguna motosikal khususnya mematuhi peraturan ditetapkan misalnya memakai topi keledar dengan kemas dan diperakui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad),” katanya.
NOTA DARIPADA PENGARANG: Pihak berkuasa sering terlepas pandang mengenai helmet dengan kelulusan piawaian ECE/UN R22, walaupun merekalah yang meluluskan pengimportan dan penjualan. Kami pernah menyiarkan artikel mengenai isu ini tetapi kami akan siarkan sekali lagi supaya tidak timbul kekeliruan.