Bikesrepublic

Berita Terkini

Sempena meraikan ulang tahun ke-50 siri televisyen Kamen Rider tahun ini, pengeluar helmet Thailand, Bimola memperkenalkan model khas edisi Kamen Rider. 

Terdapat enam pilihan grafik dan warna yang diilhamkan daripada watak Kamen Rider sempena kolaborasi khas ini termasuk watak V1, V3, X, Amazon, Stronger dan Shocker Combatman. 

Untuk rekod, helmet Bilmola x Kamen Rider ini dibangunkan dengan cangkerang Shock Resistant Thermoplastic (SRT) dan polikarbonat. 

Meskipun dunia sudah mula beralih kepada standard terbaru ECE22.06 namun helmet Bilmola x Kamen Rider ini masih lagi menawarkan ECE22.05. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • visor ‘anti-kabus’ tersedia.
  • ruang letak bagi pemakai cermin mata.
  • ’strap lock’ anti-karat. 
  • ruang Bluetooth Intercom tersedia. 

Meskipun tidak menggunakan bahan jenis gentian karbon, helmet Bilmola ini masih ringan dengan berat sekitar 1400gram sahaja. 

Bilmola x Kamen Rider ini akan mula dijual pada 11 November ini dengan harga THB2490 (RM315) di seluruh pengedar rasmi di Thailand. 

Hari yang menyedihkan bagi peminat motosikal Suzuki GSX-R1000 akhirnya tiba apabila pengeluar motosikal Jepun itu membuat keputusan untuk menghentikan penjualan ‘superbike’ ikonik itu di Jepun dan Eropah.

Penamatan penjualan model itu selaras dengan keputusan mengejut Suzuki untuk menghentikan segala projek permotoran termasuk di MotoGP dan EWC dalam usaha untuk memberi fokus pada sektor lain. 

Bagaimanapun, motosikal terbabit akan terus dipasarkan di beberapa pasaran kecil lain sebelum dihentikan sepenuhnya. 

Punca utama pemberhentian GSX-R1000 adalah disebabkan faktor standard emisi ketat yang dikuatkuasakan di Jepun. 

Ekoran daripada itu, Suzuki berpendapat adalah lebih baik untuk tidak meneruskan pembangunan GSX-R1000 apatah lagi syarikat Jepun itu tidak lagi terlibat dalam MotoGP dan EWC yang sering menjadi medan ujian pembangunan enjin model terbabit. 

Pada masa sama, GSX-S1000, GSX-S1000GT, Katana, Hayabusa dan V-Strom 1050 masing-masing telah dikemas kini untuk mencapai standard emisi baharu dan akan terus dijual di pasaran global. 

Meskipun masa depan Suzuki GSX-R1000 tampak gelap namun majalah penerbitan Jepun, Young-Machine berpendapat sebaliknya. 

Ini kerana dalam satu laporan pada bulan Ogos lalu, Suzuki didakwa telah membangunkan enjin GSX-R1000 baharu yang bukan sahaja mencapai standard emisi malah turut dinaik taraf secara besar-besaran termasuk ciri ‘reverse-rotating crankshaft’ yang diguna pakai pada jentera GSX-RR di MotoGP. 

Apa yang pasti, Suzuki GSX-R1000 sedia ada amat memerlukan peningkatan agal terus kekal relevan dengan standard terkini dan sehingga hari itu tiba, msa depan jentera ‘superbike’ ikonik itu akan kekal malap. 

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah menahan dua lelaki yang membonceng motosikal jenis Honda sewaktu sekatan jalan raya di Jalan Tiara, Titiwangsa. 

Penahanan tersebut dibuat setelah semakan mendapati motosikal tersebut bukan sahaja dilaporkan hilang malah didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Bukan itu sahaja, nombor pendaftaran palsu digunakan itu adalah milik Ketua Pengarah JPJ Malaysia. 

Kedua-dua lelaki (penunggang dan pembonceng) telah ditahan dengan motosikal disita serta-merta dan dibawah ke JSPT KL untuk siasatan lanjut. – JSPT KL

Kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 akhirnya menutup tirai dengan Francesco Bagnaia muncul juara dunia buat kali pertama dalam kariernya.

Meskipun gagal menaiki podium di Valencia namun kiraan mata membolehkan Bagnaia mengatasi pencabar terdekat, Fabio Quartararo untuk menghadiahkan kejuaraan pertama Ducati selepas kali terakhir dilakukan Casey Stoner pada 2007.

Bagaimanapun, ketika litar Ricardo Tormo meriah dengan sambutan kejuaraan Bagnaia, lain pula ceritanya di belakang tabir melibatkan sembilan kali juara dunia, Valentino Rossi, apabila membidas lapan kali juara dunia, Marc Marquez susulan insiden melibatkan kedua-dua pelumba sewaktu musim 2015 di GP Malaysia.

Ini kerana Marquez dalam satu kenyataan kepada AS baru-baru menyifatkan Rossi hilang sabar jadi punca kepada kejadian di Malaysia.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Rossi menyelar Marquez dalam satu temu ramah dengan La Gazzeta dello Sport sewaktu di Valencia.

“Sudah menjadi kebiasaan dia akan bercakap mengikut pandangan dia tetapi semua tahu apa yang berlaku pada 2015, semua orang faham.

“Jadi bagi saya, setiap kali dia (Marquez) bercakap tentang hal ini, dia lagi nampak di pihak yang salah,” ujar Rossi. 

Rossi dan Marquez merupakan seteru utama sejak kejadian itu dan hubungan kedua-duanya kekal tegang sehingga ke hari ini.

Tahun 2015 merupakan peluang Rossi untuk muncul juara dunia buat kali ke-10 dalam kariernya namun tewas kepada rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo. 

Sewaktu di Malaysia (2015), Rossi dan Marquez berlanggar antara satu sama lain lalu menyebabkan pelumba Sepanyol itu kemalangan. Susulan daripada itu, Rossi dikenakan penalti dan terpaksa bermula di petak terakhir di Valencia. 

Senario itu menyebabkan Rossi hilang peluang untuk merekodkan kejuaraan dunia ke-10 dalam kariernya. 

Ekoran daripada kejadian itu, Rossi beberapa kali mendakwa Marquez sengaja membantu Lorenzo meskipun pelumba Repsol Honda itu menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, dinobat juara dunia Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2022 setelah memastikan kutipan mata penting di Litar Ricardo Tormo, Valencia, pada Ahad.

Bagnaia hanya perlu menamatkan saingan di kedudukan 14 terbaik untuk mengesahkan kejuaraan dunia di hadapan pencabar terdekat Fabio Quartararo. 

Pusingan akhir di Valencia menyaksikan pelumba Suzuki, Alex Rins menghadiahkan kemenangan terakhir kepada pasukan selepas mempamerkan aksi mantap sebaik perlumbaan dimulakan.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik wakil KTM, Brad Binder, yang mempamerkan aksi paling cemerlang di Valencia, mengejar daripada belakang untuk menaiki podium.

Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin, melengkapkan podium di tempat ketiga meskipun bermula di petak pertama.

Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Bagnaia yang menghadiahkan kejuaraan dunia kali pertama sejak Casey Stoner pada 2007 kepada pasukan Ducati. 

Senario itu sekaligus memadam harapan Quartararo untuk mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenanginya musim lalu. 

Pada masa sama, Bagnaia juga muncul pelumba kelahiran Itali pertama sejak Valentino Rossi pada 2009 untuk muncul juara dunia MotoGP. 

Lebih menarik, kejayaan Bagnaia hanya bermula di pertengahan musim apabila merekodkan kemenangan berturut-turut di Assen, Silverstone, Red Bull Ring dan Misano ditambah dengan kemenangan di Jerez, Mugello dan seterusnya di Malaysia. 

Pusingan terakhir MotoGP musim 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia menyaksikan pelumba Pramac Racing, Jorge Martin akan bermula di petak pertama setelah merekodkan catatan masa terpantas sewaktu sesi kelayakan pada Sabtu. 

Pelumba Sepanyol itu mencatatkan 1minit 29.621saat sekaligus akan menerajui barisan depan diikuti enam kali juara dunia, Marc Marquez di petak kedua dan Jack Miller, di petak ketiga.

Bagaimanapun, tumpuan kekal terarah kepada perebutan kejuaraan dunia antara pelumba Yamaha, Fabio Quartararo dan wakil Ducati, Francesco Bagnaia dengan masing-masing akan bermula di petak keempat dan petak kelapan. 

Bagnaia hanya memerlukan tiga mata untuk muncul juara susulan sedang mendahului kejuaraan dengan kelebihan 23 mata dihadapan Quartararo ketika ini. 

Namun, Quartararo masih berpeluang mempertahankan kejuaraan sekiranya Bagnaia menduduki tempat ke-14 ke bawah atau gagal menamatkan perlumbaan. 

Perlumbaan pada Ahad dijadualkan berlangsung jam 9 malam (waktu Malaysia).

Berikut keputusan penuh sesi kelayakan pada Sabtu:

1Jorge MartinPramac Ducati (GP22)
2Marc MarquezRepsol Honda (RC213V)
3Jack MillerDucati Lenovo (GP22)
4Fabio QuartararoMonster Yamaha (YZR-M1)
5Alex RinsSuzuki Ecstar (GSX-RR)
6Maverick ViñalesAprilia Factory (RS-GP)
7Brad BinderRed Bull KTM (RC16)
8Francesco BagnaiaDucati Lenovo (GP22)
9Johann ZarcoPramac Ducati (GP22)
10Aleix EspargaroAprilia Factory (RS-GP)
11Luca MariniMooney VR46 Ducati (GP22)
12Joan MirSuzuki Ecstar (GSX-RR)
13Enea BastianiniGresini Ducati (GP21)
14Miguel OliveiraRed Bull KTM (RC16)
15Alex MarquezLCR Honda (RC213V)
16Franco MorbidelliMonster Yamaha (YZR-M1)
17Cal CrutchlowWithU RNF Yamaha (YZR-M1)
18Marco BezzecchiMooney VR46 Ducati (GP21)*
19Fabio Di GiannantonioGresini Ducati (GP21)*
20Remy GardnerKTM Tech3 (RC16)*
21Takaaki NakagamiLCR Honda (RC213V)
22Pol EspargaroRepsol Honda (RC213V)
23Raul FernandezKTM Tech3 (RC16)*
24Darryn BinderWithU RNF Yamaha (YZR-M1)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube