Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Yamaha, Toprak Razgatlioglu muncul juara dunia Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2021 meskipun menamatkan pusingan akhir di Litar Mandalika di belakang pesaing utama, Jonathan Rea.

Meskipun perlumbaan Race 1 dengan 20-lap itu pada awalnya terganggu dengan hujan namun tempat kedua sudah cukup buat Razgatlioglu mengukuhkan kedudukan mata untuk muncul juara dunia meskipun masih berbaki satu perlumbaan lagi.

Razgatlioglu menjadi pelumba pertama untuk merangkul takhta WorldSBK buat Yamaha sejak Ben Spies melakukannya pada 2009.

Razgatlioglu juga muncul pelumba Turki pertama yang berjaya melakar kejayaan tersebut.

Sementara itu, kejayaan Razgatlioglu juga menyaksikan dia menamatkan dominasi enam tahun berturut-turut Rea di pentas WorldSBK.

“Sukar untuk saya jelaskan perasaan saya ketika ini.

“Impian saya musim ini sememangnya mahu muncul juara dunia untuk arwah ayah saya jadi hari ini cukup istimewa.

“Pada awalnya saya berasa gerun kerana tayar depan tergelincir beberapa kali. Ini adalah hari yang sangat istimewa buat saya,” jelas Razgatlioglu selepas Race 1 selesai.

Rea mendahului perlumbaan sebaik aksi bermula dengan Razgatlioglu jatuh ke tempat keempat sebelum kembali mengejar dan memintas Garret Gerloff dan Scott Redding untuk mengambil tempat kedua sementara Redding ketiga.

Kejuaraan ini juga bermakna, Razgatlioglu sertai juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo yang berjaya menghadiahkan kejuaraan untuk Yamaha dalam musim sama.

FSR Technology kali ini memperkenalkan ShiftBoss 2.0 untuk pasaran tempatan.

ShiftBoss 2.0 ini merupakan sistem ‘quickshifter’ yang membolehkan penunggang menukar gear dengan pantas tanpa perlu menarik klac atau menutup ‘throttle’.

Menariknya, ShiftBoss 2.0 ini bukan sahaja boleh digunakan dengan ECU TuneBoss generasi kedua yang dilancarkan baru-baru ini malah boleh diselaraskan bersama TuneBoss generasi pertama.

ShiftBoss 2.0 ini membolehkan pemilik motosikal bersesaran 250cc ke bawah termasuk kapcai merasai fungsi yang sebelum ini hanya popular dikalangan motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali, hasil pembangunan lebih 2 tahun, ShiftBoss 2.0 menawarkan tahap kebolehpercayaan yang lebih tinggi berbanding versi terdahulu.

“Sehingga hari ini, terdapat lebih dari 30,000 pengguna ECU TuneBoss sejak ia dilancarkan tujuh tahun yang lalu pada 30 Oktober 2014.

“Setakat ini, hanya sekitar 10% yang telah memasang modul quickshifter, ini mungkin disebabkan oleh kerana ShiftBoss versi lama hanya direka untuk dua model sahaja.

“Sekarang, selain dari dua model itu, iaitu Yamaha FZ150i dan Y15ZR, ShiftBoss 2.0 juga sesuai untuk model-model lain seperti R25, R15, MT-15, Y16 dan Honda RS150R,” jelasnya.

Pada masa sama, Farhan menjelaskan ShiftBoss 2.0 kali ini juga sangat mampu milik dan unik.

“Untuk sistem ShiftBoss 1.0, kami tidak menyedari bahawa betapa uniknya sistem itu, oleh itu kami tidak memohon perlindungan harta intelek (IP). Untuk ShiftBoss 2.0, kami telah belajar dari pengalaman. Kami tahu sistem kami unik dan inovatif dan kami telah mengambil langkah untuk memastikan IP kami dilindungi,” tambahnya.

ShiftBoss 2.0 ditawarkan pada harga RM250 namun pengguna ShiftBoss lama boleh menaik taraf ke versi baharu itu dengan kos RM100 sahaja.

Perlu diingatkan bahawa ShiftBoss 2.0 hanya boleh dipadankan bersama motosikal yang menggunakan ECU TuneBoss generasi pertama dan kedua sahaja.

Pelumba muda negara, Hakim Danish, tidak akan terlibat dengan perlumbaan hujung minggu ini selepas terlibat kemalangan dalam Race 1 Pusingan Akhir di Asia Talent Cup (ATC) di Litar Mandalika, pada Jumaat.

Hakim telah mengalami ‘high side’ di Turn 16 ketika bersaing merebut kedudukan ke-4 dan disahkan mengalami keretakan di bahagian pergelangan tangan kanan.

Perkara itu turut disahkan pihak ZKRacing.

Ini bermakna Hakim akan terlepas Race 2, Race 3 yang dijadualkan pada Sabtu (hari ini) dan Race 4 pada Ahad dalam usaha untuk kembali pulih dari kecederaan.

Sementara itu, Hakim dalam rakaman video menjelaskan situasi yang menimpanya.

“Race 1 saya bermula di petak lapan namun saya ‘high side’ di Turn 16 dan tangan saya patah.

“Jadi saya tidak dapat berlumba pada Sabtu dan Ahad.

“Semasa Race 1 saya cuba kejar kelompok depan dan pada awal lap saya yakin untuk memberi saingan tetapi pada baki tiga lap terakhir saya ada buat kesilapan dan pada lap terakhir saya terlajak sedikit.

“Ketika itu saya cuba masuk semula dan terdapat pasir sedikit jadi tayar belakang saya terus membuang.

“Apa pun, syukur alhamdulilah saya selamat cuma tangan patah sikit, tiada apa pun bagi saya,” jelas pelumba 14 tahun itu.

Dalam perkembangan sama, Danial Syahmi berjaya menamatkan Race 1 di tempat kedua sementara seorang lagi wakil negara, Sharul Ezwan menduduki tempat ke-7.

Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, tidak akan beraksi di Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2022 seperti yang disangkakan sebelum ini.

Perkara tersebut disahkan pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin.

Menurut Zulfahmi ketidaktentuan ekonomi susulan pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap usaha mendapatkan tajaan bagi pelumba berusia 20 tahun itu.

Damok sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai peluangnya untuk ke Moto3 pada 15 Oktober lalu namun senario itu tidak berlaku.

Ini bermakna, musim 2022 bakal menyaksikan ketiadaan wakil pelumba negara di pentas sukan permotoran terbesar dunia itu buat kali pertama sejak 2009.

Damok sebelum ini juga sempat diberikan peluang beraksi bersama Petronas Sprinta Racing Moto3 di Aragon dan berjaya mengutip tiga mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-13. – Paultan

Juara dunia MotoGP musimi 2021, Fabio Quartarao memberitahu media dia enggan menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha sekiranya jentera ‘factory’ M1 masih gagal pamer kemajuan.

Hari pertama ujian pra-musim di Jerez menyaksikan Quartararo sekadar menamatkan aksi di tempat kesembilan keseluruhan sementara pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami muncul terpantas.

Meskipun menguji jentera 2022, Quartararo mendakwa YZR-M1 tersebut masih lagi prototaip yang sama diujinya sewaktu di Misano pada September.

Taktala kontrak pelumba Perancis itu akan tamat pada hujung 2022, Quartararo menegaskan dia tidak berminat menandatangani kontrak baharu selagi jentera M1 tiada peningkatan menjelang ujian pra-musim di Sepang pada Februari.

“Masih terlalu awal. Saya tidak mahu menandatangani apa-apa sehingga ujian pra-musim di Malaysia.

“Saya mahu melihat perkembangan positif daripada jentera saya.

“Pada saya adalah normal untuk tidak mengikat kontrak baharu sebelum musim 2022 bermula.

“Saya akan tunggu sedikit masa lagi untuk lihat apakah perkembangan seterunsya bersama Yamaha terutamanya pembangunan jentera di Sepang nanti,” jelas Quartararo.

Difahamkan, Quartararo mahu melihat jentera M1 miliknya mempamerkan peningkatan kuasa yang lebih baik berbanding Ducati.

Remy Gardner telah pun diangkat sebagai juara dunia Moto2 bagi musim 2021 dengan kelebihan empat mata dihadapan rakan sepasukan, Raul Fernandez.

Bagaimanapun, ketika pusingan akhir di Valencia menyaksikan Gardner disahkan sebagai juara, Fernandez mengejutkan ramai pihak apabila memberitahu pihak media bahawa Gardner mendapat bantuan istimewa daripada KTM Ajo Moto2 untuk muncul juara.

Gardner kemudiannya menyelar kenyataan rakan sepasukannya itu selepas kedua-duanya selesai menjalani sesi ujian bersama pasukan Tech3 KTM di Jerez.

“Siapa juara sebenarnya?

“Dia boleh bercakap apa yang dia nak tetapi saya rasa pasukan (KTM Ajo) telah memberikan peluang sama rata kepada kami dan pelumba yang lebih baik telah muncul juara.

“Pada saya kenyataan itu langsung tidak berasas,” bidas Gardner.

Namun, Fernandez dalam kenyataan balas menjelaskan bahawa kenyataannya telah disalah erti.

Gardner dan Fernandez sekali lagi disatukan di MotoGP bersama Tech3 KTM menggantikan Danilo Petrucci dan Iker Lecuona bagi mengharungi saingan MotoGP musim 2022.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube