Bikesrepublic

Berita Terkini

Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo akan membawa penentuan kejuaraan dunia MotoGP ke pusingan terakhir di Valencia selepas kedua-duanya berjaya menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang.

Meskipun bermula di petak kesembilan namun Bagnaia bermula baik untuk terus berada di kelompok depan dibelakang Jorge Martin. 

Namun Martin gagal mengekalkan status pendahulu perlumbaan apabila kemalangan di Turn 5 sekaligus membuka ruang pada Bagnaia di depan sambil diekori rapat pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini. 

Ketika perlumbaan memasuki lap keenam, Bagnaia yang satu ketika dipintas Bastianini kembali didepan di Turn 15 dan terus mengekalkan kedudukan hingga garisan penamat.

Sementara itu, Quartararo memastikan dirinya terus mencabar kejuaraan sehingga ke pusingan terakhir apabila menduduki tempat ketiga.

Walaupun diberi tentangan hebat daripada pelumba Mooney VR46, Marco Bezzecchi namun Quartararo berjaya menjarakkan diri untuk melepasi garis penamat di tempat ketiga.

Keputusan perlumbaan ini menyaksikan Bagnaia mengutip 258 mata, 23 mata dihadapan Quartararo sementara Aleix Espargaro kekal di kedudukan ketiga dengan jarak 46 mata. 

Antara motosikal yang paling mencuri tumpuan sejak dilancarkan pada pasaran global adalah Yamaha YZF-R7. 

Meskipun telah dipasarkan di beberapa negara luar antaranya Amerika Syarikat dan Eropah, model itu masih lagi tidak kelihatan di Malaysia.

Pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga terus mengunci mulut sehinggalah pada pelancaran Yamaha TMax Tech Max baru-baru ini apabila pihak HLYM mendedahkan lebih banyak motosikal berkuasa tinggi yang akan diperkenalkan pada 2023.

Meskipun tidak didedahkan model apa yang akan diperkenalkan namun ketika di Litar Antarabangsa Sepang, pihak HLYM menggunakan peluang itu untuk mempamerkan Yamaha R7 serba baharu tersebut.

Tampil dengan grafik GP Ulang Tahun ke-60, Yamaha R7 itu bingkas mencuri perhatian pengunjung yang hadir.

Yamaha R7 merupakan motosikal segmen sportsbike yang dikuasakan enjin CP2 689cc yang sama terdapat pada MT-07 dan menawarkan 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm. 

Crank dengan kedudukan 270 darjah juga menghasilkan urutan pembakaran (firing sequence) yang tak sekata sekaligus menghasilkan bunyi ekzos yang lebih padu sewaktu pecutan.

Bahagian enjin juga telah dinaik taraf dengan merendahkan ratio gear kedua dalam usaha meningkatkan pecutan.

Motosikal ini juga tampil dengan ciri assist/slipper clutch yang pertama kalinya ditawarkan pada jentera CP2.

YZF-R7 dibina dengan kerangka jenis ‘high-strenght steel’ yang menawarkan ketegaran terbaik di samping menghasilkan tunggangan lebih responsif.

Kerangka tersebut juga menyumbang kepada ‘bodywork’ yang paling langsing pernah dihasilkan Yamaha dalam barisan model Supersports.

Sebagai jentera untuk kegunaan di jalan raya dan litar lumba, R7 dilengkapi dengan fork depan USD dari KYB jenis berasingan, compression di sebelah kiri dan rebound di sebelah kanan.

Sudut fork juga lebih condong dengan 23.7 darjah berbanding 24 darjah pada MT-07 sekaligus menyumbang kepada jarak antara tayar 5mm lebih pendek berbanding MT-07 yang berada pada 1,395mm.

Penyerap hentakan belakang juga boleh diselaraskan untuk preload dan rebound.

Sementara itu, sistem brek dikendalikan kaliper Blue Sport 4-pot berkembar dengan cakera brek depan 298mm yang turut dipadankan bersama master cylinder Brembo.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • skrin digital LCD dengan paparan pelbagai fungsi
  • lampu depan LED jenis bi-functional
  • lampu belakang LED
  • quickshifter (optional)

Meskipun sekadar previu namun kami jangkakan R7 ini akan tampil dengan harga lebih tinggi berbanding MT-07 dan mampu mencecah sekitar RM40 ribu sekiranya dipasarkan disini. 

Lebih setahun selepas pelancaran global, KTM Malaysia dengan rasminya memperkenalkan KTM RC390 2022 untuk pasaran tempatan dengan harga RM33,800.

Model tersebut dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena MotoGP Malaysia yang sedang berlangsung.

Model baharu ini menyaksikan pelbagai perubahan dilaksanakan antaranya bahagian fairing depan yang telah direka semula bagi memuatkan lampu LED jenis ‘single-piece’ berbanding generasi sebelumnya.

Menariknya, pembinaan RC390 kali ini beri fokus aspek ringan dan hasilnya, model 2022 ini datang dengan kerangka 1.5kg lebih ringan. Difahamkan, penggunaan rim yang diinspirasikan dari Moto3 juga berjaya mengurangkan 3.4kg berat.

Penggunaan kaliper brek ByBre juga berjaya mengurangkan lebih 1kg berbanding model sebelumnya.

KTM turut mendakwa RC390 baharu ini mendapat sentuhan MotoGP yang boleh diperlihatkan menerusi pilihan warna, garisan serta corak yang dipaparkan.

Bukan itu sahaja, panel badan juga mudah ditanggalkan hasil sistem ‘mounting’ baharu yang kini tidak lagi memerlukan skru serta klip yang banyak.

Reka bentuk keseluruhan juga lebih aerodinamik hasil daripada proses CFD (computational fluid dynamics) yang diguna pakai dalam pembinaan fairing MotoGP.

Antara ciri lain yang turut dinaik taraf adalah penggunaan fork depan USD WP Apex dengan tetapan ‘compression’ serta ‘damping’ 30-peringkat serta penyerap hentakan belakang WP Apex boleh laras.

Meskipun enjin satu-silinder, 4-lejang dengan penyejukan cecair dan camshaft berkembar ini masih lagi menghasilkan 40hp namun enjin itu kini menjana tork yang lebih tinggi.

Kotak angin yang telah direka semula serta pemetaan enjin (engine mapping) juga menyumbang kepada tork yang lebih tinggi.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • paparan TFT dengan keupayaan Bluetooth
  • tangki 13.7L
  • SUPERMOTO ABS
  • Cornering ABS
  • Cornering MTC (traction control)
  • Quickshifter+ (opsyen tambahan)

Sesi kelayakan pada Sabtu menyaksikan pelumba Pramac Racing, Jorge Martin, merekodkan catatan masa terpantas untuk bermula di petak pertama.

Pelumba Sepanyol itu merekodkan catatan masa 1minit 57.790saat yang merupakan kali pertama angka 1 minit 57s dipecahkan di Litar Antarabangsa Sepang. 

Sementara itu, pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini, bakal bermula di petak kedua sekaligus mengembalikan peluangnya untuk mencabar kejuaraan meskipun perebutan terarah pada Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo. 

Dalam pada itu, pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, akan bermula di petak ketiga lantas meneruskan usahanya untuk kembali ke prestasi asal.

Bagaimanapun, lain kisahnya bagi Bagnaia dan Quartararo yang perlu mencabar kejuaraan di petak ke-9 dan ke-12.

Bagnaia dan Quartararo kemalangan di lokasi sama (Turn 8) lantas kedua-dua pelumba itu berdepan cabaran besar untuk merebut kejuaraan. 

Pemenang pusingan lalu di Phillip Island, Alex Rins meneruskan kecemerlangan untuk bermula di petak kelima dibelakang Marco Bezzechi sementara Luca Marini di petak keenam.

Perlumbaan MotoGP di SIC akan bermula jam 3 petang pada Ahad. 

Kawasaki Malaysia telah pun mengadakan sesi previu Kawasaki Ninja ZX-25R yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang sempena minggu MotoGP.

Menariknya, model yang dipamerkan merupakan model 2023 yang baru sahaja dilancarkan di Indonesia baru-baru ini.

Ini bermakna Ninja ZX-25R itu merupakan model yang telah di naik taraf bagi tahun 2023 antaranya dengan ciri baharu seperti skrin TFT, suspensi depan Showa SFF-BP boleh laras dan ekzos baharu yang kini mencapai standard Euro 4.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan juga memaklumkan model yang akan dipasarkan di Malaysia pada pertengahan tahun depan itu adalah model terkini (2023).

Lebih mengejutkan, Roslan turut mendedahkan bahawa Kawasaki Ninja ZX-25R itu akan dipasarkan sebagai model CKD, bererti dipasang sepenuhnya di kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah.

Bagaimanapun, harga rasmi tidak didedahkan lagi – sehingga hari pelancaran – namun di Indonesia model ini dijual pada harga sekitar RM37k.

Namun begitu, pasaran Indonesia baru-baru ini turut menerima varian ‘flagship, menerusi Ninja ZX-25RR yang dibezakan dengan monoshock Showa BFRC belakang boleh laras. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 ini dikuasakan enjin empat silinder DOHC 249.8 cc, yang dipadankan bersama ransmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 50hp pada 15,500 rpm dan 22.9Nm pada 14,500 rpm.

Jenama fesyen terkemuka Itali, Gucci bakal melancarkan barisan fesyen baharu hasil kolaborasi dengan Moto Guzzi dan fesyen streetwear, Palace.

Kolaborasi kali ini bakal menyaksikan beberapa barangan akan ditawarkan namun paling mencuri tumpuan adalah sebuah Moto Guzzi V7 yang mendapat sentuhan Gucci dan Palace.

Antara bahagian paling mencuri tumpuan adalah bahagian tempat duduk yang menawarkan kemasan monogram Gucci sementara bahagian tangki pula tampil dengan corak ‘camo’ yang menampilkan tulisan Palace.

Di bahagian sisi tangki juga menampakkan logo Palace dan Gucci  di sebelah kiri manakala di sebelah kanan memaparkan lencana Moto Guzzi dengan warna keemasan.

Menariknya, lencan Gucci juga ditempatkan di sebelah kiri dan kanan fork depan sekaligus menonjolkan ciri premium motosikal terbabit.

Selain itu, Moto Guzzi V7 x Gucci X Palace ini juga dilengkapi dengan ‘saddlebag’ dari Gucci yang turut memaparkan monogram Gucci. 

Buat masa ini tiada harga rasmi didedahkan namun Gucci akan membuat pengumuman sebaik dipasarkan pada Jumaat (esok).

Untuk rekod Moto Guzzi V7 ini dikuasakan enjin 850cc dua silinder yang menawarkan 65hp dan 73Nm. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube